‘Dia’ Tidak Seperti Dulu Lagi

Assalammualaikum semua. Terima kasih kalau admin sudi untuk postkan confession ni. Nak tahu siapa ‘dia’ dalam tajuk tu? Bacalah sekejap dan sememangnya untuk dijadikan tauladan dalam kehidupan seharian, khususnya sebagai seorang ibu :)

Saya merupakan anak kedua dalam sebuah keluarga dan kerjaya saya adalah sebagai seorang jururawat. Dan sekarang saya sedang dalam proses mencari pekerjaan (doa2kan saya ye) Dulu ‘dia’ seorang yang sentiasa pentingkan kekemasan. Sentiasa menjadi idola saya dalam setiap perbuatan yang dia lakukan. Tapi semuanya berubah apabila ‘dia’ berkawan semula bersama-sama teman sekolahnya dulu.

Memang tak salah kalau seseorang itu ingin keluar berhibur. Tambahan lagi ‘dia’ merupakan seorang surirumah. Tapi jika perbuatan itu seperti orang bujang dan segala pengurusan rumah tidak terjaga. Saya takut nanti ada yang ‘lari’. Jika dulu, semua pengurusan rumah diatur rapi.

Sekarang, jika saya yang tidak memulakan langkah, memang sampai ke sudah pinggan mangkuk di dapur tidak dibasuh, pakaian tidak dijemur, lantai penuh dengan sampah. Ibarat seperti melepaskan segala-galanya kepada anak untuk diuruskan. Walhal ‘dia’ belum lagi memasuki 50 series.

Alasannya untuk keluar bersama teman kerana dulu ‘dia’ tidak diberi peluang untuk berbuat sedemikian. Saya sebagai anak sedikit demi sedikit makin cuak dengan sikap ‘dia’. Tapi apakan daya, saya hanya merupakan seorang anak. Kepada siapa ingin saya mengadu?

Ayah juga pernah berkias dan saya tahu kiasan itu menunjukkan bahawa ayah bukan lagi prioritinya yang utama. Sampai satu tahap, ayah mengadu. Kalau sakit pun ‘dia’ takkan tahu sebab ‘dia’ hanya dengan dunia ‘dia’ sahaja. Dan sememangnya semua itu betul.

‘Dia’ menghabiskan masa dengan whatsapp group. Kekadang itu, makan pun sambil berbalas chat. Sampai anak-anak sudah habis makan dan meninggalkan meja makan. Pun ‘dia’ masih menghadap telefon. Peranan ‘dia’ sebagai seorang anak pun dipandang ringan. Saya mempunyai seorang nenek yang mengalami minor stroke dan tinggal bersama.

Penjagaan dalam tempoh 2minggu setiap seorang (bergilir-gilir dengan ibu saudara), selalunya saya yang memainkan peranan. Boleh dikira dalam masa 2 minggu itu, berapa kali sahaja ‘dia’ mengambil cakna. Dan selebihnya diberikan kepada saya. Alasannya kerana saya merupakan cucunya yang berkarier sebagai seorang jururawat. Saya diberikan kelebihan itu untuk menjaga nenek.

Tapi dalam masa 2 minggu itu, saya akui saya juga cukup kurang sabar dengan melayan kerenah orang tua. Ada sampainya saya selalu mengeluh dan selalu bertanya kenapa saya mesti menghadapi semua ni sorang-sorang? Tapi istighfar lah yang mampu saya ulang. Namun saya kecewa dengan ‘dia’ kerana terus melepaskan segala-galanya kepada diri ini. Emosi saya turut terganggu dan kadang-kadang adik-adik menjadi tempat saya meluahkan kemarahan. Allahu.

Saya tahu ‘dia’ penat. Saya tahu ‘dia’ bosan. Saya tahu ‘dia’ pernah menghadapi waktu kesukaran dulu-dulu. Tapi sebagai seorang anak, saya akui tidak tertanggung perasaan saya dengan ‘dia’ yang bergelar seorang ibu. Jangan tanya kenapa seseorang anak yang tinggal jauh jarang pulang ke kampung. Semua itu sebenarnya sedar atau tidak berpunca daripada sikap seorang ibu.

Saya berharap ‘dia’ boleh berubah dan sedar akan kesalahannya itu. Saya rindu saat-saat ‘dia’ yang dulu.

– Nur

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *