Azila, Wanita Sempurna Di Bumi

Assalamualaikum WBT, terima kasih kalau kisah aku disiarkan di laman IIUM Confession. Maaf kalau tulisan ini sedikit panjang.

Aku Amir, berumur sekitar 40an dan telah berkahwin dengan wanita idaman aku, senang kata crush aku sejak zaman matrikulasi. Usia perkahwinan kami telah berusia 19 tahun.

Cerita aku mula mengenali crush aku sangat comel aku rasa sebab aku ni seorang extrovert manakala isteri aku seorang yang introvert.

Ketika awal aku memasuki matrikulasi, aku merupakan seorang pelajar yang sangat aktif dan menjadikan aku ini sangat popular dalam kalangan pelajar wanita di sana.

Aku menyertai band muzik matrikulasi, menyertai sukan hoki ketika karnival sukan matrikulasi, menjadi Majlis Perwakilan Pelajar dan aku antara imam masjid di matrikulasi ini memandangkan aku merupakan bekas juara tilawah al-Quran ketika di sekolah dahulu.

Tahap popurariti aku ini sampai aku terima banyak surat cinta dari ramai wanita sehingga aku tak larat nak baca.

Macam-macam ayat dalam surat tu, tetapi aku langsung tidak berminat untuk mengenali wanita pada ketika itu.

Ada yang ajak bergambar, tetapi aku tolak secara baik-baik saja. Ada yang kirim salam melalui kawan lelaki dan ada juga yang approach depan-depan, aku hanya tersenyum tanpa perasaan suka. 

Nak dijadikan cerita, pada cuti pertengahan semester, Majlis Perwakilan Pelajar dan Organisasi Pusat Islam dijemput untuk ke satu kem matrikulasi di Matrikulasi Kedah.

3 hari 2 malam kami berada di sana untuk menyertai sesi Team Building.

Ketika di sana, mata aku tertumpu kepada seorang wanita ini, rupanya sangat ayu, bertudung litup cantik dan senyumannya buatkan aku tersenyum sekali.

Ketika aku menulis ni pun aku masih tersenyum bila aku teringat senyumannya itu.

Masa kami berada dalam dewan, kebetulan kawan aku photographer, jadi aku pesan kepadanya untuk ambil gambar wanita ini banyak-banyak supaya nanti aku boleh simpan sebagai kenangan.

Aku sangkakan wanita ayu itu wakil dari matrikulasi lain, rupanya dia sama dengan matrikulasi aku di mana dia menyertai kem tersebut atas tiket Pusat Islam. Aku pun tersenyum lebar, mungkin ada peluang datang untuk aku pergi lebih jauh dengannya.

Kebetulan kawan aku mengenali salah seorang kawan perempuan tersebut, aku minta dia tanyakan nama, jadi aku tahu, Namanya Azila.

Habis sahaja kem tersebut, kisah itu hilang begitu sahaja memandangkan Azila berlainan kos dengan aku, aku ambil jurusan perakaunan, Azila ambil jurusan sains modul 2.

Dipendekkan cerita, aku minta nombor telefon Azila dari salah seorang kawan sekelasnya. Terketar-ketar aku menghantar mesej, aku luahkan kepada Azila yang aku ingin mengenalinya secara lebih lanjut.

Namun, Azila tak baca mesej aku, berkali-kali aku hantar bagi salam, lebih 20 kali setiap hari aku menghantar salam tetapi tidak dibalasnya. Nombor telefon dah betul, tetapi orangnya tak jawab.

Pada satu malam, aku menghantar mesej ,

“Assalamualaikum Azila, Amir minta maaf kalau mengganggu Azila selama ini, Amir rasa Azila tidak berminat untuk mengenali Amir”. 

Aku terima notification “1 new message” dan itu adalah dari Azila.

“Ok”. Aku baca mesej dari Azila.

Hati aku waktu itu memang berkecai oleh kerana selama ini mengharapkan Azila berminat dengan aku oleh kerana ramai wanita sukakan aku, aku sangkakan Azila berminat dengan aku, tetapi sangkaan aku salah. Aku berputus asa untuk mengenali Azila.

Pada akhir matrikulasi ketika study week, aku bersama-sama rakan aku memang akan ke perpustakaan untuk study. Ketika itu aku nampak Azila juga study di library.

Buat kali terakhir, aku mesej Azila,

“Azila, memandangkan mungkin kita tidak akan berjumpa lagi, boleh tak Amir nak request untuk bergambar? ”.

Aku beranikan diri untuk tanya Azila melalui mesej. Dibalasnya Azila,

“Dekat mana?”. 

Aku waktu itu hampir menangis kegembiraan bila Azila menerima tawaran aku untuk bergambar.

Sempat lah kami bergambar 2 kali, ketika study week dan juga ketika hari akhir matrikulasi. Memang susah untuk dapatkan Azila, memandangkan beliau ini seorang yang introvert dan pemalu.

Setahun selepas aku cuba untuk dapatkan Azila, akhirnya Azila terima cinta aku dan kami bercinta jarak jauh oleh kerana kami berada di universiti berbeza.

Setelah aku mengenali Azila, baru aku kenal sisi comel beliau.

Beliau sangat penyayang, apa-apa hal Azila akan call aku walaupun aku tengah tidur untuk ceritakan apa yang berlaku. Beliau tak ramai kawan, aku adalah kawan baik, aku adalah teman lelakinya.

Kalau kereta Azila rosak, Azila call aku, kalau Azila tak siap assignment, Azila call aku dan semua perkara berlaku dalam hidupnya, Azila akan beritahu aku. Comel sangat. Macam mana lah aku tak jatuh cinta kat Azila ni.

Azila juga garang, banyak benda yang Azila tak suka tentang perkara yang aku buat, Azila akan marah dan marah Azila pun buatkan aku jatuh cinta sebab nampak Azila ni seorang yang sangat caring.

Aku rasa ketika Azila marah pun, aku akan tersenyum melihat telatah Azila sampai Azila tak jadi nak marah aku. Yang paling penting, Azila ni seorang yang sangat sopan.

Ketika aku bawa Azila jumpa dengan keluarga aku, semua ahli keluarga aku memang setuju untuk satukan aku dengan Azila oleh kerana Azila ini seorang yang lemah lembut, pandai ambil hati keluarga aku dan kakak aku boleh berkawan baik dengan Azila.

Ketika aku berjumpa dengan keluarganya, keluarga Azila buatkan aku jatuh cinta dengan keluarganya oleh kerana layanan baik maknya terhadap aku seperti anak sendiri.

Sikap keluarga Azila pada ketika itu membuatkan aku ingin cepat-cepat berkahwin dengannya.

Tiba masa ketika kami berusia 26 tahun, aku sah menjadi suami kepada Azila. Aku berjanji kepada Azila untuk menjaganya sebaik mungkin. Tak mungkin aku nak suruh princess buat kerja-kerja yang memenatkannya.

Basuh baju, lipat baju, memasak, kemas rumah, itu semua aku yang buat pada awalnya. Tetapi Azila tak bagi aku buat kerja rumah oleh sebab aku kerja pun dah penat, jadi kami saling bertolak ansur dalam hal itu.

Akaun bank aku, semua Azila tahu kata kuncinya kerana aku bagi Azila jaga kewangan keluarga kami walaupun aku kerja dalam bidang kewangan tetapi Azila ini lebih pandai menjaga wang sebab beliau datang dari keluarga bisnes.

Setiap bulan, kami bergilir-gilir untuk pulang ke rumah keluarga. Bulan ini kami akan pulang ke rumah keluarga aku, manakala bulan depan kami akan pulang ke rumah Azila.

Kami kedua-duanya berjanji untuk menjaga keluarga kami sebaik mungkin dan kami sentiasa diziarahi oleh keluarga masing-masing dan pelawa mereka untuk tidur di rumah kami.

Inilah yang kami sentiasa harapkan, dapat mewujudkan keluarga yang Sakinah dan Rahmah di sisi Allah SWT.

Alhamdulillah, kami sekarang ada 3 orang anak yang muka ayu macam mak dia. Dua orang lelaki dan seorang lagi perempuan. Aku bersyukur diberikan isteri yang baik.

Setiap hari aku pulang dari kerja, aku senyum melihatnya oleh kerana keayuannya tetap ada dari hari pertama aku mengenalinya.

Terima kasih Crush!

– Amir (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. crush sy zaman matrik tapi tak confess lagi sebab unur baru 22, harap dapat ending cenni. aamiin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *