Andai sudi ditatap
Dengan lafaz bismillah, aku rencanakan nukilan aku ini. Sungguh, warkah ini aku tujukan dengan harapan , ada kebaikan yang dikongsi bersama. Bukan mengaibkan, mahupun mencetuskan pertelingkahan.
Panjang lebar sudah mukadimah, sebelum jari jemari menari di papan kekunci komputer riba ini, senang aku perkenalkan diri aku. Ringkas sahaja, masih bergelar seorang pelajar, sudah hampir menjengah 5 tahun perjalanan di sebuah IPTA. Chromosome terakhir aku-XX. Cukup sahaja pengenalan diri yang kerdil dan hina ini.
Terus, aku ingin kongsikan rasa kecewa aku terhadap segelintir kaum yang mempunyai XX chromosome. Bukan semua, aku ulang, segilinitir yang rata-rata aku temui.
Wahai wanita,
Jujur, apabila isi 'mata lelaki' tersebar, seolah-olah kita ini tidak pernah berdosa. Ada yang berkata, jijik untuk memandang suci setiap lelaki yang ditemui selepas ini.
Pernah , aku diserang pemikiran sebegitu rupa. Namun, aku tersentap. Seolah-olah aku tidak pernah mengetahui pesanan “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa".
Siapa aku , siapa kita untuk menilai ? Sucikah kita ? Muliakah kita ?
Perihal iman itu, ada turun naiknya. Seperti kaum kita juga, kita juga insan pendosa.
Mahu menipu siapa, kita ini hakikatnya pendosa.
Terang-terangan, sembunyi, itu semua di dalam pengetahuan-Nya.
Bukanlah aku membenarkan kaum adam ini melakukan perkara yang ditegah agama, namun, apa yang ingin disampaikan, biarlah doa kita semua mengiringi perjuangan setiap insan , agar tetap utuh teguh berpegang pada agama. Agar tidak tergelincir dari agama. Siapalah kita untuk menghukum pendosa. Mahu menghakimi mereka. Doakan mereka agar kembali dan kuat untuk melawan bisikan nafsu.
Justeru, ayuh jauhkan sikap berprasangka.
Untuk kaum adam, semoga tidak terus terpedaya dengan bisikan syaitan dan hawa nafsu.
Kerana setiap kamu bakal menjadi pemimpin, maka didiklah diri.
Semoga dirahmati Allah dan berada sentiasa di bawah perlindungan-Nya.
Semoga nukilan ini tidak menyebabkan kemarahan kaum hawa, mahupun kaum adam.
Semoga kita berusaha menjadi seorang hamba-Nya yang lebih baik.
Mohon dimaafkan andaikata terkasar bahasa.
Salam.
– unknown