Salam semua.
Aku seorang perempuan gemuk berumur hampir 30 tahun dan anak bongsu. Sebelum ni, aku ada baca beberapa artikel tentang depression dan aku kaitkan dengan diri aku. Cumanya aku tak pasti samaada aku ada penyakit ini ataupun hanya perasan aku saja. Jadi, ini adalah kisah aku.
Sejak dari umur 6 tahun badan aku dah mula membesar selepas kena demam panas. Jadi, dari kecil aku dah selalu kena kutuk dan dihina. Ibu dan ayah boleh dikatakan manjakan anak-anak dalam sesetengah perkara. Jadi hidup aku sudah terbiasa dengan keputusan dibuat oleh ibu dan ayah. Bila aku ingin buat keputusan, mereka akan cakap sesuatu yang buatkan diri aku akan ikut cakap mereka. Adik beradik pula boleh dikatakan kami kerap bergaduh dalam hal-hal yang remeh. Kalau aku ingin kongsi masalah atau mengadu pun kena balik pada diri sendiri. Timbul juga rasa cemburu apabila mereka melayan sepupu-sepupu lebih dari adik mereka sendiri. Ya, aku hanya mampu melihat tanpa berkata apa-apa. Akhirnya, hanya pendam sahaja sedalamnya sampailah umur aku sekarang. Masa aku umur 12 tahun, aku pernah kena pukul dengan ayah sebab taknak pergi tusyen malam. Tapi aku taknak pergi sebab kat situ aku selalu nampak cikgu tusyen libas rotan pada budak yang jawab salah dalam buku latihan. Itu yang buat aku takut nak pergi tusyen. Umur ni jugak aku dah mula tarik rambut. Pada mulanya, tarik rambut gatal lepas itu aku jadi ketagih nak tarik. Mula sini jugaklah aku jadi over thinking. Setiap kali banyak fikir aku tarik rambut. Setahun lebih selepas tu uban dah mula tumbuh. Jadi makin keraplah aku tarik rambut. Sampai sekarang aku tarik rambut sebab dah jadi habit. Pada masa yang sama, aku selalu cakap seorang diri tapi secara senyap. Ia seolah-olah jadi hiburan hati untuk aku ketawa, senyum dan release tension. Aku selalu bayangkan apa sahaja yang aku nak. Tak kisahlah, menjadi perhatian ke, menjadi disayangi ke atau apa saja yang aku nak. Atau lebih senang aku cakap ia seperti dunia lakonan aku ciptakan. Ya, perkara ni pun jadi habit sampailah sekarang.
Tentang pembelajaran aku pula, aku ni biasa-biasa saja. Cuma aku bernasib baik dapat masuk kelas aliran sains sebab Sains dan Math aku dapat B masa PMR. Itupun kena push dengan ibu aku sebab yelah jiran-jiran cakap kelas ni bagus. Tapi, aku nak masuk kelas lain. Aku tak suka belajar secara teori tapi aku suka belajar secara praktikal. Akhirnya, results SPM aku semua huruf ada. Selepas itu, aku sambung belajar di sebuah kolej dan Politeknik. Setelah grad, aku masih lagi tak dapat kerja tetap. Yang kerja jauh, aku tak berani nak apply sebab duit. Pernah dulu aku temuduga di KL tapi tak dapat kerja itu, ibu dan ayah aku kecewa jugaklah sebab duit dah banyak habis kan. Jadi, aku matikan saja impian aku tu untuk bekerja di dalam bidang aku belajar. Akhirnya, aku dapat tawaran bekerja hasil dari aku pergi karnival kerjaya dan dapat jawatan yang bergaji RM1600 tapi tak sempat aku bekerja dan aku pulang dengan hati yang sangat kecewa. Sebabnya, ibu aku risau dengan keadaan tempat kerja aku. Masa tu, aku hanya menurut saja tanpa sepatah perkataan keluar dari mulut aku. Aku selalu fikir, ibu tetap ibu dan kau tak boleh nak bantah. Hanya Allah saja yang tahu apa perasaan aku pada masa itu. Tapi, aku memberontak seorang diri. Aku ketuk kepala aku, menangis sepuasnya dan aku menjerit tanpa keluarkan suara sambil pukul-pukul dada. Tiap malam aku lakukan perkara yang sama. Aku juga pernah suarakan pendapat aku dan pendapat aku itu diterima tapi tak kekal lama sebab lama kelamaan bila diceritakan balik perkara yang sama pendapat seorang ibu dan ayah pasti akan menang kan. Itulah sebab kenapa banyak perkara aku diamkan. Selepas itu, aku bekerja di satu syarikat bumiputera tapi tak lama pun dan aku akui salah aku sebab berhenti tanpa berfikir panjang. Tak lama lepas itu, aku pun buka bisnes sendiri. Ini pilihan aku, aku fikir sebab utama aku adalah aku lebih selesa kerja sendiri dan dengan umur begini aku fikir agak sukar untuk dapat pekerjaan yang tetap. Dan macam biasa ibu dan ayah tak suka sebab mereka lebih suka aku makan gaji. Masa tu, bisnes aku ramai yang tahu tapi ia sudah terhenti. Ia seperti orang hanya nampak kau buat kerja sekerat jalan saja. Ramai yang bagi semangat untuk aku teruskan tapi suaraku tak didengar oleh keluarga.
Terlalu banyak kesan negatif dalam hidup aku ini. Sehinggakan segala memori yang manis aku dah tak dapat ingat. Aku tak boleh nak buat keputusan yang bagus, tahap keyakinan aku terlalu rendah, aku takut nak berhadapan dengan orang, selalu terfikir apa yang belum terjadi, percakapan aku menjadi kurang ajar, jika aku luahan sesuatu aku luahkan secara beremosi, marah secara beremosi dan berakhir dengan tangisan seorang diri. Sudah banyak kali aku berimaginasi untuk bunuh diri. Nampak pisau dan aku pegang sambil halakan pada lengan aku, nampak lori aku rasa nak pecut ke bawah lori, nampak penyangkut baju yang tajam aku terfikir macam mana kalau mata aku tercucuk kat situ. Aku menangis, tarik rambut, cakap sendirian, ketuk kepala dan aku tanya kenapa mesti aku, kenapa Kau buat aku macam ni? Aku penat hidup macam ni. Soal ibadah mahupun solat, aku lakukan seperti biasa. Namun, dalam sebulan ni aku rasa aku solat hanya sekadar solat dan sampaikan aku rasa aku tak solat pun. Soal bercinta tak pernah ada dalam kamus hidup aku. Aku tak pernah bercinta dengan sesiapa pun dari dulu sehingga sekarang sebab aku fikir orang yang bertubuh gemuk ni sukar untuk diterima dengan hati terbuka. Ya, aku sunyi tapi aku kerap cakap yang Allah ada untuk aku.
Kalau dulu aku selalu seronok dan bangga jika bercerita tentang keluarga walaupun dulu aku tak perasan pun apa sebenarnya yang aku rasa. Kalau dulu dalam diam aku selalu sebut nama ibu ayah tapi sekarang yang aku sebut hanya Allah. Aku persoalkan kenapa Dia buat aku macam ni dan sampai bila semua ni akan berakhir. Kini, aku amat membenci keluarga aku sendiri. Jika kami bertemu pun, aku melihat dengan penuh kebencian walaupun nampak macam tak berlaku apa-apa sebabnya semua aku simpan dalam hati. Dalam masa yang sama, aku terlalu rindu pada mereka, aku perlukan pelukan dari mereka, aku perlukan kata semangat dari mereka dan aku cuma nak mereka cakap “Takpe dik, kau boleh buat lebih baik lagi, jangan putus asa lagi”. Dan apa yang aku dapat hanya ayat perli dari mereka. Aku dapat rasa mereka tak kenal siapa aku, tahu kelebihan aku, ilmu apa yang aku dapat masa aku belajar dulu dan apa yang aku nak dalam hidup ni. Aku banyak cari kawan berbanding dari keluargaku sendiri. Betullah kata orang “darah daging seperti orang asing, orang asing seperti darah daging sendiri”. Aku akur, ini semua salah aku. Banyak impian aku tergendala. Impian aku untuk senangkan ibu ayah aku sudah menjadi kabur malah aku semakin bebankan mereka dan bagi mereka semakin susah hati sebab aku. Sungguh aku hanya anak yang bawa masalah saja.Namun, doa aku untuk mereka, rindu aku untuk mereka tak pernah aku tinggalkan.
Hari demi hari, aku berusaha untuk berubah namun ketakutan aku menjadi punca segalanya selagi aku masih di tempat yang sama. Sehinggakan, ada saudara ibaratkan aku seperti buih besar yang tunggu untuk diletupkan. Sekarang ni, dia tawarkan pada aku untuk tinggal dengan dia walaupun dia tahu aku tiada duit untuk survive sementara aku nak cari kerja baru nanti. Ya, aku masih terfikir lagi untuk buat keputusan samaada pergi atau tak dan semua sebab duit dan keyakinan aku sendiri. Aku harap aku buat keputusan tepat jika pergi ke sana dan aku mohon doa dan nasihat dari kalian semua. Terima kasih.
Maafkan aku,
LOOSER
– Looser
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit