Enjoy & Love Yourself

Assalamualaikum semua. Aku Adila (bukan nama sebenar), berusia 34 tahun dan masih single.

Maaf kalau penulisan aku terlalu panjang atau cacar merba. Aku hanya nak santai-santai menulis je selepas berjaya menamatkan kursus penulisan 2 hari.

Azam 2023 (focus on self-love and a step plan to financial freedom)

– Berhenti kerja dan kerja sendiri.

– Settlekan/minimize kan loan.

– Rayuan haji muassasah/travel agency package – jika tak lulus rayuan, tunaikan umrah dengan Mak.

– Turunkan berat badan 5kg dan kekalkan gaya hidup sihat (yearly checkup Oktober).

– Saving AHB RM1,000/month.

– Saving PRS RM250/month.

– Cari hobi/kemahiran baru.

– Kahwin.

Ini azam aku tahun lepas. Memang tahun lepas focus aku lebih kepada diri sendiri. Alhamdulillah Allah rezeki kan aku lebih dari apa yang aku mohon.

1. Pada 31/5/2023, Aku berhenti kerja as senior auditor selepas 11 tahun berkhidmat di Audit firm. Aku dah sediakan simpanan tabung kecemasan setahun gaji.

Aku pilih untuk settlekan dulu peak hour audit bagi memudahkan team aku berkerja dan tunggu bonus raya masuk sekali.

Selepas resign aku balik kampung tolong uruskan tanah kelapa sawit arwah ayah. Kebetulan tanah tu dah habis tempoh pajakan.

Pak cik aku yang uruskan sebelum ini, tapi dah 2 tahun juga pak cik aku ni dah duk cucuk-cucuk kitorg adik beradik untuk ambil semula tanah, sebab dia dah tak larat untuk uruskan.

Jadi tugas aku pagi akan pantau Ram Sawit, jadual lori sawit keluar masuk dan dihantar ke kilang. Petang aku pergi kebun semula untuk bayar upah pekerja (mostly mereka nak gaji harian).

Selain tu aku masih lagi buat kerja-kerja akaun, cuma bukanlah secara serius. Ada beberapa peniaga di sekitar pekan & kampung aku yang minta tolong sediakan Management Account Report dan Tax submission.

Bak kata mak aku, apa-apa ilmu yang kita ada, usahakan untuk sampaikan pada orang lain agar sama-sama dapat manfaat.

Sebenarnya aku dah ambil kerja freelance akaun ni dari tahun 2018 lagi sebab time tu aku nak cari duit untuk yuran belajar Master aku.

Walaupun aku dah berhenti kerja, aku still join kursus2 under MIA, MATA, Lhdn untuk update knowledge yang ada sambil cari motivasi sambung PHD (impian 2024).

Business baru yang aku cuba buat jual anak Arnab dan jual ayam. Sebenarnya aku dapat inspirasi ni dari youtube “Atok Farm” yang kat Nilai tu. Impian aku nak ada ternakan dan sayuran keliling rumah macam tu.

Mula dari januari 2023, aku beli induk/baka Arnab 4 ekor (1 jantan, 3 betina), Arnab jenis holland lop. Arnab ni jenis senang membiak dan sekarang aku mampu menjana pendapatan antara RM2000-RM4000 sebulan dengan jual anak arnab.

Lagipun ruang aku pun bukan besar mana dan aku hanya pantau Arnab ni dalam 2-3 jam sehari untuk check makanan dan tahap kesihatan diorang.

Selain itu, bermula jun 2023 aku mula membela 50 ekor anak ayam. Aku beli dari FAMA untuk tujuan makan sendiri dan jual.

Sebelum tu, aku ada join kursus penternakan anjuran Pertubuhan Peladang (arwah bapa aku yang daftarkan aku ahli Peladang 15 tahun dulu, Cuma baru tahun lepas lah aku berminat nak join kursus).

Untuk ayam aku baru habis jual, sebab kena tunggu 3 bulan juga baru sesuai untuk dijual. Walaupun kos bela ayam, tidaklah menguntungkan, sebab aku banyak keluarkan modal untuk buat reban ayam.

Tapi aku gembira, sebab ramai orang-orang kampung aku dah tahu kami ada jual ayam. Siap dah dapat order untuk raya aidil fitri akan datang, Aku pun dah restock 150 ekor anak ayam untuk jualan seterusnya. Ini pun bela santai-santai juga.

2. Minimize loan. Aku banyak loan dan mustahil untuk aku settlekan loan dalam tempoh setahun. Jadi memang impian aku setiap tahun untuk settlekan sekurang-kurangnya 1 loan atau sekurang-kurangnya tiada tunggakan ansuran. Tahun lepas aku berjaya settlekan 3 loan:

a. Loan ptptn time study diploma & degree – Baki hutang awal 2023, RM14k+, sebelum ni aku bayar melalui auto debit bulanan. Ikutkan tempoh bayar balik aku tu sehingga tahun 2029. Aku berjaya settlekan pada November 2023, dapatlah discount 10% kot.

b. Hire purchase loan (Axia-beli tahun 2019). Baki hutang RM19k+, sebab aku dulu ambil loan 9 tahun, jadi patutnya aku settlekan tahun 2028, memang dari awal lagi aku dah bayar lebih dari nilai ansuran HP Agreement, jadi Disember lepas aku buat full settlement atas baki pinjaman.

Niat lepas ni aku nak beli kereta 4X4, cuma tengah menabung duit untuk deposit. Mana tahu boleh beli cash kan.

c. Housing loan (beli lelong tahun 2015). Rumah ni aku beli dulu 80k+, rumah teres 1 tingkat di bestari jaya (berdekatan Unisel), aku sewakan rumah ni pada student unisel.

Jadi cara aku settlekan, memang dari awal belian dulu, semua pendapatan sewa rumah tu aku direct bayar bank dan aku tambah bayaran lain ikut nilai instalment dalam loan agreement.

Jadi loan yang sepatutnya 20 tahun aku dapat settlekan dalam tempoh 9 tahun. Ini pun aku tengah fikirkan juga, kalau rasa-rasa market value rumah tu dapat 1.5-2.5 kali ganda dari harga aku beli dulu, aku jual lah dan simpan buat duit persaraan/hari tua.

Jadi tahun ni, aku masih ada 5 loan rumah dan 1 ASBF. 4 rumah yang aku beli aku masih sewakan (rumah lelong hasil teracun dengan penulisan Dr Azizul Azli Ahmad) dan ada 1 lagi rumah aku jadi kan homestay,

Ini kira best solution untuk isu negative cash flow rumah tu sebelum ni selepas 2 tahun aku follow FB dan penulisan Tuan Shafie Rustam.

ASBF tu aku baru buat tahun 2019, waktu 2022 ada terfikir nak terminate loan tu, Cuma lepas buat kira-kira dividend dan interest semua, compare dengan dividend dari nilai simpanan yang sama aku masukkan setiap bulan, masih berbaloi aku stay dengan ASBF.

3. Tahun lepas aku tak lulus pun rayuan haji. Aku merayu pun last minute sangat. Plus, aku lupa aku rakyat marhaen yang tiada cabble cekang. Cuma tahun lepas aku berjaya bawa Mak aku tunaikan umrah.

Ini sebenarnya umrah pertama aku. Ianya satu pengalaman yang sangat menggembirakan buat aku. Doakanlah aku dapat pergi Haji tahun ni.

4. Aku memang setiap tahun buat full medical checkup dari tahun 2017 lagi. Yelah tujuan aku nak maximumkan pelepasan cukai kan. HR tempat kerja aku dulu asyik potong PCB yang tidak-tidak je jumlahnya.

Tapi aku still tak berjaya pun turunkan berat badan sampai 5kg. Aku turun 3kg, naik 4kg. Jadi aku rasa aku nak amalkan hidup sihat jelah.

Sejak aku kerja sendiri ni, jadual makan aku lebih teratur dan tak terkejar-kejar. Pagi aku sempat berjemur dapatkan vitamin D sebab nak bagi ayam, Arnab makan. Nak siram pokok bunga dan sayuran lagi.

Dulu aku banyak duduk mengadap PC je kat office sampai pinggang aku selalu sakit-sakit. Sekarang ada peluang beriadah (jalan kaki dan berbasikal dalam Kawasan kebun), slowly aku rasa makin sihat.

Sebenarnya aku bukanlah gemuk mana pun, cuma tak kurus je. Tinggi aku 149cm, berat terkini aku 55kg, Cuma yelah impian raya aku nak sarung kebaya size XS tu belum tercapai lagi. Masih berbusana Muslimah size M.

5. AHB ni aku buka tahun 2011 under Maybank berbekalkan duit kerja part time kedai dobi time aku degree dulu. Amanah Hartanah Bumiputera ni taklah se ‘glamour’ ASB.

Tapi aku rasa berbaloi je labur kat sini bagi mana-mana yang tiada/kurang ilmu pelaburan macam aku ni. Dividend dia pun sebenarnya lagi berbaloi dari ASB. Cuma tulah dividend tahunan dia tak di investkan semula.

Jadi selalunya lepas dividen AHB masuk aku akan transfer dalam account Maybank Gold investment. Atau aku keluarkan jelah beli emas. Dividend dia bayar 2 kali tau setahun. Dan Hartanah komersil yang terlibat pun terkenal-terkenal juga. Contoh, NU sentral dan hospital Avisena.

Jadi boleh lah korang claim, korang ada melabur di sana. Contohlahhhhhhh. (iklan ini tidak di taja oleh AHB, harap maklum. Dulu selalu nampak Neelofa dalam iklan AHB, sekarang tak tahulah).

6. PRS (private Retirement Scheme) senang cerita macam simpanan persaraan macam KWSP juga lah. Aku daftar tahun 2018 tak silap. Antara sebab nya dulu waktu aku mencarum tu, kerajaan bagi tunai tambahan RM1000 bagi pencarum yang berumur 30 tahun ke bawah. Jadi aku masuklah.

Sekarang ni aku masih potong PRS ini untuk dapatkan pelepasan cukai. Untung ke tidak, itu pun aku tak pasti sebab ini pelaburan jangka Panjang. Sebelum ni aku potong under Public Mutual. Tapi selepas agent dia tak dapat di hubungi, aku tukar ke Kenanga Investor.

Mana yang lebih baik, itu aku tak tahu sebab aku tak pernah keluarkan dividen nya. Tujuan aku memang nak maximum kan pelepasan cukai yang aku ada je. Mana yang tahu tentang PRS ni korang komen lah nanti. Boleh juga aku baca.

7. Hobi/kemahiran baru ni sebenarnya aku masih explore lagi. Aku ni senang interest dengan benda baru dan senang bosan juga. Setakat ni benda yang dari dulu sampai sekarang aku still enjoy buat melukis.

Dulu lepas SPM aku mohon sambung Diploma Art and design kat UiTM, tapi interview tak lepas jadi aku sambunglah Diploma in Accounting System. Jadi aku pendamkan bakat aku ni sekadar hobi jelah.

Aku start join kelas kursus jangka pendek waktu PKP 2020, time tu aku serabut WFH sorang diri di rumah.

Lepas tu aku stroll FB jumpa page Mentari Selayang (Pusat mental health under Jabatan Psikiatri Hospital Selayang), time tu pakar-pakar psikiatri ni banyaklah buat talk untuk handle stress, anxiety time PKP.

Antara talk yang menarik perhation aku tentang self-love yang di sampaikan oleh Dr Hafiz. Aku start rasa sejak aku kerja aku jarang nak luang kan masa untuk diri aku. Selalu kalau aku free aku akan balik rumah mak aku. Aku tak tahu apa minat aku. Jadi aku decide untuk cuba benda-benda baru.

Aku pilih kursus-kursus pendek under Giatmara, kolej Komuniti atau kelas-kelas berbayar yang tak mahal mana. Tahun lepas aku pergi kursus baking, make up, kelas dekorasi kaktus/succulent, kelas renang, kelas taranum Al quran.

Yang sampai sekarang aku masih join hanya kelas Renang dan taranum saja. Aku yang dari takut air, sekarang boleh lah tenggelam timbul 60 saat. Okaylah tu, aku tak bercita nak masuk olimpik mahupun sukma.

Tapi untuk mental health tu aku masih suka lagi dengar talk atau baca berkenaan masalah mental ni walaupun aku yakin aku masih normal.

Bulan lepas aku baru habiskan buku bertajuk “Cuak: memahami Rasa gelisah, kebimbangan Melampau” penulisan Dr Hazreen. Boleh order di Iman publication. Berbaloi untuk di baca. (still juga bukan iklan berbayar. Malahan buku yang dibeli pun tak dapat sign penulis)

8. Azam kahwin masih duduk selesa di carta azam tak terrealisasi sejak 2018. Mungkin juga aku pun tidak begitu serius mencari. Aku tahun lepas ada join masterclass mencari jodoh Aiman Azlan, tapi aku sendiri tak tahu nak start macam mana.

Buat masa sekarang ni aku focus pada kegembiraan aku dan orang sekeliling aku jelah. Korang doakanlah aku dikurniakan jodoh yang sesuai di masa yang tepat, Aku nak jodoh aku tu tinggi dari aku je, lain-lain yang menawan aku dah ada. Eehhh gurau.

– Cik Adila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *