Assalamualaikum dan hi kepada pembaca IIUM Confession.
Saya tertarik untuk menulis setelah membaca confession Puan Sofea yang bertajuk Kenapa Tiada Anak (https://iiumc.com/berhentilah-tanya-kenapa-tiada-anak/).
Saya dan isteri berusia lewat 20-an dan kami baru berkahwin baru-baru ni.
Sebelum berkahwin sebenarnya kami sudah merancang untuk tidak menimang cahaya mata dalam tempoh terdekat. Sekurang-kurangnya dalam tempoh satu tahun.
Walau bagaimanapun seperti yang dikatakan oleh Puan Sofea, ramai yang bertanyakan kepada saya dan isteri soalan berkenaan anak.
Jawapan selamat yang kami berikan ialah belum ada rezeki dan mohon doakan kami.
Padahal yang sebenarnya kami merancang. Pada masa yang sama, kami suami isteri juga dalam dilema apabila ibu bapa di sebelah dua-dua pihak mengharapkan cucu pertama mereka daripada kami berdua.
Kami sering dinasihatkan supaya jangan merancang anak pertama.
Kami jadi serabut bila memikirkan soal anak. Manakan tidaknya, kami baru sahaja berkahwin. Mujur juga kahwin di musim pandemik.
Sedikit sebanyak dapat menjimatkan kos belanja kenduri kahwin. Perbelanjaan untuk berkahwin dan selepas berkahwin amatlah tinggi.
Suami isteri bekerja dengan kadar gaji minimum, kami berdua sebolehnya mengelak untuk bergantung harap dengan keluarga masing-masing selepas berkahwin.
Tinggal di rumah sendiri (menyewa) nak fikirkan soal duit sewa rumah, barang asas kelengkapan rumah yang belum dibeli, belanja dapur, bil-bil utiliti, insurans dan lain-lain belanja luar jangka.
Kami masih bertatih untuk menyimpan untuk membeli satu persatu barang rumah dan sebolehnya cuba untuk tidak membeli secara ansuran.
Pada masa yang sama kami juga buka tabung untuk anak supaya kelak kami mampu sediakan keperluan yang mencukupi walaupun tidaklah mewah.
Saya sendiri sebagai suami, walaupun bergaji kecil, saya mahu isteri saya bersalin di tempat selesa (hospital kerajaan wad 1 ).
Jika ada rezeki lebih, saya nak isteri saya dijaga oleh confinement lady sepanjang tempoh berpantang,
Ianya supaya isteri dapat berpantang dengan selesa di rumah kami sendiri atau di pusat jagaan wanita berpantang tanpa perlu menyusahkan kedua ibu bapa atau ahli keluarga yang lain.
Kami berdua bekerja dan menjalankan pelbagai perniagaan sampingan untuk menampung kos hidup dan menyimpan sedikit demi sedikit untuk membina keluarga kecil kami.
Mujur isteri mempunyai pelbagai kemahiran seperti mengedit gambar, buat poster (bukan profesional) memasak dan lain-lain.
Saya hanya tukang dengar celotehnya semasa bekerja, tukang buat kopi dan tolong urut setiap kali dia penat menyiapkan tempahan makanan dan tenggelam dalam dunia designnya.
Jika ada tempahan makanan, saya akan jadi runner untuk delivery. Kami tiada kenderaan sendiri jadi kami akan cod di mana-mana stesen keretapi.
Berbalik kepada soal anak, saya mohon pembaca titipkan komen yang murni-murni kepada kami.
Bukan kami tak mahukan anak, setiap pasangan berkahwin pastinya inginkan anak tapi biarlah anak-anak kami hadir bila ibu bapanya telah bersedia menyediakan keperluan asas kewangan dan emosi (ilmu keibubapaan)
Doakan rumahtangga kami bahagia, dimurahkan rezeki kewangan halalan toyiban dan rezeki anak-anak soleh dan solehah ya. Terima kasih.
– Robin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit