Bagaimana Raya Kalian?

Kurang lebih 100 hari lagi kita bakal menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan Mac 2025 nanti.

Setiap kali menjelang Syawal, saban tahun, saya tercari-cari makna raya itu.

Sewaktu kecil, alangkah bahagianya kita menanti ketibaan hari raya. Bahkan suasana bulan Ramadhan di kampung rumah atuk nenek itu sendiri pun cukup bahagia.

Suasana malam raya, membakar lemang dan memasak rendang. Merengek dan malas apabila disuruh untuk menukar sarung kusyen sofa kayu, menukar langsir.

Mulalah nenek dan atuk kita keluarkan karpet mahal mereka dari gulungan, membasuh bekas kuih raya dan sebagainya.

Keriuhan memasang sumbu pelita, pelita tin, pelita buluh dan juga pelita plastik. Semuanya sempat dirasai. Tanglung warna warni, lilin dan mercun pop pop.

Itu dulu, semasa riang dan tidak gusar memikirkan hal-hal berat kelangsungan hidup. Bahagia.

Balik ke kampung halaman nenek dan atuk belah ayah. Beraya bersama sanak saudara. Indah. Hanya ada atuk nenek sebelah ayah.

Atuk dan tok dan juga mama dah meninggal semasa saya masih kecil. Memori bersama mama atuk dan tok hanya samar-samar.

Kini (2024) yang tinggal hanyalah ibu tiri dan juga 4 adik beradik (sama ayah, lain ibu). Tak bergaduh, tapi tidak rapat. Kompleks untuk diulas.

Zaman sekolah menengah banyak di asrama. Balik bila dibenarkan pihak sekolah. Beraya juga di kampung halaman ibu tiri, meriah ramai sanak saudara.

Namun, jauh di sudut hati, ada terasa lompong dan ada juga rasa seperti orang luar bukan keluarga. Makin membesar, makin tahu bawa diri dan cuba buat ayah tidak rasa berbelah bahagi.

Suram dan hambarnya hari raya itu makin dirasakan sejak zaman universiti.

Sejak itu, jarang balik beraya ke kampung ibu tiri. Hanya pulang ke kampung atuk nenek (belah ayah). Itupun tanpa ayah. Hanya menumpang riuh rendah sepupu sepapat dan jugak ibu saudara ayah saudara. Berlarutan keadaan ini sehingga atuk nenek meninggal.

Masuk zaman pekerjaan, lagi la mengambil peluang menawarkan diri untuk bekerja di malam raya, pagi raya. Ini kerana, nak balik ke kampung sudah rasa janggal. Atuk dan nenek meninggal pada tahun yang sama. Cuma berjarak 11 bulan.

Masuk zaman pernikahan. Ditakdirkan pula bernikah dengan suami yang yatim piatu juga la, tidak berpeluang memiliki ibu bapa mertua. Sedihnya. Tak merasa lagi balik kampung beraya. Kakak dan abang ipar semua jauh-jauh.

Kini, masuk zaman sudah punya anak berumur 4 tahun lebih. Dah pandai bertanya apa raya tu, nak balik kampung, nak beraya, nak main dan sebagainya. Sempat bawa anak saya beraya bersama ayah di kampung saya.

Namun, lebih merobek hati, sang ayah yang dikasihi dicintai sudah menghadap ilahi selepas raya haji 2024 baru-baru ini. Remuk redam perasaan. Sekarang, kami suami isteri cuba mencari makna raya itu. Pilu. Pilu sangat.

Nak balik ke kampung halaman ibu tiri, terasa jauh sekali.

Setelah ayah pergi, ibu tiri dan adik-adik makin membawa diri. Rumah bertukar kunci, nak balik rumah bawa cucu seperti kebiasaan semasa ayah masih ada, sekarang kena minta izin dan bagitau jika nak balik.

Dah dua kali percubaan nak balik rumah ayah, tak dapat atas alasan mereka di luar kawasan.

Sudahnya, balik ke negeri tempat membesar tu, tempat jatuh bangun saya tu, melawat kubur ayah tu kami terpaksa sewa homestay atau hotel. Walhal ada rumah ayah (rumah saya juga, rumah kami) di situ.

Nak balik beraya ke kampung halaman ibu tiri untuk memaknakan hari raya kepada anak ini, macam mustahil. Semakin jauh adalah.

Nak balik rumah arwah ayah, mustahil juga.

Nak balik rumah atuk nenek, tiada ibu atau bapa saudara yang dah nak balik ke situ dah. Masing-masing ada keluarga masing-masing.

Bagaimana raya kalian? Ada yang bernasib sama? Boleh kongsikan macam mana nak hadapi? Boleh kongsikan macam mana nak membahagiakan anak kecil ini, dan juga jiwa kecil (inner child) saya.

Terima kasih.

– Kemboja Rastali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. saya seorang ibu tiri juga, ada 3 anak tiri, 2 anak kandung, isteri pertama suami meninggal sewaktu buat umrah, gap umur saya dengan anak2 tiri agak dekat, tapi saya sayang mereka.
    Cuma bila 2 dari mereka dah kahwin tinggallah seorang saja anak dara belum kahwin. Saya faham perasaan awak, sebab saya pun ada ibu bapa, ada anak2.. sunyi bila keluarga makin berjauhan.. Awak cubalah sekali je join balik kampung ibu tiri awak.. Mungkin dia pun rindukan semua anak2 bersama2 dia..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *