Belum Capai Akal

Assalamualailkum. Terima kasih sekiranya post ini disiarkan. Saya seorang guru. Guru pemulihan. Guru pemulihan sekolah rendah. Biasanya mengajar murid tahun 2 dan tahun 3 yang belum pandai membaca.

Sekolah saya terletak di pinggir bandaraya dan penghuni di kawasan sekolah saya adalah yang berpendapatan B40, yang mana golongan B40 yang hidup di bandaraya perlu bekerja sangat keras untuk menyara keluarga.

Murid pemulihan kebanyakannya adalah berasal dari keluarga yang susah dan kebanyakannya datang dari broken family atau ibu bapanya yang tiada masa untuk ‘berkasih sayang’ dengan anak kerana terlalu sibuk mencari nafkah.

Nak dijadikan cerita, hari ini, seorang murid pemulihan ni tak buat kerja setelah diberikan kerja. Kerjanya pula asyik bersembang, mengajak kawan sembang, dan bermain.

Murid ni murid yang paling lemah penguasaan dalam kelas. Baru dalam proses mengenal huruf. Murid tahun 2. Tahun 1 dia tak sekolah. Jadi harapan saya padanya tinggi untuk dia boleh membaca hujung tahun ini. Sekurang-kurangnya suku kata terbuka.

Untuk mendisiplinkan dia, saya tegur secara sopan untuk dia menyambung kerjanya. Dia sengih dan kata ok2. Tidak lama selepas itu, murid ni bersembang semula. Saya tegur untuk kali yang ke 3 dan 4. Tapi sama juga. Kembali bercerita mengajak kawan lain bersembang.

Semasa saya tegur ni, saya tengah focus kepada murid lain dalam bimbingan membaca. Maksudnya sambil murid lain buat kerja, sambil tu sorang-sorang saya panggil untuk bimbingan membaca.

Kemudian, oleh kerana perkara yang sama berulang, saya ambil pendekatan untuk tarik sisi rambut murid ni. 2 orang saya buat macam tu. Yang seorang selepas tu dah boleh focus. Tapi murid ni, marahnya dia pada saya. Siap cakap cikgu dah jahat sekarang.

Saya faham murid ni masih belum capai akal. Jadi saya pun explain kenapa saya jahat. Saya sayang murid yang buat kerja dan focus. Dan suka murid yang tekun buat kerja. Dengan harapan murid ni boleh terima. Rupanya tidak.

Dia lepaskan marah dia pada rakan sebelah. Padahal kawan tu tak buat salah. Kawan tu pula yang datang minta maaf dengan dia. Saya Cuma memerhatikan sahaja sambil membimbing murid lain membaca. Dengan muka masam dia tak nak maafkan kawan tu.

Saya cakap dengan dia, maafkanlah kawan tu.

Tiba2 dia kata, cikgu ingat saya takut dengan cikgu?

Tersentap hati saya, terguris. Astaghfirullah. Saya beristighfar dalam hati. Berani murid tahun 2 ni berkata macam tu kepada cikgunya.

Oleh sebab tak nak hati saya terguris lama kerana murid ni (takut murid ni hilang berkat mencari ilmu dengan saya), saya pun bertegas.

Ok. Jadi awak tak takutlah dengan cikgu ya. Berdiri di situ. Jangan pergi mana-mana. (masa pelajaran saya dah habis. Murid lain kena balik kelas asal . murid ni saya tahan.) muka dia masih masam mencuka, tunduk.

Murid tadarus pula masuk (waktu puasa, masa rehat diisi dengan tadarus)

Saya tinggalkan kelas sekejap untuk hal lain. Saya sengaja melengah-lengahkan masa bercakap dengan dia. Untuk bagi ruang kepadanya untuk cool down dan memberi ruang kepada saya untuk berfikir nak susun ayat kepada dia. Semasa saya datang semula, dia masih di situ. Masam mencuka, tunduk.

Saya suruh dia ulang semula ayat dia kepada saya. Dia tak respon. Tetap tunduk masam.

‘Awak tahu tak awak tak boleh cakap macam tu kepada cikgu?’ tiada respon. Saya ulang lagi.

‘Awak tahu tak awak tak boleh cakap macam tu kepada cikgu?’ kali ni dia geleng.

‘Awak tak tahu?’ Dia geleng lagi.

Saya tukar ayat tu kepada ayat penyata.

‘Awak tak boleh cakap macam tu kepada cikgu (saya). Kepada mana-mana cikgu pun tak boleh. Kepada ibu bapa awak pun tak boleh.’ Tetap tunduk, masam.

‘mari datang dekat sini’ masa tu kedudukan dia agak jauh dari tempat saya duduk.

Tiada respon. Saya ulang lagi. Kali ni lebih lembut.

‘mari datang dekat sini’. Masih tiada respon. So saya tukar ayat.

‘awak nak datang sini ke atau cikgu datang kat awak, tarik awak ke sini?’ kemudian dia datang dengan kaki berengsot berat. Masih tunduk dan masam muka.

‘awak tau tak awak murid yang bijak? Sebab tu cikgu suruh awak buat kerja. Supaya awak cepat dapat kejar kawan-kawan yang lain’ dia masih tunduk tapi kali ni dah kurang sikit tegangnya. (Tapi serius murid ni sebenarnya bijak. Jenis cepat tangkap. Tak tahu apa masalah tak sekolah setahun masa tahun 1)

‘Awak duduk bersembang dengan kawan, kerja awak, awak tak buat. Cikgu dah tegur beberapa kali kan?’ tunduk dan tiada respon.

‘pandang cikgu. Cikgu dah tegur beberapa kali kan?’ saya ulang lagi.

Dia pandang sekilas dan angguk.

‘Awak dengar (ikut) tak arahan cikgu masa tu?’ Dia geleng.

‘Haaaa…. tau pun. Jadi awak tahu lah salah siapa kan.’ kali ni nafas dia dah laju. Tiba-tiba menangis teresak-esak.

‘Awak kalau masa belajar, masa tengah cari ilmu, awak kena fokus buat kerja. Kena fokus belajar. Awak murid bijak. Jangan sia-siakan peluang yang awak ada. Rajin-rajin belajar nanti awak jadi pandai. Masa tu semua orang nak kawan dengan awak. Tapi awak kena ingat. Awak tak boleh marah kepada cikgu (orang yang memberi ilmu kepada awak).’ Dia angguk saja. Tapi kali ni mukanya dah tak tegang dan dah bole senyum sikit.

‘Jadi awak nak kata apa kat cikgu sekarang?’ saya nak ajar dia ucap minta maaf.

Dia diam. Berat mulutnya meminta maaf. Tidak dibiasakan agaknya.

Saya suruh dia ulang apa yang saya cakap.

‘Cikgu…. saya minta maaf. Saya janji tak buat lagi’

Cubaan pertama dia tak ikut. Begitu juga cubaan kedua.

Cubaan ketiga saya lagi lembutkan suara. Barulah dia ulang apa yang dikata.

Kemudian saya minta dia salam saya. (Proses salam ni bukan proses guru berlagak nak murid hormat. Tetapi adalah satu proses ADAB seorang murid menghormati gurunya)

Ingatkan proses salam semudah ABC. Rupanya murid ni juga tak biasa salam kemudian cium tangan. Dia cuma salam saja. Bila diminta cium tangan, dia sengih2.

‘Awak salam tak kat mak awak kat rumah?’

‘Salam’

‘Awak cium tak tangan mak awak?’

‘tak’

‘Kenapa tak cium tangan?’

Dia sengih-sengih saja. Tak biasa agaknya.

‘Awak salam tak ayah awak sebelum pergi sekolah?’

‘tak’

‘kenapa tak salam?’

Dia sengih-sengih lagi.

‘Ayah awak pernah peluk awak tak?’

‘tak’

‘Balik ni, awak sampai rumah, awak salam mak awak, awak mesti cium tangan dia.’

Dia sengih-sengih saja macam tak nak.

‘Kalau awak malu, awak salam jugak. Awak cium jugak tangan mak awak. Lepas tu awak cepat-cepat lari. Ok?’

Barulah dia angguk sambil sengih-sengih lagi.

Kali ni saya dah rasa lega. Mudah-mudahan murid ni menjadi cikgu juga suatu hari nanti. Haha.

Sekian..

-CIKGU PEMULIHAN-

– Zian (bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *