Terlebih dahulu terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan artikel saya. Disebabkan saya ini bukan penulis yang bagus, saya minta maaf jika tulisan saya agak tunggang langgang.
Artikel ini ditulis untuk menjawab artikel seorang isteri dan menantu bertajuk Antara taat dan tegas, (https://iiumc.com/antara-taat-
Untuk pengetahuan semua, saya tertarik untuk menjawab artikel ini kerana saya merasakan persamaan kisah hidup saya dengan suami puan Maisarah. Kiranya saya menulis ini untuk menjawab bagi pihak suami dia.
Untuk pengetahuan semua, saya seorang wanita pertengahan 30an, bekerjaya, sudah sedekad berumahtangga dan memiliki sepasang cahayanya.
Saya ada seorang mak seperti mak mertua puan Maisarah. Tetapi bukan sekadar mak tetapi hampir keseluruhan keluarga saya mempunyai nilai moral yang boleh dipersoalkan.
Walaupun lahir dalam keluarga Muslim, keluarga kami tiada sebarang amalan Islamik didalamnya. Sejak kecil saya boleh hitung dengan jari berapa kali mak dan ayah bersolat,
Bulan puasa agak berbeza bagi kami sebab kami sekeluarga kena makan sembunyi-sembunyi dirumah, saya cuma pernah dengar mak baca surah Al-lahab bila takut ada hantu masuk rumah.
Ayah tak pernah mengalunkan sebarang ayat Al-Quran sepanjang ingatan. Begitulah gambaran agama keluarga saya.
Jika bercakap soal aurat, mak saya berpakaian persis yang diceritakan oleh puan Maisarah, baik dari segi make up, pakaian seksi, nampak lurah mahupun rambut berwarna. Itu belum cerita soal akhlak dan moral mereka.
Mak mintak cerai dengan ayah selepas kantin curang dengan suami orang. Bercerai setelah 30 tahun berumahtangga.
Ya, mak curang ketika saya telah dewasa dan berkahwin. Ketika itu umur mak 46 dan ayah 62 tahun. Selepas bercerai dengan ayah, mak menjanda lagi sebanyak 3 kali dan baru-baru ni mak menikah lagi untuk kali ke 5.
Kakak dan abang juga tak kurang ‘hebatnya’, kakak nampaknya nak mengikut jejak langkah ibunya. Dah 3 kali menjanda, kini setelah hampir 3 teman lelaki ditinggalkannya, dia bakal berkahwin untuk kali ke 4. Abang pula tak pernah menceraikan isterinya.
Tapi dia ditinggalkan 2 isteri sebab tak tahan dengan perangai kaki pukul dia. Abang ada 2 anak luar nikah dengan kedua-dua bekas isterinya itu.
Sekarang abang tengah “chill” duduk serumah dengan perempuan lain. Lebih tepatnya, bersekedudukan dirumah mak saya.
Ayah saya pula? Dia sedang menghabiskan sisa-sisa usia emasnya dengan menonton program kegemarannya di telefon pintar miliknya.
Bagaimana penerimaan suami dan keluarga mertua? Suami saya pada awal perkahwinan tak ubah seperti Puan Maisarah.
Suami dilahirkan dalam keluarga yang solat 5 waktu, berpenampilan Islamik, pandai mengaji Al-Quran. Soal puasa pula lengkap puasa Ramadan disambung puasa enam, dilengkapi puasa Zulhijjah. Tarwiyah dan Arafah.
Jadi diawal perkahwinan kami suami memang mengalami “culture shock”. Lebih mendukacitakan suami mengalami penyakit mental sebelum perkahwinan dan bertambah buruk sekiranya berada dalam lingkungan keluarga saya.
Suami akan mengalami “panic attack” dan berasa sangat tidak selesa dengan keluarga saya. Tetapi sebagaimana mak mentua puan Maisarah yang melayan dia dengan baik. Keluarga saya juga melayan suami dengan baik dan tidak pernah ‘membuli’ suami saya.
Tetapi sebaliknya keluarga mertua yang nampak begitu “Islamik”, sering kali mengundang lara dihati saya. Mak mentua dan kakak-kakaknya begitu “judgemental” dengan keluarga saya.
Setiap kali bertemu dimana-mana kenduri, mak mentua dan kakak-kakaknya akan “rolling eyes” dan berbisik-bisik mengumpat keluarga saya.
Bagaimana saya tahu? Kerana mereka sering mengadu domba sehingga akhirnya akan ada salah seorang yang bercerita dengan saya.
Pada awal perkahwinan saya memang rasa derita. Rasa malu ada keluarga yang sebegitu dan rasa marah dengan suami dan keluarga mertua. Namun saya tak biarkan semuanya begitu sahaja.
Saya tidak taat membuta tuli kepada keluarga saya. Setiap kali saya nampak kesalahan keluarga saya, saya akan tegur mereka. Sehingga satu tahap mak saya akan menyembunyikan perbuatan salah dia dan bila saya dapat tahu, saya akan tegas menasihati dia.
Mak akan mengamuk sakan dan tak tegur saya hingga berbulan-bulan, tetapi saya tetap layan mak macam biasa. Saya pekakkan telinga dengar maki hamun mak.
Abang dan kakak pulak kalau dinasihatkan pasti akan bagi jawapan cliché “Kau tak payah jadi ustazah” dan “tunggu nanti anak beranak kau jadi macam kami baru kau tau”. Itulah makanan saya setiap kali menegur mereka.
Dengan keluarga mertua pula, saya amat berahsia dalam urusan keluarga saya, sebab saya tahu mereka bagaimana.
Bila mereka cuba mengorek dan mencari bahan untuk mengumpat keluarga saya, saya dengan tegas akan cakap “hal keluarga saya tak ada kena mengena dengan mak dan mak cik-mak cik semua”.
Bila dah dua tiga kali saya tegur mereka, mereka sudah tidak berani mengorek rahsia dari saya dan suami. Hubungan saya dan mentua biasa-biasa sahaja, saya tak rapatkan diri dengan mereka dan melayan mereka dengan penuh hormat. Itu sahaja.
Tentang suami pula, walaupun suami juga seorang judgemental, tetapi dia mempunyai satu sikap terpuji yang paling saya suka.
Dia tidak suka menyampai-nyampai apa yang dia lihat, nampak dan dengar. Jadi apa yang dia nampak tentang keburukan keluarga saya, semuanya dia simpan dalam diri dia sahaja.
Dia tak bercerita kepada keluarganya, sahabat-sahabat apatah lagi menulis confession seperti Puan Maisarah.
Saya kira jika suami menulis confession tentang keluarga saya, mungkin ramai yang menyuruh dia menceraikan saya. Kerana begitu gelapnya satu sisi dalam kehidupan saya yang tak mampu saya terangi dengan cahaya.
Di awal perkahwinan kami dulu saya sering berkecil hati bila suami buat muka tak selesa dirumah mak saya. Saya selalu marah bila suami ajak balik secepat mungkin.
Saya nak balik rumah keluarga saya setahun sekali pun payah (sebab jarak), tapi kena kerumah keluarga dia hampir setiap minggu tanpa gagal. Masa ni memang ‘ego’ hampir meranapkan rumahtangga kami. Tetapi ambil sikap melindungi semuanya.
Saya rasa saya melindungi keluarga saya dengan ‘menjaga aib’ mereka dihadapan keluarga mertua. Saya ‘melindungi’ rumahtangga saya dengan ‘menghalang’ keluarga saya serta keluarga mertua masuk campur dalam hal rumahtangga kami.
Saya juga tidak memasukkan suami dalam ‘whatsapps group’ keluarga saya sebab saya nak ‘melindungi’ dia dari mengetahui keburukan keluarga saya.
Saya fikir sayalah yang kena main peranan untuk melindungi. Dan Allah SWT jugalah sebaik-baik Pelindung bagi kami semua.
Saya selalu mendengar ceramah daripada ustaz, bahawa tidak berdosa kita dilahirkan dal keluarga seperti ini.
Allah SWT bukanlah membenci kita dengan melahirkan kita dalam keluarga seperti ini sebab akhirnya nanti kita akan dipersoalkan tentang urusan agama kita sendiri-sendiri.
Apa yang paling utama adalah ihsan kepada ibu bapa seperti ini dan banyakkan berdoa kepada Allah.
Saya masih ingat seorang ustaz menceritakan Sirah Rasulullah SAW dan bagaimana baginda begitu mahu pak cik yang disayangi baginda, Abu Talib memeluk Islam, tetapi hingga kehujung nyawanya dia tidak memeluk Islam.
Sedangkan Rasulullah SAW tidak mampu memberi hidayah kepada pak ciknya, apalah lagi saya hamba yang sangat hina ini. Tidaklah saya mampu memberi hidayah kepada mak dan keluarga saya melainkan dengan izin Allah SWT.
Allah SWT tidak menilai bagaimana permulaan seseorang itu, tetapi bagaimana pengakhiran diri kita. Sama ada khusnul khatimah atau suul khatimah.
Semoga Allah SWT memberikan hidayahnya kepada saya, puan Maisarah, suami-suami kami, ahli keluarga kami serta para pembaca sekalian. Amin ya Rabbal Alamin. Jazzakallah Khayr.
– Meera (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit