Khamis, 4 Ogos 2016
Assalammualaikum semua.
Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan confession saya.
Baru-baru ini saya ada terbaca artikel tentang pelajar yang sanggup berhutang kerana sebuah iphone. Sebelum saya teruskan lebih lanjut, biar saya ceritakan latar belakang keluarga saya dahulu. Saya anak ketiga daripada lima orang adik beradik. Ibu dan ayah saya masih sihat dan masih bekerja, dengan pendapatan bersama lebih kurang RM20k sebulan. Keluarga saya ada 4 buah kereta dan dua buah rumah. Apa motif saya ceritakan semua ini dan apa kaitannya dengan gadis iphone itu?
Pertama sekali, tentang pendapatan ibu bapa saya sebanyak RM20k sebulan (bersama ya bukan seorang). Mesti hidup mewah kan? Mesti kerja jawatan besar. Tahu apa kerja ibu dan ayah saya yang sebenarnya? **Mestilah tak tahu. Duhhh. Macam awak kenal saya kan?** Jawapannya, ibu dan ayah saya bekerja sebagai seorang guru. Kenapa gaji besar? Satu, kerana ayah saya memegang jawatan di sekolah, kedua, ayah saya rajin belajar untuk menduduki peperiksaan dan pergi kursus supaya tangga gaji dia boleh naik (kakitangan awam mungkin lebih faham). Ibu saya pula mula bekerja sebagai lulusan diploma, jadi dia berusaha untuk belajar separuh masa di universiti tempatan untuk mendapatkan ijazah semasa adik-beradik saya besar sedikit (sekolah rendah). Kenapa? Sebab gaji guru lulusan diploma dan lulusan ijazah sangatlah berbeza. Selain itu, gaji ibu saya juga lebih tinggi berbanding rakan sekerja dia kerana ibu pernah diiktiraf sebab guru cemerlang di peringkat negeri (ibu saya rajin buat bahan bantu mengajar DIY untuk murid-murid dia. Duit untuk menghias kelas pun semua daripada poket dia sendiri sebab kebanyakkan murid ibu saya datang daripada keluarga yang susah atau bermasalah).
Jadi berbalik kepada persoalan; hidup saya mesti mewah kan? Jawapannya tidak sama sekali. Ibu dan ayah saya bermula dari bawah (iyalah, mana ada orang baru jadi cikgu dua tahun terus naik pangkat jadi pengetua kan?). Baru mula bekerja ayah saya kena pindah Sabah. Lepas berkahwin, mak saya pun ikut berpindah sama. Balik semenanjung rasanya satu tahun sekali sahaja. Kalau raya jarang balik. Kadang-kadang dua tahun sekali baru balik. Kenapa? Sebab gaji guru baru dahulu lebih kurang RM900++ sahaja termasuk elaun. Saya pernah terjumpa tiket kapal terbang ibu dan ayah saya. Dari Sabah ke Kuala Lumpur tiketnya berharga RM1k++ (dulu mana ada AirAsia). Bayangkanlah, harga tiket kapal terbang lebih mahal daripada gaji bulanan mereka.
Beberapa tahun kemudian, ibu dan ayah saya dapat tawaran mengajar di Semenanjung. Maka berpindahlah mereka anak beranak. Walaupun sudah berpindah ke semenanjung dan hidup sudah stabil sedikit, ibu dan ayah saya masih teruskan tabiat berjimat-cermat. Setiap pagi ayah saya akan belikan makanan sebagai bekal kami di sekolah. Percaya tak, sehingga saya berumur 9 tahun, saya tak pernah tahu pun ada kantin di sekolah! Duit belanja yang ayah saya beri pun cuma 20 sen sehari. Saya membesar dengan pemikiran yang keluarga saya kurang senang berbanding dengan rakan-rakan saya yang lain (biasalah budak-budak, kalau nampak kawan ada pensil warna luna 48 batang pun kita rasa kagum). Baju baru cuma dibeli setahun sekali ketika raya (dua pasang baju, dua pasang seluar). Kami adik-beradik tidak pernah mendapat hadiah yang mahal daripada ibu dan ayah kami. Tapi, meskipun tidak mewah, makan pakai kami adik-beradik cukup. Setahun sekali ayah dan ibu akan bawa kami bercuti di dalam negara (dulu saya tak faham kenapa tujuh orang (adik-beradik masih kecil) kena duduk dalam bilik hotel yang cuma ada dua katil, rupa-rupanya bila dah besar sikit baru saya faham sebab harga bilik hotel mahal. Iyalah, dulu mana ada hotel budget yang cantik macam sekarang). Adik-beradik saya tidak pernah ada handphone sebelum habis sekolah. Bila ada pun, sebelum masuk universiti ayah saya belikan handphone yang murah (dalam harga RM300). Malu jugak saya dulu dengan kawan-kawan saya yang lain. Handphone saya memori kecil jadi tidak boleh dimasukkan lagu. Kamera saya tidak canggih jadi saya tidak dapat ambil gambar seperti orang lain. Sampai jadi habit bila sudah dewasa dan mampu beli handphone yang mahal (harga RM2k++), playlist lagu handphone saya tetap kosong.
Sekarang bila sudah bekerja dan terpaksa menanggung diri sendiri, baru saya faham kenapa ibu dan ayah saya sangat berjimat-cermat. Pertama, ayah saya beli rumah untuk kegunaan kami sekeluarga (rumah teres biasa tapi pada ayah saya, itu lebih baik daripada menyewa). Kedua, anak ramai (kami lima adik-beradik). Setiap seorang dibelikan insurans kesihatan dan insurans pelajaran (yang akan matang bila kita berusia 18-20 tahun dan duit itulah yang digunakan untuk menanggung pengajian kami di universiti). Setiap anak insurans bulanan berjumlah hampir RM100++ (sejak tahun 90-an, dimana RM100 masih tinggi nilainya). Kalau ada lima anak, darablah lima (terpaksa ikat perut juga membayar). Ketiga, ibu dan ayah saya banyak menyimpan. Semua barang berkaitan rumah dibeli berdikit-dikit tetapi semuanya dibayar tunai. Tiada istilah apply personal loan untuk beli perabot rumah. Hasilnya? Semua anak-anak tidak perlu memohon pinjaman PTPTN. Ayah saya sangat tegas dalam hal ini. Pada dia, kenapa perlu bebankan anak dengan hutang hampir RM30k sedangkan baru sahaja habis belajar. Sebab itulah walaupun kami terpaksa berjimat cermat, makan dengan budget kurang daripada RM10 sehari, kami tidak merungut.
Jadi apa kaitannya dengan gadis iphone itu? Ayah saya kata anak muda sekarang suka sangat hidup berhutang. Suka bergaya dengan berbelanja besar, sedangkan tidak mampu. Oleh kerana ayah saya mempunyai jawatan di sekolah, setiap permohonan pinjaman oleh guru memerlukan tandatangan dia. Kata ayah saya, gaji guru muda lebih kurang RM3k++. 1/3 daripada gaji digunakan untuk membayar kereta sahaja. Kemudian mengeluh gaji sedikit sampai ditegur ayah saya “Gaji awak sebenarnya banyak! Awak jangan tengok jumlah selepas potongan gaji. Sepatutnya awak tengok gaji awak sebelum dipotong!”. Bekerja dua tiga tahun, terus beli kereta honda city (bukan rekaan, memang kenyataan yang berlaku) sedangkan ayah saya sendiri menggunakan Proton Waja sahaja. Kemudian mengeluh gaji kecil, kos hidup tinggi.
Ibu saya pula, tidak pernah mempunyai barangan berjenama melainkan dihadiahkan oleh kami. Cukup bersederhana. Pada ibu dan ayah saya, tidak perlu berusaha untuk tampak hebat di mata manusia sedangkan poket kosong. Priorities seperti rumah, pendidikan anak-anak dan kesihatan lebih perlu diutamakan. Bayangkan, saya ada kawan yang hidup bergaya dengan barang mewah dibelikan ibu-bapanya tetapi masih perlu memohon pinjaman PTPTN untuk melangsaikan yuran universiti. Pelik kan? Ada kawan saya yang mendapat bantuan zakat untuk pendidikan dan bantuan kewangan daripada pihak universiti (sebulan RM2k++) tetapi masih memohon pinjaman PTPTN untuk menampung gaya hidup dia yang serba mewah. Bila saya tanya kenapa perlu membuat hutang, alasannya bayaran bulanan PTPTN rendah sahaja. Bukannya banyak pun. Saya tak nafikan ada sesetengah pelajar memang datang daripada keluarga yang betul-betul susah dan memerlukan pinjaman PTPTN untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti, tetapi hanya seorang sahaja yang saya pernah jumpa sepanjang pengajian saya di universiti yang mengasingkan sedikit wang PTPTNnya untuk disimpan. Kawan saya, A, ini sanggup beli makanan pada waktu tengahari (nasi banyak-banyak dan satu dua lauk) dan makan makanan itu dua kali sehari. Separuh pada waktu tengahari, separuh lagi pada waktu malam. Bila saya tanya kenapa terlalu berjimat, A kata supaya dia ada wang untuk membayar semula pinjaman PTPTNnya sekiranya dia susah atau lambat mendapat kerja selepas graduasi. Kawan saya B pula keluar ke hipster cafe, karaoke, enjoy sana sini apabila PTPTN masuk dan B lah orang yang paling kuat merungut tentang PTPTN sekarang. Katanya menyusahkan rakyat dan pelajar sedangkan tiada siapa memaksa dia mengambil pinjaman tersebut dan dia tidak merungut tentang PTPTN semasa sedang bersuka-ria menggunakan wang PTPTN. Ada sesetengah kawan-kawan saya pula yang tidak mempunyai pinjaman PTPTN dan telah bekerja nampak seperti hidup mewah di instagram atau fb (makan di kedai mahal, beli barang-barang mahal) sehingga saya sangkakan mereka mempunyai gaji yang lebih tinggi daripada saya. Rupa-rupanya gaji digunakan dengan boros. Sudah bekerja tetapi hujung bulan masih meminta wang daripada ibu-bapa kerana tabiat berbelanja (spending more than what you earn). Bayangkan, ibu dan ayah kita bersusah-payah membesarkan kita sehingga dewasa tetapi kita masih bergantung kepada mereka sedangkan di usia senja mereka tidak sepatutnya perlu risau akan anak-anak mereka lagi. Giliran kita pula untuk menjaga mereka bukan sebaliknya!
Jadi saya harap pada semua warga muda, kawal lah perbelanjaan anda. Pastikan anda berbelanja mengikut kemampuan anda. Jangan jadi seperti kes peragut yang dilanggar baru-baru ini. Rupa-rupanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan tetapi part-time meragut. Bila kena tangkap, sudah tentu akan dipecat dan pencen ditarik semula. Hanya untuk kesenangan sementara, sengsara selamanya.
p/s: Ibu saya pernah cerita ada ibu bapa yang datang ke sekolah mengadu kesusahan hidup dan atas sebab itu tidak dapat membayar hutang sekolah. Tambah ibu saya lagi, yang lucunya, ibu bapa tersebut memakai handphone terkini yang mahal sedangkan ibu saya sendiri memakai handphone lenovo berharga RM300. Berbanding dengan seorang lagi ibu murid yang memang diketahui hidup susah sanggup membayar secara ansuran yuran sekolah (RM10 setiap bulan) atas rasa tanggungjawab.
– Akak S
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit