Hai, Aku nak share pasal abah aku. Harap-harap ada yang sudi baca.
Abah aku adalah manusia yang dibenci tanpa sebab. Masa aku kecil, aku tinggal dengan opah, petang baru abah akan ambil aku bawak balik rumah. Masa dekat rumah opah tu lah aku selalu dimomokkan oleh opah bahawa abah adalah anak dia yang tak bagus, malas dan dia tak suka. Bayangkanlah, dari umur tujuh tahun hingga 12 tahun, ada je yang opah momokkan tentang abah. Tak pernah ada cerita yang baik-baik tentang abah yang keluar dari mulut opah.
Tipulah kalau usia kanak-kanak aku tidak terpengaruh dengan kata-kata opah. Tapi, aku kembali berpihak pada abah bila aku jumpa surat yang pernah abah kirimkan pada opah masa abah kerja jauh dari kampung. Surat tu, abang aku yang secara tak sengaja jumpa bawah tikar getah rumah opah.
Tahap benci kepada abah, bukan sahaja bernoktah pada opah. Tapi virus tu merebak sampai ke adik-beradik abah, pernah juga membawa kepada mak-mak saudara abah yang tinggal berjiran dengan rumah opah. Pernah suatu masa masa aku kecil, abah bertekak dengan opah, abah tanya opah..
“Aku ni anak angkat ke mak?”
Ayat tu aku ingat sampai bila-bila. Pada opah, abah adalah anak yang dia tak suka. Abah tak ada rumah sendiri, abah tak ada kereta cantik, abah tak kerja bagus, tak kaya macam adik-beradik dia. Pernah suatu ketika, abah nak bawak opah pergi berubat, opah tak nak, depan abah dia cakap tak nak naik kereta abah sebab kereta abah buruk. Dia nak tunggu anak dia yang lain sebab nak naik kereta cantik.
Abah aku belajar tak tinggi. Abah berhenti sekolah sebab nak bantu adik-adik dan keluarganya. Walaupun tak habis sekolah, abah bijak. Abah pandai berbahasa inggeris. Matematik abah terbaik. Macammana aku tahu? Abah pernah kerja buat wiring telefon rumah orang putih masa beliau muda. Lepas tu, abah boleh buat pengiraan tanpa guna kalkulator. Abah ada hasil tangan yang sangat sempurna. Macammana aku tahu? Semuanya sebab abah kerja buat rumah orang. Abah pernah siapkan sebuah rumah dengan tulang empat keratnya. Abah bukanlah kontraktor yang ada kelas-kelas tu, abah aku cuma kerja tukang kampung. Tapi hasil kerja abah sangat terbaik sebab abah pernah kerja dengan kontraktor bangsa lain.
Walau abah kerja dekat mana pun, abah tak pernah lupakan opah, kalau abah duduk jauh, abah akan kirimkan duit untuk opah. Bila abah duduk kampung, abah akan hantar beras, keperluan dapur dan duit untuk opah.
Lepas aku lahir, abah bawa diri ke negeri mak, semua tu sebab abah dianiaya oleh kakak sendiri. Katanya buka syarikat sama-sama, kemudian abah disuruh kerja macam-macam, sedangkan keluarga kakak abah menghabiskan semua hasil keuntungan syarikat tu. Kerana sakit hati, abah akhirnya bawa kami sekeluarga bina hidup baru di negeri mak. Macam-macam kerja abah buat, walaupun tak mewah, kami sekeluarga tak pernah putus makanan, abah mampu bina sebuah rumah tempat tinggal kami di kampung mak, jauh sangat beza macam abah kerja dengan kakak abah. Lima tahun selepas tu, arwah atok minta abah balik, atok nak abah duduk dekat kampung, tak nak abah merantau lagi. Disebabkan atok, abah balik juga ke kampung. Tinggal semua kehidupan dan rumah di negeri mak.
Di kampung abah, abah bina semula kehidupan untuk kami. Abah sewa rumah buruk, abah tak nak mak duduk rumah opah, sebab opah tak suka mak. Mak bukan menantu pilihan. Pada opah, dia nak menantu se-negeri je kot. Senangkan tanah asal mak nun di seberang laut china selatan sana. Bila atok dah tak ada, dan abah dah tinggal dekat kampung, aku membesar dengan melihat kebencian orang keliling kepada abah. Ada je salah abah yang tiba-tiba muncul. Boleh dikira berapa kali opah sindir-sindir abah, kutuk-kutuk abah pada orang keliling, kadang-kadang abah senyap, kadang-kadang abah menjawab, tapi yang selalu aku tengok, abah akan duduk termenung, lepas tu mata abah basah. Tipulah kalau abah tak sedihkan?
Sepuluh tahun lepas, abah kena sakit jantung. Aku syak, abah kena sakit tu sebab abah selalu pendam perasaan abah. Bila abah sedih, abah selalu termenung. Abah tak pernah suarakan perasaan abah, abah lagi suka senyap. Lepas abah dah sakit, abah dah jarang ambil tahu tentang orang lain. Orang burukkan, abah senyap. Adik-beradik tak pernah datang jenguk, abah senyap. Lagi sedih, hari raya pun adik-beradik abah tak datang tengok abah, abah boleh buat cool je. Sesungguhnya, melihatkan kebencian yang dilontarkan kepada abah membuatkan aku terfikir sejauh mana virus benci dari opah tu telah membunuh pertalian adik-beradik abah.
Di mata aku, abah adalah lelaki yang terbaik. Abah adalah lelaki yang akan meletakkan keluarganya sebagai priority yang pertama. Abah menjaga keluarga kecil kami dengan penuh kasih sayang, tak pernah satu hari pun kami tidak menjamah nasi. Tak pernah satu hari pun kami tidak merasai kasih-sayang abah. Sampaikan, aku menjadikan abah sebagai penanda aras untuk mencari suami.
Dua bulan lepas, abah diserang strok, lima hari abah di hospital. Tapi.. sepanjang lima hari itu hanya ada kami, anak-anak abah dan mak di hospital bersama abah. Hari jumaat malam, di tangan aku, dalam pelukan aku, di saksikan mak dan abang, abah pergi dengan tenang. Jumaat tu adalah malam terakhir aku jaga abah. Aku di sisi abah, membisikkan kalimah Agung itu sehingga ke akhir nafas abah.
Benda yang paling aku takut saat pemergian abah adalah kebencian arwah opah. Tak putus-putus aku berdoa semoga Allah permudahkan perjalanan abah. Aku takut sebab aku dimomokkan dengan cerita-cerita tanah kubur dekat tv tu. Aku takut kalau betul abah memang seteruk seperti yang arwah opah selalu katakan.
Allah Maha Besar. Semuanya dipermudahkan. Urusan abah dipermudahkan. Abah pergi pada pukul 11.30 malam, selepas semua tiub dicabut, aku adalah orang terakhir yang mencium wajah abah. Masa tu abah wangi, nampak tenang, nampak abah macam tidur tapi badan abah sejuk. Urusan keluar wad abah pun dimudahkan. Aku dan suami yang mengiringi jenazah abah dari wad hinggalah ke forensik (rumah mayat) . Di forensik, Abah dimandi, dikafankan dan disembahyangkan oleh seorang ustaz, dibantu oleh abang dan suami aku. Hanya tiga orang sahaja yang menguruskan jenazah abah. Ya Tuhan, ustaz tu sendiri pun cakap badan abah bersih. Aku yang tengok muka abah masa tu pun rasa tenang sebab tengok abah macam tidur. Selesai semua urusan, aku dan mak mengiringi abah dalam van jenazah untuk di bawa pulang ke kampung. Hampir azan subuh, kami tiba di rumah. Gelap. Hanya keluarga kecil abah je ada masa tu. Pukul 7.30 pagi sanak saudara dan orang-orang kampung sudah mulai memenuhi rumah. Masing-masing tak sangka abah dah pergi. Tak pernah aku sangka, tetamu yang hadir ketika hari terakhir abah terlalu ramai. Yang sama-sama solatkan jenazah abah pun penuh satu rumah.
Abah pergi dengan tenang. Urusan abah semua dipermudahkan. Pukul 10.30 pagi abah dah selamat dikebumikan. Aku percaya, pemergian abah menunjukkan budi pekerti abah semasa hayat abah. Malah, Dari urusan mengkafankan hinggakan ke liang lahat, semuanya lebih dan dipermudahkan.
Alhamdulillah, sepanjang hayat abah, abah sempat sediakan sebuah rumah untuk kami berteduh dan dua buah kereta yang masih elok untuk digunakan.
Abah yang aku kenal, Sepanjang hayatnya.. Abah selalu memudahkan urusan orang. Walau hati abah terluka, abah masih mampu memberi nasihat dalam senyuman. Abah seorang anak, suami dan ayah yang baik. Yang paling penting, abah tak pernah bercerita pasal keburukan orang lain. Sikit pun tak akan terkeluar dari mulut abah. Bila orang datang bercerita dekat abah, abah cuma akan jadi pendengar. Malah, abah sendiri tak suka aku bercerita benda-benda buruk pasal orang lain.
Pesanan aku untuk korang yang membaca, Jika korang ada anak, jangan sekali beza-bezakan anak korang, walaupun dia nakal, perangai buruk, jangan membenci, tapi salurkan kasih-sayang pada mereka. Jangan melaga-lagakan, korang suka ke tengok adik-beradik bergaduh? bermasam-muka. Tolonglah jangan bias. Kadang-kadang kita tak tahu amalan mana yang membawa kita ke arah kebaikan. Kalau korang ada adik-beradik, jangan membenci sesama korang, ni nak dekat raya ni, ziarahlah adik-beradik korang, janganlah mentang-mentang dia susah, miskin, korang ketepikan dia. Kalau masih ada lagi mak ayah, datuk nenek yang suka membeza-bezakan anak diorang, korang nasihatkanlah. Bermula dari kebencian macam ni lah sesebuah silaturahim itu terputus.
Ini bukan kisah novel. Ini kisah abah aku. Dan kisah ni adalah kisah benar. Korang tolong sedekahkan Al-Fatihah untuk abah aku, boleh? Hari ni hari lahir abah aku, bulan ni pulak hari bapa, hari raya lagi. Tiga hari penting aku tak dapat sambut dengan abah. Aku rasa ralat sangat sebab tahun ni ramadhan pertama tanpa abah, aku tak dapat belikan baju raya untuk abah, tak dapat belikan hadiah hari lahir, ucap selamat hari bapa, lagi pulak tahun ni turn raya rumah mak abah aku. Memang rasa lain sangat.
Selamat berpuasa untuk korang semua. Assallammualaikum.
– Adik
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit