Doakan Aku

Assalamualaikum, terima kasih sebab sudi siarkan confession aku ini.

Aku seorang yang positif. Dan sebab itu juga aku sering dipergunakan. Sejak dulu lagi. Luarannya memang nampak aku seorang yang outspoken tapi aku tak pernah nak buruk sangka dengan orang-orang sekeliling aku. Sampailah sekarang, ketika ini aku diuji dengan dugaan yang buat aku hilang sifat positif tu sedikit demi sedikit.

Sejak dari sekolah rendah aku memang bukan anak pilihan mama. Aku sering dibandingkan dengan kakak aku. Mungkin sebab aku lebih rapat dengan babah aku dan aku pun memang kasar dan berperwatakan macam lelaki. Tak macam kakak yang lebih cantik, ayu dan feminin. Apa pun yang aku buat mama tak pernah bangga dengan aku. Dulu aku selalu wakili sekolah sampai peringkat MSSM tapi sedikit pun mama tak pernah nak bangga dengan kejayaan aku. Bila aku meningkat remaja, aku pernah memberontak nak lari rumah sebabnya mama lebih suka melebihkan kakak dalam segala hal. Aku bukanlah pelajar yang bijak tapi dalam kalangan adik-beradik, aku yang selalu dapat keputusan yang baik dalam pelajaran.

Dugaan datang ketika mama aku disahkan menghidap kanser tahap 4 dan mama totally tak boleh berjalan. Ketika itu, aku sedang menghadapi peperiksaan akhir semester satu di sebuah IPTA untuk peringkat sarjana. Betapa tertekannya aku ketika itu bila semua tanggungjawab menjaga mama aku yang kena galas. Padahal aku ada abang, aku ada kakak. Aku gigihkan diri buat peperiksaan akhir dan hanya mampu tawakal sahaja sebab jujurnya aku memang tak buat ulangkaji. Ketika itu, kakak dan adik perempuan aku masih boleh bergilir jaga mama dengan aku. Kakak aku dah kahwin dan ada seorang anak lelaki berusia setahun. Kakak aku pun tak bekerja dan suri rumah sepenuh masa. Manakala, adik aku sedang belajar di kolej dan mempunyai baki dua semester. Abang sulung aku pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Disebabkan abang aku tinggal bersama mak mertua, jadi dia hanya akan balik ketika hujung minggu sahaja.

Bila aku habis final aku jaga mama aku. Disebabkan aku pelajar sarjana coursework, aku buat keputusan nak teruskan semester sebabnya aku sayang nak tangguh dan aku yakin aku mampu menghabiskan pengajian aku. Ketika itu, aku, kakak aku dan adik aku berpakat nak jaga mama gilir-gilir. Aku bersyukur sangat sebab mereka memahami keadaan yang sedang berlaku ini. Aku siap buat permintaan dengan bahagian pengurusan fakulti untuk mengaturkan jadual kelas aku selaras dengan jadual jaga mama. Tapi, aku faham pensyarah punya jadual memang padat dan tak boleh sewenangnya mengikut kehendak aku. Tapi, aku usahakan juga untuk atur jadual.

Namun, langit tak selamanya cerah, ribut petir kadang melanda. Kakak aku tiba-tiba kata dia nak kerja dan dia tak boleh nak jaga mama. Aku tertekan memandangkan semester baru bakal menjelang kurang daripada seminggu. Aku berperang dengan kakak aku. Aku suruh dia keluar dari rumah yang dia duduk sekarang dan cari rumah sewa lain. Sebabnya aku nak sewakan rumah tu dan duit yang dapat aku nak upah orang untuk jaga mama. Tapi, dia tak nak. Dan kami bergaduh tapi yang bergaduh dengan aku adalah suami kakak aku yang tak berguna tu. Sebab apa aku cakap macam tu? Sebab dia memang jantan yang tak mengenang budi. Bayangkanlah umur dah nak dekat 40 tapi satu harta pun dia tak ada. Itulah babah aku yang selalu dia kutuk tu lah yang hulur duit buat muka untuk dia beli motor. Babah aku tulah tempat mereka laki bini duk pinjam duit. Kami adik-beradik tak pernah berkira bila kakak aku lepas kahwin terus duduk rumah tu tanpa bayar apa-apa pada babah aku. Perlu ingat bukan rumah kosong yea, rumah yang dah ada perkakas asas. Itu pun langsung tak nak bersyukur. Keputusan yang aku buat tu pun bukan ikut kepala sendiri sebaliknya aku berbincang dengan babah dan adik-beradik aku memandangkan rumah tu bukan hak aku. Aku tahu babah serba salah tapi, babah tetap izinkan aku buat macam tu dengan harapan kakak aku sedar yang keputusan dia tiba-tiba nak kerja itu adalah salah.

Sebabnya, anak dia siapa nak jaga? Kalau hantar pada orang mesti perlu bayar kan. Then, kakak aku ni bukan tinggi sangat belajar, dia ada sijil sahaja. Agak-agak kerja apa yang dia boleh dapat? Dulu bila babah suruh dia sambung belajar dia gatal nak kerja then gatal nak kahwin. Tapi, bila aku dan adik perempuan aku belajar dia marah-marah katanya aku menghabiskan duit babah aku. Oh! Hello aku pinjam PTPTN tahu. Hutang untuk undergrade aku sahaja dah RM28K dan untuk master aku dah RM8K. Bila babah kasi duit sahaja aku amek sebabnya aku sedar babah tak bekerja dan hanya guna duit pencen untuk sara 4 orang anak yang masih belajar dengan isteri yang sakit terlantar. Korang ingat cukup ke? Ambulance nak bawa mama pi hospital sahaja dah RM500. Dan mama perlu pergi ke hospital setiap tiga minggu. So, korang fikirlah cukup ke? Tapi, sebab babah aku memang berjimat jadi dapatlah babah kumpul duit. Tapi, jantan tak guna tu asyiklah nak kikis duit babah. Lagi yang buat aku mengamuk bila aku dapat tahu dia nak mintak duit dari babah untuk beli kereta. Sudahlah duit beli motor tu pun tak habis bayar lagi ini nak tambah beban hutang lagi. Kalau kerja gaji RM5K-6K sebulan tak apa la jugak. Ini kerja kilang dengan gaji RM1K. Punyalah tak sedar diri punya jantan.

Lepas berperang, kakak aku langsung tak hubungi mama dan babah aku selama lebih sebulan. Bayangkan mama aku yang kena telefon dia untuk tanya khabar dan suruh balik. Jarak rumah aku dengan rumah kakak aku tinggal tu dalam 30min perjalanan. Bukanlah jauh sangat pun. Jadinya, tanggungjawab menjaga mama jatuh pada aku dan adik perempuan aku. Adik perempuan aku tu duduk kolej jadinya hanya hujung minggu sahaja dia akan balik dan jaga mama aku. Aku? Aku keluar kolej dan ulang-alik dari rumah ke kampus yang jaraknya kalau naik kereta hampir sejam setengah. Tapi, aku naik ktm dan memakan masa berjam-jam. Seawal 3 pagi aku sudah bangun sediakan makanan untuk mama dan lauk untuk dua orang adik lelaki aku yang masih lagi bersekolah. Kemudian aku akan bersihkan mama dan bersiap untuk pergi ke kampus. Ya jam 5.30 pagi aku sudah bergerak meninggalkan rumah dan sampai di kampus jam 8 pagi. Setiap hari begitulah jadual aku selama hampir 5 bulan. Petangnya aku perlu sampai di rumah sebelum jam 7 malam untuk bersihkan mama pula. Lepas jam 10 malam baru aku dapat tidur itu pun kalau aku tak ada kerja nak buat atau mama aku boleh tidur. Kalau tak aku perlu berjaga sampailah semua kerja aku siap.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Korang nak tahu kakak aku masih lagi tidak bekerja sehingga kini walaupun asalnya kami bergaduh sebab dia kata nak bekerja. Kelakar kan. Hahahha… Perasaan aku terhadap kakak aku? Aku dah tak ada kakak bila dia buat mama macam tu. Sejak kecil mama selalu lebihkan dia dari aku tapi bila mama sakit dia taknak langsung jaga mama. Betul aku berdendam. Korang nak cakap apa pun cakap lah sebabnya korang tak rasa apa yang aku rasa. Mama aku pun sampai sekarang asyiklah suruh aku berbaik dengan kakak aku. Tapi, aku buat pekak je. Walaupun aku yang jaga tapi, mama aku tetap sayangkna kakak aku. Sadiskan. Padahal penat letih tertekan semua aku tanggung sendiri. Kalau dalam rumah tu ada ramai orang aku jugak yang jauh mama aku akan suruh. Abang aku nama je balik setiap minggu, tapi, aku jugak yang kena uruskan mama aku. Adik perempuan aku sedang praktikal jadinya dia memang tak boleh jaga mama aku. Apa pun aku tetap bersyukur sebab aku ada seorang teman yang sering menenangkan aku bilamana aku tertekan dan lelah dengan dugaan Allah ini. Seorang teman yang lebih memahami aku berbanding ahli keluarga aku sendiri. Terima kasih teman. Terima kasih. Semoga Allah membalas segala jasa dan kebaikan yang telah anda lakukan.

Alhamdulillah juga aku bakal menamatkan pengajian sarjana aku akhir bulan Ogos ini sebaik sahaja aku selesai menghantar hard copy thesis aku dan repeat satu paper memandangkan aku fail masa final haritu. Doa-doalah aku lulus dan dapat konvo tahun ini. Perancangan aku untuk masa hadapan adalah menyambung pengajian diperingkat PhD. Walaupun ramai orang mempersoalkan kenapa aku perlu sambung belajar. Kerja lebih baik. Tapi, pada pandangan aku, hanya dengan cara ini sahaja aku dapat menjaga mama tanpa perlu terikat dengan waktu. Memandangkan mama perlu ke HKL setiap tiga minggu jadinya aku rasa sambung belajar adalah pilihan terbaik. Korang semua doakan aku dapat sambung belajar dan jaga mama aku yea. Sebabnya aku semakin lelah menghadapi dugaan ini. Aku tetap positifkan diri dengan apa sahaja dugaan yang datang walaupun ada masanya aku kecundang dan mempersoalkan takdir yang berlaku dalam hidup aku.

Ikhlas,
MissLionLiar
20160807

– MissLionLiar

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit