Pagi ni sebelum masuk kerja aku tak dengar ceramah agama di youtube macam pagi-pagi yang aku selalu buat sebelum masuk kerja jam 10. Aku dengar lagu Bukan Cinta Aku ost drama Bukan Cinta Aku lakonan Jannah Nick & Shafiq Kyle. Aku bukan jenis yang selalu mendengar lagu. Tapi bila teringin sangat nak dengar, lagu ni je la yang aku layan. Aku ulang main berulang kali.
Bila dengar lagu Bukan Cinta Aku, fikiran aku selalu teringat pada hal yang pernah terjadi antara aku dengan seorang lelaki yang sangat aku cintai. Sampai sekarang pun hati aku masih terlalu kuat mencintai dia.
Terbayang awal perkenalan aku dengan dia pada bulan Ogos, 2018. Kami pernah lepak beberapa kali dengan teman-teman yang lain. Sebelum segalanya berubah dan hubungan aku dengan kawan-kawan yang lain mula menjadi rengang. Aku benar-benar rasa kehilangan kawan. Waktu awal perkenalan, aku masih tak begitu kenal dia.
Hinggalah pada awal tahun 2019, hubungan aku dengan dia jadi agak rapat, walaupun hubungan aku dengan teman-teman yang lain dah putus & retak. Dari situ aku mula kenal siapa dia.
Dari awal perkenalan kami lagi hati aku memang sudah mula rasa tertarik pada dia. Tapi, aku diamkan. Mungkin sebab aku masih trauma atas kesedihan cinta yang aku pernah alami sebelum ni. Jadi, aku diamkan saja perasaan aku.
Sebelum Allah beri aku kesempatan untuk mengenali dia, beberapa kali aku istikharah meminta pada Allah agar Allah rapatkan hubungan aku dengan dia sebab aku mahu mengenali dia dengan lebih baik.
Allah perkenankan permintaan aku. Awal 2019, aku dengan dia mula rapat. Bermula bila dia memerlukan pertolongan aku sebanyak 2 kali. Lepas hampir 6 bulan tak berjumpa dia sejak Oktober 2018, dia mengajak aku keluar teman dia jalan – jalan. Aku tak pernah menolak permintaan setiap kali dia ajak.
Pertama kali keluar berdua dengan dia, Allah perlihatkan aku siapa dirinya yang sebenar. Allah benar-benar mengkabulkan doa aku.
Rupanya dia seorang penagih dadah jenis crystal meth. Kali pertama aku keluar dengan dia, aku tengok dia hisap benda tu. Tapi aku tak tahu apa yang dia hisap. Aku seorang perempuan yang naif tak tahu apa-apa. Aku minta hisap sikit sebab aku ingat itu macam vape atau sisha. Aku tidak hisap vape dan sisha.
Tapi, hari tu aku seperti mahu mencuba apa yang dia hisap. Pertama kali hisap, aku hampir pengsan, tapi sekejap je. Hampir pengsan tapi tak pengsan cuma kepala aku tiba-tiba rasa ringan. Dia sendiri gelabah bila aku tiba-tiba hampir hilang sedar. Hingga lah dia beritahu aku benda tu sebenarnya adalah sejenis dadah.
Hancur kan hati bila tahu lelaki yang selama ni kau ada perasaan dekat dia rupanya seorang penagih dadah? Aku mula tahu hal-hal lain berkenaan diri dia. Dia seorang penganggur, tapi familinya agak berada jadi hidup dia tak lah begitu melarat.
Dia bawa aku keluar pun naik kereta papa dia. Zaman lampau dia penuh dengan dosa, dadah, zina, minum arak, dan berjudi (lumba kereta haram). Tapi, semua dia dah tinggalkan sejak bermacam kafarah menimpa dirinya, kecuali dadah dia masih belum kuat untuk berhenti.
Pelbagai kafarah yang dia terima akibat dosa lampau. Benarlah janji Allah, 2 dosa besar yang Allah akan segerakan di dunia hukuman untuk pelakunya adalah zina & derhaka kepada ibu bapa. Aku tahu hidupnya tak sempurna seperti kebanyakan lelaki lain. Aku menasihati dia supaya bersabar atas ujian yang Allah berikan, dan segerakan bertaubat.
Sepanjang keluar dengan dia, cuma sekali dia pernah sentuh aku. Sentuh di dahi aku untuk rasa suhu badan aku panas atau tidak waktu aku hampir pengsan bila hisap dadah tu malam tu.
Aku kagum dengan dia, sebab walaupun dadah tu mampu buat nafsu seksual seseorang tu mencanak, tapi dia masih mampu menahan diri dia dari buat yang tak elok pada aku setiap kali kami keluar bersama. Sebab tu aku berani keluar dengan dia sebab aku yakin kemampuan dia menahan diri dari menyentuh aku. Setiap kali dia ajak aku lepak, dadah tu la yang dia hisap untuk hilangkan tekanan dalam jiwa dia.
Allah benar-benar menjaga kehormatan aku dan aku bersyukur kepada Allah sebab Allah menahan dirinya daripada berbuat tak elok pada aku walaupun dia pernah beritahu aku dia bernafsu pada aku. Aku perempuan yang bertudung, pakaian aku santun, solat aku jaga, aku juga jenis yang selalu mengaji al Quran. Mungkin kerana itu Allah sentiasa menjaga aku.
Semakin banyak yang aku tahu tentang dirinya, semakin jauh Allah takdirkan hubungan aku dengan dia. Dia mula menjauh diri dari aku, dah kurang balas mesej aku, tak call aku lagi macam dulu. Aku mula rasa kehilangan. Satu malam dia call aku dan itulah kali akhir dia menghubungi aku.
Sampai sekarang aku langsung tak tahu apa-apa tentang dirinya lagi. Mesej aku tak dibalas, call aku tak dijawab, cuma deringan yang panjang tanpa jawab. Wasap aku dia block, mesej aku di Telegram langsung dia tak baca walaupun dia online.
Aku yakin ada hikmah kenapa Allah jauhkan dia daripada aku. Allah nak lindungi aku daripada zina & dadah. Aku mula dekat dengan Allah untuk rawat hati sebab aku benar-benar terasa kehilangan dia.
Banyak sms yang aku hantar padanya menasihati dia tentang agama, mati, dosa, pahala, syurga, neraka. Aku yakin dia baca cuma dia tak pernah balas. Aku redha. Dalam doa aku tak pernah aku lupa mendoakan kebaikan untuk dia di dunia dan akhirat. Semoga Allah selalu menjaga dia.
Jauh dalam hati, aku harap dialah jodoh aku. Sebab aku sayangkan dia. Aku berdoa dia berubah jadi baik, dan Allah kembalikan lagi dia kepada aku dalam keadaan dirinya sudah baik.
Bagaimana aku menjaga cinta aku untuk dia walaupun bayang-bayang dia pun aku tak nampak dah sekarang?
Setiap hari aku berdoa semoga Allah kekalkan rasa sayang & cinta dalam hati aku untuk dia, berdoa setiap hari dia lah jodoh aku di dunia & syurga, aku merayu pada Allah agar Dia tak buang perasaan sayang ni dari hati aku sebab kerana sayang & cinta inilah hati aku masih terus istikamah mendoakan kebaikan untuk dia siang dan malam tanpa jemu.
Bila aku bersedekah, aku niatkan pahala untuk dia, untuk arwah ibu dan bapa aku, dan adik beradik aku. Bila beri kucing makan, aku borak dengan kucing tu supaya mendoakan dia jadi orang baik, pahala beri makan kucing tu aku sedekahkan pada dia, ibu bapa & adik beradik aku. Setiap hari aku cari seseorang untuk aku bersedekah, agar pahala sedekah yang aku niatkan untuk dia sentiasa ada setiap hari. Semoga hal ni dapat menghubungkan aku dengan dia lagi di akhirat kelak.
Manusia yang khilaf kita janganlah menghukum dia dengan kata-kata kesat dan hinaan. Biasa kan kita dengar bila kita tahu teman kita atau orang yang kita sayang terlibat dadah, kita mula memandang hina & rendah padanya. Kita pulaukan dia. Tapi aku memilih jalan berdoa & bersedekah untuk dihadiahkan pahala kepada dia. Semoga Allah menghitung ini sebagai pahala untuk aku dan dia.
Doa. Aku terus berdoa sebab itu kekuatan aku. Hampir 2 bulan aku berdoa untuk dia, tak pernah jemu. Makin hari aku rasa makin seronok berdoa untuknya sebab doa – doa itu aku anggap satu bentuk ibadah aku kepada Allah. Aku yakin Allah akan makbulkan doa aku dan aku tak putus asa. Nabi Zakaria berdoa berpuluh tahun agar dikurniakan anak. Aku akan terus mendoakan kebaikan dia sampai aku meninggal dunia.
Aku yakin masih ada kebaikan dalam hati dia. Sebab sehingga aku pernah berdua-duaan dengan dia pun dia tak pernah mengambil kesempatan untuk berbuat tak baik pada aku. Hati orang-orang yang beriman sentiasa diuji, dan Allah telah menguji kehadiran dia dalam hidup aku.
Aku berserah pada Allah bagaimana Allah mengkabulkan doa aku. Tiga cara Allah mengkabulkan doa hambaNya. Allah beri seperti apa yang kita minta, atau Allah menjauhkan kita daripada marabahaya yang akan menimpa, atau Allah gantikan dalam bentuk pahala yang akan kita dapat di hari pembalasan nanti.
Tiap hari rindu aku pada dia terubat dengan bersedekah & aku niatkan pahala untuk dia, bila aku berdoa untuk dia. Dengan cara tu cinta aku pada dia pun makin mendalam. Kalian yang membaca artikel ini tak perlu lah menyuruh saya mencari lelaki lain yang lebih baik dari dia, sebab kita sendiri tak tahu siapa di kalangan hamba-hamba Allah yang lebih baik di sisi Allah.
Aku tak ragu mendoakan semoga Allah temukan jodoh aku dengan dia walaupun aku tahu dia seorang penagih dadah, menganggur, pernah berzina, berjudi & minum arak. Tapi dalam doa yang sama juga aku mohon Allah tuntun dia agar jadi manusia yang beriman & beramal soleh & dijauhkan daripada kemaksiatan.
Agar 1 hari nanti andainya Allah memakbulkan doa aku berjodoh dengan dia, Allah dah benar-benar mengubah diri dia menjadi yang terbaik sebagai suami aku, pemimpin rumahtangga aku. Kalau Allah makbulkan doa aku berjodoh dengan dia, aku yakin dialah yang terbaik untuk aku walaupun di mata orang lain dia buruk.
Tapi andainya Allah tidak makbulkan doa aku agar bertemu jodoh dengan dia, aku yakin itu juga yang terbaik.
Aku takkan mengamuk menjerit menggila seperti watak Riana dalam drama Bukan Cinta Aku bila Baim Wong pergi dari hidup dia tanpa pesan. Aku takkan seperti Syafiq Kyle dalam drama tersebut yang menghantukkan kepalanya ke tiang rumah sampai berdarah kerana kecewa bila Riana istri dia berkeras tak mahu terima cinta dia.
Tapi apa yang aku akan lakukan adalah, solat, berdoa, bersabar, dan bersedekah. Bagi aku inilah ujian cinta yang Allah sedang timpakan pada aku.
– Beranikan kembali padaku, aku pertahankan seluruh nyawaku – Bukan Cinta Aku ost Bukan Cinta Aku.
Itu saja luahan hati aku.
– ELL (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit