Assalammualaikum. Terima kasih admin sebab sudi terima luahan hati ini. Nama aku Ira. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil yang bijak. Aku hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa.
Perkahwinan kami nampak bahagia didepan umum. Suami seorang yang sangat bertanggungjawab. Semua kelengkapan kami serba sederhana. Tidak terlalu mewah. Tetapi cukup seadanya.
Aku adalah seorang isteri yang meletakkan sepenuh kepercayaanku pada sang suami. Dari awal perkenalan sehinggalah ke alam perkahwinan, aku tidak pernah mengongkong suami, tidak pernah cek privasi ( handphone ) suami.
Di usia perkahwinan yang masih baru, kami diuji dugaan dan ujian. Hati isteri mana yang tidak rapuh bila terbukti suami yang dipercayai sanggup melakukan perkara yang tidak senonoh tanpa pengetahuannya.
Malam itu terjadinya perbalahan antara kami. Aku tunjukkan bukti yang ku terima dari kiriman orang yang tidak ku kenali.
Aku bertanya, adakah dia pernah melakukan perkara tidak senonoh di belakangku? Adakah dia sembunyikan apa apa tanpa pengetahuanku?
Dia menjawab TIDAK. Aku melihatnya dengan linangan air mata. Tidak dapat ku bendung rasa amarah, pedih dan sakit hati ini. Lalu, aku tunjukkan buktinya.
Dia jadi tidak tentu arah dan terus keluar rumah. Selang beberapa minit, dia masuk semula dan meminta maaf. Katanya, itu perkara lama.
Aku terima kata maaf darinya dan memberinya peluang kedua. Sikap suami berubah dan sentiasa ada dirumah. Luangkan masa dengan anak. Kawan baiknya juga jarang datang.
Selepas itu, aku jadi seorang PARANOID dengan tingkah laku suami. Aku cuba cek privasi suami. Aku jumpa nota lama. Nota yang baru deleted.
Ada beberapa nota yang menjadi tanda tanya, antaranya nota untuk kekasihku. Puas aku fikir untuk siapa.
Suami ada seorang sahabat baik lelaki dari lepasan spm lagi. Berkawan baik sehinggalah sekarang. Yang menjadi tanda tanya ialah setiap perjalanan hidup suami. Kawan baiknya selalu ada.
Bukan aku terlalu berfikiran negatif. Tetapi bila baca nota dan hubungan baik diaorang, seakan mereka ada sesuatu yang disembunyikan.
Dari habis belajar lagi. Mereka sering bersama sehingga kami sudah berkahwin dan berpindah. Kawan baiknya juga sama. Mereka juga satu tempat bekerja.
Sikap suami sebelum bergaduh, memang sangat drastik. Kami jarang berkomunikasi dengan baik. Hanya buat hal masing- masing.
Aku juga sering dihantar balik ke kampung. Kadang sehingga 2 minggu. Dalam sebulan mesti ada balik. Mulanya aku tidak perasan, dan hanya berfikir mungkin suami ingin aku ubat kerinduan di kampung.
Lepas apa yang jadi. Aku lebih peka. Aku elakkan untuk pulang ke kampung. Suami mula bersuara dia bosan dikongkong. Katanya aku suka amik tahu apa yang dia buat. Cek privasi dia. Dia jadi seorang pemarah. Kami kerap bergaduh.
Ada sekali aku menuduhnya dia ada hubungankah dengan kawan baiknya. Dia hanya menidakkan dan jelaskan semuanya. Tapi aku percaya dengan gerak hati aku.
Aku cuba bertenang, positifkan diri. Aku menghubungi kawan baiknya. Aku meminta maaf atas tuduhan aku. Dan kami berbaik.
Suami masih protes dan menyalahkan aku kerana aku merosakkan hubungan baik mereka selama ini. Dan katanya kawan baiknya ingin jauhkan diri.
Kawan baiknya sudah meletakkan jawatan. Tetapi dalam masa yang sama, mereka masih berhubung antara satu sama lain. Kawan baiknya juga duduk dekat dengan tempat tinggal kami.
Aku sudah tidak cek privasi suami. Segala socmed suami aku tidak amik tahu lagi kerana aku tidak mahu kami berbalah. Walaupun aku yakin ada sesuatu antara mereka.
Aku hanya pejamkan mata. Aku tidak tahu sampai bila akan bertahan. Puas aku pujuk hati ini. Adakah aku terlalu kejam? Apa kurangnya aku?
Bukan aku tidak menjalankan tanggungjawabku dengan baik, malah aku selalu beri yang terbaik. Masih adakah kawan baik seperti itu? Kawan baiknya itu masih bujang.
– Ira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit