Bersyukur Seadanya – 9:28 AM

Bersyukur Seadanya

Terima kasih admin sudi siarkan.

Saya geram. Ya, geram. Geram sangat
-sangat. Saya baru lepas tertengok video di fb. Cerita budak perempuan miskin yang marahkan ayahnya kerana ayah dia tidak mampu untuk membelikan dia barang-barang mahal. Handphone canggih dan handbag mahal seperti orang lain.

Saya geram dengan video tu? Bukan. Saya geram sebab saya marah dengan sikap budak perempuan tu. Dan sikap sesetengah orang yang saya kenal.

Saya ada seorang kawan, saya namakan dia A. A student macam saya. Ayah dia bekerja, ibu dia suri rumah. Gaji ayah dia lebih kurang RM3k sebulan. Gaji itulah digunakan untuk menampung A dan adik-adik dia yang masih belajar. Jadi berbalik kepada tajuk utama, kenapa saya geram dengan sikap A?

Pada saya, gaji RM3k pada zaman Najib bukanlah banyak. Kalau hidup seorang mungkin selesa, tapi kalau hidup dengan menampung komitmen anak dan sebagainya agak sempit. Tapi A? Suka bercakap seolah-olah keluarga dia atau dia banyak sangat duit untuk dibelanjakan.

"Eh,jom pergi starbucks". Bila saya menolak sebab mahal, A akan kata mana ada, murah je. Tapi kalau pergi dia akan suruh saya belanja dia. Kalau saya minta dia bayar sendiri mati hidup balik pun dia tidak akan bayar. Kalau murah sangat kenapa tak bayar sendiri? ???

Baru-baru ini salah seorang daripada kawan kami berkahwin. Dia cuma buat mini pelamin sebab pada dia mini pelamin itu cuma digunakan untuk ambil gambar semasa majlis. Majlis pula beberapa jam sahaja jadi kenapa perlu membazir sedangkan duit itu boleh digunakan untuk benda-benda lain. Reaksi A? "Baik letak kerusi depan langsir je". Kawan saya anak orang senang tapi memilih untuk mebuat majlis yang sederhana. Itupun dicemuh A?

Ada lagi seorang kawan kami baru sahaja bersalin jadi dia menjemput saya dan A ke majlis akikah anaknya. Bila sampai di rumah kawan saya, A mula mencebik. Saya ingatkan kenapa. Rupanya, bila salah seorang kawan kami bergurau yang keluarga A patut beli rumah dikawasan itu, A menjawab dengan sinis, "Buat apa, rumah ni kecik. Bukannya selesa pun". FYI, kawan saya duduk di rumah berkembar setingkat harga RM300k++ ya. Dan rumah dia bukanlah kecik. Ada lima bilik tidur dan tiga bilik air sedangkan A sekeluarga cuma hidup menumpang di rumah nenek A. Bilik sendiri pun tidak ada kenapa perlu menghina rumah orang lain?!

Saya sendiri pernah terkena dengan A. Saya suka pakai beg Mango. Dia tanya saya buat apa pakai beg jenama tu. Kualiti tak elok. Belilah beg Michael Kors ke apa. Terbeliak mata saya tengok dia. Saya tanya dia Micheal Kors harga berapa? Saya bukannya mampu beli! Jawapan dia, "Oh yeke, tengok ramai je pakai". Sakit hati.

Saya betul-betul tidak faham pemikiran orang seperti A. Kalau ikukan gaji mak ayah saya 5 kali ganda lagi banyak daripada gaji ayah dia. Tapi saya tak pernah rasa perlu duduk hotel lima bintang sahaja, geli rumah kecik, geli pelamin murah. Saya juga tidak pernah rasa perlu pakai iphone, perlu sentiasa makan di kafe hipster atau sebagainya sebab pada saya kita berbelanjalah ikut kemampuan kita. Bersyukur seadanya kan lebih baik daripada membandingkan diri dengan anak-anak orang kaya? Anak orang kaya kalau minta ayah dia belikan iphone ayah dia takkan terasa susahnya. Tapi kalau gaji sebulan ayah kita lebih rendah daripada harga telefon itu, boleh bayangkan tak sengsaranya? Sanggup papa asalkan bergaya.

Pada saya biarlah hidup kita bukan seperti instafamous yang tampak mewah asalkan kita ada secukupnya. Pasti hidup kita bahagia.

– Silent Reader

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *