Anissa

Assalamualaikum semua, nama aku Dini. Aku seorang doktor yang sekarang berkhidmat di hospital swasta. Aku mempunyai satu pengalaman yang ingin dikongsikan untuk semua para pembaca, yang mana perkara ini terjadi lebih kurang 5 tahun lepas. Cerita ini aku kongsikan kepada Dr Jerung (Sharky) ni memandangkan dia pandai nak ulas dan olah cerita ni.

Lagipun, pengalaman aku ini agak panjang sedikit, namun, aku berharap korang semua bolehlah mempelajari sesuatu yang baru menerusi perkongsian aku ini, yang berdasarkan pengalaman aku sendiri semasa berkhidmat di sebuah hospital di semenanjung Malaysia ini.

Aku masih teringat peristiwa yang berlaku pada tahun 2014 ini. Semasa itu,aku bertugas di hospital tersebut sebagai seorang Medical officer (MO) di jabatan kanak-kanak (pediatrik), yang mana pada jam 10.45 malam, aku menerima panggilan untuk turun memeriksa pesakit di situ. Anissa, budak perempuan comel berumur 9 tahun tiba-tiba sahaja dibawa ke wad kecemasan kerana dia mulai demam panas sejak 2 hari lepas.

Aku memanggil waris pesakit setelah melihat Anissa yang kelihatan tidak bermaya untuk menjawab soalan dan dia juga masih kecil yang mana agak sukar untuk medapatkan jawapan yang lebih reliable daripadanya. Terdetik rasa bersyukur kerana keadaannya berjaya distabilkan oleh para staf dan doktor di bahagian kecemasan. Tekanan darahnya stabil, namun suhu badannya masih tinggi.

Agak pelik juga apabila aku memanggil waris Anissa, yang masuk berjumpa dengan aku adalah ibunya, Puan Melor dan pakciknya. Yalah, biasanya yang akan masuk adalah ibunya, dan ayahnya. Rupa-rupanya, ibu Anissa telah bercerai dengan suaminya 4 tahun lepas, dan Encik Hisham merupakan abang kepada Puan Melor.

Lelaki berbadan sado yang berumur 32 tahun itu terus memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang menjaga Anissa di rumah kerana Puan Melor sibuk bekerja sebagai penjual tiket bas di sebuah hentian bas yang agak besar di bandar ini.

Dia memang tinggal berdua sahaja di rumah, dan mengikut kepada Encik Hisham, dia tidak tahu-menahu mengenai Anissa yang tinggal serumah dengannya, tetapi di bilik berasingan kerana rumah pusaka milik arwah ayah dan ibu Encik Hisham dan Puan Melor itu dijadikan tempat tinggal mereka. Tambahan pula, Encik Hisham sendiri masih lagi belum berkahwin. Jadi, itulah sebabnya mereka tinggal di dalam sebuah rumah yang sama.

Kebiasaannya, pada waktu pagi, setelah Puan Melor menghantar Anissa ke sekolah, dia terus ke tempat kerjanya dan apabila pulang dari sekolah jam 1.00 – 2.30 petang.

Encik Hisham biasanya mengambil Anissa daripada sekolah, memandangkan dia bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran berdekatan yang hanya memulakan kerja pada jam 6.00 petang sehingga 3 pagi. Puan Melor pula sudahpun berada di rumah lebih kurang jam 7.30 petang setiap hari.

Katanya, Anissa mengadu loya-loya tekak, dan sakit kepala. Kemudian, dia ibunya memberikan ubat demam, namun tidak kebah. Pada hari kedua, dia langsung tidak larat untuk bangun, dan memandangkan Puan Melor agak cuak, disamping dia sendiri pun tidaklah meluangkan masa yang lama untuk anaknya sendiri, dia meminta Encik Hisham untuk mengambil cuti dan mengikutinya sekali menghantar anaknya ke hospital. Dia takut, manalah tahu ada perkara yang dia tidak ketahui, tetapi abangnya tahu.

Sambil aku berbual-bual dengan ibu dan pakciknya, aku perasan pergerakkan Anissa ini daripada tadi lagi, walaupun tak berapa ‘obvious’, namun pemerhatian dan penglihatan aku sebagai seorang doktor sedikit sebanyak dapat membaca keadaannya.

Tangan kanannya yang tercucuk jarum tidaklah bergerak banyak, tetapi, tangan kirinya, daripada tadi aku lihat tergaru-garu di bahagian kemaluannya dari atas seluarnya.

Setelah aku dapatkan segala informasi, dan carta pembesarannya, aku memegang perlahan bahu si kecil itu.

“Anissa, kakak nak tanya ni, Anissa ada sakit ke di mana-mana?”, aku bertanya

Dia melihat mukaku, kemudiannya menggelengkan kepalanya. Hampir kesemua soalan aku dijawab sebegitu, kecuali apabila aku tanya dia rasa bagaimana.

“Penat dan tak larat”, itu sahaja jawapan yang diberikan.

Encik Hisham meminta untuk keluar sebentar kerana telefonnya tiba-tiba berbunyi, dan Puan Melor meminta kebenaran untuk membelikan anaknya sebotol air mineral di luar zon kuning itu.

Aku mengangguk dan kemudiannya memanggil seorang jururawat pelatih sebagai peneman (chaperone). Aku memeriksa badan pesakit, yang sememangnya panas kerana suhu badannya agak tinggi, mencecah 38.5 darjah celcius.

Aku meminta kebenaran untuk menyelak seluarnya, yang mana daripada tadi menjadi tempat usikan dan garuannya tanpa henti. Aku menyelak seluar dalamnya, tak semena-mena darah aku berderau apabila terlihat alat sulitnya itu. Ya Allah!

Merah, bengkak dan kemudian, terdapat banyak luka-luka halus seperti terkena torehan pisau. Ada tempat yang sedikit bernanah, bewarna kekuningan yang mengalir perlahan di sekitar kemaluannya. Aku jadi gelabah, tak semena-mena kes yang aku rasa biasa ini bertukar menjadi sesuatu yang mengejutkan. Ini pasti kes sexual abuse!

Aku mula terkial-kial mencari nombor One Stop Crisis Center (OSCC) dan terus menghubungi medical officer bertugas. Untuk pengetahuan korang semua, OSCC ni adalah satu tempat untuk melaporkan apa-apa krisis berkaitan dengan pelbagai masalah keluarga yang berkaitan dengan domestic violence, sexual abuse, child abuse dan lain-lain. Pusat ini mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak berkuasa seperti polis, dan jabatan kebajikan kanak-kanak.

Kes seperti ini wajib dilaporkan segera, dan ketika aku membuat panggilan, aku terlihat kedua-dua Puan Melor dan Encik Hisham sedang berdiri di luar zon kuning. Aku memanggil Puan Melor, dan terpaksa menghalang Encik Hisham daripada masuk sekali ke zon kuning tersebut.

Dia terpinga-pinga, dan kemudiannya menjadi sedikit marah kerana tiba-tiba dia dilarang untuk masuk dan melihat anak saudaranya itu. Aku terpaksa berbuat sedemikian kerana hal ini terlalu besar, dan pada aku, hanya waris yang betul-betul dekat dengan pesakit sahaja boleh dterangkan.

Aku akui juga bahawa aku mempunyai tanggapan negatif kepada Encik Hisham, yang mana ada kemungkinan besar menjadi dalang kepada kes ini.

“Kenapa pulak ni? Kenapa tiba-tiba saya tak boleh tahu pasal Anissa!?”, jeritnya, menyebabkan orang ramai mula melihat keadaan di situ.

“Encik, tolong tunggu diluar sebentar. Saya perlu bercakap dengan pihak ibu pesakit sahaja”, aku berkata dengan perlahan dan nada sedikit memujuk agar dia tidak hilang pertimbangan.

Tiba-tiba dia naik hantu. Dia menengking aku.

“Kenapa tiba-tiba aku tak boleh tahu?! Aku yang jaga dia, besarkan dia sekali kau tahu tak!? Kau siapa nak halang aku daripada nak tahu mengenai anak saudara aku sendiri!”, katanya dengan begitu kuat. Aku terpaku apabila ditengking dengan nada yang begitu kuat.

“Bang Hisham, tunggu satla. Sat lagi saya beritahu lah apa yang jadi ya?”, kata Puan Melor, yang mana dia juga tidak mengetahui apa-apa sebab mengapa abangnya tiba-tiba dihalang daripada melihat dan mendengar perbincangan aku dengannya.

“Encik, sila beredar daripada sini. Sila jangan buat kekecohan di sini. Ini hospital encik”, tiba-tiba Encik Ramly, pegawai keselamatan hospital menghampirinya.

Tidak semena-mena Encik Hisham menumbuk dinding dengan begitu kuat. Aku terkedu, begitu juga dengan Encik Ramly. Badan Encik Hisham yang sado, besar dan athletics itu menunjukkan betapa bahayanya dia boleh jadi saat jika keadaan tidak boleh terkawal nanti.

Encik Ramly memegang walkie-talkie nya, bersedia untuk memanggil lebih ramai pegawai keselamatan lain sebagai persediaan jika ada apa-apa berlaku nanti. Encik Ramly memang diketahui seorang bekas anggota askar, namun badannya yang kurus itu aku rasa bukanlah lawan dengan Encik Hisham.

Encik Hisham berjalan, dan menendang pula rak yang diletakkan dengan air mineral yang dijual di luar zon kuning itu. Dia memusingkan mukanya ke arah aku dan Puan Melor sambil menjerit…

“Okay, fine. Lepas ni Melor, ko tak payah nak minta tolong aku lagi!”, katanya sambil berjalan keluar daripada ruang menunggu yang diperhatikan oleh ramai pesakit di situ. Rata-rata orang di situ berpandangan antara satu sama lain.

Tanpa membuang masa, aku terus bercakap dengan Puan Melor walaupun aku masih sedikit tergamam melihat perlakuan abangnya yang tiba-tiba sentap sebegitu rupa sekali.

“Begini, sebelum saya nak tanya dan jelaskan keadaan sekarang, ada apa-apa yang puan nak beritahu?”

“Hmm, rasanya tiada apa-apa doktor. Semua saya dah jelaskan tadi. Kenapa ya?”, jawab Puan Melor, mengesahkan firasat aku bahawa dia tidak tahu menahu langsung mengenai keadaan anaknya ini.

Aku meminta kebenaran Anissa untuk menyelak seluarnya untuk menunjukkan kepada ibunya kesan luka-luka dan calar-balar di bahagian kemaluannya.

“Ya Allah!”, terpacul keluar kata-kata daripada mulut Puan Melor. Dia hampir nak terduduk melihatkan pandangan yang mengerikan itu.

Aku menolak kerusi supaya dia boleh duduk untuk cuba bertenang dan menarik nafas. Aku perasan mulutnya beristighfar tanpa henti.

“Tapi tak mungkin. Tak mungkin. Abang Hisham bukan macam tu”, katanya tiba-tiba sambil meraup wajahnya. Dia mulai menangis teresak-esak, dan aku hanya mampu melihat dan menghulurkan sekeping tisu kepadanya, tanda simpati.

“Begini, sebentar lagi akan ada doktor datang, dia akan periksa terlebih dahulu dan kemudian kami akan laporkan kepada polis sekiranya laporan menunjukkan Anissa dicabul”, aku cuba menerangkan keadaan kepada Puan Melor kerana walaupun aku tahu dia masih lagi memproses dan terkejut apabila terlihat akan keadaan anaknya itu, namun aku sendiri tidak boleh membuang masa terlalu lama kerana terdapat banyak tugasan lain yang pelru diselesaikan bagi pesakit lain.

“Tetapi doktor. Serius saya cakap, abang Hisham memang panas baran, tak boleh ditegur sedikit. Namun, saya yakin, dia tidak buat perkara sedemikian”, katanya.

“Puan, sekarang ni kita bukan nak menuduh sesiapa. Kita cuma nakkan kepastian apa yang berlaku terlebih dahulu”, aku cuba menerangkan keadaan dengan tenang.

Walaupun keadaan ini nampak seperti Encik Hisham yang bersalah, namun, aku tak boleh serkap jarang. Mungkin hal ini boleh jadi perlakuan orang lain, atau mungkin hal ini sebenarnya tiada kaitan dengan kes cabul pun sebenarnya.

Doktor Azimah sampai bersama 2 orang jururawat. Dia merupakan MO daripada bahagian OSCC. Setelah memperkenalkan dirinya kepada Puan Melor, dia menghulurkan borang meminta kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan pada bahagian kelamin anaknya serta memeriksa sama ada wujud atau tidak apa-apa bukti pencabulan mahupun yang lebih dahsyat, sekiranya ada apa-apa kesan jika Anissa dirogol.

“Nisa sayang. Ibu ni. Uncle Sham ada sentuh Nisa ke sebelum ni?”, tanya Puan Melor perlahan sambil membelai dahi anaknya dengan penuh kasih sayang..

“Tiada ibu”, jawab Anissa, lemah gemalai.

“Puan, kami perlu meminta Puan untuk keluar sebentar sementara kami membuat pemeriksaan ini ya. Jangan risau, saya, bersama doktor Dini dan 2 orang staf ini akan jadi peneman dan saksi kepada pemeriksaan ini ya.”, kata Dr Azimah.

Puan Melor berjalan perlahan meninggalkan Anissa setelah dia menandatangani borang tersebut yang membenarkan penggunaan “rape kit test” dijalankan kepada anaknya yang bermula dengan pertanyaan, pemeriksaan fizikal serta pengumpulan bukti-bukti jika ada.

Aku juga memberitahu kepada Puan Melor selepas ini mungkin Anissa akan dimasukkan ke wad kanak-kanak di tingkat 4 untuk pemeriksaan lanjutnya kerana aku yakin, kes sebegini memerlukan Anissa untuk tinggal di dalam wad untuk beberapa hari bagi merawat jangkitan kuman yang masuk daripada luka torehan di kemaluannya itu.

Rawatan antibiotik sudah tentu diperlukan, memandangkan keadaannya yang demam meletakkan luka tersebut sebagai punca bagaimana kuman boleh memasuki di dalam darahnya.

Pemeriksaan dilakukan secara teliti. Sememangnya, berdasarkan inspection, aku dapati terdapat banyak tanda-tanda luka seperti dihiris dengan pisau cukur. Melihat kan bahagian hymen dia yang masih intact, kemungkinan besar dia tidak dirogol memandangkan sekiranya kemaluan lelaki dimasukkan pada kemaluan perempuan, sudah pasti bahagian tersebut akan koyak, tetapi masih ada kemungkinan pencabulan menggunakan objek atau jari masih boleh terjadi.

Terdapat banyak tanda-tanda keradangan, disamping jangkitan kuman di situ yang ada bendalir nanah bewarna kekuningan. Ada sedikit kepelikkan di bahagian kemaluan pesakit ini sebenarnya. Aku perhati, terdapat bulu-bulu halus yang tumbuh, dan kesan torehan tersebut ibarat macam seseorang itu membuat percubaan untuk mencukur bulu itu.

“Sis, how come this patient started to have this pubic hair ya? She just 9 years old right?”, Dr Azimah bertanya kepadaku, ibarat boleh membaca apa yang terbuku dalam hatiku tadi.

“Hmm, yeah. It does looks like Tanner III in this patient, which is abnormal for a 9 year old”, aku memberitahu Dr Azimah, memberi pendapatku berdasarkan pengalamanku yang berlatih di bawah jabatan kanak-kanak ini.

Untuk pengetahuan semua, Tanner adalah satu jenis skala pengukuran untuk mengukur tahap kematangan seseorang pesakit kanak-kanak atau orang dewasa berdasarkan perkembangan organ seksual yang utama dan secondary, yang mana dalam kes seorang kanak-kanak perempuan, taburan pubic hair (bulu ari-ari) dan perkembangan payudara seseorang itu menjadi perimeter untuk diukur tahapnya.

Sememangnya, untuk bahagian payudaranya, memang berada di Tanner I, sesuai dengan umurnya 9 tahun, tetapi, keadaan pubic hairnya itu berada di Tanner III, seakan-akan menyerupai seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Apabila pemeriksaan diteruskan, aku terkejut melihat saiz clitorisnya (kelentit) yang amat besar, yang sememangnya tidak normal bagi seorang kanak-kanak perempuan.

“Kakak doktor, Nisa malu la. Nisa nak ibu”, tiba-tiba Anissa bersuara.

“Sabar ya adik. Siapa yang buat adik macam ni ni?”, Dr Azimah bertanya dengan perlahan.

Anissa mendiamkan diri dan melihat sahaja wajah Dr Azimah dalam-dalam.

“Nisa nak ibu”, katanya lagi.

“Nisa, macam ni, kalau Nisa nak ibu, Nisa kena beritahu kakak dulu. Siapa yang buat ni? Siapa yang potong-potong bawah ni?”, aku bertanya, menggunakan sedikit teknik bargaining dalam pertanyaan. Jauh di lubuk hatiku, aku sedikit sebanyak mula berfikir, ini bukanlah kes sepertimana yang aku sangkakan.

“Nisa yang buat sendiri, Nisa yang potong”, tiba-tiba dia menjawab menyebabkan aku dan Dr Azimah berhenti seketika.

“Kenapa Nisa buat macam tu?”, aku bertanya.

“Sebab Nisa takut. Masa Nisa mandi, nak pergi sekolah bulan 1 lagi, Nisa perasan ada tumbuh-tumbuh bulu ni. Nisa jadi takut. Nisa pergi bilik air, ambil pisau cukur uncle Sham, Nisa cuba potong sendiri. Tapi luka, dan Nisa biarkan sahaja sebab Nisa takut nak beritahu ibu”, jawabnya yang mana meletakkan aku dan Dr Azimah serta 2 orang jururawat yang berada di situ menarik nafas lega.

“Allahu Akbar. Ya Allah Nisa… Kenapa tak nak beritahu ibu awak”, Dr Azimah bertanya.

“Nisa takut… Sebab Nisa ada curi-curi makan gula-gula uncle Sham untuk jadi kuat”, katanya.

Aku terus boleh dapat hidu apakah yang terjadi sebenarnya di sini. Pasti Encik Hisham ini mengambil ubat yang mengandungi hormon untuk dirinya menjadi sasa sebegitu. Hormon bernama testosteron ini akan memberikan sifat sedemikian sekiranya seorang kanak-kanak perempuan mengambilnya sama ada dengan makan, mahupun sekadar tersentuh mana-mana krim yang mengandungi hormon ini.

Hal ini kerana dia budak kecil, dan sedikit perubahan hormon terutama hormon seks (testosteron) akan menyebabkan perubahan yang sangat ketara dalam pembentukkan tubuh badannya.

Apabila hormon ini mula memberi kesan yang dipangggil sebagai virilization, yang mana bahagian clitoris akan membesar disamping pubic hari akan mulai tumbuh. Dia Anissa menjadi takut dan cuba mencukurnya sendiri, yang mana berakhir dengan luka di bahagian tersebut. Bahagian itu, yang selalu terkena najis, dan air kencing menyebabkan kuman mulai masuk melalui luka tersebut, dan memberikan jangkitan kuman yang menyebabkan dia demam dan mengalami tanda-tanda awal sepsis.

Aku berjalan keluar, untuk berjumpa Puan Melor dan memberikan satu berita yang tidaklah baik, tetapi jauh lebih baik berbanding dengan kes yang disangka-sangka sebagai pencabulan itu. .

“Marilah masuk Puan, saya ada nak beritahu sedikit”, aku memanggil ibu Anissa untuk masuk dan menerangkan segalanya.

Terlihat betapa dia berasa lega dan menarik nafas serta menadah tangan tanda kesyukuran. Segera dia telefon Encik Hisham, dan menceritakan segalanya, serta mengajaknya untuk datang membawa apa-apa ‘ubat’ yang dia gunakan untuk menjadikan badannya sasa itu. Aku mengiringi Anissa bersama seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) yang menolak katilnya ke wad kanak-kanak.

Setelah aku menguruskan seorang lagi pesakit di wad kanak-kanak malam itu, aku kembali ke katil Anissa, dan aku berasa terkejut saat aku tiba sahaja di situ, Encik Hisham sudahpun tercegat berdiri di situ. Kali ini, air mukanya tampak berbeza, tidak marah-marah, sebaliknya sedikit muram dan kecewa.

“Maafkan saya doktor, saya memang ada ambil ubat ni secara senyap-senyap. Hari tu, Anissa datang bilik saya, ternampak saya tengah makan ubat ni. Dia tanya saya ubat ni untuk apa, tetapi saya tipu dia, kata ni hanyalah gula-gula untuk jadi kuat. Saya tak sangka pula dia curi-curi masuk dan ambil ubat ni daripada bilik saya”, katanya sambil menyerahkan sebotol ubat bernama Dianabol itu, mengesahkan teori yang daripada tadi bermain di dalam mindaku.

“Tidak mengapa. Saya juga ingin nak minta maaf andai kata perbuatan saya di kecemasan tadi seolah-olah nak menuduh Encik mencabul Anissa pula”, aku menjawab. Aku lihat, Puan Melor juga berada di situ. Aku menyambung

“Beginilah, saya akan berbincang kes ini bersama doktor pakar dan akan mengambil beberapa ujian darah untuk sahkan diagnosis kita. Rawatan kami akan teruskan seperti biasa”.

“Dan satu lagi, saya harap Encik dan Puan berhati-hati lah dengan segala ubat-ubatan yang berada di dalam rumah. Tak perlu saya rasa untuk tipu budak-budak ni kata itu gula-gula, sebab lagi dia nak makan dan rasa nanti. Dan Encik Hisham, awak boleh berhenti dah ambil ubat-ubatan terlarang ni, sebab melihatkan awak terlalu cepat naik angin, baran dan mudah marah, itu adalah salah satu kesan ubat-ubatan ini yang kita ketahui”, kataku yang disambut dengan senyuman oleh mereka bertiga dan membuatkan aku tersenyum kembali, kerana lega tiada lagi insiden naik hantu oleh Encik Hisham ini.

Aku berjalan ke pintu wad dan terfikir, betapa mudahnya kita ini sebagai manusia untuk menuduh seseorang tanpa mengesahkan sesuatu perkara itu terlebih dahulu. Memang aku tahu, Encik Hisham ada kesilapannya di dalam kes ini, namun kesilapannya itu bukanlah seperti yang aku dan adiknya sangkakan.

Diagnosis ini semua akhirnya disahkan. Ujian darah menunjukkan kadar hormon testosteron yang sangat tinggi berada di dalam darah Anissa. Pakar kanak-kanak bersama dengan pakar dari unit endokrin bertungkus lumus merawat Anissa bagi menstabilkan hormonnya semula kepada normal.

Antibiotik dimulakan dan Alhamdulillah, Anissa mulai respon terhadap rawatan di mana jumlah sel darah putihnya mulai menurun ke paras yang normal, dan 4 hari kemudian, Anissa diberikan kebenara untuk pulang ke rumah memandangkan keadaannya yang sudah sihat seperti sediakala.

Kes ini memberi aku satu pengajaran yang amat bermakna dari banyak sudut dan menjadi satu batu loncatan untuk diriku meneruskan cita-cita untuk menumpukan pembelajaran untuk menjadi seorang pakar kanak-kanak.

Aku berasa sedikit bangga kerana terlibat dalam memberikan rawatan kepada pesakit ini, dan mana-mana rasa negatif terhadap kes ini, aku jadikan sebagai pengajaran bermakna buat diriku. Aku berharap, para pembaca juga merasakan perkara yang sama seperti yang aku rasa terutama bab tuduh-menuduh seseorang tanpa usul periksa.

TAMAT…

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *