Cara Menangani Masalah Hidup

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Nama saya Healani dan bukan nak buat confession tapi terpanggil untuk berkongsi tips atau ilmu yang saya perolehi dari guru, dari kelas pengajian Al-Quran yang saya hadiri, dari pembacaan dan Youtube.

Sebenarnya lebih kepada nak komen tentang confession ‘Diari Anak Kupu-kupu’ (https://iiumc.com/diari-anak-kupu-kupu/).

Setelah post komen baru datang ilham untuk berkongsi tips-tips ini. Nak sambung di ruangan komen rasa terlalu panjang sangat. Maka saya kongsikan di sini untuk semua secara umum. Semoga bermanfaat.

Ujian dalam Kehidupan.

Jangan terlalu sedih bila terima ujian atau gembira bila terima nikmat – Surah AlHadid ayat 21-22.

Bila diuji dengan musibah / kesusahan, ucapkanlah ‘innalillah’ dan bersabar. Hidup ini memang tak akan sunyi dari ujian dari Allah, maka bersabarlah. Yang susah akan bertukar senang hanya kita tak tahu bila. Tiada makhluk atau sesuatu situasi – susah / senang yang kekal salamanya.

Jika ada sesuatu yang berlaku atau ujian dalam kehidupan – muhasabah diri sendiri, anggaplah sebagai penghapus dosa silam dengan syarat harus bersabar dan redha menerima segalanya.

Ambil iktibar dari kisah Nabi Yusuf alaihissalam yang menghadapi masalah keluarga, hasad dengki adik beradik dan fitnah manusia. Nabi Yusuf selalu bersikap positif walaupun dalam keadaan tertekan. Selalu bersabar dan bersikap memaafkan.

Imam Syafie berkata – sedangkan Allah dituduh mempunyai anak, Nabi Muhammad difitnah kaumnya, apalagi manusia biasa.

Bila ditimpa ujian, check balik amalan solat, puasa dan zakat. Zakat itu menyucikan harta dan jiwa. Boleh pergi ke Pusat Zakat untuk bertanya dan mereka akan buatkan pengiraan zakat yang harus dibayar.

Untuk zakat pendapatan, kadang jumlahnya sangat kecil sahaja dan tidak mencapai hingga puluhan, ratusan atau ribuan ringgit pun – Ustazah Asma’ Harun.

Bila diuji dengan kesenangan, bersyukurlah – dengan ucapan dan dimanifestasikan dengan perbuatan – contoh bersedekah. Sedekah lah setiap hari – sedikit tanda ingat, banyak tanda ada – Ustaz Abdullah Khairi.

Beri makan kepada fakir miskin dan anak yatim atau bersedekahlah apa saja sama ada wang ringgit, makanan atau barangan.

Solat sunat taubat.

Kalau tak larat nak bangun malam, lakukanlah solat sunat taubat selepas solat isyak, 2 rakaat dan ditutup dengan solat sunat witir 1 rakaat. Lakukanlah setiap malam – Ustaz Abdullah Khairi.

Zikir Asmaul Husna.

Sila rujuk ceramah / tazkirah/ kuliah Ustazah Asma’ Harun di Youtube.

Berdoalah dan minta dengan nama-nama Allah yang agung ini mengikut keperluan.

Contoh untuk mohon rezeki dan kekayaan wang ringgit – Ya Allah ya Fattah ya Razaq Ya Wasi’ Ya Ghaniy Ya Mughni – bukakan lah pintu rezeki yang baroqah seluasnya di dunia dan akhirat.

Allah Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Wadud – berikanlah rasa cinta kasih sayang dalam hatiku untuk menyayangi suami/ isteri/ anak. Jika ada masalah keluarga yang pilih kasih dan emosi.

Ya Quddus – yang membersihkan hati.

Ya Salam – yang sejahtera, sembuhkan sakit.

Ya Mukmin – yang beri ketenangan.

Ya Muhaimin – yang menjaga dan mengawasi supaya lindungi dan selamatkan suami/isteri/anak.

Jangan Putus Asa dalam Berdoa.

Iblis walau derhaka kepada Allah, dia tetap berdoa kepada Allah dan diperkenankan doanya. Rujuk Surah Al Hijir ayat 36 – 42. Maka, jangan berputus asa dengan rahmat Allah, sentiasa berdoa dan meminta pada Allah.

Perhatikan adab dalam berdoa – memuji Allah dan berselawat sebelum meminta apa juga yang dihajatkan. Beristifar dan meminta ampun akan dosa-dosa. Mulailah dengan doa Nabi Adam – Surat Al A’raf ayat 23 dan doa Nabi Yunus – Surah Al Anbiya’ ayat 87.

Jangan Ambil Peduli Hinaan Orang.

Allah telah perintahkan malaikat dan iblis untuk sujud kepada manusia iaitu Nabi Adam Alaihissalam, maka tiada hak bagi manusia untuk menghakimi (menghina, judge) manusia lain. Allah sahaja yang akan membalas perbuatan buruk mereka – Surah Al Hijir: 30 – 35.

Kebahagiaan itu Redha dan Ketenangan.

Selalu fikir yang baik-baik, berkata yang baik-baik, berdoa yang baik-baik dan lakukan amal perbuatan yang baik-baik, insyaAllah akan berlaku yang baik. Akhirnya, apa yang kita sebagai hamba Allah inginkan ialah mati dalam pengakhiran yang baik.

Semoga bila kita kembali kepada Allah, kita disambut dengan, “Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Rabb-mu dengan hati yang puas lagi di-ridhai-Nya! Kemudian masuklah ke dalam (jamaah) hamba-hamba-Ku, Dan masuklah ke dalam surga-Ku”. Surah Al-Fajr 27-30.

Saya doakan semuanya dirahmati Allah dalam kehidupan dan diberi kejayaan di dunia dan akhirat. Aamiin.

Wassalam…

– Healani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *