Bantu Saya Berdamai Dengan Takdir

Assalamualaikum semua, disini saya memerlukan pendapat dan cadangan pembaca yang pernah berada didalam situasi saya.

Tujuan post ni bukanlah untuk menyebar kebencian tetapi untuk saya yakin menjalani takdir yang baru, yang saya tahu perancangan Allah itu lebih baik dari seisi alam.

Pada hujung tahun lepas, suami saya diberi rezeki yang baik dan memerlukan kami berpindah ke negeri yang lain. Pada ketika itu juga saya seorang surirumah semenjak PKP 1.0 tetapi mempunyai perniagaan kek kecil-kecilan.

Sambutan perniagaan saya sangat memberangsangkan dari kalangan komuniti setempat. Setiap bulan jika konsisten saya mampu meraih sekadar 2-3k.

Ketika menimbang tara keputusan tawaran kerja suami yang baru, nampaknya saya harus berhenti berniaga jika pindah ke sana kerana kawasan yang bakal kami diami ialah kawasan kampung.

Suami juga memujuk saya bahawa dengan gaji yang baru, saya tidak perlu berniaga lagi cukup sahaja duduk dirumah menjaga keperluan dan mengurus anak.

Untuk pengetahuan, saya berniaga bukan untuk topap gaji suami tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri seperti beli handbag, skincare, beli mainan, baju anak, saving sikit-sikit.

Komitmen bulanan saya pula hanyalah sekadar ptptn. Rumah dan kereta telah suami sediakan siap-siap pada awal perkahwinan.

Maka berhijrahlah kami sekeluarga ke negeri yang baru ini. Beberapa minggu disini, Allah Maha Baik beri lagi rezeki yang bernilai iaitu kandungan kedua.

Kehidupan disini berjalan seperti biasa sehinggalah pada bulan kedua, babah (ayah mertua) disahkan menghidapi penyakit kronik.

Masuk bulan ketiga, penyakit kronik tersebut disahkan sebagai rare cancer. Bermula saat itu, seminggu sekali atau dua minggu sekali kami berulang dari selatan ke kampung halaman di utara.

Perjalanan ulang alik tersebut semestinya melibatkan kos, paling minimum RM300 belum termasuk hal makan minum dan hal lain. Perkara ni adalah perkara yang sensitif untuk diperkatakan kerana pada akhirnya kami akan dicop sebagai berkira.

Saya yakinkan suami, ini semua ujian dan rezeki Allah nak bagi, malah ini juga peluang suami menyantuni babah selama yang ada. Hampir setiap hari ada sahaja yang suami order dari grabfood untuk memenuhi selera babah selama di hospital.

Alhamdulillah, Allah bagi peluang 3 bulan untuk suami berbakti dan memenuhi kehendak babah walau pada jarak jauh. Babah meninggal dunia setelah bertarung sakit dan meninggalkan ibu, suami dan adik lelaki yang masih bersekolah.

Selama episod babah sakit, saya yang sedang mengandung ini juga turut berganti dengan suami berulang-alik menjaga babah.

Keinginan untuk membeli barangan baby secara sikit-sikit saya diamkan kerana faham bajet suami tiris dan perlu berbagi dengan keluarganya. Mana yang boleh guna duit saya dulu, saya dahulukan.

Selepas babah pergi, keluarga suami especially ibu berhadapan dengan masalah kewangan kerana arwah baba tidak meninggalkan duit tunai mahupun simpanan.

Oleh kerana semasa hayat arwah baba seorang mekanik, jadi banyak barangan bengkel yang kami jual untuk menambah simpanan ibu.

Semasa babah hidup dulu, konsep kewangan babah tiada istilah saving 2,3 bulan, kalau bulan ni dapat untung 5-6k maka amaun itulah yang akan diguna dan dihabiskan. Nanti bulan depan tunggu keuntungan yang lain.

Oleh sebab tu jugak ibu menjadi terbiasa dengan cara perbelanjaan macam tu. Bil telefon mereka berdua guna pakej yang paling mahal, kemudian ditambah lagi dengan ansuran telefon baharu.

Begitu juga dengan soal pengurusan makanan di rumah, selama babah ada hampir setiap hari akan makan di kedai jadi tiada istilah beli barang basah atau simpan stok makanan dekat rumah.

Tiada isitilah jimat cermat dalam kamus mereka berdua. Kemuncaknya pada pertengahan tahun lepas, ibu dan babah membeli kereta baru dengan bayaran bulanan hampir 1.3k dengan menggunakan pinjaman dibawah nama suami.

Perkara ni berkali-kali ditegah suami kerana memikirkan bayaran bulanan yang tinggi tetapi pada ketika itu,

Ibu sangat terdesak untuk bertukar kereta baru dan menyakinkan suami bahawa bayaran bulanan tersebut tidak menjadi masalah kerana setiap bulan keuntungan bengkel babah boleh membiayai bayaran tersebut.

Namun siapa sangka takdir Allah lagi hebat, takde siapa sangka babah pergi dengan cepat. Bulan ni kandungan saya masuk trimester ketiga baru saya berani meminta suami beli barangan baby itu pun sekadar perlu dan secara sikit-sikit.

Masuk sebulan arwah babah pergi, ibu mula bersuara simpanan makin berkurang kerana digunakan untuk bayar bil, groceries dan belanja adik sekolah. Suami masih lagi membantu yang termampu tetapi tidak sebanyak ketika arwah babah hidup.

Hari demi hari bertalu-talu ibu akan beritahu suami berapa duit simpanan dia berusik. Hal sekolah, belanja makan pakai adik pun seakan menjadi bebanan dan kemuncaknya kami suami isteri pulak yang bertengkar.

Ibu kerap merungut bahawa amaun yang suami bagi sedikit berbanding sedekah orang lain, end up suami menjadi stress kerana dia dah sehabis baik membantu.

Bulan depan suami mengajak saya berpindah ke rumah ibu demi kesejahteraan semua, segala perbelanjaan telah suami usahakan berjimat cermat agar sesuai dengan gaji beliau.

Ibu juga secara tak langsung memberi hint kepada saya untuk saya berkerja semula demi menambah pendapatan suami atau secara terus terangnya, membantu suami membayar komitmen ibu yang hampir 2k sebulan.

Awalnya, hati saya memberontak kerana 3 tahun saya tidak berkerja dan berniaga sekadar memenuhi kehendak saya, bukan kerana keperluan bahkan komitmen saya pun sekadar bayaran pinjaman ptptn RM180 sebulan.

Hati saya bertimbang tara perlu ke saya berkerja semula? Sedangkan gaji suami saya bertambah.

Tetapi saya kesian situasi suami yang tersepit mana nak menjaga keperluan anak yang nak masuk 2 ni dengan isteri, keperluan ibu dan adiknya lagi, monthly komitmen pun bertambah kerana perlu membayar 2 kereta.

Saya cuba dari sehari ke sehari memujuk hati, saya rasa macam jahat bila fikir kenapa saya kena berkerja untuk tolong bayar komitmen mertua saya.

Saya faham mertua suruh saya kerja semula supaya ringan bebanan suami, tetapi tanggungan sebagai isteri saya kena tanggung sendiri ke?

Just because nak bagi gaji suami tu cukup menampung perbelanjaan dan komitmen mereka.

Saya ni dalam pada tunggu hari nak bersalin, saya memikirkan sekali kos anak nak sekolah tahun depan, tahun ni tak start tadika lagi kerana bajet tak berapa ada. Dengan anak yang bakal nak lahir ni.

Saya yakin kalau saya bercerita atau meluahkan hal sebegini orang akan cop saya berkira, kedekut, busuk hati, taknak faham keadaan keluarga.

Tetapi persoalan saya, adakah logik pemikiran saya macam ni? Jika tidak saya mohon pendapat yang relevan. Akhir kata, doakan saya dapat bersalin dengan tenang dan berdamai dengan takdir.

Terima kasih semua.

– Laila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *