Cinta Nafsu

Zahrah menanti di tepi jendela. Lelaki kacak yang dinanti saban hari tak kunjung tiba. Hanya rungutan dan kata carut yang setia basah di bibir zahrah.

“Ah, puas sudah aku menunggu. Memang tak akan ada lelaki yang akan mari kepada aku.”

Semakin bertambah putaran matahari, semakin membukit jugalah rasa marah dan ragu Zahrah terhadap takdir. Fikirnya, dia sudah menjaga diri daripada mendekati zina. Kenapa masih tiada yang mahu datang melamar?

“Usaha. Aku mesti usaha”, monolog Zahrah sendirian.

Maka dicalitnya gincu merah ke bibir dan pemerah pipi sekadarnya. Minyak wangi disembur ke seluruh tubuh. Ditenung wajahnya lama-lama dalam cermin. Tudungnya ditetapkan agar kemas.

“Umph, aku ini comel juga. Tapi kenapa tiada yang hendak? Barangkali benar. Aku perlu usaha.”, bisik hati Zahrah.

Lalu dengan perasaan ujub dan riak yang tebal dalam hati, Zahrah keluar daripada rumahnya demi menjaja diri. Kalau-kalau ada yang mahu. Masakan tak ada yang terpikat? Pasti ada sekurang-kurangnya satu yang ingin berkenalan.

Apabila terlihat lelaki tampan, sengaja ditambah lenggok pada jalannya. Pemuda yang berbekalkan iman yang nipis itupun merenung tak berkedip. Pelbagai fikiran yang muncul di mindanya. Lalu ditelan air liurnya dan memberanikan diri melangkah untuk mencuba-cuba nasibnya.

“Err…Cik adik, cik adik hendak ke mana? Tak elok perempuan berjalan seorang diri, bahaya. Jikalau sudi, boleh saya temankan.”

“Eh? Saya tak mahu ke mana-mana. Saja mahu berjalan mengambil angin. Emm, boleh juga kiranya mahu meneman. Saya pun sudah mahu pulang.”

“Baiklah. Tapi cik adik, saya mahu tanya, siapa nama cik adik?”

“(tersipu-sipu) Nama saya Zahrah. Encik?”

“Azmi. Oh ya, teman lelaki Zahrah tak marah?”

“Eh, saya belum punya teman lelaki”

Azmi pun tersenyum penuh makna. Gadis ini nampaknya senang digoda. Menyerah tanpa banyak cerita. Parasnya pun boleh tahan juga. Dan wangiannya sungguh ketara sehingga mampu menggetarkan jiwa kelelakiannya. Kalau berjaya ditawan, pasti dia berupaya untuk berbangga di hadapan teman-temannya.

Maka mulalah misi Azmi untuk mendapatkan wanita idamannya dan mulalah misi Zahrah untuk mendapatkan suami. Masing-masing tak lekang dengan telefon bimbit di tangan dan keluar berdua setiap hujung minggu sudah menjadi rutin mingguan. Untuk mengenal hati budi katanya.

Daripada hanya berjalan seiringan, kini sudah mula berpegangan tangan. Daripada hanya telefon bertanyakan khabar, kini sudah mula menyatakan cinta dan rindu. Hati masing-masing kegusaran. Kedua-duanya tertanya-tanya, inikah rasanya jatuh cinta? Setiap malam hanya wajah si dia yang menjadi teman. Saban hari, iman dalam hati menjadi semakin nipis. Daripada hanya berpegangan tangan, lengan Azmi sudah intim membelit pinggang Zahrah. Sekelumit rasa malu pun tak wujud dalam hati-hati mereka. Larangan ibu bapa tentang menghampiri zina juga sudah terlalu jauh terbenam dalam sudut kalbu mereka. Terlalu mabuk dengan ilusi cinta. Nafsu bermaharajalela.

Azmi. Seorang lelaki biasa. Apabila terpandang wajah Zahrah dengan bibir yang mungil disaluti merahnya gincu, tak dapat ditahan lagi keinginannya. Zahrah yang menyedari renungan Azmi hanya tersenyum menguatkan lagi keinginan Azmi untuk memuaskan nafsunya. Didekati Zahrah perlahan-lahan seakan-akan meminta kebenaran. Zahrah takut. Tapi dalam rasa bimbang itu, keinginan nafsunya juga tak dapat dinafikan lagi. Masing-masing pun semakin rapat sehingga akhirnya bibir bersentuh bibir. Selanjutnya, tangan pula memulakan misinya sehingga akhirnya, mereka berdua membuat keputusan untuk menyewa hotel murah untuk melampiaskan nafsu dan keinginan yang sedang bergelora.

Dan malam itu pun tercalit dengan dosa. Dosa zina yang hakikat. Dan maruah, dara dan teruna mereka, terhapus tanpa boleh diganti lagi.

Berita tentang perbuatan keji mereka tersebar ke seluruh kampung. Arang telah tercalit pada wajah keluarga mereka berdua. Dan pemuda yang hatinya bertemankan Al-quran, iaitu pemuda yang saban hari melihat Zahrah menanti di jendela dalam perjalanannya ke surau. Seorang pemuda yang sudah lama menyimpan hasrat memperisterikan Zahrah pasrah dengan takdir. Bukan sengaja dilengah-lengahkan hasratnya. Tetapi masih sedang mengumpul wang untuk menyara seorang isteri. Sedangkan kasihnya terhadap Zahrah sudah ada tanpa perlu melihat aurat dan warna terpalit pada wajah Zahrah. Maka redhalah dia kerana sudah terbukti bahawa Zahrah bukan gadis untuknya.

Azmi dan Zahrah masing-masing dipaksa untuk menyegerakan pernikahan agar cerita panas yang menjadi topik hangat perbualan orang kampung dapat diredakan. Pernikahan berlangsung dan malam di mana mereka sah sebagai suami isteri yang sepatutnya manis, terasa pahit. Saban hari hanya pergaduhan yang menemani rumah tangga mereka. Dan air mata selalu menjadi teman malam Zahrah.

Dan syaitan juga pernah berkata dalam surah Al-Anfal ayat 48

…………“Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku (dapat) melihat apa yang kamu tidak melihat. Sesungguhnya aku takut kepada Allah kerana Allah itu amat pedih seksaan-Nya (seksaan Allah).”

Moral: Di sini dapat kita lihat betapa nafsu dapat perlahan-lahan membawa kita ke arah jalan yang dimahukan syaitan. Sekuat mana kita mencuba menahan diri, kehendak nafsu yang sudah menjadi fitrah manusia sukar dinafikan. Dan lagi, kita tidak harus ragu kepada takdir Allah. Kiranya belum ditemukan dengan jodoh, ada kemungkinan besar kita masih lagi belum bersedia untuk memikul tanggungjawab seorang suami atau isteri. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kita tak ketahui. Dan sesungguhnya, untuk memperoleh keberkatan perkahwinan, Tuhan pencipta daging-daging dan hati-hati kita serta alam ini dan seluruh isinya perlu didahulukan. Subhanallah. Sesungguhnya hanya kepada Allah kita berharap. Dan Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.

– Nino

CREATE A POST

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *