Moknit

Assalamualaikum buat para pembaca sekalian, kisah ini mempunyai 2,500 patah perkataan tau. Estimated masa yang diperlukan untuk seseorang pembaca adalah lebih kurang 10 minit.

Juga, saya memohon maaf kerana terdapat penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam kisah ini.

Artikel ini diulangsiar, cuma, terdapat banyak penambahan maklumat yang saya dapat dari seorang doktor haiwan. Selamat membaca semua!

Sedang aku membuat kerja di pejabat seperti biasa, tiba-tiba aku ditegur oleh rakan sekerja yang bernama Hanif.

“Kenapa kau nampak macam sedih ni?”

Memang aku mengaku bahawa aku tengah bersedih. Aku tak dapat nak sembunyikan rasa kesedihan yang berada dalam jiwa aku, biarlah sejauh mana aku cuba sorokkannya.

Mimik muka aku sewaktu itu sudah cukup menceritakan bahawa perasaan sedih dari dalam hati ini tidak tertanggung rasanya.

Dengan mata yang bengkak, hitam, merah dan air mata yang diempang, aku menjawab persoalan Hanif dengan suara yang tersekat-sekat,

“Kucing aku mati”.

Dia bagai nak tergelak mendengar jawapan sedemikian. Air mukanya menunjukkan seolah-olah dengan ayat “Takkanlah kucing mati pun nak emosional?”.

Beginilah apa yang berlaku dan seringkali berlaku. Perasaan sedih kehilangan teman, walaupun bukan manusia difikirkan dan dianggap sebagai emosional tak bertempat.

“It was just a cat”… itulah ayatnya, yang menjadi ibarat skema jawapan setiap kali berhadapan dengan seseorang yang sedang bersedih akibat kehilangan haiwan peliharaan.

Hal ini kadangkala dipandang remeh, namun, beginilah, biar aku cerita mengenai kucing aku yang bernama MokNit ni.

Beberapa bulan yang lalu, aku sedang melalui fasa kehidupan yang amat teruk.

Hal ini ditambah lagi dengan aku yang tinggal di sebuah rumah berseorangan. Kawan yang aku ada hanyalah kawan sekerja. Aku sengaja pulang ke rumah pada lewat petang dan ke tempat kerja awal pagi lagi.

Kehidupan aku kelabu, mendatar dan monotonous. Kerja, kerja dan kerja. Kawan yang ada hanyalah untuk berbincang mengenai statistik penyelidikan dan data pesakit.

Bukan aku tidak mahu bersosial, namun aku secara mudahnya tiada masa untuk bersosial. Aku sewaktu itu belum ada sesiapa dalam hidup aku, dan secara jujurnya, memang aku rasa kehidupan aku amat membosankan.

Rutin yang sama setiap hari diulang-ulang sehinggalah pada satu hari, sedang aku membuat kerja di kawasan rumah aku, aku terdengar bunyi anak kucing yang mengiau di balik semak yang terletak berhampiran dengan taman bunga di belakang kawasan perumahan aku.

Aku intip perlahan-lahan, dan sekilas pandangan aku kepadanya sahaja, aku sudah jatuh cinta pada kucing ini kerana mukanya sangat comel dan warna bulunya menarik minat aku.

Walaupun sukar untuk menangkapnya, tetapi, aku akhirnya berjaya dengan memujuknya datang kepada aku secara perlahan-lahan.

<Fakta kucing Mula>

Untuk memudahkan anda semua approach kepada kucing liar, terdapat beberapa kaedah yang akan memudahkan anda serta meyakinkan kepada kucing tersebut bahawa kedatangan anda bukan untuk mencederakannya.

Antaranya adalah jangan melihat matanya secara langsung (direct eye contact), jangan terus berjalan menuju ke arahnya (jika boleh, jalan perlahan-lahan seiringan dengannya).

Kemudian, rendahkan badan anda untuk berada sama level dengannya. Buka dan tunjuk tapak tangan anda (yang kosong) dan sekiranya dia dah tak berapa nak lari sangat, gunakan jari telunjuk anda untuk mendekati bahagian muka atau hidungnya.

Kecilkan mata anda dan kelip secara perlahan-lahan. Hal ini semuanya berkaitan dengan building a rapport to a cat.

Sekiranya semua kaedah tersebut gagal, terdapat 2 kemungkinan iaitu kucing tersebut memang spesis yang sangat liar seperti kucing hutan, atau yang kedua, mungkin itu bukan kucing. Mungkin itu harimau ataupun singa kot.

<Fakta Kucing Tamat>

Aku membawa masuk kucing tersebut dan memandikannya. Umur MokNit pada pengamatan aku berkemungkinan bahawa ianya dalam lingkungan 2 hingga 3 bulan.

Setelah itu, aku ke kawasan kejiranan rumahku dan membuat posting di media sosial untuk bertanya, adakah kucing ini milik orang lain.

Aku takut, kerana kucing itu mungkin kucing yang bertuan kerana badannya agak gempal (bukan cacing okay :P), fizikal yang tidak sama kita lihat untuk kucing jalanan.

Setelah aku pasti kucing tersebut kucing yang tidak bertuan, aku terus keluar semula malam itu juga untuk membelikannya makanan, pasir kucing (cat litter) dan juga leash. Disebabkan tubuh kucing ini gemuk, tetapi dia agak kenit, maka aku beri nama dia sebagai MokNit.

Kedatangan MokNit ini betul-betul mengubah kehidupanku. Pada malam pertama dan kedua, aku selalu nampak MokNit ni menguli tangan aku.

Aku rasa gembira, namun sedikit sayu apabila aku mengetahui sebab mengapa kucing membuat perbuatan menguli (kneading) ini.

<Fakta kucing Mula>

Kneading adalah salah satu perbuatan kucing yang mempunyai pelbagai sebab. Sama ada dia memang menyayangi kita,

Atau cuba memastikan tempat dia tidur itu sesuai untuk dirinya dan juga mengaktifkan kelenjar untuk menandakan kawasannya ataupun tuannya itu miliknya.

Namun, yang sedihnya, untuk MokNit, disebabkan umurnya dianggarkan dalam 2 hingga 3 bulan, perbuatan itu sebenarnya adalah sebagai satu cara untuk mengaktifkan kelenjar susu ibunya.

Semakin kuat kneading tersebut dibuat, semakin sayang lah dia pada tuannya. Perbuatan tersebut juga sedikit sebanyak merungkaikan bahawa kucing ini sama ada dipisahkan atau terpisah daripada ibunya.

Di Malaysia ini, kes membuang kucing yang dijaga elok semasa kecil merupakan satu perkara biasa.

Kucing yang tidak pernah mengetahui kehidupan di luar, tak reti meminta makanan daripada stranger, terdedah kepada ribuan penyakit dan juga tak tahu nak berlawan dengan kucing lain yang dibuang begitu sahaja selalunya tidak akan bertahan lama.

Dia akan dibuli oleh kucing lain, disepak terajang oleh manusia lain serta perlu mengharungi segalanya.

Itulah sebabnya mengapa aktivis dan pencinta haiwan ini amat marah apabila tuan kucing ini menganggap bahawa ianya barang permainan, dan boleh sesuka hati untuk mencampakkannya di mana-mana sesuka hati mereka.

The instance seseorang itu membuang sahaja kucing tersebut sebab ‘bosan’ dan ‘hangat-hangat tahi ayam’, mereka layak digelar sebagai pembunuh.

<Fakta Kucing Tamat>

Aku ingat lagi yang aku terpaksa batalkan dulu mesyuarat dan program pada petang tersebut kerana kehadiran MokNit. Setiap kali aku balik kerja, aku disambut riang olehnya, mungkin sebab dia betul-betul sayang juga pada aku atau dia betul-betul lapar :)

Waktu malam pula, dia seringkali tidur di sebelah aku, untuk berkongsi kehangatan pada malam yang sejuk. Senang cerita, aku agak gembira dan buat kali pertamanya, aku rasa betul-betul komited untuk membelanya sehingga besar.

Aku usap kepalanya, badannya dan perutnya. Memang tidak pernah puas menciumnya walaupun terpaksa menahan nafas dengan bau mulutnya.

Aku memelihara MokNit di dalam rumah. Aku takut nak melepaskannya di luar kerana bimbang terdapat banyak anjing liar di sekeliling kawasan rumah aku.

Jika dia mahu keluar sekalipun, aku akan pakaikan dia dengan harness, dan berjalan bersama-sama di luar sana.

Orang kata, dan pada tanggapan aku juga sebelum ini, orang yang bercakap dengan kucing itu adalah orang yang tidak waras. Tetapi, sekarang aku mahu katakan kepada orang tersebut, ianya adalah perbuatan yang normal.

MokNit menjadi sahabat kepadaku, memberikan sedikit harapan dan sinar dalam kehidupan aku yang miserable. Betul lah, at least aku hidup miserable dengan peneman.

Macam bagaimana John Wick menyayangi Daisy, macam itulah aku menyayangi MokNit. Hari demi hari, kami berdua menjadi sangat akrab.

Aku dapat rasa betapa bertuahnya aku apabila tuhan menjadikan takdir untuknya untuk terserempak dengan aku di kala aku sedang tiada mood langsung untuk meneruskan kehidupan. Terasa juga doa aku dimakbulkan oleh Nya.

Sudah tentu aku perlu menjaga makan minum dia dan kehidupan MokNit yang hampir kepada 24 jam berada di dalam rumah. Itulah tanggungjawab seorang manusia yang membuat keputusan untuk memelihara apa jenis haiwan sekalipun.

Namun, dugaan hadir kembali kepada aku.

Pada satu petang, aku sedang sibuk menyiram pokok di luar kawasan rumahku, dan tanpa aku sedari, MokNit curi-curi keluar melalui satu lubang udara yang kecil di atas siling, cukup kecil untuk dia meloloskan dirinya untuk keluar.

Sebenarnya, pada hari-hari sebelum hari tersebut, aku memang bawa dia keluar sekali (ada harness), namun, pada hari tersebut, aku keluar menyiram pokok jam 6 petang dan aku perasan MokNit sedang tidur.

Itulah sebabnya mengapa aku menutup sahaja pintu rumah untuk memastikan dia tidak keluar tanpa pengetahuan aku.

Aku tidak menyalahkannya, memang naluri kucing itu dipenuhi dengan sifat ingin tahu. Tapi, benarlah, curiosity kills a cat. Aku masuk semula ke rumah tanpa aku sedari dia berada di luar.

Pada malam tersebut, puas aku mencari dan memanggilnya, namun tidak dijawab dengan bunyi meow yang cukup menenangkan hati mana-mana insan yang mendengarnya.

Pada awalnya, pada tanggapan aku mungkin dia sedang menyembunyikan dirinya di dalam rumah. Namun, pada keesokan harinya, aku mulai bimbang setelah dia tidak muncul-muncul.

Kebetulan pula aku cuti pada hujung minggu. Jadi, dari pagi lagi, aku mula berjalan ke belakang rumahku untuk mencarinya. Entah bagaimana, akhirnya aku nampak dia di balik sebatang pokok turi.

Matanya bengkak, dan darah menitik keluar daripada hidungnya. Aku lihat anak matanya sebelah besar, dan sebelah lagi kecil.

Aku pasti, ini bukan kesan akibat dilanggar kenderaan, atau kesan akibat digigit anjing mahupun kucing liar, ini adalah kesan akibat terhentak kepada sesuatu yang mengakibatkan kesan blunt force trauma yang localized kepada kepalanya sahaja..

Aku segera mengangkat MokNit. Dia kejung, keras, dan lidahnya terjelir keluar tanpa memberikan apa-apa respon terhadap aku.

Memang bahagian otak dan saraf utama affected apabila mana-mana haiwan atau manusia sekalipun akan jadi sedemikian rupa apabila mengalami trauma yang cukup teruk untuk mengakibatkan sawan, pengsan mahupun mati.

Aku letakkannya di dalam rumah terlebih dahulu untuk membawa masuk barang-barang yang aku tinggalkan di luar.

Nasib aku baik kerana aku perasan terdapat dua orang budak kecil ni, anak kepada jiran aku mungkin nampak apa dan siapa yang melakukan hal demikian kepada MokNit.

Aku menghampiri mereka dan bertanya, budak berusia 10 tahun tersebut menjawab,

“Ada pakcik sebelah rumah ni, dia baling kucing ni lepas tu dia sepak”

Aku menggeletar kemarahan mendengar jawapan budak itu yang menceritakan bahawa MokNit dibaling sebelum disepak, ibarat seorang goalkeeper yang menyepak bola dari tangannya. Masa itu, aku dah hilang kawalan.

Mana taknya, sepanjang aku memelihara MokNit, tak sekalipun aku memukulnya, mahupun memarahinya, inikan pula menyepaknya dengan begitu kuat pada bahagian kepala dengan sedemikian rupa.

Aku cuba bertenang, dan membawa MokNit berjumpa dengan doktor haiwan di klinik haiwan kerajaan. Katanya, terdapat darah yang beku pada otak belah kanan MokNit, namun doktor tersebut mengatakan, tiada apa yang boleh dilakukan pada waktu itu.

Kena bagi masa otaknya kurang bengkak, dan kemudian barulah boleh dibedah. Dalam perjalanan pulang, MokNit kelihatan memberi respon kepada aku semula. Dia mulai sedar dan badannya tidak lagi keras.

Setibanya di rumah, aku terus berjalan menuju ke rumah orang yang menyepak MokNit. Lelaki berumur 40-an itu seboleh-boleh tidak mahu mengaku pada awalnya.

Jadi, aku memanggil budak yang aku jumpa semalam dan menjadi saksi perbuatan orang tua cilaka itu. Aku bertanya secara direct kepada budak itu di hadapannya.

Tatkala dia tahu perbuatannya itu terbongkar, orang tua tersebut serta-merta menukar jawapannya, dan kali ini, menyatakan bahawa MokNit mencuri ikan dan seringkali berak di kawasan rumahnya.

Aku tahu dia menipu kerana MokNit sebelum ini tidak pernah keluar kecuali apabila aku berada di luar rumah juga.

Entah bagaimana, perbincangan dan percakapan aku yang lembut pada asalnya berubah menjadi pertengkaran. Tiba-tiba dia mencapai batang penyapu untuk memukul aku.

Aku ni pun bukan pandai sangat berlawan mahupun bergaduh, tapi aku tahu di mana sasaran untuk menumbuk jika berhadapan dengan penyerang.

Sama ada di bahagian kemaluan ataupun di bahagian dagunya. Entah bagaimana, mungkin nasib baik sahaja apabila satu tumbukan aku tepat terkena pada dagunya, yang menyebabkan dia rebah serta merta.

Budak yang tadinya berdiri di situ terus berlari ke rumahnya, dan memanggil ibunya kerana terlalu takut.

Aku susuli dengan sepakan demi sepakan saat untuk memberi ‘makan’ kepada nafsu amarah yang menyelubungi minda aku apabila aku teringat apa yang dia lakukan kepada MokNit. Pakcik itu mula menjerit,

“Berhentilah oi, anak aku OKU. Anak aku OKU. Kau tak kesian aku ke?”

Aku peduli apa. Bukan anak dia yang OKU tu yang mencederakan kucing aku, tetapi dialah yang membuatnya.

Keadaan juga jadi kecoh, dan makcik pakcik bawang mula ke arah kami berdua. Mereka menasihati aku untuk menyelesaikannya di balai polis.

Aku pun bersetuju, dan membawa budak yang menjadi saksi itu sekali ke balai polis setelah meminta kebenaran ibunya. Pakcik itu pula menjerit dan mengarahkan isterinya untuk memandu kereta ke balai polis bersamanya.

Aku meletakkan kenderaan di tepi jalan balai polis tersebut, dan aku lihat, dia juga meletakkan kereta bersebelahan dengan aku. Dia keluar dengan muka yang masih lagi tidak berpuas hati.

Tetapi, tiba-tiba sahaja isterinya berkata kepada aku supaya membatalkan sahaja hasrat atau apa-apa perbincangan yang melibatkan polis.

Hal ini kerana dia tahu bahawa suaminya itu yang bersalah, dan melibatkan pihak polis dalam urusan ini hanya akan membuatkan hal ini semakin rumit dan besar.

Aku bersetuju sahajalah, memandangkan pada awalnya, dia yang beria-ria nak membawa kes ini sehingga ke balai polis.

Aku menghulurkan tangan untuk bersalam kepada orang tua itu untuk berdamai, namun tak diendahkan. Aku pelik bagaimana aku tak kena stroke semasa itu sebab aku memang teramat marah dan di trigger sekali lagi sedemikian rupa.

Aku pun balik semula ke rumah, dan menjaga MokNit seeloknya sehingga dia menjadi agak normal. Pada beberapa minggu yang utama, MokNit sudah boleh berjalan kembali walaupun pergerakannya sedikit abnormal.

2 bulan kemudian, bengkak di matanya sudah mulai susut sepenuhnya, dan aku rasakan, inilah masa yang sesuai untuk aku membawanya untuk pembedahan itu.

Aku ke klinik swasta memandangkan aku perlu menunggu masa yang agak lama untuk MokNit mendapatkan rawatan. Doktor tersebut yang diberikan gambar scan dan X-ray mula merancang prosedur tersebut.

Dia menjelaskan kepada aku tentang risiko pembedahan dan berterus-terang menerangkan kepada aku bahawa pembedahan sebegini rupa yang dibuat kepada kucing yang berusia 3-4 bulan ini amat tinggi.

Aku ingat lagi beberapa jam kemudian, doktor tersebut menghampiri aku sambil menggelengkan kepalanya.

MokNit maut di atas meja pembedahan kerana pendarahannya tidak terkawal dan terlalu teruk. Aku menerima sahaja mayatnya, nak sebut bangkai pun aku rasa tidak patut.

Aku membawa pulang MokNit ke rumah aku. Aku belai dan usap kepalanya. Aku tak ingat berapa puluh kali aku mengucapkan terima kasih kepadanya yang menemani diri aku walaupun sekejap.

Aku menggali lubang di tempat yang sama aku terjumpanya buat kali pertama di belakang rumah aku. Sebatang pokok bunga aku letakkan berhampiran dengan kuburnya, dengan harapan aku tidak akan melupakan MokNit selamanya selagi pokok itu masih hidup.

Aku rasa, waktu aku meletakkannya di dalam lubang tersebut, mengusap kepalanya buat kali terakhir, hati aku hancur luluh dan berkecai. Ibarat ditikam-tikam dengan duri. Aku memasuki rumah, dan apabila aku ternampak bekas makanannya, dan rantainya, aku menangis.

Aku rasa sakit di bahagian dada aku kerana aku tak sangka, betapa mendalamnya kesan kematian kucing ini pada diri aku. Hari-hari kemudiannya, semuanya kelam semula.

Aku dah jadi hampir tak betul kerana menangis tak tentu pasal. Aku ingat juga semasa aku ke sebuah klinik haiwan merangkap pusat jagaannya untuk memberi sedekah barangan-barangan kucing seperti makanan, pasir dan lain-lain kerana aku simply tidak boleh melihat barang-barang tersebut.

Tiada lagi peneman dalam hidup aku. Tiada lagi bunyi mengiau meminta-minta makanan mahupun ingin dibelai.

Kematiannya mengubah hidup aku. Kematiannya memberi pandangan daripada perspektif yang baru terhadap haiwan yang aku sangka selfish, arrogant dan sentiasa kelaparan. Aku tak pernah rasa kesedihan sedemikian rupa.

Akan tetapi, beginilah pengakhirannya. Orang lain tidak tahu bagaimana rasanya, dan mereka ketawa tatkala mendengar kesan kematian haiwan peliharaan ini yang mampu membuatkan seseorang lelaki dewasa itu menangis. Tetapi, apa yang boleh dilakukan?

Mereka tidak faham apa yang berlaku. Mereka tidak faham kasih sayang yang aku curahkan kepada sesuatu makhluk, dan impaknya apabila tiba masa ajalnya untuk meninggalkan aku.

Parut akibat kehilangan MokNit yang berada di dalam hati aku tak akan hilang buat selamanya. Aku sebelum ini bimbang akan kewujudan anjing liar, musang dan macam-macam haiwan di sekitar rumah aku yang boleh mencederakan haiwan peliharaan sesiapa pun.

Namun, tanggapan aku salah. Aku tak perlu risau akan haiwan-haiwan liar, yang perlu aku risaukan adalah manusia. Manusia yang berhati hitam.

So no. No such thing as ‘It was just a cat’.

P/s – Special thanks to Dr Tan and Muar Noah’s Ark Veterinarian’s staff for the information you gave to me in regards to <fakta kucing>.

I don’t know whether you still remember me or not because it has been quite sometimes already. I’m the guy who brought a few packets of dry food among other things to your clinic.

I just hope the spay/ neutered program will always be continues after all these Covid issue settle.

– ILZANNO SHARKY

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *