Suatu hari, ketika duduk di meja makan, ibuku bercerita tentang pengalamannya ketika mengajar di sekolah rendah dahulu.
Ibu sudah lama bersara, namun sudah menjadi adat kebiasaan seorang guru menceritakan tentang bekas murid-muridnya yang pernah mereka ajar. Murid datang dan pergi, silih berganti, tetapi pengalaman dan kisah-kisah ketika di dalam kelas tidak dilupakan, tersemat di dalam jiwa, selagi hayat dikandung badan. Seorang guru juga jarang boleh melupakan bekas murid-muridnya.
Kisah ini, begini ceritanya.
Anak itu baru darjah 1. Dalam kelas, sering dia bercerita tentang menu sarapannya sebelum ke sekolah.
“…err tea-chair, hari ni mengkeme’ makan nasi lemak,” cerita ibu, sambil mengajuk kata-kata anak itu dengan loghat Perak yang pekat.
Sebutan “teacher”, menjadi “tea-chair”. Sebutan mengkeme pula, huruf “e” itu pekat bunyinya.
Kata ibu, ada harinya, dia bercerita makan nasi lemak lauk ayam, ada harinya, makan nasi minyak, di hari yang lain pula bersarapan mee goreng dan lain-lain lagi. Bermacam menu. Cara dia bercerita sangat bersungguh. Dari anak matanya, dapat digambarkan betapa berseleranya dia. Kawan-kawannya yang lain juga suka mendengar dia bercerita.
Justeru itu, adakalanya dia terlupa untuk bercerita.
Lalu, akan adalah seorang murid lain yang sering mengingatkan.
“Tea-chair, hari ini Amad tak cerita lagi dia makan ape…”.
Lalu, berceritalah Amad tentang Menu sarapannya pagi itu. Dengan gayanya tersendiri, cakap pelat ditambah pula loghat Perak pekat. Cuba bayangkan seorang murid darjah satu yang petah berkata-kata, begitulah dia.
Dalam kelas yang lain, dia bercerita hal yang serupa juga, menu sarapannya sebelum pergi ke sekolah.
Pada hemat guru-guru, ibunya tentu berniaga kedai makan pagi. Kerana itulah menu sarapan Amad sering bertukar ganti, malah, menu istimewa pula hampir setiap hari. Kebiasaan menu masyarakat marhaen di kampung-kampung, sarapan ke sekolah ini sekadar air milo atau teh susu, bersama roti atau biskut. Ada hari yang bertuah, dapatlah makan nasi goreng, hasil nasi lebih di hari sebelumnya.
Di suatu hari, ibu meminta dia membawa makanannya ke sekolah. Sekadar ingin merasa masakan jualan ibunya.
Namun, hari keesokannya, dia memberi alasan terlupa.
“..err terlupe le tea-chair”, cerita ibu, sambil mengajuk anak itu menggaru-garu kepala. Ibu kalau bercerita, memang padu, cukup dengan gaya dan ajuk pelat dan cara bercakap. Memang khusyuk dengar.
Lalu ibu pinta dia bawa keesokan harinya pula. Bawa yang lebih-lebih pun tak mengapa, kata ibu kepada anak itu.
Keesokannya, anak itu tidak hadir ke sekolah.
Lusa dan tulat juga tidak hadir.
Hari seterusnya dia kembali hadir, waktu berlalu seperti biasa. Tiada apa yang terlebih, tiada apa yang terkurang. Cerita sarapan sama seperti biasa.
Sehinggalah di suatu hari, kawan-kawannya bercerita, ayah anak itu di tangkap polis.
“Tea-chair, hari tu ayah Amad kena tangkap polis, masa dalam bilik mandi, bolen je pakai seluar dalam. Kes dadah tea-chair……”.
Di kampung-kampung, maklumat seperti itu pantas tersebar.
Kemudian, di hari yang lain, datuk Amad pula datang ke sekolah.
Datuknya pula bercerita kepada guru-guru. Sekarang ini, dia lah yang membela Amad di rumah. Adik beradik Amad ramai, lalu biarlah dia bela sorang.
Katanya lagi, Amad ni orang susah. Ayahnya ada kes dadah. Mak pula memang tak pernah bekerja. Nak makan pun memang tak ada benda di rumah. Hidup miskin, dhaif.
Terkejutlah semua guru. Datuknya tak pernah tahu Amad sering bercerita tentang menu-menu sarapan istimewanya setiap hari, namun, ceritanya itu, membuka rahsia.
Lalu, terjawablah semuanya di hari itu mengapa Amad tak pernah bawa bekal ke sekolah. Di suruh bawa pun dia beri alasan, malah ada harinya sehingga tak sanggup datang ke sekolah, bimbang guru bertanya tentang makanan yang disuruh bawa.
Jika ada kanak-kanak menangis tak dapat mainan, tetapi anak seperti ini pasti menangis kerana makan.
Rupanya selama hari ini, kerana kesusahan yang telah dilalui, segala cerita anak itu makan nasi lemak, nasi minyak, mee goreng, cekodok dan lain-lain menu sarapannya yang istimewa, hanya sekadarberlaku dalam bayangannya sahaja, tidak lebih dari itu…..
Betapa kasihannya, tentu dia teringin benar menjamah makanan itu semua. Namun, keinginannya hanya mampu berselindung di sebalik cerita. Walaupun masih kecil, sekadar darjah satu, sudah diuji dengan dugaan hidup.
Mujurlah sekolah ada menyediakan RMT di waktu rehat. Tentu ramai lagi golongan-golongan sebegini. Sekolah itu kategori “SKM”. Sekolah Kurang Murid. Jadi, semua murid diberi RMT.
Kata ibu lagi, jika hari ini, tentu dia sedang di tingkatan 5 atau telah tamat spm.
Sekian sahaja rakaman kali ini, sebahagian kisah mengajar murid darjah satu….
Ada masa cerita kisah lain pula.
***
Sementara itu, ada juga sebahagian manusia yang tidak bertanggungjawab, mengambil hak orang-orang susah, menipu maklumat diri dalam borang-borang RMT. Akhirnya, golongan yang benar-benar memerlukan, haknya dinafikan.
– Matz
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit