Untuk part I, (https://iiumc.com/catatan-anak-tunggal/).
Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Waktu menunjukkan jam 10.52 minit pagi untuk tarikh 22 Oktober 2020 ini. Pagi ini, cuaca sejuk sangat dan agak sedikit sepi berbanding hari-hari biasa.
Alhamdulillah syukur, bahagian pertama ceritaku telah disiarkan semalam. Pantas admin IIUM Confession melakukan tugas. Terima kasih pada admin, pada pembaca, pada pengkomen dan lain-lain.
Saya membaca kesemua komen-komen anda dengan linangan air mata yang tiada henti. Terima kasih kerana memberikan maklum balas yang postitif.
Sedikit pembetulan mengenai garis masa, ibu meyertai GiatMara pada Tahun 2006 dan ketika itu beliau berusia 33 Tahun. Selain itu, berkaitan komen yang meneka umur ku 30 tahun.
Jawapannya, tidak. Umurku belum mencecah ke 30, kerana pada tahun 1996, ketika ibu mula bekerja di kilang, aku baru berusia 1 tahun. aku tahu semua cerita ini, hasil daripada curhat bersama ibu hampir setiap hari.
Baiklah, bahagian kedua ini topiknya mungkin terarah kepada pengalaman aku bersekolah dan membesar.
Ya, sejak kecil aku langsung tiada memori dengan ayahku. Cuma yang dapat aku lihat adalah beberapa keping gambar ketika aku sangat kecil, semua posisiku adalah dalam kendongan seorang ayah.
Oleh kerana, aku tinggal bersama datuk dan nenek, atoklah orang yang kurasakan seperti ayah. Aku tak pernah merasa kurang sehingga aku tidak pernah bertanya dimanakah ayahku.
Atok berperanan sebagai seorang ayah yang sangat hebat di mata aku. Hari pertama aku ke sekolah tadika, adalah pada usia 5 tahun.
Atok yang menghantar aku ke sekolah dan atok juga bertindak seperti ibu dan ayah orang lain iaitu Atok menunggu aku di tepi tingkap untuk sepanjang hari itu.
Ibu tak dapat menghantar aku, kerana dia perlu bekerja. Lagipun, ibu tak tahu bawa motor.Jadi, walau macam mana sekali pun memang atok yang akan hantar aku.
Kisah yang hampir sama berulang ketika aku menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Masih atok yang hantar dan ambil aku dari sekolah setiap hari.
Oh ya, selain aku, atok juga berbuat perkara yang sama untuk ibu. Allahuakhbar, sebak bila melihat semula pengorbanan atok. Tak kira panas hujan, siang malam dia menjaga kami.
Pada hari ambil keputusan peperiksaan, atok juga yang datang. Ketika darjah 2, aku mendapat nombor 30/33 di dalam kelas. Atok tak marahkan aku, cuma dia kata nombor aku banyak sangat. Boleh pulak aku tanya dia, bagus ke kalau nombor tu banyak.
Dia cakap bagus sebab aku dapat nombor 3 dari belakang dan terus berdiam diri. Ketika itu, aku sangat kecil kerana aku masih belum mengerti apa yang atok maksudkan.
Episod itu tak habis disitu, ia bersambung bila aku menunjukkan kad penilaian peperiksaan itu kepada ibu. Ibu agak terkejut melihat keputusanku yang begitu teruk.
Tetapi, dia tidak memarahi aku dengan begitu teruk kerana bagi dirinya, keciciran itu datang daripada kesalahannya yang tidak dapat menumpukan perhatian pada diriku.
Tindakan yang dia ambil adalah, dia menceritakan pentingnya belajar rajin-rajin untuk berjaya.
Dia memberi tahu aku, bahawa dia mungkin tiada masa untuk memantau atau menemani aku belajar, kerana dia perlu bekerja untuk memastikan aku dapat bersekolah dengan baik.
Ketika itulah, kematanganku dipupuk bila aku mulai faham mengapa ibu bekerja setiap hari. Aku mula belajar dengan baik, setiap kali majlis anugerah namaku pasti tidak tertinggal.
Walau tidak dapat merebut tempat pertama, kedua ketiga, tetapi rezekiku tetap ada dalam kategori matapelajaran terbaik. Anugerah bacaan nilam juga, aku yang sapu.
Aku tak sedih jika ibu tidak melihat ku naik ke pentas, kerana dia sentiasa ada dalam jiwaku dan nafasku.
Pada tanggal 01.01.2008. Aku kehilangan atok. Itulah tarikh keramat dalam diri aku. Aku kehilangan orang yang menjagaku, memanjakanku, mengajarku.
Atok sering berkebun, menukang, memasak, mengasah pisau dan parang, menyapu halaman rumah dan akulah pengikut kenitnya walau sering dimarahi kerana dia kata,
“Ini semua kerja-kerja lelaki. Biar atok yang buat, kamu masuk ke rumah”. Tetapi, aku tak pernah menghiraukannya.
Hasilnya sehingga kini, aku masih lagi melakukan kerja-kerja tersebut kerana hanya ada aku, nenek dan ibu yang duduk di kampung ini. Setakat tebang pokok pisang tu, perkara biasa bagiku.
Baru semalam aku mengupdate gambar batu asah yang dah lama aku cari, sebab gunting yang ibu gunakan untuk potong kain dah semakin tumpul, dari asik beli baru lebih baik kita asah.
Pisau dirumah juga semakin tak lut orang kata. Mungkin ada yang tahu, siapa diriku kan..
Seterusnya, tahun berganti tahun. Aku dapat melayakkan diri ke sekolah asrama untuk tingkatan 4 dan 5. Jauh, di Negeri Sembilan letaknya sekolah tersebut.
Sebelum aku pergi ke sana, aku sempat mencuri-curi baca mesej ibuku terhadap kawannya yang juga ibu tunggal.
Mesej itu berbunyi “cepat masa berlalu, dia dah besar sekelip mata. Belum puas untuk jaga dia, dia nak pergi jauh” masa baca mesej tu aku rasa macam tak nak pergi. Tetapi, aku terus dengan keputusanku dengan niat agarku peroleh pengalaman.
Cuti sekolah, aku pulang ke kampung. Aku curi baca mesej dia lagi, almaklumlah cikgu-cikgu di sekolah galakkan pelajar membaca, tetapi mereka tak pernah bezakan mana perlu baca, mana Tak boleh baca.
Mesej itu bilamana ada kawannya bertanya bagaimana, dia mampu melepaskan anak yang seorang itu jauh darinya sedangkan dia ada tiga orang nak pun tidak mampu. Jawapan ibu adalah,
“Kami berdua je dalam hidup ini.Dia ada aku. Aku ada dia. Aku dan dia perlu belajar jika salah seorang dari kami tiada, kerana jika tidak, pasti akan menjadi gila”.
Beginilah ibu, dia akan sentiasa positif. Dia akan menggantikan sesuatu yang merisaukan kepada perkara yang lebih menyenangkan.
Ibu hanya memenuhi masanya dengan bekerja. Ibu seorang yang introvert, dia tidak mempunyai ramai kawan. Sebelah tangan pun tiada.
Tetapi, jika pelanggan ke kedai kami, pasti akan datang lagi semata-mata mahu bersembang atau sesi curahan perasaan selain daripada menempah baju. Kata- kata ibu banyak memberikan inspirasi jika anda dengar dari mulutnya sendiri.
Yelah, ibu dulu bukan lah tidak pandai tetapi disebabkan kesusahan dalam keluarga dia memilih untuk bekerja. Setelah berada dalam perkahwinan yang agak singkat, dia membesarkan aku.
Dia tidak mahu mencari kerja di jabatan-jabatan yang ada ketika itu kerana tidak mahu berjauhan denganku.
Kerja yang berdekatan ketika itu hanyalah di kilang jahit yang terletak di pekan. Dengan memilih bekerja disitu, dia dapat bersama dengaku setiap hari meskipun dengan gaji yang sedikit kecil.
Aku pasti, hingga ke saat ini pasti 95% daripada ibu-ibu akan melakukan hal yang sama dan ketahuilah kalian sangat hebat.
Aku doakan, anak-anak kalian akan jadi orang yang hebat, dengan hanya anda memberikan kefahaman tentang apa yang mereka sedang lalui ketika ini.
Seterusnya, saya menyambung pengajian ke peringkat diploma. Disini cabaran bermula, bila ibu sering sakit-sakit. Sakit yang mana bila pergi ke hospital dan klinik, segalanya okay. Sakit yang hanya hadir bilamana malam menjelma.
Ketika itu ibu telah berjaya membina sebuah rumah yang comel yang terletak hanya dibelakang rumah atok dan nenek. Juga, ibu memiliki sebuah motosikal ego hasil dari dia berniaga.
Puas juga berikhtiar untuk sembuh, segala wang simpanan dan pelaburan digunakan untuk menampung kehidupan kami. Simpanan kami pernah mencecah hingga 0.
Seperti yang ibu pernah katakan, “biar waktu yang menentukan segalanya”. Kini, segalanya telah hampir pulih, yang tinggal mungkin sedikit sisa-sisa sebagai kenangan atau bukti keesaan Allah yang dapat menjadikan kami lebih dekat dengannya.
Kini, aku baru sahaja menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda kejuruteraan elektronik telekomunikasi.
Aku sedang mencari-cari perkerjaan untuk aku bantu ibu. Aku tak kisah, tak kerja dalam bidang pengajian pun tak mengapa asalkan halal dan aku suka jika pekerjaan aku dapat membantu orang lain. Doakan aku mudah mendapat kerja ya. Aamiin…
Motif aku menceritakan segala cerita-cerita ini adalah untuk berkongsi inspirasi dan mungkin juga panduan buat mereka yang menghadapi nasib yang sama seperti kami.
Perlu diingatkan, tidak ada penghalang bagi seseorang itu mencapai kejayaan walaupun bermula pada usia yang agak lewat. Pada usia 33 tahun, ibu menjadi pelatih paling tua berbanding mereka yang masuk setelah tamat spm dan ibu juga menerima anugerah pelatih terbaik.
Zaman sekarang, ada ramai yang tertekan kerana terlalu berlumba-lumba untuk mempunyai segalanya pada usia sebelum 30 tahun.
Hakikatnya, anda tidak perlu bersaing dengan orang lain kerana yang menetukan ke mana anda seterusnya adalah diri sendiri. Tak perlu malu andai umur 40 tahun baru hendak bermula, yang penting anda buat.
Tidak sekali-kali aku berniat untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi bangga aku katakan, kerana mempunyai ibu seperti ibu.
Oh ya, ibu adalah peminat page ini. Tetapi aku yakin, dia masih belum membaca kisah aku yang pertama. Jika tidak, pasti kami sedang menangis bersama. Hehehehe..
Kurasakan, cukup disini untuk bahagian kedua ini. Semoga anda mendapat sesuatu dari kisah ini. Segala kekurangan minta dimaafkan, ada rezeki kita jumpa lagi di bahagian seterusnya.
Tentang ayah, ada yang masih mahu tahu tentang perihal ayahku? Di mana sebenarnya ayah aku? Adakah aku benar-benar tidak tahu mengenai ayah?
– HDM (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit