Aku baru sahaja sampai di rumah sekembalinya dari kampung halaman. Semenjak aku bekerja, aku jarang dapat pulang ke kampung atas kekangan masa. Namun aku akan pastikan aku dapat pulang setiap kali cuti panjang.
Seperti biasa, mak dan abah pasti akan membekalkan aku lauk pauk dan buah buahan hasil kebun. Aku memanaskan lauk pucuk ubi masak cili api dan rendang ayam masakan mak. “Mak dan abah tidak pernah lupa lauk kegemaran kami adik beradik”, senyumku sendiri.
Aku memulakan suapan. Namun setelah suapan kedua, tidak semena mena air mata aku mulai tumpah. Aku tidak mampu untuk menahan tangisan ku sendiri. Secara tiba tiba dadaku terasa begitu sesak.
Aku terbayangkan wajah mak dan abah yang sudah dipenuhi kedutan dan rambut yang mulai putih. Masih terasa di tangan ku, kasarnya tangan mak dan abah semasa bersalaman sebelum pulang tadi. Ya Allah, Ya Rahman, kau kurniakanlah syurga buat kedua ibu bapa kami.
Sedari kecil, aku menyaksikan bagaimana mak dan abah berusaha untuk membesarkan kami. Pernah sekali emak disengat lipan manakala abah pula sudah berkali kali jatuh motor ketika di kebun kerana jalan yang licin.
Abah pernah terlantar sakit, mahu atau tidak, emak terpaksa memberanikan diri untuk membawa motor sendiri ke kebun ditemani kami yang masih kecil. Malam pula emak perlu menghantar kakak dan abang aku ke sekolah untuk kelas tambahan. Menguruskan rumah tangga pun terletak di bahu emak seorang.
Jika sebelum ini, abah sama sama membantu emak untuk memasak atau mengemas rumah tetapi kali ini abah hanya mampu terbaring di katil. Alhamdulillah, penyakit abah sembuh dan abah kembali sihat seperti sediakala.
Aku juga pernah melihat sendiri di depan mata, abah jatuh motor ketika cuba membawa baja ke kebun. Aku juga menjadi saksi apabila abah terpaksa menolak motor mendaki bukit kerana motor itu mati secara tiba tiba separuh jalan ketika abah ingin mengambilku pulang dari sekolah.
Aku berlari ke pagar untuk mendapatkan abah tetapi abah, sambil tersenyum hanya memberikan isyarat tangan supaya aku masuk semula ke kelas yang berbaki lagi 10 minit untuk tamat. Ya, kami hanya punya sebiji motosikal pada ketika itu. Tetapi motosikal uzur itu lah yang banyak menabur bakti kepada kami sekeluarga.
Kami membesar dengan kasih sayang emak dan abah. Sehingga lah hari ini, dikala kami sudah menginjak dewasa, emak abah tetap tidak putus mencurahkan kasih sayang kepada kami. Aku sebolehnya tidak lagi mahu merisaukan emak dan abah. Baru baru ini aku manghadapi sedikit masalah. Hampir dua minggu juga aku berperang dengan emosi.
Sepanjang waktu itu juga aku terpaksa mengelak untuk pulang ke kampung atau bercakap dengan mak abah di telefon. Aku tahu, dengan mendengar getar di suaraku sudah mampu membuatkan mereka tidak tidur lena. Aku hanya mampu menghantar mesej di whatsapp untuk bertanya khabar mereka.
Tetapi naluri ibu bapa mereka memang tidak mampu aku tipu. Tidak semena mena emak atau abah akan menghantar mesej bertanyakan keadaanku dan menyatakan bahawa mereka sentiasa mendoakan semoga urusanku dipermudahkan.
Walaupun setiap kali itu juga aku membalas bahawa aku baik baik sahaja namun aku tahu, mak dan abah dapat merasakan yang aku mempunyai masalah dan mereka cuba menghormati pilihanku untuk tidak bercerita. Aku berterima kasih kepada mereka untuk itu.
Untuk emak dan abah,
Kakak minta maaf kerana sehingga kini kakak masih belum mampu membalas jasa emak dan abah. Kakak juga minta maaf sekiranya keputusan kakak untuk tidak berkongsi dengan mak dan abah ketika kakak sakit, masalah di tempat kerja dan sebagainya.
Kakak cuma tidak mahu mak dan abah risau lebih-lebih lagi kakak hidup bersendirian. Kakak tahu, dunia ini bukan kita yang punya. Dunia ini bukan tempat manis manis sahaja. Tetapi kakak juga tahu, kakak masih punya Tuhan.
Kakak juga yakin, kakak masih bertahan hingga ke hari ini atas asbab doa dari mak dan abah yang diizinkan Tuhan. Terima kasih kerana menjadi emak dan abah kakak. Betapa beruntungnya kakak dengan nikmat yang satu ini. Semoga pengakhiran kita baik baik sahaja.
Kepada Tuhan,
Allahu Rahman, sesungguhnya aku adalah hamba Mu yang tidak pernah merasakan cukup. Jika sebelum ini aku merayu kepada Mu supaya dipanjangkan hayat abah semasa abah terlantar di ICU kerana aku perlu masa.
Aku baru sahaja selesai menghantar thesis ku pada hari itu dan aku perlu sebulan sahaja lagi untuk memulakan kerja pertama ku. Sudah lama aku nantikan saat melihat wajah emak dan abah ketika aku menghulurkan wang gaji pertama ku kepada mereka.
Dalam keadaan terdesak, aku menyatakan bahawa aku cuma perlu waktu sebanyak itu. Allah yang Maha Pemurah, kau panjangkan umur kedua emak dan abah sehingga hari ini. Namun merasakan aku masih belum cukup berbakti kepada mereka.
Aku meminta lagi kali ini kepada Mu. Jika permintaan ku ini bukan lah yang terbaik bagi ku, Kau tanamkanlah rasa Redha ke dalam diri ku dan redha kedua ibu dan bapaku terhadap aku. Kau tempatkanlah mereka di dalam syurga tertinggi Mu ya Allah.
– Hamba (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit