Assalamualaikum w.b.t. Saya harap pentadbir akan siarkan tulisan saya dan terima kasih jika siarkan tulisan saya. Saya bukan nak gaduh, hanya nak betulkan sedikit pasal kisah-kisah yang ditulis dalam penulisan “Feminisme dan Lelaki” (https://iiumc.com/feminisme-dan-lelaki/).
Tak mahu marah ya.. haha.
Sebelum itu terima kasih atas tulisan atok kerana ada beberapa perkara saya setuju namun marilah sama-sama berkongsi maklumat mengenai kisah-kisah para wanita dan sahabat Rasullah s.a.w.
1- Memang wanita ini diibaratkan seperti tulang rusuk seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasullallah SAW bersabda:
اسْتَوْصُوا بِالنساءِ خَيْرًا، فإنَّ المرأةَ خُلقتْ من ضِلَعٍ ، وإنَّ أَعْوَجَ شيءٍ في الضِّلعِ أَعْلَاه ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيْمُهُ كَسَرْتَهُ ، وإن تركتَه لم يزلْ أَعْوَجَ ، فاستوصُوا بالنِّساءِ خَيْرًا
Maksudnya : “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”.
[Riwayat al-Bukhari, kitab hadis-hadis berkaitan Nabi, bab penciptaan Adam dan keturunannya, no. hadis: 3083, kitab al-
Secara kesimpulannya, lelaki dituntut untuk berlemah lembut, berlaku baik serta bersabar dengan perempuan dalam apa-apa keadaan. Berlemah lembut tidak bererti tidak boleh bertegas kerana hendaklah mendidik dan menegur seseorang sesuai dengan keadaan ketika itu.
Jika wanita itu telah membunuh orang, tak akan kita masih mahu menegur dengan lembut kan? Namun, contohilah saranan junjungan besar kita dan Islam untuk hidup harmoni bersama-sama wanita.
Jadi, berlemah lembut dengan wanita tidak salah, seperti yang atok katakan ia adalah feminisim, malah dituntut oleh Islam.
Wanita adalah makhluk istimewa yang perlu dijaga kehormatannya dan dipandu ke arah kebenaran oleh lelaki dan bukannya di hambakan.
Perempuan juga adalah sama sahaja kemuliaan dan taraf kemanusiaannya dengan lelaki Cuma berbeza tanggungjawab. Wanita adalah sebahagian daripada lelaki seperti hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”. [Riwayat Abu Daud, kitab bersuci, bab Orang yang mendapati seluarnya basah ketika tidur, no. hadis: 204
JAdi, sekiranya seseorang itu menyatakan dirinya feminist kerana ingin memartabatkan wanita dalam hal kebenaran maka iainya sepatutnya menjadi suatu kebanggaan kerana memartabatkan seorang manusia adalah akhlak yang mulia, dan hanya mereka yang berhati buruk tidak akan setuju dengan kebaikan.
2- Mari kita lihat apakah erti dayus? Terdapat pelbagai tafsiran ulama’ mengikut Islam apakah definisi dayus.
Ertinya: “seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya). Imam Al-‘Aini pula berkata : “Cemburu lawannya dayus.”
Berkata pula An-Nuhas: “cemburu (iaitu lawan kepada dayus) adalah seorang lelaki itu melindungi isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki bukan mahram.”
Menurut Imam Az-Zahabi: “Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isterinya, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya.”
Maka, disini sudah kita lihat secara kesimpulannya lelaki dayus adalah lelaki atau suami yang tidak merasai apa-apa dan tidak berbuat apa-apa sekiranya wanita dibawah tanggungngannya melakukan dosa.
Makanya atok tersilap lagi dalam mentafsirkan dayus dengan mengatakan lelaki yang berlembut dengan isteri dan menyokong memartabatkan wanita sebagai seorang dayus.
Kembalinya kita kepada sahabat terjamin syurga Saidina Umar Al Khatab RA. Seorang sahabat yang sebelum sehinggalah selepas kemasukannya kedalam Islam dikenali dengan perwatakan sangat garang dan tegas. Namun Saidina Umar menyalurkan kegarangannya kepada saluran yang betul.
Tidak pernah didalam mana-mana riwayat yang menyatkan sahabat Rasullah SAW dan tentu sahaja junjungan kita Nabi Muhammad SAW berkasar dengan wanita. Maka contohilah mereka dan InshaAllah atok akan hidup bahagia bersama wanita.
Di sini, tidak saya nukilkan kisah Saidina Umar menasihati seorang lelaki yang datang untuk mendapatkan nasihat mengenai isterinya yang kuat membebel kerana ianya disebut oleh ulama’ di dalam kitab mereka dan tidak didatangkan sebarang sanad. Cerita ini disebut oleh beberapa ulama di dalam kitab mereka, antaranya:
1. Al-Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairamiy (الشيخ سليمان بن محمد البجيرمي) seorang faqih dalam mazhab al-Syafie di dalam kitab Hasyiah al-Bujairamiy 3/441-442.
2. Abu al-Laith al-Samarqandiy, seorang faqih mazhab Hanafi di dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin, halaman: 517.
3. Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Zawajir 2/80.
Namun cerita itu bolehlah diambil iktibar dengan perwatakan lembut para sahabat dan terutamanya Nabi SAW dengan wanita. Tetapi, suami janganlah terlalu berlembut sehingga dipijak kepala oleh isteri walaupun anda tidak mahu bergaduh. Didiklah isteri supaya menghormati suami dan Inshaaallah dua-dua akan bahagia.
Namun sedikit teguran buat atok. Janganlah sesekali kita bercakap mengenai perkara ghaib seperti padang masyar dengan yakin. Kerana tiada manusia yang tahu keadaan mereka di sana dan hendaklah kita takut dengan keadaan selepas kita mati sekalipun kita telah melakukan amalan baik yang sangat banyak.
Contohilah para sahabat dan Rasul-rasul yang DIJAMIN syurga namun masih takut menghadapi kehidupan selepas mati.
Kita disuruh bersedia untuk mati namun bukan bersambil lewa dengan alam lepas kematian kerana waktu itu sudah tiada apa yang boleh kita lakukan lagi. Saidina Ali juga pernah berkata: “Jauhnya perjalanan, sedikitnya amalan.”
Sedangkan para sahabat juga getir inikan pula kita, maka janganlah sangat yakin akan bahagia di akhirat meskipun sudah anda laksnakan tanggungjawab di dunia. Di masyar nanti adalah hari yang penuh ketakutan. Dipetik daripada perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki, ketika di masyar manusia masing-msing dicengkam oleh ketakutan dan debaran.
Sekalipun kita yakin kita beriman, itu tidak mejanjikan kebahagian di masyar kerana keadaan yang dasyat di sana dan kita memerlukan syafaat dari junjungan kita Nabi Muhammad SAW.
3- Haruslah kita bangga apabila suami melakukan kerja rumah kerana itulah yang dilakukan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Namun, mengapakah perempuan dianggap berkira ketika mereka meminta tolong dalam melakukan kerja yang sememangnya bukan tanggungjawab mereka?
Wanita dahulu kala walaupun berkerja (secara kampung seperti menoreh getah dan lain-lain) mereka tidak berbunyi dalam melaksanakan kerja rumah kerana tiada platform untuk menyuarakn perkara itu. Pemikiran dahulu kala juga meletakkan kerja rumah itu kewajipan perempuan.
Zaman itu masih boleh dipertimbangkan lagi wanita melakukan kerja rumah dengan banyak kerana pekerjaan lelaki sangat berat. Tetatpi itu tidak menghalang lelaki zaman dahulu daripada tahu dan mahir melakukan kerja rumah berbeza denagn segelintir lelaki sekrang(juga perempuan).
Perubahan teknologi semakin canggih tidak menjadikan kerja rumah itu tidak penat, sebab itulah perlunya kerjasama SUAMI dan ISTERI dalam melakukan kerja rumah.
Contohilah Nabi Muhammad SAW yang sangat rajin membantu isteri-isteri baginda seperti menjahit baju sendiri, memasak, mengemas rumah dan lain-lain meskipun Baginda sangat sibuk menguruskan negara, menyebarkan Islam dan beribadat sehingga kaki Baginda bengkak-bengkak.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang maksudnya: Aisyah RA pernah ditanya seorang lelaki yang bernama al Aswad bin Yazid tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya?
Maka Aisyah menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah. Dan apabila sudah tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat.” Dan kerja rumah tiada kena mengena dengan ketaatan kepada suami melainkan suami menyuruh isteri melakukan kerja rumah.
Kendatipun begitu, seorang suami perlu mnyediakan pembantu sekiranya dia mampu ataupun isteri sudah biasa mempunyai pembantu dan perlu membayar isteri yang melakukan kerja rumah.
Janganlah menganggap ajaran Islam ini menyusahkan lelaki sebaliknya berbanggalah kerana Islam mengangkat wanita iaitu ibu-ibu,adik kakak (dan lain-lain) anda semua di martabat yang tinggi. Dipetik daripada pejabat mufti wilayah persekutuan :
Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada dibawah tanggungannya itu ialah seperti:
• Makanan
• Barang-barang dapur
• Pakaian
• Tempat tinggal
• Alat-alat untuk membersihkan diri
• Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja). (Rujuk Mughni Muhtaj, 4:542)
Tetapi, walaupun ini diajarkan dalam Islam, ramai sangat wanita yang tidak berkira melakukan kerja rumah melainkan segelintir sahaja dan kebanyakan mereka cuma mahu ditolong.
Jadi janganlah atok mahupun sesiapa merasa marah apabila isteri meminta tolong dan BERTEGASLAH khusus kepada wanita yang benar-benar malas sahaja. Jangan dipukul rata.
4- Selama mana seorang isteri itu masih Islam, maka hukum ketaatan kepada suami itu akan terpakai sampai bila-bila. Tetapi suami tidak boleh menggunakan hukum ketaatan kepada suami untuk menghambakan isteri kerana isteri perlu memberi ketaatan bukannya kehambaan. Dua perkara yang sangat berbeza.
Perkara ini juga saya ingin katakan kepada isteri yang suka meninggi suara kepada suami, memperli suami, tidak menghargai suami dan tidak mendengar arahan suami (arahan baik sahaja).Walaupun saya perempuan tidak sekali saya menyokong sekiranya wanita itu menderhakai suami.
Jangnalah kalian buat begitu kerana ia dosa yang sangat besar. Hatta suami menyuruh mengambil segelas air dan isteri tidak menurut, maka isteri berdosa. Walaupun begitu, lagi sekali, suami tidak boleh menghambakan isterinya dari segi perbuatan mahupun percakapan, jadi hendaklah anda tahu garis-garis ketaatan itu, baik ISTERI mahupun SUAMI.
Di sini saya mahu tegaskan kepada atok, bahawa kisah Asiah tidak boleh dijadikan contoh mentaati suami zalim, kerana apa yang memasukkan Asiah ke dalam syurga adalah kerana dia beriman kepada ALLAH. Firaun melamar Asiah namun Asiah menolak kerana Firaun itu ingkar kepada Allah.
Namun setelah diugut dengan Firaun mengancam membunuh kedua ibupanya, Asiah menerima lamaran itu. Firaun melayani dan memewahkan Asiah dengan sangat baik tetapi hati Asiah sekalipun tidak berpaling daripada mentaati Allah.
Firaun sangat kejam dan membunuh semua bayi lelaki kerana mimpinya namun telah bersetuju menyimpan Nabi Musa kerana Asiah merayu.
Begitulah sayangnya Firaun kepada Asiah namun sedikitpun Asiah tidak terpengaruh kerana Ketaatan Asiah pada Allah. Sebab itu juga Asiah sanggup ingkar kepada Firaun dan diseksa sehingga mati kerana mempertahankan tauhidnya.
5- Perkara lain adalah isi-isi yang saya bersetuju namun sekali lagi saya mahu menegur atok. Janganlah kita ini yakin akan ke syurga kerana semua amalan baik yang dilakukan kita akan diganjarkan oleh Allah namun hendaklah semua faham, bahawa masuknya kita ke dalam syurga kerana rahmat Allah.
Perkara ini susah difahami untuk setengah orang maka sama-sama lah kita fahami petikan di bawah:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana amalannya.” Para sahabat bertanya; “Begitu juga dengan engkau wahai Rasulullah?”
Beliau bersabda: “Ya, kecuali bila Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya padaku, oleh kerana itu berlaku luruslah dan bertaqarublah dan janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian, jika dia orang baik semoga saja boleh menambah amal kebaikannya, dan jika dia orang yang buruk (akhlaknya) semoga boleh menjadikannya dia bertaubat.” (Sahih Bukhari, no. 5241)
Maka fahamlah kita, ahli syurga nanti adalah kerana rahmat Allah SWT dan bukannya kerana hebatnya amalan-amalan kita.
Tetapi mohon pembaca jangan salah faham kerana, kita masih wajib melakukan amalan wajib dan baik-baik dan serahkanlah urusan amalan diterima serta pahala itu kepada Pencipta kita. Jangan berbangga dengan amalan kita.
Saya petik tulisan atok “Sebab masa hidup dia tegur dan didik isteri dan anak-anak dia betul-betul, walau hidup susah, tak trendy, kerja biasa-biasa, isteri dia suri rumah tapi Allah tak pisahkan pun laki bini, sama-sama terpilih masuk syurga, masing-masing tau peranan” –
Ini adalah bahaya kerana tiada siapa yang boleh menentukan syurga neraka seseorang terutamanya apabila hanya bersandarkan perbuatan suami mendidik isteri dan anak-anak dengan betul.
Hal ini kerana, pertama syurga neraka hanyalah urusan Allah dan kedua, kehidupan adalah sangat besar dan tidak meliputi hanya kehidupan berkeluarga. Sekiranya anda lulus hidup berkeluarga adakah anda lulus kehidupan berjiran ? berdakwah? Saudara mara? Pendidik? Fardu ain? Fardu kifayah? Dan seterusnya.
Yang terakhir adalah contoh-contoh yang diberi oleh tuan penulis. Tidak dapat saya pastikan cerita itu benar atau tidak kerana tiada sumber rujukan mahupun fakta. Tetapi saya ambil sebagai pengajaran buat diri saya.
Sumber rujuka, peratusan dan fakta adalah sangat penting kerana itu menunjukkan kebenaran sesuatu cerita dan memberi maklumat mengenai perkara yang mahu kita atasi.
Tidak boleh kita membuat tindakan tanpa maklumat yang betul . Ia adalah berdosa. Mengumpul fakta adalah selari dengan panduan daripada al-Quran seperti firman Allah.
Allah SWT memerintahkan supaya menyelidik serta mendapat kebenaran berita yang disampaikan seseorang. Ini kerana bagi mengelak daripada terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran, firmannya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
Walaupun ini adalah berkaitan berita tetapi masih konsepnya sama iaitu menyelidik dahulu. Maka saya harapkan selepas ini atok menyelidik sesuatu perkara sebelum menulisnya.
Sama-samalah kita berteguran ke arah kebaikan kan? Juga saya ingin katakan kepada atok, janganlah kita bersangka buruk kepada manusia seperti dalam penulisan atok “ Angkuh dan bongkak sungguh punya intro” “ Ke kau banyak tengok sinetron,anime…..” kerana:
Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat)maka sudah tentu kamu jijik kepadanya . (oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut )dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani (Surah Al Hujurat,ayat 12).
Dalam ayat ini terdapat beberapa perintah oleh Allah namun salah satunya janganlah kita bersangka buruk terhadap manusia kerana itu berdosa besar.
Sebelum saya menutup penulisan saya, saya hendak katakan janganlah ada sombong dalam hati (sombong itu adalah menolak kebenaran dn meremehkan orang lain)kerana:
Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong.
Sahih Muslim (51)
Tuntasnya, marilah sama-sama banyakkan membaca sirah seperti saranan atok dan juga membaca ilmu pengetahuan dunia kerana Allah ciptakan ilmu dunia sebagai keperluan kita diatas dunia dalam perjalanan menuju akhirat.
Turunnya Al-Quran dan hadis itu untuk memandu kita dalam kebenaran juga menuju ke akhirat. Makanya kedua duanya kena seimbang. Selamat berhari raya!
– Rendang Ayam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit