Assalamualaikum semua. Harini aku nak bukak sikit mata public untuk tahu apa pegawai farmasi dan penolong pegawai farmasi lakukan di sebalik kaunter farmasi.
Aku akan guna term “pharmacist” dalam perenggan selanjutnya. Aku akan campur bahasa melayu dan english, harap tak memeningkan lah ye.
Orang selalu complaint “eii lambatnya farmasi ni, satu ubat je pun” “lamanya tunggu, bagi ubat je pun, apa yang susah sangat?” “Dua pesakit je nak ambik ubat, kenapa kena tunggu lama ni?”
Okay firstly kita kena faham apa tugas pharmacist. Main tugas pharmacist memberi ubat kepada pesakit mengikut preskripsi daripada doktor, dan perlu melakukan intervensi jika berlakunya kesilapan dalam preskripsi.
Kitorang akan double check semua preskripsi yang doktor keluarkan kepada kami.
Intervensi? Apa tu intervensi? Intervensi tu adalah satu perkara yang kami buat untuk membetulkan kesilapan yang tak disengajakan dalam preskripsi.
Ok contoh dia macam ni : doktor tulis dos yang salah dalam preskripsi, pharmacist wajib menelefon doktor untuk double confirm dengan doktor untuk betulkan dos. Kitorang tak ada hak nak betulkan apa-apa dalam preskripsi tanpa persetujuan doktor ya.
Intervensi ni bukan nak cari salah doktor ya, kitorang ni mainly kerjanya double check apa yang doktor buat, kira macam quality control la.
Farmasi ni kira macam pintu terakhir dalam fasiliti kesihatan before pesakit balik rumah. Jadinya apa2 kesalahan memang pharmacist kena check betul2 supaya tiada kesilapan pengubatan (medication error).
Apa bahaya kesilapan pengubatan?
Dos terlalu tinggi untuk pesakit (boleh menyebabkan toxicity dan worse case boleh menyebabkan kematian), dos terlalu rendah (pesakit takkan dapat effect sebenar dari ubat itu), double ubat dalam kumpulan yang sama (polifarmasi, boleh menyebabkan overdose/toxicity).
Yang korang nampak farmasi bagi ubat je kan kat kaunter? Tau tak di sebalik kaunter apa yang kitorang buat? Jom ikut aku ,kita selami tugas pharmacist.
Firstly, semua ubat yang kitorang beli, kebanyakan ubat kena ‘prepack’. Apa tu prepack? Okay, ubat yang dibeli datang dengan kotak-kotak besar.
Contoh macam panadol, it comes with pack of 100 keping. Satu keping ada 10 biji. Kalau korang dapat ubat dari farmasi, mesti dapat ubat dalam sampul kan?
Perasan tak kat sampul tu ada label kecik , ada tulis batch number dan expiry date kat situ? Tu adalah salah satu komponen dalam prepack. Setiap ubat yang diprepack wajib ada label tu untuk mengelakkan medication error.
Prepack ni mainly kitorang kena pack siap-siap semua ubat yang perlu dalam sampul untuk memudahkan kitorang nak bagi ubat pada pesakit bila pesakit datang.
Bayangkan kalau tak prepack langsung, setiap kali pesakit datang, kena ambik ubat dari kotak besar pastu masuk dalam sampul baru bagi pada pesakit. Berejam la pesakit tunggu nak dapat ubat.
Tu aku baru cerita pasal panadol, ada jugak ubat lain, contoh macam ubat darah tinggi yang kena makan sekali sehari.
Kitorang akan prepack 30 biji (3 papan) dalam 1 sampul sebab pesakit darah tinggi ni dikira pesakit kronik, jadi mereka akan ambil ubat setiap bulan which is 30 hari.
Bayangkan kalau tak prepack langsung, setiap kali pesakit datang kena letak 3 papan dalam sampul. Bila pesakit ramai, memang tak menang tangan nak isi on the spot.
Kau rasa bila kitorang nak buat prepack ni kalau seharian kitorang duduk kat kaunter?
Yes, jawapannya kadang-kadang time rehat atau selepas pukul 5, or terpaksa kurangkan orang kat kaunter. Sebab tu kadang-kadang kau tengok kaunter ada 2 tapi bukak satu je. Ni lah salah satu sebabnya.
Habis buruk and luka tau kuku kena blister ubat yang tajam2, sebab tu orang kerja farmasi ni tak boleh nak buat kuku lawa-lawa. Last2 buruk jugak jadinya.
Fuh baru cerita satu benda, mengah dah aku tulis ni. Sabar jap, banyak lagi aku nak cerita ni.
Aku geram je bila orang complaint “farmasi ni kaunter ada 3 tapi bukak 1 je, nampak ramai je orang kat dalam, dorang buat apa? Mengular?”
Okay korang kena faham, farmasi ni dia memang tak boleh kerja sorang2. At least kena ada dua orang. Kitorang bukan double check kerja doktor je tau, kerja sesama kitorang pun kena double check jugak. In general, farmasi ada 4 stesen.
First, screening. Apa tu? Screening ni kau kena screening preskripsi yang pesakit bagi dan bagi nombor giliran. Dalam setiap preskripsi, ada komponen yang wajib ada.
Nama pesakit, IC pesakit, diagnosis, nama ubat, dos ubat, kekerapan pengambilan ubat, durasi berapa hari kena ambil ubat tu, sign dan cop doktor, berat pesakit bawah 12 tahun.
Masa ni lah kena check satu2 dalam preskripsi tu ada problem apa2 tak. Kalau tak ada problem, nice lah. Boleh bagi nombor kat pesakit terus.
Kalau ada problem, biasanya orang screening ni akan notify dalam preskripsi tu untuk bagitahu orang kat next stesen yang preskripsi ni ada masalah sekian2.
Selalunya di stesen ni intervensi takkan dilakukan on the spot. Kalau buat kat situ, sampai ke sudah la pesakit tak dapat nombor giliran.
Second, transcribing. Apa benda pulak ni? Trancribing ni adalah masukkan data dalam preskripsi ke dalam komputer.
Kitorang ada sistem tersendiri yang farmasi saja guna. So apa-apa masalah dalam preskripsi, orang trancribing yang akan call doktor untuk buat intervensi.
Kalau preskripsi kau tak ada masalah, kitorang boleh proceed dengan lancarnya, bahagia sangat rasa tau. Tapi bila ada masalah, kitorang kena call doktor dan bincang dan betulkan apa yang patut. Ada yang kejap, ada yang lama.
Selalunya kalau lama sangat intervensi dibuat, kitorang akan bagitau pesakit supaya dia faham kenapa dia kena tunggu lebih lama dari orang lain.
Tu pun kalau dia faham la, kalau tak, apa lagi, kitorang jugak la kena menahan telinga kena marah dengan patient, kesian kitorang tau.
Kau tau tak, bila satu preskripsi ada masalah, the whole flow will stuck tau. Means kau kena setelkan preskripsi tu dulu baru lah kau boleh proceed untuk setelkan preskripsi seterusnya.
Kitorang pun tak suka tau bila ada intervensi, akan sangat ganggu flow. Bila satu stesen stuck, stesen lain pun akan stuck jugak.
Ada doktor yang lapang hati menerima call dari farmasi, ada jugak yang tak suka. Ada klinik yang takde nombor direct ke bilik doktor, jadi kitorang kena call nombor personal.
Kadang-kadang diorang tak angkat, busy mungkin. Jadi, kalau jadi macam ni, kenalah kitorang pergi ke bilik doktor untuk berbincang,
Ataupun kitorang akan tulis nota intervensi dan klipkan pada preskripsi (nak bagitau apa masalah preskripsi tu) dan akan minta pesakit pergi jumpa doktor balik. Serba salah, tapi terpaksa.
Okay, masa trancribing ni lah label ubat akan keluar. Ala kalau korang dapat ubat , mesti ada label kan? Korang baca tak apa yang ada dalam label tu?
Label ubat mesti ada nama pesakit, nama ubat, dos, kekerapan, kena ambil sebelum / selepas makan, indikasi. Kau kena baca tau apa yang ada kat label tu. Jangan telan ubat sukati je. Ni ubat tau, bukan jajan untuk kau hentam je makan.
Okay lepas label dah keluar, apa nak buat? Jom pergi next stesen.
Third, filling. Filling ni apa pulak? Filling ni kitorang kena isi ubat mengikut preskripsi dan label. Time filling ni prone sangat untuk medication error berlaku.
Korang mesti perasan kan, kebanyakan ubat semua bulat, kecik, putih. Kadang2 kitorang pun boleh tersilap filling ubat disebabkan rupa ubat yang seakan sama.
Semasa filling, wajib double check ubat yang kitorang letak tu betul tak dengan label ubat, lepas tu kena tampal each label pada sampul ubat.
Kat farmasi ada sistem Look Alike Sound Alike (LASA). LASA ni adalah satu sistem dimana ubat yang seakan sama mahupun dari segi rupa atau nama, wajib disusun di tempat yang jauh/berasingan.
Apa? Kau tanya ubat apa yang nama seakan sama? Amlodipine, nifedipine, clozapine, olanzapine, nevirapine. Simvastatin, atorvastatin, pravastatin, nystatin. Perindopril, captopril, enalapril, ramipril. Bebelit ha lidah aku nak tulis semua ni.
Bukan tu je, ada jugak ubat yang ada dua kekuatan(strength). Contohnya, amlodipine ada dua strength, 10 mg dan 5 mg. Dua ubat ni rupa memang seakan sama, nama pun sama, cuma strength je lain.
Ni pun kitorang tak boleh susun berdekatan. Takut sepatutnya nak filling 5 mg, tapi tangan tercapai yang 10 mg. Bahaya tau, takut pesakit termakan yang dos tinggi. Risauuu
Okay dah, jom pergi stesen terakhir.
Fourth, dispensing. Dispensing ni la yang kau nampak “farmasi bagi ubat je” tu. Ni stage terakhir before ubat diberi pada pesakit. Dispensing ni sangat kritikal, sebab dialah pintu terakhir, dan wajib pastikan tiada error sebelum serah ubat pada pesakit.
Orang yang duduk bahagian dispensing ni lah yang akan melayan pesakit yang tanya banyak soalan@marah sebab tunggu lama.
Apa kena buat masa dispensing? First kena tanya nama untuk double confirm nama pesakit dan nama pesakit dalam preskripsi. Kena double confirm sebab takut salah pesakit.
Jangan lah marah kitorang bila tanya nama, cuba bayangkan bila tanya nama, nama kau orang melayu tapi dalam preskripsi nama orang foreigner. Dah sah-sah salah pesakit. Sebab tu pentingnya kitorang double confirm nama kau.
Semasa dispensing (bagi ubat pada pesakit), lagi sekali, kitorang kena double check kerja kawan-kawan yang lain. Sebab tu kalau kau perasan, farmasi ni kalau bagi ubat, dia tak pandang sangat pun muka kau.
Dia akan tengok preskripsi dan bagi ubat kat kau ikut turutan dalam preskripsi tu. Dia akan double check, orang trancribing dan filling buat kerja betul tak.
Semasa dispensing ni, kitorang kena bagitahu pesakit macam mana cara pengambilan ubat, berapa lama kena makan, fungsi ubat, apa kesan sampingan ubat.
Semua ni wajib diberitahu kepada pesakit. Apa tugas pesakit pulak? Tugas kau kena dengar betul-betul apa pharmacist cakap. Jangan masuk telinga kanan keluar telinga kiri pulak. Macam aku cakap kat atas, ni ubat tau bukan jajan.
Tu lah stesen terakhir. Nampak simple je ke? Eh ke nampak complicated? Nampak tak sepatutnya berapa staf kena kerja dalam satu masa?
Kalau fasiliti kecil, staf ada dua orang je. Jadi sorang akan kena buat dua kerja, sebab tu kau kena tunggu lama. Kitorang ni manusia jugak, bukan robot yang ada 5 tangan.
Sebenarnya ni baru sikit tau aku cerita. Rasanya ni baru 30%. Kalau nak tau apa lagi kitorang buat di sebalik kaunter farmasi, aku boleh sambung lagi part 2.
Terima kasih luangkan masa baca..
– Melloya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit