Antara OCD dan Perfectionist II

Untuk part I, (https://iiumc.com/antara-ocd-dan-perfectionist/).

Terima kasih admin kerana menyiarkan artikel saya.

Terima kasih juga dengan rakan-rakan disini yang memberi pendapat.

Izinkan saya berkongsi bagaimana saya boleh berkahwin dengan suami saya. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Saya langsung tidak tahu menahu mengenai masalah ini memandangkan kami jarang “dating”. Kami pun tidak kenal lama sebelum memutuskan untuk berkahwin, menyebabkan saya langsung tidak dapat mengesan masalah ini.

Selepas mendapat anak pertama, masalah OCD semakin ketara, mungkin rutin hariannya berubah dengan kehadiran anak kami. Saya mencadangkan agar dia mendapat rawatan tetapi dia enggan.

Dengan kerjasama salah seorang sepupu, kami membuat helah dengan membawa dia mendapatkan rawatan secara Islam di sebuat tempat rawatan Islam di Bangi. Perawat memaklumkan bahawa masalah yang dihadapi oleh suami adalah was-was dan memberi cadangan beberapa amalan yang perlu dibuat tetapi seperti yang saya maklumkan sebelum ini dia hidup dalam penafian. Semua cadangan diabaikan.

Untuk menjawab persoalan-persoalan yang timbul sama ada OCD ini saya diagnos sendiri melalui google atau profesional. Untuk makluman, atas nasihat SIL suami pernah mendapat rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Semasa temujanji bersama doktor, saya diminta untuk ada bersama dengan suami kerana sokongan pasangan amat penting untuk mengatasi masalah OCD ini. Doktor mencadangkan untuk saya monitor setiap aktiviti dia yang berulang-ulang kali dan akan dibincangkan untuk temujanji seterusnya.

Sedihnya, setelah temujanji kedua dia enggan meneruskan rawatan walaupun rawatan yang diberikan ialah cognitive-behavioral therapy, tidak melibatkan sebarang ubat-ubatan. Masalah ini dibiarkan berlarutan sehingga beberapa tahun, sekali lagi atas pujukan dan nasihat sepupu, suami setuju untuk mendapatkan rawatan professional di hospital swasta.

Cuma kali ini, doktor beri preskripsi ubat kepada suami agar masalah untuk melakukan perkara berulang-ulang kali dapat dikawal. Malangnya, tidak sampai 2 bulan beliau menghentikan pengambilan ubat dengan alasan ubat tersebut menyebabkan motor reflex dia perlahan (lembab) dan enggan meneruskan rawatan sehingga kini.

Di dalam komen, ramai yang mempersoalkan bahawa bukankah OCD ini pembersih? Yang berada di depan saya tidak. Saya tidak pasti pula dengan pesakit-pesakit OCD yang lain. Yang saya nampak dan alami, pesakit OCD ini mementingkan kebersihan fizikalnya sahaja, tidak mahu mengotori dirinya sebab itu lah dia enggan menyentuh tong sampah kecuali memakai 2 sarung tangan dan di alas lagi dengan plastic sebelum menyentuh tong sampah.

Jika dia membasuh pinggan, dia akan lalukan pinggan kotor di air lalu supaya sisa makan jatuh dengan sendirinya tanpa dia sentuh, sedangkan itu sisa makanan dia. Untuk satu pinggan, dia perlukan 30-40 minit untuk bersihkan (dia basuh pinggan yang dia guna sahaja bila ada mood).

Selepas itu, membasuh pula tangannya berkali-kali kadang-kadang sehingga luka. Oh! Ye, bil air kami antara RM80 – RM150 sebulan, walaupun waktu siang tiada orang di rumah dan kami hanya berempat sahaja. Kami juga tinggal di negeri yang memberi air percuma untuk 20 meter padu pertama.

Jika ada anjing atau kucing melepas di depan rumah, saya lah orangnya yang membersihkan depan rumah, mengharapkan dia seperti menunggu kucing bertanduk.

OCD ini bukan perkara main-main sebab itu saya tidak suka ramai orang suka-suka mengaku yang mereka menghidapi OCD. OCD bukan sesuatu yang glamour dan bukan untuk dibanggakan. Anda boleh bangga jika anda perfectionist jika mahu, tapi tidak OCD.

Dengan OCD juga, saya pernah memandu ke hospital untuk melahirkan anak bongsu, sedangkan dia ada di rumah sibuk membersihkan diri. Dengan masalah OCD ini juga saya ditinggalkan berseorangan di hospital selepas mengalami komplikasi selepas bersalin dan bayi saya dihantar di wad NICU di hospital yang berlainan. Dia tidak bersama saya dan dia juga tidak bersama bayi kami.

Dengan OCD ini juga saya masuk ke dewan pembedahan untuk kali kedua selepas c-section akibat komplikasi ini tanpa pengetahuan dia. Ini gara-gara semua kejadian ini diluar rutin dan jangkaan dia, he made himself unavailable dan guna masa yang ada untuk bersihkan diri.

Dengan OCD ini juga saya hampir meninggalkan anak berumur 4 tahun keseorangan di rumah kerana saya terkejar-kejar untuk pergi berkerja dan menghantar anak-anak ke sekolah dan ke pusat asuhan. Betapa hectic kehidupan saya disebabkan suami yang OCD.

Hampir semua jemputan perkahwinan atau apa-apa majlis, kami sampai semasa khemah telah mula diturunkan. Entah berapa kali penerbangan terlepas kerana gagal sampai dalam masa yang ditetapkan.

Disebabkan OCD ini dia tidak dapat kekal berkerja, selalu lambat, mengambil masa yang lama untuk bersolat. Majikan tidak peduli selewat mana kita berkerja, tapi cukup peduli pukul berapa kita sampai ke ofis.

Hidup dengan pasangan OCD ini memenatkan dari segi tenaga dan emosi, kerugian masa dan juga kerugian wang ringgit. Dia juga penat kerana membuat banyak perkara berulang kali.

Kenapa saya masih bersama dia walau hampir 16 tahun berhadapan dengan masalah ini?
SIMPATI.

Itu lah jawapan saya. Seperti salah seorang yang komen mengatakan ramai wanita yang inginkan lelaki seperti dia. Ya, saya terpaksa bersetuju dengan kenyataan beliau tetapi hanya dia tanpa OCD.

Suami adalah lelaki konservatif yang menganggap kerja-kerja rumah adalah tugas isteri, tetapi dia juga bukan seorang yang cerewet. Tidak apa baju tak berlipat berhari-hari, tidak apa makan di kedai atau makan telur goreng dengan kicap, tidak apa rumah dibiarkan bersepah.

Cuma saya yang tidak sanggup melihat baju yang menimbun, rumah yang bersepah. Jika ingin hidup yang teratur saya perlu selesaikan sendiri. Alhamdulillah, anak-anak yang semakin membesar dan semakin boleh diharap. Tetapi biasalah budak-budak selagi tak diberi arahan tak lah dibuatnya.

Diingatkan lagi, dia seorang hoarder, saya pernah beberapa kali menyewa tong besar (yang orang buat renovation) untuk membuang barang-barang yang dikumpul. Banyak kali juga diambil kembali barang-barang yang sedia untuk dibuang. Sekarang ada timbunan baru pula di rumah.

Terdapat sisi baik suami menyebabkan wujud rasa simpati. Memang saya memandu sendiri ke hospital tetapi setiap kelahiran anak, dia sempat sampai untuk menemani saya di bilik pembedahan, memegang tangan saya tetapi selepas itu dia menghilang dan muncul sekejap-sekejap.

Dia sanggup menghantar makanan ke pejabat jika dapat tahu saya terlalu sibuk sampai tidak sempat membeli makanan. Sanggup ke hulu ke hilir menemani saya kemana-mana walaupun dia kepenatan.

Dia seorang yang amat berbudi bahasa dan menghormati orang tua-tua, sanggup kepenatan melayan ibu dan adik-adiknya kemana-mana setiap kali mereka datang bertandang. Tetapi disebabkan OCDnya entah berapa kali dibiarkan MIL saya menunggu dan menunggu bukan sejam dua, kadang-kadang dari pagi sampai ke petang. Pernah perancangan dibatalkan disebabkan dia terlalu lewat bersiap diri.

Dia seorang yang menjaga solatnya walaupun sering terlepas waktu kerana berwuduk terlalu lama. Pernah beberapa kali saya tinggalkan solat berjamaah dengannya kerana tidak sanggup menunggu dia berniat dan mengangkat takbir berbelas kali.

Dia juga amat penyayang dengan anak-anak tetapi dia juga banyak kali mengecewakan anak-anak dengan janji yang tidak ditunaikan, membahayakan keselamatan anak kerana pernah beberapa kali menyebabkan anak yang masih kecil berada di sekolah selepas jam 7 malam kerana terlalu lama di dalam bilik air.

Apa peranan keluarga mentua? Mereka tahu dia adalah masalah ini tetapi mereka tidak tahu sejauh mana masalah ini menganggu kehidupan kami. Pada awalnya ada mereka bertanya dan menasihati suami, tetapi melihat kehidupan kami berjalan seperti biasa mereka berhenti bertanya masalah ini. Saya pula berat mulut untuk mengadu, takut salah tanggapan, maklumlah saya ini orang luar, dia anak dan abang mereka.

Difikirkan balik, isteri-isteri lain bersaing dengan madu atau “girlfriend” si suami, tetapi saya bersaing dengan bilik air dan sinki. Tidak tahu siapa yang akan menang.

Atas rasa simpati inilah menyebabkan saya masih mengharap dan berdoa untuk dia berubah dan sudi mendapatkan rawatan. Sebab saya tahu, sukar untuk dia survive tanpa sesiapa di sisinya, ibunya pun sudah tua dan adik-beradik yang lain sudah ada keluarga dan masalah masing-masing.

Tetapi sampai bila, saya tidak pasti. Yang nyatanya saya tidak mahu hidup seperti ini di hari tua.

– Princess Consuelo Banana Hammock (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *