Ego atau Malu?

Hi aku berusia awal 20an… Maaf jika penulisan aku tak berapa baik maklumlah sudah lama tinggalkan zaman belajar.

Aku mungkin dikatergorikan dalam golongan anak derhaka mungkin sebab aku dah tak bercakap dengan ibu sendiri lebih dari 4 tahun… Bukan aku tak nak minta maaf tapi aku malu.

Entahlah susah untuk aku gambarkan perasaan malu itu.

Sebab dari aku kecil tidak diajar cara solat (aku pandai solat pun masa tingkatan 3), cara minta maaf dengan orang, cara bercakap dengan orang tua. Apa yang aku lihat… itu yang aku ikut.

Ayah aku seorang yang panas baran. Bila dia marah dia akan mengamuk, mencarut dan campak barang (tapi ayah aku tidak pernah naik tangan)

Dan bila aku besar aku terikut dengan sikap ayah aku. Cepat marah dan pendendam.

Aku lihat sifat kakak aku yang tidak suka berkongsi barang ataupun makanan.

Aku jadi terikut dalam masa sama untuk balas dendam. Kakak aku dia tak nak kongsi barang dia tapi ambil barang aku. Jadi disitu akan jadi pengaduhan antara kami.

Anak kepada ibu aku (lain bapa) tinggal dengan kami. Dia penagih. Aku benci dia. Aku sehabis mungkin untuk halau dia dari rumah.

Jadi aku mengamuk setiap kali tengok dia. Aku hempas pintu bilik, aku carut maki hamun dia. Ibu aku mempertahankan anak dia. Disitu bermulalah pergaduhan pertama kami ibu & anak.

Sehingga lah beberapa kali pergaduhan dan sejak itu aku tidak bercakap dengan ibu ku. Tapi aku suka sebab aku menang.

Anak ibu aku keluar dari rumah dan tinggal di rumah nenek ku. Dia hanya akan datang makan di rumah kami. Tapi aku tetap benci dia. Setiap kali aku nampak dia… aku akan carut dan hempas barang/ pintu.

Kemudian aku dapat tawaran belajar dan perlu duduk di asrama. Hanya akan pulang 2 minggu sekali. Dan dari situ aku semakin renggan dengan keluarga ku.

Jika dahulu aku boleh peluk & cium ayah aku kini hanya bercakap perkara yang perlu saja. Aku jadi kekurangan kasih sayang.

Aku tidak ada tempat untuk bercerita tentang masalah aku, semuanya aku pendam sendiri. Aku tidak bercerita masalah aku pada kawan-kawan kerana aku malu tentang keluargaku.

Ibu ku? Entah lah sudah lama aku tidak mendengar dia memanggilku perkataan adik.

Bila duduk di asrama banyak aku belajar tentang agama. Aku mula solat, belajar mengaji dan sebagainya. Hinggalah aku habis belajar… Alhamdulillah aku terus dapat kerja lepas habis belajar.

Di tempat kerja aku semua orang dewasa yang baik- baik. Banyak aku belajar dari mereka tentang pengalaman hidup.

Walaupun aku tidak rapat dengan kedua orang tua ku… tapi setiap hari aku akan cuba sedekahkan surah-surah al quran untuk mereka.

Setiap kali gaji aku akan bagi duit untuk ayah dan disebabkan hubungan aku dan ibu ku masih lagi tidak baik jadi aku hanya belikan barang dapur untuknya.

Aku akan senyap-senyap letak di dapur. Kalau dia guna, guna lah kalau tidak menuggu masa untuk dibuang. Benci lagi ibu ku terhadapku. Entahlah sampai bila akan begini…

Harapku kini cuma satu untuk baiki sikap-sikap panas baran, pemarah, pembenci aku ni. Dan yang paling penting aku nak minta maaf dengan ibu ku.

Tetapi buat masa ini aku masih lagi tidak ada keberanian untuk mengungkapkan kata-kata itu. Bagi aku yang tidak biasa dengan perkataan Maaf. Ia amat sukar untuk diucap.

EGO atau MALU aku ini?

– Lailerrrr (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *