Assalamualaikum, maaf sekiranya confession ini bukan seperti confession lain, sebab saya berharap akan sesuatu dari anda para pembaca. Kalau admin rasa sesuai untuk dikongsikan, saya ucapkan terima kasih.
Saya rasa sesuai untuk dibahagikan cerita saya kepada 3 fasa, kerana bagi saya setiap fasa ada pengajarannya. Fasa pertama bermula dengan awal kehidupan saya. Saya lelaki Melayu, umur pertengahan 20. Lahir, membesar, sekolah di negara jiran. Waktu sekolah di sana, alhamdulillah keputusan peperiksaan boleh buat saya senyum. Keluarga bukan orang senang. Saya ingat lagi, kawan-kawan masing-masing bawa 1 ringgit sebagai belanja ke sekolah. Saya kadang-kadang 50 sen, kadang-kadang minum air paip. Sampai ke sekolah menengah, selalunya dari pertengahan bulan sampai ke hujung bulan, memang puasa separuh hari di sekolah. Baju sekolah pun saya ingat, pernah koyak besar. Tapi sebab baju masuk dalam seluar, jadi saya teruskan pakai, asal orang tak nampak. Saudara mara mengeji keluarga saya sebab susah – percayalah, duit satu benda yang mistik. Hubungan kekeluargaan/persaudaraan tidak setebal sehelai nota RM1. Saya bersyukur kalau anda tidak faham akan realiti ini, bermakna saudara anda orang baik-baik atau anda memang hidup senang tapi ini realiti kehidupan saya.
Keburukan hidup di negara orang, yang paling teruk sekali, panggilan ‘orang luar’. Ya, kebanyakan masa, belanja akan lebih tinggi berbanding orang tempatan tapi yang menyakitkan hati – pergi balik negara sendiri. Amat menyakitkan hati apabila didiskriminasi berdasarkan kad pengenalan. Tetapi, saya amat bersyukur akan jalan hidup di fasa ini. Saya mengerti, keadaan keluarga yang susah dan hinaan orang membuat saya lagi bersemangat untuk buktikan pada mereka saya boleh berjaya. Darjah 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5 – keputusan saya tidak kurang dari kawan-kawan. Keadaan susah buat saya lagi kenal akan erti syukur, dan rendah diri, bumi milik Allah. Di syurga nanti, anda tidak akan ditanya mengenai kad pengenalan anda.
Fasa 2, disebabkan yuran pengajian tingkatan 6 tidak mampu dibayar, saya terpaksa dihantar balik ke Malaysia untuk tinggal dengan pakcik dan ulang balik tingkatan 5 di Malaysia (keluarga masih tinggal di sana sehingga hari ini. Tahun depan mungkin akan balik Malaysia). Alasannya, sebab sijil saya tidak diterima/iktiraf di sekolah menengah di sini dan ketika saya berpindah balik Malaysia, saya berumur 17 tahun. Maknanya, saya mula sekolah awal setahun berbanding rakan-rakan sebaya di Malaysia. Jadi untuk keseragaman umur, saya terpaksa mengulang tingkatan 5 dan ambil SPM.
Jujur, saya terfikir, apa guna teruskan perjalanan, kalau keputusan elok tapi perlu ulang balik tingkatan 5, seolah-olah saya gagal. Kawan-kawan yang dapat keputusan biasa-biasa saja pun sudah masuk tingkatan 6. Tapi saya ingat balik, perjuangan ini untuk mak babah. Saya perlu ubah nasib keluarga, biar keluarga, saudara mara hormat. Biar mak babah boleh rehat nanti.
Dengan itu, saya teruskan belajar. Berbekalkan RM50 yang babah bagi setiap bulan, saya pergi sekolah. Pergi sekolah tumpang pakcik. Balik, kadang-kadang naik bas, kadang-kadang jalan kaki. Pertengahan tahun, babah belikan basikal. Jadi senang untuk pergi dan balik sekolah. Banyak kenangan dengan basikal tersebut – dikejar anjing, kayuh basikal awal-awal pagi untuk sampai sebelum 7.30am di sekolah, tayar kena pedajal jadi terpaksalah tolak basikal balik rumah, ada budak perempuan nak naik sekali tapi saya tolak, haha, saya kayuh sorang-sorang pun dah semput. Bawa anak dara orang, confirm malaikat maut dah datang tengok-tengok. RM50/bulan itulah belanja untuk semua benda – bayar yuran di sekolah, beli buku, beli makanan. Ya, tidak cukup. Tapi saya rasa ada keajaiban yang Allah nak tunjuk.
Setiap kali poket saya kering 100%, akan terjadi salah satu dari berikut di kampung :-
1) orang meninggal
2) orang kahwin
3) doa selamat
Yang penting, makan percuma. Demi Allah, saya tidak ingat waktu di mana ada majlis untuk saya makan percuma di atas undangan dan saya masih ada duit di tangan. Rasa bersalah bila orang mati, saya happy. Tapi kalau ajal dia tak sampai lagi waktu itu, mungkin ajal saya dulu yang sampai. (Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya tidak makan makanan di rumah pakcik tempat saya menumpang. Saya ada sebab sendiri).
Kadang-kadang kalau dah terdesak sangat, saya masaklah resepi kecemasan dari opah saya – Nasi Gula. Biar Chef Kucing ajar. Nasi putih digaul dengan garam sikit. Panaskan minyak (sikit), masukkan nasi tadi dan gaul. Lepas tu, hidang dalam pinggan dan campur gula (ikut rasa masing-masing lah). Ya, saya tahu makanan ini tak sehat. Tapi kata orang putih, being sick beats being dead.
Di sana, saya mula kenal agama. Saya memang pergi masjid kalau sembahyang. Selalu azan di masjid, memang lengkap habis 5 waktu di masjid. Subuh pun saya pergi, walaupun terpaksa lalu satu bukit yang ramai orang pernah nampak hantu di sana, kawasan keras. Memang kalau mak mertua tengok, baik bebeno mamat ni, muhihi.
Habis SPM, alhamdulillah, dapat tajaan biasiswa untuk belajar luar negara. Tapi sebelum dihantar ke luar negara, saya dihantar dulu belajar peringkat pre-U di sebuah kolej dalam Malaysia. Alhamdulillah, pertama kali kenal usrah. Kali pertama kena ajak usrah, saya tanya, ada makanan kah nanti di sana? Orang gelak ja dengar soalan saya. Dalam otak saya, usrah = majlis makan. Syukur, saya lulus cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran di luar negara.
Pengajaran fasa 2? Saya kenal agama. Saya sanggup pergi sorang-sorang tempat yang saya tidak tahu, cuma tawakal dengan Allah untuk belajar pasal agama (ada program agama waktu itu). Saya yakin, sehingga ke hari ini, bila semuanya sudah kosong, anda macam dah 100% harapan punah, Allah masih ada. Usaha janganlah tinggal walaupun Allah ada.
Fasa 3, luar negara. Maafkan saya sekiranya dalam cerita ini, bahagian ini, saya tidak terlalu spesifik dalam penceritaan saya. Kerana inilah bahagian yang saya masih tidak mengerti apa pengajaran yang saya dapat. Saya rasa seolah-olah ini satu fasa untuk bersedih, dan bersedih. Saya, seperti yang dirancangkan, menyambung pembelajaran saya di luar negara bawah tajaan. Pada tahun pertama, tidak ada masalah. Kawan satu uni memang semangat dengan janji ‘kita satu keluarga’. Saya rasa apa-apa masalah, sekurang-kurangnya saya ada ‘keluarga’ di sini. Saya lulus tahun pertama.
Bermula tahun 2, saya mula sakit. Saya mengalami masalah kemurungan dan OCD. Pada yang skeptik, masalah kesihatan saya ini disahkan sendiri oleh doktor psychiatry. Ini bukan diagnosis yang saya buat sendiri. OCD saya mungkin pelik sedikit, tetapi saya akan bertanyakan dalam otak saya soalan yang sangat-sangat rawak dan jika saya tidak mampu untuk menjawap soalan tersebut, jantung saya berdegup laju, saya rasa seperti saya akan dihukum berat kerana gagal menjawap soalan tersebut, berpeluh seluruh badan. Contoh, dan hal ini benar-benar berlaku, saya sedang menonton filem. Tiba-tiba saya terfikir, di mana dorang buat penggambaran? Apa rasanya untuk bercakap dengan hero filem tu? Heroin? Bagaimana rasa untuk pijak rumput dalam filem itu?
Ya, saya tahu soalan ini sangat tidak relevan kepada saya. Tahu atau tidak, tidak memberikan kesan. Ironinya, ia memang memberikan kesan pada saya. Saya mula gelisah, takut, jantung degup laju, berpeluh, saya nampak dinding bilik semakin rapat seolah-olah akan menghimpit saya. Saya keluar dari bilik, jalan sorang-sorang di perkarangan hostel, menangis. Kemurungan saya bermula sebenarnya dari keadaan keluarga yang mula nampak berpecah. Ingat ibu bapa, jangan fikir anak-anak tidak terjejas langsung dengan masalah anda berdua. Namun sekarang, syukur saya tidak lagi makan ubat anti-depression. Cuma pakar psikologi yang merawat saya mengatakan saya seolah-olah dalam keadaan dormant, menunggu waktu untuk ulang episod kemurungan.
2 tahun seterusnya seolah menambah kepada timbunan, longgokan dan koleksi penyakit dan sakit yang saya alami. Asthma saya datang balik. Disebabkan asthma, saya 2 kali ditahan masuk wad. Berkali-kali masuk wad kecemasan sebab susah bernafas. Pernah terbaring di perkarangan hostel – memang rasa macam dah nak mati. Waktu perperiksaan pun sama. Saya juga disahkan ada pes planus atau flat foot. Senang cerita, tapak kaki saya rata. Saya tidak boleh berdiri lama tanpa merasa sakit disebabkan oleh tekanan pada tapak kaki yang rata. Saya rasa lebih kurang 15 min, itulah maksimum masa untuk saya berdiri dengan selesa. Saya juga disahkan ada herniated disc. Anda google lah sendiri apa itu herniated disc. Tapi hal ini menambah pada sakit kaki saya, saya tidak boleh berdiri atau duduk lama, dan juga sakit belakang. Sekarang kebanyakan masa saya sembahyang duduk sebab sakit ketika membongkok (rukuk). Pakar psikologi juga mengatakan saya ada anxiety disorder. Dan ketika berjumpa ustaz, beliau kata ada benda yang kacau dan ikut saya. Terpulanglah pada pembaca untuk percaya atau tidak, tapi benda yang saya lalui, dengar dan nampak – saya percaya benda halus wujud.
Dalam keadaan saya sebegini, apalah sangat yang saya mampu pelajari. Saya sudah gagal berapa kali dalam peperiksaan dan biasiswa saya pun sudah dipotong.
Pengajaran fasa 3? Entah. Jujur saya tidak faham akan jalan ini. Saya seperti masih menunggu untuk fasa ini berakhir agar saya dapat lihat apa pengajaran semua ini. Saya rasa saya cuma belajar akan satu realiti hidup sebenar. Mungkin anda punya pandangan sendiri, mungkin anda mengatakan saya pessimistic, mungkin anda akan benci akan pandangan saya ini tetapi ini apa yang saya rasa.
Kawan cuma kawan (majoriti). Kalau anda ada 10 kawan, bersyukurlah kalau ada seorang yang memang betul-betul kawan, yang sama-sama tertawa dan menangis. Kawan bukan ‘keluarga’. Ketika saya ditahan kali ke-2 di wad, berapa kerat saja dari kawan-kawan yang mengaku ‘keluarga’ yang datang melawat saya. Ya, mereka tahu saya sakit dan ditahan di wad. Tidak, mereka tidak sibuk sangat sehinggakan tidak mampu meluangkan 10 minit untuk melawat ‘ahli keluarga’. Hargai mereka yang memang ada untuk anda, selebihnya, ketahuilah mereka cuma ada ketika anda senang.
Pada awal cerita, saya katakan saya inginkan sesuatu dari anda. Inilah apa yang ingin saya pinta:-
1) Berikan perhatian pada orang sekeliling anda. Kalau anda memang tahu orang tu ada masalah kemurungan, jangan berdiam diri sahaja dan fikir ‘dia dah okei’ atau ‘aku takut mau tanya’. Kata orang Indonesia, persetan itu semua. Mereka memerlukan anda untuk bersabar dan terus bertanya dan terus bertanya. Ya, proses baik pulih dari kemurungan bukan sekejap, jadi anda teruslah bersabar dengan mereka.
2) Jaga keluarga sebaik mungkin. Saya tidak pernah rasa kesusahan tanpa wang ringgit satu masalah besar. Tapi hidup tanpa keluarga yang harmoni, sangat membebankan jiwa. Mak bapak kalau boleh, jangan tunjuk gaduh depan anak-anak. Selesaikan masalah secara baik. Masalah anda antara anda berdua bukan masalah anak-anak, jangan letakkan masalah tersebut di bahu mereka.
3) Permohonan pribadi. Saya sekarang sangat memerlukan duit dalam jumlah yang banyak untuk menyambung semula pembelajaran saya. Saya sudah menghantar emel kepada yayasan negeri namun emel saya tidak berbalas. Saya sudah pergi kepada Baitulmal, Pusat Khidmat Masyarakat di kawasan saya, berjumpa wakil rakyat. Semua mengatakan tidak ada bantuan bagi mereka yang belajar di luar negara. Pejabat Perdana Menteri pun sudah saya emel dalam usaha saya memohon bantuan, namun kosong. Saya sudah memohon kepada pihak penaja agar biasiswa saya dapat disambung balik, tetapi sudah 3 bulan, masih tidak ada jawapan. Dalam keadaan saya sakit begini, saya cuba untuk mencari kerja sesuai kemampuan saya bagi menambah sedikit kepada jumlah yang diperlukan, namun masih tidak ada jawapan positif dari mana-mana tempat kerja kosong. Harap maaf, saya tidak boleh memilih kerja yang memerlukan saya untuk berdiri lama. Jadi saya cuma pohonkan andai ada dari pembaca yang tahu mana lagi tempat yang boleh saya memohon bantuan kewangan, tolonglah beritahu kepada saya. Jika tidak, doakan saja saya. Semoga jalan ini dipermudah. Aamiin.
*semua cerita adalah benar. Mungkin anda rasa mustahil seorang boleh ada sampai 5-6 penyakit, tapi saya tidak dapat apa-apa dengan menipu anda. Bukti kesihatan ada pada saya, sekiranya perlu untuk saya tunjukkan, tetapi jelas di sini bukan tempatnya.
Terima kasih kerana sudi membaca.
– Kucing kurap
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit