Aku seorang ibu kepada 3 orang anak. Mempunyai kerjaya yang stabil. Juga punyai suami yang amat baik lagi bertanggungjawab.
Masalahnya ialah dengan ibu dan bapa mertuaku (yang terpaksa ku gelarkan sebagai atuk & nenek dari neraka).
Sejak hari pertama perkahwinan lagi, aku dan suami sudah dipinta untuk tinggal bersama-sama dengan ibu dan bapa mertuaku. Suamiku hanya mempunyai dua beradik dan adiknya pula tinggal jauh di bandar M.
Oleh kerana itu ibu dan bapa mertuaku mendesak kami untuk tinggal bersama atas alasan rumah mereka sunyi dan terlalu besar untuk mereka berdua.
Untuk info ibu dan bapa mertuaku tinggal di sebuah rumah semi D yang mempunyai 6 bilik tidur dan 5 bilik air. Oleh kerana itu aku terpaksa bersetuju walaupun hatiku berat sebenarnya.
Pada mulanya kehidupan kami baik-baik sahaja. Tapi hari demi hari berlalu. Perangai sebenar ibu dan bapa mertuaku mula terserlah. Mereka sangat suka mendesak kami mengikuti setiap cara mereka.
Mereka juga sangat kuat mengongkong dan tidak menghormati privacy kami suami isteri.
Bayangkan, ada satu hari tu aku baru lepas mandi. Tiba-tiba tanpa ketuk pintu, dengan selamba ibu mertuaku masuk dalam bilikku dan boleh tengok jer aku berkemban tanpa rasa bersalah. Korang rasa??!!
Selain itu ibu mertuaku sangat memandang pada rupa. Aku harus akui, kulitku sedikit gelap dan tidak secerah kakakku.
Pada hari perkahwinanku, selepas makan beradap jiran-jiran ibu mertuaku terus datang bersalaman denganku. Salah seorang dari jiran itu sempat memujiku dan berkata ‘cantiknya pengantin’.
Cuba teka apa jawapan ibu mertuaku? Dengan selamba dia berkata, ‘alah cantik lagi kakak pengantin ni’. Bayangkan apa perasaan aku tika itu.
Aku sedar kakakku lagi cantik dariku tapi tak payahlah canangkan kuat-kuat begitu di depan orang ramai. Aku sudah mula kecil hati waktu itu tapi aku pendamkan saja dalam hati.
Ibu mertuaku juga sangat kuat cemburu. Dia langsung tak boleh terima kalau suamiku membelikan barang untukku.
Walhal suamiku tak pernah melupakan ibu mertuaku malah dia pernah membelikan barang kemas untuk ibu mertuaku. Ada sekali tu suamiku membelikanku gelang emas.
Bila ibu mertuaku dapat tahu, terus dia menyindir aku selama berhari-hari. Ibu mertuaku siap berkata, ‘mak ni barang kemas seurat pun abah kau tak pernah belikan, semuanya mak beli sendiri’.
Untuk info bapa mertuaku seorang yang agak berada. Punyai banyak hartanah (rumah/tanah).
Cuma yang aku perasan bapa mertuaku sangat berkira dengan mak mertuaku. Mungkin sebab itu mak mertuaku jadi kuat cemburu agaknya.
Yang pelik, mak mertuaku bukan setakat sakit hati kalau suamiku membelikan ku barang. Dia juga sakit hati kalau aku membelikan barang untuk ibu bapaku.
Walhal aku pakai duit sendiri kot. Bukan minta duit suami aku. Untuk info ibu bapaku jenis yang susah, bukannya jenis kaya-raya macam ibu & bapa mertuaku.
Pernah sekali dia tarik muka berhari-hari bila dapat tahu aku belikan sofa untuk ibu bapaku. Walhal suamiku dah membelikan sofa yang lagi besar untuk dia.
Satu lagi yang buat aku selalu terasa hati ialah ibu mertuaku suka mengutukku di belakangku. Aku tahu pun sebab aku pernah terdengar sendiri dia memperlekehkan tentang pakaianku yang tak trendy di depan adik iparku.
Masalah lebih besar mula timbul bila kami dah ada anak. Ibu & bapa mertuaku mula mendesak anak-anak kami untuk belajar 24 jam sehari. Langsung tak boleh nak bawa kawan-kawan datang rumah.
Aku rasa sedih bila anak pempuanku mengadu yang kawannya di usir di depan rumah. Walhal kawan anakku (perempuan ya) datang sekejap untuk pulangkan buku dan bersembang sekejap.
Tapi bapa mertuaku terus berkata, ‘eh pergi balik pergi balik’. Anak-anakku mula rasa tertekan dan tidak seronok berada di rumah. Sebenarnya dulu anak pertama dan anak keduaku dijaga oleh ibu bapaku.
Anak-anakku berkata yang mereka lebih suka dijaga oleh ibu bapaku kerana ibu bapaku jenis penyayang dan tidak mengongkong. Bila ibu & bapa mertuaku pencen, mereka mendesak untuk menjaga anak kami. Kami terpaksa akur.
Apabila aku melahirkan anak ketiga, aku tak nak menyusahkan ibu mertuaku. Maka aku mengupah seorang pengasuh untuk datang ke rumah.
Bila usia anak ketigaku mencecah 8 bulan, ibu mertuaku mengarahkan pengasuhku untuk berhenti. Ibu mertuaku siap suruh pengasuh bagitahuku yang pengasuhku yang nak berhenti, bukan disuruh oleh ibu mertuaku.
Aku cuma tahu beberapa bulan kemudian selepas pengasuhku memaklumkan padaku dan minta maaf. Aku pun bingung. Kenapa ibu mertuaku sanggup berbohong sampai macam ni sekali?
Aku dapat rasakan dia nak anak ketigaku lebih manja dengannya. Sebab anak pertama dan keduaku lebih manja dengan ibu bapaku.
Kemuncak pada kisah ini akhirnya berlaku. Oleh kerana PKP tempohari, aku memang bekerja dari rumah.
Ibu & bapa mertuaku agak tidak berpuas hati kerana anak-anak sentiasa berkepit denganku. Biasalah kan, kalau dah ibu ada di rumah, pastilah mereka akan melekap denganku.
Pagi itu aku, suami dan anak-anak keluar hingga ke petang untuk membeli barang sekolah. Kami sampai di rumah kira-kira pukul 6 petang.
Anak lelakiku baru saja nak pegang telefonnya apabila tiba-tiba bapa mertuaku datang dan mengherdik anakku. Aku terus memanggil anakku masuk ke dalam bilik kami.
Suamiku yang berada dalam bilik kami pelik mendengar bapa mertuaku bising-bising di luar. Aku memaklumkan pada suamiku apa yang telah berlaku.
Suamiku terus bersemuka dengan ibu mertuaku dan mempertikaikan tindakan bapa mertuaku. Malam itu aku dan suamiku turun ke bawah.
Suamiku terus menegur bapa mertuaku dengan lembut, ‘abah nak makan apa-apa ke? kami nak keluar beli makanan ni’. Tiba-tiba bapa mertuaku melenting dan terus mengherdik aku. Dia mengatakan aku tiada hak untuk mempertahankan anak aku sendiri. Korang rasa??
Kemudian suami aku membela aku. Inilah kemuncak segala kemuncak. Bapa mertuaku menerpa dan cuba memukul aku!! Mujur suamiku cepat-cepat menarikku ke belakang badannya.
Kemudian bapa mertuaku beria-ria menghalauku dari rumah. Ibu mertuaku juga beria-ria supaya kami pindah agar emosi anak kami tidak terganggu.
Aku sangat terkejut. Bapaku sendiri tidak pernah angkat tangan begitu padaku. Bapaku juga sekalinpun tak pernah memukul ibuku. Ini bapa mertuaku pula cuba memukul aku??
Untuk info bapa mertuaku memang selalu memukul ibu mertuaku. Bapa mertuaku juga jenis yang baran.
Selepas kejadian itu aku dan suami berbincang dan mengambil keputusan untuk keluar dari situ. Tapi….tiba-tiba ibu mertuaku menghalang. Ibu mertuaku siap cakap, ‘alah malam tu benda kecik jer, abah cuma bagi nasihat jer’.
Kalau sampai nak pukul tu dia cakap benda kecik, korang rasa??? Suamiku bertegas juga mahu keluar tapi ibu mertuaku terus mengugut.
Kalau kami nak keluar, dia pun nak keluar dan jual rumah itu dan langsung tak nak jaga anak kami sebab ibu & bapa mertuaku tak nak maruah mereka tercalar.
Tiba-tiba pula aku dapat memo dari pejabat yang mengarahkan untuk kembali bekerja seperti biasa. Untuk mencari pengasuh dalam waktu terdekat memang tak sempat. Makanya kami sekeluarga terpaksa bertahan duduk di sini dulu.
Ibu mertuaku juga mendesak untuk aku memaafkan bapa mertuaku dan kembali mesra macam biasa sebab pada ibu mertuaku, perbuatan bapa mertuaku tu benda kecil saja.
Aku berkata pada suamiku, maaf, buat masa ni hati aku masih terluka dan sukar untuk aku memaafkan perbuatan bapa mertuaku. Korang doakanlah agar aku, suami dan anak2 diberikan jalan yang terbaik untuk menghadapi kesulitan ini. Aamiin2 yra.
– Menantu Tak Sempurna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit