Bila Lelaki Dah Tawar Hati

Assalamualaikum readers iium confession. Aku Mimi (bukan nama sebenar). Aku sekarang ni dalam fasa untuk move on. Ya, sebab dia dah tawar hati dengan aku. Meh aku cerita. Aku bahasakan dia A lah.

Aku kenal dengan A dah 6 tahun. Daripada aku sekolah menengah sampailah umur aku dah menginjak 20-an ni. Kami berkenalan melalui Facebook. Berbalas komen dekat satu page ni lepastu terus DM. Kami berdua tak declare pun dekat satu sama lain. Sampailah aku dah masuk universiti.

Masa tu aku dah masuk semester 2. Barulah kitaorang berpindah chat dari Facebook ke Whatsapp. Mungkin masa tu aku dah dewasa sikit kot baru dia declare perasaan dia kat aku. Yelah kalau masa sekolah, takut orang kata bercinta dengan budak bawah umur pula. Oh lupa, A ni tua 7 tahun daripada aku.

So, kami pun bercinta lah. Tapi tak lama pun. 8 bulan je boleh bertahan. Puncanya? Sebab aku yang nak putuskan hubungan. Alasannya aku mudah serabut dengan banyak benda. Dengan akademik, assignment dan banyak aktiviti yang aku sertai sedikit sebanyak membuatkan aku beranggapan yang kalau tak de boyfriend pun aku boleh hidup.

So, A pun iakan sahaja. A ni jenis yang kalau orang dah tak nak, dia takkan kejar atau merayu. Jadi, bila A dah tak pujuk aku, aku pun beranggapan dia tak bersungguh dengan aku.

Setahun jugak aku menyepi. Pada pertengahan semester 4, aku tergerak hati untuk contact A balik. Melalui Facebook, aku tegur dia balik. Surprisingly, A masih melayan aku seperti dulu. Seperti tiada apa-apa. Aku memohon maaf pada A atas kesilapan aku yang dulu. A kata dia dah maafkan aku. Kami pun berkawan seperti biasa.

Dalam masa aku berkawan dengan A, aku dapat tahu dia telah ditukarkan tempat kerja ke negeri yang sama tempat aku lahir. Aku mestilah gembira apabila mendengar berita itu. Tetapi, pada masa itu aku di tempat belajar yang nun jauh di sana. Dengan kesibukan aku sebagai pelajar lagi-lagi dah semester hujung2, banyak la kerja yang aku perlu fokus.

Dan sedikit sebanyak punca itulah yang membuatkan aku sekali lagi mengabaikan dia. Jujur selama aku belajar, aku langsung tak cari lelaki lain. Aku jenis yang fokus pada satu perkara sahaja, dan tanpa aku sedari aku mengabaikan yang lain.

Aku pun dah memaklumkan pada A, bahawa aku tidak boleh diganggu semasa final week & final exam. Jadi, kami tidak berkomunikasi selama beberapa bulan. Aku fikir A faham aku. Jadi, duduklah dia di tempat baru dan berusaha membiasakan dirinya dengan suasana baru seorang diri tanpa sokongan.

Tamat sahaja final exam, seminggu selepas itu aku perlu terus lapor diri sebagai pelajar intern. Alhamdulillah, aku praktikal berhampiran dengan tempat tinggal aku. Bermakna, aku pun dekat dengan A.

Sejak aku praktikal 2 bulan yang lalu, aku perasan perubahan pada diri A. Daripada cara chat dan juga perangai. Dia selalu balas lambat2. Ada satu tahap, A hide last seen & bluetick. Aku pada mulanya, tak ambil kisah sangat. Tapi, lama-lama aku semakin curiga.

Aku pernah juga menyatakan luahan hati aku, dia membalas itu semua perasaan aku sahaja. Tapi sebenarnya tidak. Selepas aku berjumpa dengan A, perangai dia semakin berubah. Ajak call, dia mengelak. Ajak chat, katanya penat dan busy. Ya, aku faham. Tapi semakin hari, dia semakin tiada masa untuk aku. Padahal dulu, ada sahaja masa yang diluangkan untuk aku.

Sampai satu tahap, aku meluahkan perasaan kurang senangku terhadap kelakuannya yang sudah lain pada mata aku. Tanpa disangka-sangka, A berkata dia dah tiada hati dengan aku. Dah tawar hati. Aku bertanya siapa aku pada dia. Dan A berkata aku hanya kawan sahaja. Hati aku hancur jugak bila baca.

Habis selama ni, kenapa letak emoji love bagai? Kenapa update story yang sweet2? Kenapa ambil berat tentang aku daripada aku makan apa setiap hari sehingga satu tahap aku sakit pun A mengambil berat tentang aku. Kenapa tak tolak masa kami berdua bersetuju untuk jumpa? Kenapa layan aku macam dulu-dulu sama macam kami bercinta dulu? Kenapa bagi aku harapan? Kenapa dan kenapa?

Dan alasannya, takkan pelawaan daripada seorang kawan dia hendak tolak. Aku pun terkedu di situ cuba menghadam kembali apa yang diperkatakan dan flashback kembali moment2 dahulu.

A meluahkan yang dia struggle gila dahulu semasa aku tinggalkan dia. Apabila, dia dah move on, aku pulak datang kembali berharap untuk kembali macam dahulu. Ya, aku mengaku aku silap sebab abaikan dia. Tapi, aku mahu tebus kembali apa yang aku telah lakukan pada dia. Aku cuba ambil hati dia. Tapi, hati dia dah tak ada pada aku.

Aku tak mampu untuk meneruskan perbualan lagi dengan dia. Aku takut, makin banyak kata-kata dia yang akan buat hati aku pedih. Aku ambil keputusan untuk undur diri tanpa sebarang kata terakhir atau amaran. Dan sehinggalah pada hari ini. Aku menyepi manakala dia seperti biasa tidak akan sesekali merayu atau memujuk aku kembali. Aku tahu perangai dia.

Biar pun berat untuk aku move on, dan hampir setiap hari berendam air mata,aku harap aku dapat lupakan dia. Aku doakan A berjaya dalam kehidupannya. Dan dia tak perlu lagi jumpa perempuan macam aku.

Benarlah, lelaki kalau dah tawar hati, dia takkan berpaling ke belakang lagi, walaupun dia seorang yang sangat mengambil berat tentang aku pada masa dahulu. A serba serbi baik pada mata aku. Keluarga aku juga suka padanya.

Aku beranggapan, dengan dia berpindah dekat dengan aku merupakan salah satu jalan yang Allah tunjuk bahawa dia jodoh aku. Tapi rupanya tidak. Dan aku berusaha untuk terima semua itu.

Ini sahajalah cerita aku. Maaf kalau bosan. Aku cuma mahu meluahkan sahaja isi hati aku. Ingat, kalau dah dapat insan yang baik, jagalah dia sebaik mungkin. Jaga hati dia jangan sampai satu masa, dia tawar hati dengan kita.

Doakan aku untuk kembali tersenyum. Maaflah kalau rasa confession ni sampah. Terima kasih.

– Mimi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. Saya pun nak meluah juga. Saya tahu ada yang senasib dengan saya di luar sana. Saya lelaki, dan dah beri effort. Betul kata mimi, kalau dah dapat lelaki yang baik, jaga lah.

    Pasangan saya seorang yang baik. Saya tidak nafikan, tapi kadang rasa dihargai juga perlu. Saya kadang sampai tawar hati. Berulang-ulang kali saya yang dipersalahkan. Betul kena sabar, tapi kalau setiap hari? Rasa di hati mahu putuskan hubungan. Tapi saya selalu fikir, betulkan keputusan ku? Lepas kawin, bahagia kah aku?

    Aku jenis yang tak kisah sangat. Mudah pasrah kata orang, janji aku dah usaha, apa pun ketentuan Allah, itulah yang aku terima. Jadi andai kata takdir Allah memisahkan kami, aku redha. Mungkin aku bukan yang terbaik untuk dia.

  2. Jalan cerita awak dgn saya lebih kurang sama cuma tak pernah bersua muka lagi..kami putus beri ruang masing² utk tenangkan fikiran, andai jodoh itu menetapkan utk kami bersama, maka bulan 1 nanti dia datang balik mesej saya. Fi amanillah maafkan saya kalau selalu menyakiti awak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *