Bismillahirrahmanirrahim .
* saranan untuk baca post di bawah, sambil dengar Layar Keinsafan – Mestica :)
Aku menulis untuk berkongsi. Bukanlah hajat di hati untuk membuka aib diri, tapi biar menjadi panduan dan pedoman buat yang lain.
———-
Aku, berdosa. Pada Tuhanku juga pada mereka.
Macam-macam dah aku buat. Malu aku pada Tuhan.
Malu aku pada bumi dan isinya yang melihat serta menjadi saksi atas peri jeleknya dosaku yang lalu. Mujur dosa tak berbau. Andai dosa itu ada bau, mungkin busuknya aku ini melebihi bangkai, najis bahkan yang lebih teruk!
Dan, sehinggalah satu ketika, aku rasa penat. Rasa lelah. Rasa … bodoh, mungkin. Bodoh dengan perkara yang aku lakukan. Dan ini aku anggap sebahagian daripada rahmat Tuhan buatku sang pendosa. Rasa berdosa, kesal, hina. Kesalahan yang pernah tertulis dalam kitab amalku, biarlah rahsia.
Antara aku dan Tuhan.
Semoga Allah ampunkan kesalahanku yang lalu.
Cuma aku nak kau tahu, Tuhan itu selalu ada untuk kita.
Tuhan Maha Mendengar doa aku, kau dan kita semua.
Dan sungguh, Hidup bertuhan itu nikmat. Aku mengganggap kesalahanku yang lalu itu sebagai pengajaran & pelajaran buat diri yang mana aku tak boleh dapat daripada mana-mana sekalipun, melainkan pengalaman diri yang pernah buat salah.
Tak tahu bagaimana untuk kubermula menukil di sini, tak tahu bagaimana untuk si pendosa sepertiku untuk gambarkan, alangkah bahagianya rasa di hati ini apabila kujumpa jalan pulang. Dan pada kemuncaknya rasa syukur itu adalah apabila aku menangis atas hadiah Hidayah daripada Dia.
Ini beberapa perkara yang aku amalkan saat diri benar-benar rasa ingin lepas dari kongkongan dosa :-
1. Aku mula solat. Belajar untuk menghadirkan rasa bertuhan dalam diri, bukan sahaja dalam solat, tapi juga luar solat.
Jujur aku katakan, saat aku sujud dan dahiku menyembah bumi, ada ruh (perasaan spiritual) yang aku tak pernah dapat sebelum ni. Dengan syarat, kau kena hadirkan SEPENUH jiwa dan raga saat solat, saat kau sujud.
2. Baca bahan ilmiah, dengar benda-benda baik, start cakap yang baik-baik.
Sebenarnya, bila kita mula baca bahan bacaan yang baik serta ada padanya nilai-nilai yang Islam ajarkan, ia yang mampu menjadi pengantara kau mula bercakap-cakap dengan Tuhan. Kau mula berkira-kira dengan dosa kau yang dulu, bagaimana untuk kau bersihkan diri dari kotoran maksiatmu.
Ini adalah antara dua perkara yang aku mula praktikkan ketika nak berubah ..dahulu..
kepada kalian yang punya rasa untuk menjadi dirimu yang lebih baik, melangkahlah. Jangan pernah takut. Allah itu selalu ada untuk aku, kau, kita semua.
———-
Cahaya iman tumbuh di negeri jauh..
tumbuh di jiwa hamba yang haus iman.
cahaya iman,
jadikan manusia mampu melihat walau buta pada awalnya,
jadikan manusia tabah pada masa jatuh,
jadikan manusia kuat pada masa lemah.
Syukur,
Sang Khaliq tetap hidup selamanya tanpa awal tanpa akhir,
boleh untuk aku meminta berlindung,
untuk kini, akan datang… dan selamanya.
Kau manusia yang ada padamu calitan cinta Tuhan,
tebarkanlah kembali cintamu pada Tuhan,
pada Utusan Tuhan,
juga pada insan.
* maaf. aku bukanlah dari kalangan yang pandai menulis.
tapi aku ingin sekali kau rasa, apa yang telah aku rasa..
sipencoretrasa,
[ 2201, 241215 ]
Tanah tandus yang telah Tuhan tumbuhkan
– sipencoretrasa