Assalamualaikum, saya sudah mendirikan rumahtangga selama hampir 6 tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki. Tahun ini saya bertekad untuk memohon fasakh pada bulan September nanti.
Dari malam pertama perkahwinan, suami memang tidak pernah menunjukkan minat untuk bersama. Kami berkahwin atas suka sama suka. Walaupun mengetahui sikap suami yang panas baran dan kaki perempuan, saya cuba memberi peluang dan menerima suami dengan harapan dia berubah.
Pada awal perkahwinan, sudah beberapa kali suami kantoi cubaan untuk curang. Walaupun rasa kecewa dan dikhianati, saya tetap meneruskan hubungan.
Sikap suami yang panas baran dan suka menipu, ditambah pula dengan keadaan kewangan suami yang tidak stabil dan saya yang banyak menyara keluarga, menyebabkan kami sering bergaduh dan saya kerap meminta untuk dilepaskan.
Tetapi suami tidak mahu melepaskan dan ingin bertahan, walaupun dalam masa sama masih tidak mahu menyentuh saya menyebabkan saya berada dalam kesedihan dan kekeliruan.
Tahun pertama perkahwinan, kami ada melakukan hubungan intim sebanyak 5 kali dan semuanya atas keinginan atau dorongan saya. Saya cuba untuk mengingati dan mengira jumlah perhubungan intim kami kerana saya sudah mula merasa pelik dengan keengganan suami untuk bersama.
Kali keempat kemungkinan adalah waktu dimana saya dikurniakan anak lelaki kami. Selepas saya disahkan mengandung 3 bulan, saya mengajak suami ke Cameron Highland untuk bercuti kerana saya tidak dibawa berbulan madu selepas menikah, dan saya sendiri yang menawarkan untuk membayar kos percutian itu.
Malam tersebut saya ingin bersama dan suami sedikit acuh tak acuh dan itu merupakan kali kelima kami bersama pada tahun itu.
Keesokan harinya, suami bergurau mengatakan yang saya ‘mengacau’ dan saya yang memaksa dia untuk bersama, menyebabkan saya rasa sangat kecil hati, sedih dan rasa seperti perempuan murahan. Sejak itu saya mula kurang bertanya atau meminta untuk bersama.
Sepanjang kehamilan dan tahun kedua, kami hanya melakukan 2 kali hubungan intim. Saya mula hilang keinginan untuk bertanya dan mengajak kerana saya mula rasa kecewa. Suami pula beri pelbagai alasan seperti sibuk, penat, termasuk menyalahkan saya kerana masih mengungkit kecurangannya pada tahun pertama perkahwinan.
Saya tahu dan sedar yang suami banyak melayari laman lucah. Memang sejak kantoi curang dahulu, saya sudah pandai menggodeh telefon suami dan mendapati banyak sumber lucah dia peroleh seperti Mewe, Onlyfans, Telegram, Tumblr etc.
Walaupun mengetahui ini adalah kesalahan biasa yang banyak dilakukan oleh lelaki, tetapi saya merasa lebih kecewa kerana suami lebih memilih untuk melayari konten lucah namun tidak sekali mahu menyentuh saya.
Suami sehingga kini masih melihat konten-konten seperti itu dan setiap kali bertengkar, suami beritahu yang itu bukan penyebab kenapa suami enggan meniduri saya. Saya mula merasa diri hodoh kerana jika dibandingkan memang suami mempunyai rupa paras yang lebih elok berbanding saya, saya rasa tidak berharga, gemuk dan hitam.
Saya benar-benar dalam keadaan depresi, ditambah pula saya bersalin pada waktu PKP. Waktu pantang suami cuba untuk menjaga saya tetapi tidak dapat menjaga saya dengan baik (mungkin kerana tiada pengalaman atau rujukan) dan enggan menghantar saya balik kampung.
Mujur arwah ayah saya segera memohon surat kebenaran dari Pihak polis di kampung dan menyewa kereta untuk mengambil saya pulang ke kampung untuk berpantang.
Sebaik pulang ke kampung, saya mengalami bentan dan doktor maklumkan yang luka jahitan terkoyak semula akibat terlalu banyak pergerakan ketika saya berpantang sendiri.
Tahun ketiga suami berhenti kerja dan saya menyara suami selama setahun. Saya sudah tidak mengungkit tentang kecurangan dia dahulu,
Namun kami sering bertengkar kerana sikap suami yang panas baran dan suka memaki hamun, merayu untuk meminjam duit saya untuk melabur dalam saham Forex dan menggadaikan barang kemas saya dan tidak membayar kembali hutang-hutang tersebut, serta masih tidak menunaikan nafkah zahir dan batin.
Saya tidak disentuh hampir 2 tahun. Pelbagai cara cuba saya bertanya, menangis, merajuk dan marah tetapi suami sentiasa beri alasan sehingga bila kehabisan alasan, suami hanya beritahu yang dia tidak tahu apa masalah dirinya.
Suami juga sering mengatakan yang saya kuat melawan dan besar kepala kerana saya yang banyak menyara keluarga, padahal saya hanya minta dia untuk ingat tanggungjawab dan melangsaikan hutang yang dia sendiri berjanji untuk membayar semula.
Malah beberapa kali bila waktu untuk menebus kembali gadaian emas yang sudah terlebih tarikh matang, saya terpaksa mengorek simpanan sendiri untuk menebus barang kemas tetapi suami buat tak tahu sahaja malah tidak bertanya sepatah apa walaupun dia sedar yang wang gadaian itu dia pinjam dan hangus begitu sahaja.
Saya hanya mampu menangis sendirian. Saya juga punya keinginan dan nafsu sebagai manusia biasa. Di mana saya mahu mencurahkan perasan dan keinginan saya? Jika suami boleh melempiaskan dengan menonton video lucah dan melakukan onani, saya pula tidak boleh dan merasa sedih, jijik dan berdosa jika saya melakukan hal yang sama.
Saya berasa sangat teraniaya, sunyi dan bertanya diri adakah saya yang gila s*ks. Padahal saya tidak pernah meminta lebih dari sekali sebulan, apatah lagi mahukan seminggu sekali atau hari-hari. Cukup untuk merasa dibelai dan dimanja sekali sekala, bukan setahun sekali!
Mujur suami sudah mendapat kerja baru yang lebih stabil. Suami juga sudah kurang menunjukkan sikap panas baran namun suami masih enggan menyentuh atau meniduri saya. Suami masih dengan aktivitinya yang kerap bermain PUBG waktu malam dan tidur di sofa di ruang tamu.
Sehingga satu waktu saya tidak tahan dan saya melarikan diri dan membawa anak ke rumah kawan. Suami marah dan mengarahkan say balik ke rumah malam itu juga tetapi say terlampau marah dan saya blok suami dari menghubungi saya.
Suami terus mencari adik-beradik dan mengadu perbuatan saya lari dari rumah, dan meminta adik-beradik memujuk saya pulang.
Walaupun saya kembali semula dan berbaik dengan suami selepas itu, saya sudah mula rasa untuk tidak terlalu rapat dengan adik-beradik suami kerana tindakan suami memburuk-burukkan saya dan ada adik-beradik yang menyokong suami.
Disebabkan itu saya terpaksa menceritakan kepada mereka tentang apa yang saya lalui namun sikap mereka hanya meminta saya bersabar dan beri peluang kepada suami.
Tahun ke lima, seminggu selepas anak saya disahkan menghidap Autism, ayah saya meninggal dunia. Saya mula rasa sangat tertekan dan kerja serta mental saya terjejas. Saya juga mula rasa kosong dan hanya banyak mendiamkan diri ketika suami marah namun ada waktu saya menjawab semula kerana terlalu sakit hati.
Suami jenis rajin meminta maaf selepas menyakiti hati saya tapi saya lebih banyak mendiamkan diri dari bercakap atau meminta maaf.
Suami sering merasa yang saya kuat melawan dan tidak mahu meminta maaf, namun saya merasa selama ini suami sering meminta maaf namun tidak pernah menunaikan janji dan tanggungjawab menyebabkan saya merasa permohonan maafnya hanya sekadar kata-kata kosong yang hanya digunakan untuk meleraikan pertengkaran.
Saya ada cuba berubat pada tahun 2024 dan pengamal perubatan ada memberitahu yang suami ada sesuatu yang mengikuti dan merupakan saka keturunan yang suami tidak tahu ada. Namun saya masih tidak yakin sejauh mana kebenarannya.
Suami ada menunjukkan perubahan dari segi sikapnya yang kurang sedikit panas baran, sudah mula menolong mengemas rumah serta rajin melipat baju dan mula menunjukkan sikap lebih lembut namun saya sudah jauh hati kerana tahu yang dia tidak dapat mengubah keinginan untuk berhubung intim.
Mana mungkin dia mahu melakukan hubungan intim sekerap yang saya inginkan dan tidak mungkin saya mahu meneruskan hubungan sehingga ketua dalam keadaan kesunyian. Mujur Tuhan beri kekuatan untuk saya kuat untuk setia dan tidak mencari hubungan terlarang diluar.
Tahun 2025 ini saya sudah nekad, cukup setahun suami tidak menyentuh saya yang akan genap pada September 2025, saya akan pergi sendiri ke Pejabat Agama dan mahkamah Syariah untuk memohon Fasakh.
Setakat hari ini, suami masih tidak menunaikan nafkah zahir dan batin. Saya sudah maklumkan hasrat saya kepada emak dan walaupun emak masih bimbang dan meminta saya berfikir dan berusaha untuk meneruskan perkahwinan, emak juga redha jika saya sudah bertekad.
Saya juga mengambil keputusan ini kerana umur yang sudah meningkat dan keinginan untuk mempunyai anak lagi sebelum umur saya mencecah 40 tahun.
Saya masih ada berbaki beberapa tahun dan saya tidak mahu mensia-siakan waktu yang ada jika dikurniakan rezeki berjumpa jodoh yang mempunyai keingininan zahir batin terhadap saya, serta berharap merupakan jodoh yang bersikap lebih baik dan bertanggungjawab.
Saya berharap agar apa sahaja yang terjadi, berpisah atau berterusan, semoga semuanya baik-baik dan anak saya masih mendapat kasih sayang sepenuhnya dari kami berdua.
Sehingga sekarang saya masih tidak dapat apa jawapan dan penyebab sebenar suami enggan menyentuh saya. Suami mati pucuk, turn off, saya hodoh, atau secretly gay? Wallahualam.
– Amira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Dear Confessor,
Your story is like mine.
Pernah bertahun tak dapat without any valid reason.
I even pernah sent a confession here as well.
Saya ni boleh la dikategorikan dlm golongan sedap mata memandang..jaga kebersihan diri dsb tapi still tak dapat attention fr him.
Saya syukur serba-serbi cukup, income 5 digits every month, dapat pergi travel, umrah, anak2 pun dah besar cuma 1 je tak cukup.. iaitu layanan batin sewajarnya..
Husband handsome, baik akhlaq, good sense of humour…semua ok tapi 1 je slack.. dia malas nak melayani saya..
Sedikit-sebanyak masalah ini mengganggu emosi saya…
Ntahlah.. kalau org lelaki boleh je berpoligami jika mampu tp kita golongan isteri bila x dapat benda tu, apa yg kita boleh buat? Goda suami semua kita dah buat tak jalan juga…