Bahagia Itu Di Hati Atau Di Harta

Assalamualaikum semua… Salam sejahtera.

Terima kasih admin jika sudi pilih karangan ini untuk disiarkan mungkin ada yang boleh hadam apa yang saya renungkan..

Sering terbaca di sini masalah keluarga berpunca daripada masalah kewangan..

Bersyukur mereka yang sering dicukupkan dan mendapat rezeki yang banyak kemudian mampu bercuti atau membeli barangan mewah..

Bertambah keberkatan jika rezeki itu dikongsi bersama sebab ramai orang ternama ada yayasan kebajikan atau infak yang besar kepada tahfiz.

Jalan ke Syurga ni banyak… Ada yang mampu bersedekah, ada yang mampu solat malam, ada yang mampu puasa, ada yang mampu jaga orang uzur, ada yang mampu bersabar dengan masalah..

Saya ni suka merenung.. Contoh memikirkan kenapa seseorang itu mendapat kematian yang baik seperti husnul khatimah. Cara pergi yang mudah atau dalam keadaan ibadah yang dianggap syahid. Kematian yang dicemburui..

Saya ada seorang nenek saudara.. dia meninggal semasa membuat rawatan hemodialysis. Hari Jumaat, dalam keadaan puasa Ramadan dan tidur.

Arwah jarang ke masjid tapi sangat rajin membantu orang kenduri. Dialah yang paling awal dan akhir hadir. Semasa perkahwinan kakak dia tidur di rumah dan solat awal waktu. Rajin sangat memasak mengemas.

Keluarga dia biasa. Anak anak tak bertudung, ada yang dadah, suami jarang ada…

Jadi masa hidup saya anggap dia ni biasa, tapi bila kematiannya saya rasa seperti saat yang baik dan mudah, saya pun fikir apa redha Allah kepadanya.

Saya menilai dia ni jarang nak sembang hal orang, biasanya makcik rewang ni suka membawang, dia tak. Dia suka bercakap hal biasa di dapur.

Tapi kesungguhan dia memasak nak bagi orang makan tak terlawan. Dia ikhlas kalau raya datang ke rumah nenek saya akan bawa banyak makanan yang dimasak.

Saya bab masak ni kalah. Moga Allah bagi kelebihan lain untuk Allah redha.

Dia rajin tolong orang dengan ikhlas, beri makan yang sedap, tak suka cerita hal orang, orang nak mengata keluarga dia sabar… Sabar dia tulah yang banyak pahala. Termasuk dia sangat baik menjaga moyang yang sudah sangat uzur.

Semua beradik yang lain dah mula marahkan moyang yang dah nyanyuk tapi dia sabar tak marah layan apa yang dia nak semampunya.

Sehingga Allah bagi dia sakit dan dia sabar… Sabar yang menghapus dosa… Yang akhirnya keluarga redha Allah redha.

Bila meninggal dunia… Benda yang paling bahagia bila mendapat redha keluarga atau dimaafkan semua.. Jika isteri meninggal dunia dan suami redha maka Syurga buatnya.

Untuk jadi taat sepenuhnya bukan mudah sangatlah penting suami faham dan redha agar mudah urusan seterusnya..

Begitu juga jika ada kematian seorang suami atau ayah… Adakah anak isteri itu sedih merindu atau lega tak menyakitkan lagi… Beza kiriman Syurga atau Neraka.

Benarkah harta dunia ni sebagai bukti cinta dan bahagia… Tanpanya hidup derita kepiluan… Kenapa ada orang yang dah sangat kaya boleh menjadi murung membunuh diri, apa yang tiada, ketenangan.

Sebagai Muslim, ketenangan kita bila boleh taat perintah Allah, berbuat baik sesama keluarga, hati bersih tenang dengan mengingati Allah SWT.

Orang yang bijak adalah yang orang yang banyak mengingati mati dan bersedia ke arahnya. Benda yang paling pasti mati. Namun sungguh saya juga belum bersedia dan takut kehilangan insan tersayang.

Melihat kisah Muslim Gaza kini, hati bagai disiat.. hanya mampu melihat dan mendoakan… Allah ampuni kami.

Lihatlah kekejaman puak zionis Israel dengan bangga menembak, bom kepada orang awam yang dilihat pengganas. Anak kecil itu dirasakan pengganas beribu dah terkorban..

Rumah dihancurkan, dengan tabah mereka mencari mayat atau mangsa untuk diselamatkan, yang lahir dari lidah mereka kalimah tauhid, tinggi kesabaran dan keimanan mereka.

Mereka mencari perlindungan di hospital atau sekolah kerana masjid juga hancur namun masih dihujani bom dan peluru mencederakan dengan teruk…

Sangat banyak jika mahu membicarakan tentang kesengsaraan mereka. Jika nak dibandingkan dengan ujian kita sangatlah kecil, namun kesabaran kita bagai terbatas, tak mampu nak sabar rasanya jika berlarutan kesulitan.

Kini, mereka yang dulunya ada rumah ada negara bagai dihalau dengan cara hina dan jahat. Sekatan kepada air, api membuatkan mereka kembali hidup susah. Adakah mereka meratap marahkan Tuhan. Mereka masih bersyukur!

Mereka gunakan apa yang ada. Duduk dalam khemah yang bocor, memasak gunakan dapur kayu, tiada lagi dapur tiada lagi peti sejuk atau mesin basuh…

Sabar dengan ujian berat kehilangan banyak kemudahan dengan kecederaan emosi yang sangat trauma melihat kematian dan kemusnahan. Mereka masih mampu hidup dengan rahmat Allah.

Hidup kita ni mahukan keberkatan dan rahmat Allah. Tak kira kaya atau miskin, ketenangan itu ada di hati. Hati yang tenang walaupun mendapat tentangan yakin bahawa janji Allah itu pasti.

Dunia ini bagaikan neraka bagi yang beriman kerana ada hukum larangan dan bagaikan Syurga bagi yang kafir kerana mereka merasakan berkuasa dan buat apa saja. Sedangkan yang tak beriman tiadalah Syurga di kehidupan abadi.

Inilah kekuatan mereka di Ghazah bahawa kematian mereka kematian yang diredhai, syahid, kerana ada mayat yang ditunjukkan harum dan tersenyum…

Jika ada yang hancur hangus Allah lebih tahu, yang baik beriman pastinya akan dihidupkan kembali dengan lebih baik.

Isu Palastine bukan sekadar isu agama tapi kemanusiaan. Wajarkah perbuatan mereka.

Maka kita ini…. Sabar ya. Syukur ya. Gunakan akal yang Allah beri dengan baik dan hikmah. Semoga bahagia dan tenang.

– Angin Lalu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *