Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Aku Khaleeda (bukan nama sebenar), berusia 29 tahun. Aku ingin menceritakan pengalamanku mengandung anak sulung. Maaf seandainya kisahku ini panjang tapi aku hanya ingin berkongsi rasa pilu hatiku.
Aku mendirikkan rumah tangga, pada 20hb April, 2018. Dipendekkan cerita, pada bulan Jun, 2018, aku membeli pregnancy test disebabkan kawan sepejabat mengatakan perangai aku yang banyak berubah iaitu aku sukar mengawal perasaan marah. Dalam nada bergurau kawanku mengatakan mungkin aku mengandung kerana orang mengandung kadang-kadang sensitif.
Ya, aku positif hamil. Alhamdulillah, rezeki awal. Aku alah pada bau durian dan sesetengah bau badan orang. Tapi aku tiada masalah alah terhadap bau badan suamiku dan aku tidak mengalami alahan teruk seperti loya di awal pagi.
Aku berjumpa doctor pada 3hb September, 2018 kerana aku ingin scan kandunganku yang berusia 2 bulan. Doktor mula bertanya, apakah aku mempunyai ahli keluarga kembar ? Ya, aku mempunyai sepupu dan mak cik kembar dari kedua belah ayah dan ibu.
Siapa yang tak gembira bila mengandung untuk kali pertama, rezeki awal dan doktor mengesahkan kandungan ku kembar. Aku memberitahu suamiku. Suamiku berfikir aku bergurau, sampaikkan 2, 3 kali aku meyakinkan dengan serius. Suamiku paling gembira dan terus memaklumkan kepada keluarga mertua. Aku memberitahu ibuku. Ibuku pun terkejut kerana tak menyangka aku akan mewarisi keturunan kembar.
Aku membuat buku pink pada 5hb September, 2018 di Poliklinik. Semuanya berjalan dengan lancar. Aku perlu memeriksa kandunganku 2 minggu sekali ke Hospital Besar dan sekali sebulan ke Poliklinik. Doktor memberitahu kandungan kembar akan banyak menghadapi risiko dan perlu dipantau dengan teliti. Aku akan mengambil cuti kerja setengah hari apabila ke Hospital Besar kerana pemeriksaan akan mengambil masa yang panjang.
Semuanya baik-baik sahaja pada mulanya. 9hb November, 2018, pihak doktor Hospital Besar mengaturkan perjumpaan untuk “details scan kandungan” dengan doktor pakar dari Hospital Besar Umum Sarawak. Doktor memaklumkan berat bayi di dalam kandunganku agak kecil dan perlu dipantau dari semasa ke semasa tetapi berat untuk bayi kembar memang akan berbeza sedikit. Aku tidak terlalu risau.
Aku meminum susu Anmum 2 kali sehari untuk membantu menaikkan berat bayi dalam kandunganku. Ubat yang dibekalkan oleh pihak Poliklinik pun aku terus makan dengan konsisten. Doktor dari Hospital Besar membekalkan aku ubat darah tinggi, doktor memaklumkan ini salah satu risiko kandungan kembar.
12hb November, aku menjalani pemeriksaan rutin di Hospital Besar. Semua masih dalam keadaan terkawal. Doktor meminta aku datang pada 21hb November, 2018 untuk pemeriksaan seterusnya. Suamiku menemani aku menjalani pemeriksaan rutin. Doktor bertanya, adakah suamiku datang sekali. Doktor meminta suamiku masuk ke bilik pemeriksaan kerana doktor ingin memaklumkan sesuatu.
Hati aku mula berdebar-debar tetapi aku masih berharap dan berdoa yang baik-baik sahaja. Doktor memaklumkan berat bayi dalam kandungan sedikit bermasalah tetapi tiada apa yang dapat dilakukan melainkan memantau dari semasa ke semasa. Doktor meminta aku dan suami bersedia untuk sebarang kemungkinan. Selepas balik dari Hospital Besar, aku memakan makanan yang memberi khasiat untuk aku dan bayiku.
28hb November, 2018. Detik sejarah hitam dalam hidupku. Aku tak pernah terfikir bahawa Allah akan menduga diriku seberat ini. Pemeriksaan rutin, pada pukul 9 pagi, aku sudah berada di dalam bilik doktor. Doktor bertanya soalan biasa dan aku masih dalam keadaan bertenang. Aku diarahkan untuk berbaring kerana doktor ingin menjalankan ujian scan pada perutku untuk melihat perkembangan bayi. Doktor tetiba bertanya adakah suamiku datang bersama hari ini. Aku jawab tidak kerana kebetulan suamiku ada tugasan penting pada pagi ini. Aku mula berfikir pekara buruk terjadi kepada bayiku.
Doktor memaklumkan salah seorang bayiku tidak mempunyai tindak balas dan bermungkinan telah meninggal dalam kandungan. Mungkin disebabkan aku pertama kali mengandung dan tiada pengalaman, aku tidak dapat merasakan/membezakkan pergerakan bayi dalam kandungan. Doktor meminta aku menunggu sebentar kerana ingin memanggil 2 orang doktor pakar untuk mengesahkan keadaan bayiku. Dalam 10 minit, 2 orang doktor pakar datang.
Ketika doktor scan perutku, aku berharap keajaiban berlaku. Aku terlalu berharap keajaiban ketika ini. Tapi kuasa Allah siapa aku untuk menidakkan apa yang terjadi. Ya, pekara yang aku terlalu takutkan terjadi, akhirnya terjadi juga. Doktor mengesahkan salah seorang bayiku telah meninggal dalam kandungan. Doktor memberitahu, bayiku tidak dapat dikeluarkan sekarang sehingga sampai masa aku melahirkan bayiku yang masih hidup, bayiku yang telah meninggal akan keluar sekali. Bermakna, tahun depan due date aku, 31hb March, 2019, aku akan melahirkan 2 orang bayi tetapi hanya seorang yang masih bernyawa.
Arwah bayiku akan mengecut dalam perutku dan takkan memberi sebarang kesan buruk pada aku dan bayi yang masih hidup. Aku masih dalam keadaan bertenang, duduk keras di kerusi. Dunia terasa gelap seketika. Aku rasa terlalu payah untuk bernafas. Dengan tenang tanpa menitiskan air mata, aku berjalan perlahan keluar dari bilik doktor. Ketika menunggu suamiku datang mengambilku, aku mula menitiskan air mata tetapi aku tahan kerana takut orang akan hairan melihat tingkah lakuku.
Bakal ibu mana yang tidak merasa bersedih atas dugaan ini. Doktor memberikan aku cuti 1 hari untuk berehat di rumah. Ketika di dalam kereta, aku memaklumkan kepada suamiku. Suamiku diam seketika, tetapi suamiku cakap mungkin bukan rezeki kita dan akan ada hikmah di sebalik dugaan ini. Aku tahu suamiku turut bersedih. Suamiku memaklumkan kepada ibu mertuaku. Aku balik rumah. Sampai rumah, aku duduk di sofa.
Aku terus menangis sampai hilang suara. Dari pukul 10.45 pagi sehingga pukul 11.30 pagi, baru lah tangisanku reda, Aku menelefon ibuku dan ibuku pun meminta kau bertabah dan bukan rezeki aku dan suami. Sampai petang, aku masih menangis sehingga mataku bengkak. Suamiku pula makin bingung melihat keadaanku dan takut emosiku akan memberi kesan buruk pada bayiku yang masih hidup.
Walaupun telah 2 minggu berlalu, kadang-kadang aku teringat kembali angan-anganku dan suami seandainya bayi kembar kami lahir dengan sihat. Tapi semuanya tak kesampaian. Ada hikmahnya aku belum membeli apa-apa pun barangan bayi kerana masih awal untuk persediaan itu. Sehingga kini aku, aku masih terbayang-bayang kali terakhir aku melihat arwah bayiku bergerak-gerak pada 21hb November, 2018.
Kadang-kadang, aku terfikir bagaimanakah bayiku menghadapi saat-saat terakhir sebelum jantungnya berhenti berdenyut. Aku sentiasa memegang perutku untuk merasakan bayikku yang masih hidup bergerak-gerak kerana aku takut dengan apa yang telah berlaku. Aku sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.
Kadang-kadang, aku berfikir dimana silapku dari mula. Adakah aku yang cuai tidak pandai menjaga kandungan dari awal. Aku selalu mengusap perutku. Aku bawa perut yang menpunyai 2 janin tetapi, salah seorang telah meninggal dalam kandungan. Berat sungguh dugaan ini Ya Allah.
Sedih sangat. Tapi Allah masih memberi aku kesempatan. Allah masih meminjamkan seorang bayi lagi kepadaku. Allah tidak mengambil kembali kedua-dua bayiku. Mungkin Allah hanya ingin menjentik sedikit hatikku yang terlalu banyak dosa. Sekarang aku hanya berdoa kepada Allah agar memberikkan aku peluang untuk melahirkan bayi yang cukup fizikal dan sihat di tahun hadapan. Baru aku faham rasa kehilangan anak.
Mohon para pembaca mendoakan yang baik-baik sahaja untuk aku dan bayiku. Terima kasih atas sokongan semua.
– Nur Khaleeda, yang kehilangan.
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit