Dari penulis yang sama, boleh juga baca, (https://iiumc.com/hikmah-belum-bernikah/).
Hello semua. Bertemu lagi. Hari ini Tok nak sampaikan sebuah cinta sampai mati. Cerita rekaan Tok yang mana ada benar dan ada tipunya. Harap kamu semua enjoy. Tok sebenarnya sedang tak tahu nak buat apa.
Begini ceritanya. Ada seorang wanita pencinta lelaki bernama Hana. Seorang yang lemah lembut dan lurus. Tapi bukanlah lurus bendul. Manakala si suami bernama Haikal. Mereka berdua bertemu disosial media. Pengenalan mereka berjaya sehingga ke jinjang lelamin. Mereka bercinta lebih kurang setahun lebih.
Awal pengenalan mereka tersangatlah manis. Si Hana baru sahaja putus cinta manakala Haikal sudah 3 tahun putus cinta dan tidak lagi bercinta dengan siapa-siapa. Tapi nak dijadikan cerita si Haikal terpikat dengan si Hana atas sebab si Hana sering sahaja memberi komen pada setiap gambar di IG Haikal.
Hana sebenarnya dah nekad untuk tidak bercinta semula dengan siapa-siapa. Kerana lukanya masih belum terubat ketika itu. Jadi, si Hana hanya berkawan sahaja dengan siapa-siapa termasuklah memberi komen pada siapa-siapa yang masuk ke dalam feed IG. Hana meneruskan kehidupan seperti biasa. Bekerja demi melupakan kenangan.
Tiba-tiba pada suatu hari. Ada seorang lelaki DM Hana di IG. Ya itu adalah Haikal. Kenalan IG yang Hana selalu komen di gambarnya. Haikal memberi salam. Hana cuma jawab sepatah. Waalaikummusalam.
Agak terkejut juga. Tiba-tiba sahaja mamat ni DM Hana. Hana langsung tak fikir apa-apa. Tidak menjangkakan apa-apa. Baginya itu sapaan biasa sahaja. Haikal menghantar lagi mesej. Apa khabar? Hana jawab, khabar baik. Perbualan ini berakhir.
Selang 3 hari, si Haikal kembali mesej. Hai, awak buat apa tu. Hana balas tengah kerja. Sekali lagi Hana berasa pelik tapi teruskan sahaja perbualan. Sehinggalah si Hana stalk IG Haikal. Apa pekerjaannya dan siapa namanya. Hana dah dapat sedikit maklumat diri Haikal. Mereka menyembang dari pagi sampai malam. Dan masih tidak bertukar no telefon. Hana lebih suka tidak berbuat demikian kerana bukan kenal pun.
Cinta mula berputik. Kah kah kah. Kini janji tinggal janji. Dalam masa berapa hari sahaja Hana tersangkut dengan Haikal. Janji Hana untuk tidak bercinta lagi boleh dihumban kedalam laut. Aduh! Karakter Haikal sangat rare. Tidak seperti semua lelaki yang Hana kenal. Sampai Hana fikir dari mana datangnya lelaki ini.
Selang beberapa hari, Haikal memohon untuk berjumpa dengan Hana. Sekali lagi ini satu kejutan buat Hana. Sudahnya tak kenal, mamat ni nak jumpa terus si Hana. Apa yang menariknya, si Haikal ingin terus ke rumah si Hana. Katanya, nak minta keizinan dari keluarga Hana. Anak dara orang mana boleh bawa sesuka hati. Apakah ini wahai lelaki? Hana tak punya pengalaman seperti ini. Jadi Hana begitu teruja.
Mereka mula menukar nombor telefon. Supaya dapat memberi petunjuk lokasi rumah Hana melalui aplikasi whatsapp. Perkenalan ini sangat singkat dan menakutkan Hana. Tapi Hana tempuh juga. Siapa tahu Haikal adalah jodoh yang dia doakan.
Hari yang dinanti telah tiba. Haikal tiba dirumah dengan memakai kemeja bewarna baby blue, seluar slack dan berkasut loafer. Kemas orang nya. Itu adalah tatapan kali pertama buat Si Hana. Kata Hana ini adalah gila! Hana sambut Haikal dengan senyuman. Si Haikal pula begitu nervous. Hahaha. Hana hanya mampu gelak sahaja. Geli hati melihat telatah lelaki di depannya.
Ayah Hana sudah tunggu di depan pintu. Menyambut kedatanganya. Lalu Haikal memberi salam. Dan menyalami tangan ayah Hana. Pertanyaan khabar ditanya kepada ayah Hana. Si Haikal juga ucap maaf atas kelewatannya tiba dirumah. Katanya sesat hahaha. Hana meninggalkan kedua-dua lelaki ini. Biar mereka berbual dahulu.
Hana masuk ke dapur kerana malu yang amat. Sementara itu, ibu Hana dan adik Hana senyum sahaja kepada si Hana. Hahaha. Kata mereka boleh tahan mamat ni. Hana tak sangka, si Haikal begitu riuh sebenarnya. Mulutnya becok dan banyak tanya. Sangat mesra dan ramah. Memang satu pakej yang penuh bagi seorang wanita. Sangat budiman orangnya.
Air minuman sudah siap dibancuh. Alamak! Nampaknya, si Hana lah yang kena hidangkan air didepan. Aduh! Nak tak nak Hana bawa juga dulang air dan roti jala berkuahkan kari ayam. Adik Hana takkan pergi hidangkan punya! Ini semua dibuat atas sebab si Haikal nak datang.
Usai hidangkan makanan diatas meja, Hana duduk sebaris dengan Haikal. Jauh jaraknya. Itu lebih baik. Ayah Hana pula dihadapan mereka berdua. Seperti sedang berdepan pemerintah untuk meminta kebenaran. Hana hanya menunduk malu dan mendengar perbualan mereka. Sekali sekali Hana toleh ketepi melihat si Haikal. Kadang-kadang juga Hana mencelah dan menjawab jika ditanya.
Perbualan mereka agak panjang lebih kurang satu jam. Sehingga ayah Hana ajak makan bersama. Haikal menolak katanya tak apa kami berdua makan diluar dan tak mahu susahkan keluarga Hana. Hana dan Haikal keluar buat kali pertama. Bermacam yang mereka bualkan. Masa bergerak begitu pantas. Mereka berdua keluar 2 jam sahaja. Pulang pada jam 5 petang. Tak elok lama-lama.
Haikal sempat membuat kejutan pada si Hana. Membelikan Hana kek dengan ucapan selamat hari lahir diatasnya. Oh tidak! Ini yang buatkan Hana semakin teruja. Mana tidaknya, si Hana pernah beritahu tentang hari lahirnya pada si Haikal. Tapi si Haikal buat tak tahu dan tak endah. Rupanya si Haikal ada rancangan tersendiri. Hebat permainanmu wahai lelaki. Haikal tanya terkejut tak? Hana jawab mestilah terkejut.
Semua ini berlaku dalam satu hari sahaja. Keadaan mereka berdua ini seperti sudah lama kenal tapi baru satu hari bersemuka. Setahun sudah berlalu. Mereka jarang berjumpa. Mungkin itu permintaan si lelaki. Jumpa bila perlu sahaja.
Dalam setahun lebih hanya 3 kali sahaja mereka bertemu. Itupun atas urusan penting. Hana diam-diam perhati cara Haikal. Haikal dilihat tak suka keluar sesuka hati. Dan ini sangat bagus buat Hana. Sungguh Hana begitu tertarik dengan perwatakan Haikal. Tapi Hana tidak berani meletakkan harapan yang tinggi. Hana takut dikecewakan lagi.
Hari berganti hari. Tiba-tiba, Hana menerima mesej dari Haikal. Kali ini kejutan dari Haikal adalah ultra kejutan hahaha. Boleh buat jantung Hana berhenti sebentar. Mesej itu berbunyi Dear Hana, will you be my wife? Apakah ini? Hana rasa nak mati. Adakah perkara yang dia harapkan akan terjadi? Adakah ini satu mimpi? Adakah Allah sedang menjawab doa Hana? Hana tak terkata. Agak lama dia ingin membalas mesej tersebut.
Haikal sebagai lelaki memang boleh jangka respon dari seorang wanita. Dia bagi masa buat Hana untul membalas. Dia faham. Tak lama kemudian Hana jawab. Wanita yang menolak kamu itu sangatlah rugi. Ya, saya sudi Encik Haikal!
Berapa lama kemudian, mereka bernikah. Mereka lalui kehidupan berumahtangga seperti pasangan yang lain. Segala onak dan duri ditempuh. Manis dan pahit dalam alam rumahtangga adalah biasa. Asalkan saling bertoleransi antara satu sama lain.
Kata orang yang dah berkahwin sabar adalah kuncinya. 5 tahun perkahwinan mereka dikurniakan 2 orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Comel seperti ibunya segak seperti ayahnya. Mereka berempat saling melengkapi. Kehidupan diteruskan.
Suatu hari yang hening si Haikal tiba-tiba jatuh sakit. Hana sangat bersedih dengan keadaan si Haikal. Kerana Haikal adalah cinta hati Hana. Tak sanggup melihat Haikal sakit begitu. Air mata diseka. Hana setia menanti dan menjaga si Haikal di wad hospital.
Hana tak peduli siang malam asalkan Haikal berada disampingnya. Dia sanggup tunggu walau apa keadaan sekalipun. Jauh sekali untuk meninggalkan Haikal begitu. Kerna Haikal lah syurga dia, lelaki inilah yang ada bersamanya disaat susah dan senang.
Setiap malam Hana sering berdoa agar Haikal diberi kesembuhan dan dapat melihat Haikal gembira seperti biasa. Hari berganti hari, Hana setia menunggu. Setiap hari Hana sampaikan rasa cintanya kepada Haikal.
Haikal hanya mampu tersenyum kadang-kadang mengelap air mata Hana dengan tangannya yang kasar. Inilah tangan yang melindunginya. Inilah tangan yang memberi makan kepadanya. Dan tangan inilah yang sudi menjadikan Hana sebagai wanita yang bertuah kerana telah memilih Hana untuk dijadikan isteri.
Allahu. Malam berlabuh. Usai solat maghrib, sambil melipat telekung dan sejadah Hana memanggil Haikal lembut dengan panggilan abang. Tapi tidak bersahut. Hana menoleh kepada Haikal. Melihat Haikal. Sekali lagi Hana mendekati Haikal dan memanggilnya ‘abang’?. Masih juga tidak bersahut.
Hana terdiam kaku. Mustahil. Berkali-kali Hana panggil dan kejut Haikal. Masih juga tak bangun. Mata Hana mula berkaca. Air mata mula berjurai. Hana tidak mampu menahan lagi. Hana menangis teresak-esak. Adakah Haikal telah pergi? Hana tak mampu menanggung kesedihannya lagi.
Hana menggoncang tubuh buah hatinya. Memang tak bergerak. Ya. Haikal telah pergi. Pergi meninggalkannya. Pergi ketika dia ingin menyalami tangan itu. Dia tidak sangka siang itu adalah kali terakhir dia akan bercakap dengan Haikal. Cinta hati Hana telah pergi. Allahu. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa pedinya perpisahan ini.
Tidak mungkin Hana akan berjumpa lagi lelaki seperti ini. Proses pengkebumian berakhir. Hapus sudah air mata. Kini Hana punya 2 harta yang ditinggalkan oleh Haikal. Anak lelaki dan perempuan. Harta dunia dan akhirat. Hana berjanji akan menjaga dua harta ini sebaik mungkin. Ini adalah amanah.
Hana juga berharap dia akan berjumpa dengan cinta hatinya di syurga suatu hari nanti. Semoga Allah perkenankan doa Hana.
Sekian. Terima kasih.
– Tok (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit