Betulkah Jalan Yang Aku Pilih?

Aku merupakan seorang gadis berusia 19 tahun. Aku kini sedang keliru dengan keputusan yang telah menjadi pilihanku sama ada keputusan ini merupakan keputusan yang tepat atau sebaliknya. Mari aku ceritakan.

Aku berasal daripada keluarga yang serba kekurangan. Bapaku hanyalah bekerja kampung dan ibuku pula hanyalah seorang suri rumah yang menderita penyakit Epilepsi. Disebabkan itu ibuku tidak mampu untuk membantu bapaku dengan melakukan sebarang pekerjaan kerana penyakit itu membataskan pergerakannya yang menyebabkan ibu bergantung sepenuhnya pada ubat-ubatan sepanjang hidupnya.

Dengan keadaannya, ibu layak menerima wang bantuan JKM. Aku mempunyai seorang adik lelaki yang berusia 11 tahun yang baru sahaja menjalani pembedahan lelangit berlubang yang dijalankan tahun lalu. Disebabkan kekurangan keluarga, aku berazam kuat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menjadi seorang yang berjaya pada masa akan datang.

Selepas tamatnya SPM 2017, seminggu selepas itu aku keluar untuk mencari pekerjaan bagi memperoleh sedikit wang untuk dijadikan sebagai simpanan sekiranya aku berjaya ke universiti kelak. Aku bekerja selama 3 bulan dan berhenti selepas menerima keputusan SPM. Alhamdulillah, aku berjaya mendapat keputusan cemerlang dan ibu bapaku sangat bangga akan pencapaianku.

Dengan keputusan itulah aku berulang-alik ke pekan (kerana aku hanyalah seorang gadis kampung) untuk menggunakan perkhidmatan internet yang disediakan bagi memohon mana-mana biasiswa yang sesuai dengan kelayakanku.

Aku banyak menghabiskan wang di kafe siber untuk memohon biasiswa kerana aku memerlukan masa yang agak lama untuk memuat naik semua dokumen yang diperlukan di samping banyak terkial-kial kerana kurang cekap menggunakan komputer kerana aku sendiri tidak selalu menggunakan peranti itu.

2 bulan selepas itu, pelbagai tawaran universiti, kolej dan sebagainya datang memenuhi peti surat rumahku yang kebanyakan daripada institusi swasta. Surat tawaran biasiswa yang aku nanti-nantikan tidak juga kunjung tiba.

Apabila diperiksa melalui laman web di kafe siber, permohonan biasiswa aku kebanyakannya ditolak kerana ‘A’ yang aku peroleh bagi beberapa subjek seperti Sains terutamanya hanyalah cukup-cukup makan sahaja. Aku berasa amat sedih dengan perkara tersebut kerana aku benar-benar berharap untuk mendapat biasiswa bagi mengurangkan beban kedua-dua ibu bapaku sewaktu aku menuntut di universiti.

Alhamdulillah, rezeki Allah itu luas. Seorang guruku datang membantu dengan memudahkan urusanku dengan menguruskan permohonan biasiswaku, di bawah agensi yang lain pula (kerajaan). Permohonanku berjaya dan aku terus ke fasa seterusnya iaitu sesi temu duga. Dengan takdir Allah, aku berjaya menjadi salah seorang penerima biasiswa sebaris dengan para pelajar yang kebanyakan hadir dari bandar dan lepasan sekolah-sekolah berprestij dan ternama.

Biasiswa tersebut merupakan biasiswa tajaan luar negara yang menjadi dambaan kebanyakan pelajar cemerlang di luar sana. Aku berasa amat-amat bersyukur kepada Allah atas rezeki yang amat besar seperti itu dan aku melanjutkan pelajaranku dengan mengikuti program persediaan selama 2 tahun di sebuah kolej tempatan. Kini, telah setahun aku di sini dan Inshaa Allah, dengan izin-Nya, aku akan ke luar negara pada tahun hadapan.

Namun, ada beberapa perkara yang amat merunsingkan aku. Benarkah jalan yang aku pilih ini? Adakah patut aku meninggalkan keluarga ku di sini sementara aku melanjutkan pelajaran di tempat yang beribu batu jauhnya, yang memakan masa selama bertahun-tahun? Bapaku sudah layak digelar warga emas kerana dia berkahwin dengan ibuku dalam usia yang agak lewat. Ibuku pula sakit dan dia memerlukan orang disisinya untuk menjaganya.

Bapaku tidak bebas kemana-mana kerana keadaan ibuku yang seperti itu. Adikku pula hanyalah seorang kanak-kanak yang pada aku tidak lagi mampu untuk menggalas tanggungjawab berat sekiranya apa-apa berlaku terhadap ibu dan bapaku semasa aku tiada. Jadi, benarkah jalan yang aku pilih ini?

Semasa aku menerima tawaran, aku berfikir sebaiknya sebelum membuat sebarang keputusan. Aku solat istikharah dan meminta pendapat kaunselor. Kebanyakan mereka menyuruh aku pergi dan tidak kurang juga yang membantah. Pelajar mana yang tidak mahu biasiswa yang boleh menyenangkan dirinya di universiti dan menyenangkan ibu bapa yang sering kesempitan wang, setelah belajar separuh mati bagi menghadapi persaingan yang sangat-sangat mencabar bersama pelajar lain? Hanya itu yang aku fikirkan.

Aku tidak mahu ibu bapaku menderita lagi menanggung aku di universiti, di samping menanggung adikku yang masih juga belajar yang pastinya memerlukan banyak wang. Oleh itu, agak berat bagi aku menolak tawaran tersebut dan akhirnya meneruskan juga kerana ibu dan bapaku menyokong penuh untuk aku belajar di universiti di luar negara. Mereka bangga dengan kejayaan anak kampung ini.

Walau bagaimanapun, aku berasa amat tertekan sepanjang menjalani program persediaan. Ada dalam kalangan saudara maraku sendiri mempersoalkan tindakanku yang tidak menghiraukan ibu bapa ku. Aku sering dimomokkan dengan peristiwa bahawa terdapat ramai pelajar luar negara yang sedang menuntut di luar negara yang tidak dapat pulang ke tanah air apabila ibu bapa mereka meninggal dunia. Ada juga yang mengatakan, belajar di mana-mana sama sahaja.

Ya, aku tidak tolak perkara itu. Tetapi apa yang aku fikirkan ialah biasiswa tersebut. Haruskah aku menolak sedangkan lebih ramai pelajar yang jauh lebih hebat daripadaku tidak mendapat peluang seperti ini? Tambahan pula, saudara maraku itu tidak pernah menghiraukan keadaan kami sekiranya kami dalam kesempitan. Malah, ada yang meminta wang daripadaku kerana mereka tahu aku menerima biasiswa dalam jumlah yang banyak. Wajarkah?

Lebih malang, ada dalam kalangan guruku sendiri yang mempersoalkan dengan mengatakan belajar di luar negara itu sia-sia. Mengatakan, “Alah, perempuan belajar tinggi-tinggi pun ke dapur juga”. Mengatakan bahawa aku menyambung pelajaran dalam bidang ‘sampah’.

Hancur luluh aku mendengar kata-kata seperti itu. Aku berasa amat sedih. Berdosakah aku? Meninggalkan ibu bapa ku bagi melanjutkan pelajaran tanpa perlu membebankan mereka? Pentingkan dirikah aku? Aku berasa amat keliru. Mustahil bagi aku untuk berpatah balik.

Sekiranya aku berpatah balik, aku harus membayar semula wang pelajaranku sepanjang setahun aku berada di kolej yang mencecah ribuan ringgit. Tidak mungkin. Ini hanya akan lebih menyusahkan mereka dan dengan itu aku tetap meneruskan pelajaranku. Aku bersangka baik kepada Allah kerana Dia yang merancang kehidupanku dan ada hikmah mengapa aku ditempatkan di sini.

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *