“Drama Betul 1steri Kau”

Nama gelaran aku Cica. Aku menulis bukan dalam keadaan marah, cuma dalam keadaan sedikit kecewa dengan beberapa orang dalam lingkungan keluarga.

Ceritanya, dah satu bulan aku dingin dengan suami. Sesungguhnya perjalanan mendapatkan syurga buat sang isteri tu sangat senang; taatlah, hormatlah suami dan dapatkan redha suami. Tapi, ya Allah berat sungguh ujian untuk dapatkan redha suami.

Suami aku baik. Dia ringan tulang. Buat kerja rumah tanpa disuruh. Bantu aku masak, jagakan anak kami 3 orang yang sedang membesar.

Bagi duit belanja walaupun tengah bulan dia sesak. Sungguhpun aku bekerja, dia tidak pernah meminta wang sesuka hatinya kecuali jika benar terdesak.

Perkahwinan lima tahun kami yang aku rasa sempurna dengan cara kami diuji. Benar kata orang suami diuji ketika dia senang. Baru-baru ni suami dinaikkan pangkat dengan gaji baru yang pada aku jaraknya agak berbaloi, dan besar.

Naik pangkat, kerja berat juga berkurang. Mungkin dia rasa dia ada banyak masa. Penuh senarau carian facebook, tiktok & twitternya dengan nama perempuan. lebih sakit hati ada diantara wanita itu gambarnya separuh berpakaian.

Usahlah ku ceritakan lebih berkenaan mesej dan sebagainya. Sangat pilu aku sebagai isteri. Semua ni bermula selepas dia dapat naik pangkat. Aku selalu check phone dia.

Dia ok saja. Selama ini memang tiada apa yang curiga sehinggalah kejadian yang ini. Tidak tahulah apa benar dia baru bermula atau selama ini dia pandai sembunyi.

Hancur hati dan kepercayaan aku sebagai isteri yang setia dari zaman dia tiada apa. Sedih terasa dia tidak ada sekelumit rasa kasihan pada aku yang berhempas nyawa melahirkan zuriatnya, penyambung generasinya.

Ya ini kali pertama. Tapi selepas kantoi tu tiada sikit pun penjelasan dari dia. Dia hanya diam. Satu malam aku tidur berteman air mata.

Esok harini, aku terlalu sakit, aku bawa kesemua anak aku pulang ke kampung halaman aku. Aku minta cuti tanpa gaji dua minggu, beli tiket penerbangan “on the spot”. Nasib umi kalian bekerja dan mempunyai simpanan. Kami terbang ke bumi kenyalang.

Whatsapp memohon kemaafan berderu masuk selepas suami pulang kerja dan perasan kami tiada di rumah. Ibuku tahu kejadian ini. Aku memang tidak dapat sembunyi apa-apa tambah anakku sudah pandai mengadu ke akinya yang umi dan abah bergaduh.

Ayahku menelefon suamiku. Tidak ku tahu butirnya. Selang sehari ibu mertuaku telefon ibuku. Menanyakan hal ini. Dan mereka berbalas whatsapp walaupun aku sudah berkeras biarkan saja masalah ini. Aku hanya pulang untuk merawat hati.

Setelah aku bertenang, ibuku tunjuk mesej yang dihantar ibu mertuaku-

“Dia salah faham je”

“Anak saya mana ada perempuan lain”

Kalaulah aku mampu tunjukkan selfienya yang sangat mesra tu….

Selang empat hari, suamiku tiba di bumi kenyalang. Kami berbaik. Sungguhpun aku tersenyum suamiku, ketahuilah hati ini sangat robek.

Setiap pertanyaan aku balas dengan ala kadar. Aku sudah tidak mampu bermesra. Aku kecewa.

Kami pulang ke semenanjung. Dengan cuti aku yang berbaki, kami sekeluarga pulang ke rumah keluarga suami di utara tanah air.

Dan disini aku diperli hebat. Semacam semua ni salah aku.

“Drama sangat bini kamu ni Man, ala gatal sikit biasalah”

“Dah kahwin lain ke Man sampai bini kamu naik gila gini? Belum lagi kan”

“Kuat drama. Laki kawin lain betul baru tahu”

Allahu Akbar. Sungguh berdosakah aku sakit hati apabila tahu suami sendiri ada hubungan dengan wanita lain? Yang bukan hanya seorang?

Akukah yang berdosa kerana tak biarkan suami aku berhubungan. Adakah selfie berpelukan di pusat hiburan tu masih “biasa-biasa” untuk seorang suami dan seorang bapa?

Akukah yang drama kuat bila dapat tahu suami ada hubungan lain? Sungguh aku nak tahu, adakah ini drama? Apa aku harusnya diam dan mengiyakan apa yang suami aku buat?

Aku sedih.

Lagi sedih apabila ayat yang menyakitkan itu keluar dari seorang wanita, yang sepatutnya mempertahankan hak wanita lain.

– Cica (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *