follow the flow

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin sebab sudi post cerita aku ni.

Aku nak cerita sikit pasal student life aku. Aku ni jenis orang yang follow the flow. Aku jenis orang yang tak kisah dan tak memilih dalam urusan kehidupan aku. Aku seorang bekas pelajar pergigian di salah sebuah IPTA di Malaysia. Sejujurnya, jurusan pergigian yang aku ambil bukanlah jurusan pertama dalam list UPU aku. Dan sejujurnya aku seorang yang tidak ada cita-cita hebat walaupun telah berjaya mendapat bilangan A yang agak banyak semasa SPM.

Aku seorang yang tidak minat bidang sains. Aku minat menulis walaupun penulisanku tidak sehebat Hlovate. Aku minat menyanyi walaupun suaraku tidak selunak Siti Nurhaliza. Aku minat melukis walaupun lukisanku tidak sehebat Leonardo Da Vinci. Aku minat make-up walaupun tak setanding ramzamode dan alhaalfa. Basically, aku seorang yang berjiwa seni. Aku tak minat science, tapi sebab subjek wajib, jadi aku belajar juga. Aku tak minat pergigian pada awalnya, tapi sebab dah berada dalam bidang ni, maka aku teruskan juga. Aku, follow the flow.

Aku ikut apa sahaja yang akan terjadi dalam hidup aku. Aku tak rasa menyesal berada dalam bidang ni. Pendapat aku, itu semua aturan Allah. Semuanya yang berlaku dalam hidup aku telah ditetapkan oleh Allah dan aku tak sepatutnya melawan takdir. Cuma sejujurnya fikiran aku yang jenis follow the flow ni membuatkan adakalanya aku belajar sambil lewa disebabkan itu bukanlah minat aku.

Korang pernah dengar tak hadis logam? Dari Abi Hurairah r.a, dari Rasulullah s.a.w berkata : Kamu akan dapati manusia itu seperti logam (himpunan berjenis besi-besi), baiknya mereka di waktu Jahiliyyah, baik juga mereka di waktu Islam, sekiranya mereka faquh (faham).

Aku mula-mula dengar hadis ni sewaktu aku join usrah semasa di universiti. Alhamdulillah, aku diberikan keterangan yang mendalam tentang hadis tersebut. Manusia ibarat logam. Logam karakternya boleh dilentur/dibentuk. Dan logam dalam manusia ni akan kekal keaslian dan kualitinya bila mereka kembali kepada Islam sekiranya mereka faham. Hadis ni boleh dikaitkan dengan kisah Saidina Umar Al-Khattab (ra) yang mana merupakan seorang yang garang dan tegas semasa jahiliyah, dan menggunakan ketegasannya setelah memeluk Islam. Beliau yang paling lantang menentang Islam semasa jahil, namun setelah keislamannya, dialah yang menjadi panglima perang islam yang unggul.

Dalam program tu, kami diminta untuk senaraikan semua logam (kelebihan masing-masing) yang ada. Kami all-out. Aku listkan semua yang aku rasakan kelebihan aku. Dari situ aku baru terdetik bahawa setiap orang sebenarnya dikurniakan kelebihan masing-masing. Dan kelebihan yang ada, sebenarnya bukanlah untuk digunakan ke jalan yang salah. Sebaliknya untuk manfaat umat sejagat. Cuma adakalanya kita tak perasan dan tak dapat nak manfaatkan.

Bermula dari situ, aku mula berubah. Aku lebih positif. Aku mula faham antara minat dan kerjaya aku untuk Islam. Mungkin orang nampak kerjaya seni tidak ada manfaat kukuh dalam Islam. Tetapi aku yakin, minat adalah sesuatu yang Allah ilhamkan pada kita. Dan pastinya ada manfaat untuk umat. Manakala kerjaya adalah sesuatu yang perlu kita pelajari untuk manfaat kita sendiri dan masyarakat.

Aku mula belajar dengan niat kerana Allah. Aku lebih yakin bahawa Allah tempatkan aku di jurusan ini supaya aku tahu sesuatu ilmu baru bagi aku dan supaya aku dapat berbakti kepada masyarakat di luar sana. Di samping menuntut ilmu pergigian, aku improvekan juga skill melukis aku hari ke hari. Aku nak jadi pelukis yang mempunyai prinsip tertentu dalam lukisannya. Contohnya lukisan potret yang menutup aurat, tulisan-tulisan khat yang melambangkan keislaman untuk manfaat manusia. Mula dari situ juga, aku mula minat menulis sesuatu yang bermanfaat dan bukanlah novel cinta semata-mata (masa sekolah menengah dulu aku pernah menulis cerita cinta). Mula dari situ juga, aku improve skill makeup aku. Aku sedih tengok orang lelaki sentuh perempuan semata-mata untuk makeup di hari mereka dihalalkan untuk lelaki lain. Aku sedih tengok mak andam cukur kening, pakai bulu mata palsu kononnya nak bagi makeup lagi cantik. Aku nak jadi orang berguna untuk bangsa dan agamaku.

After all, Alhamdulillah sepanjang menuntut di alam universiti sebagai seorang pelajar pergigian, aku juga berpeluang membuat side income dengan melukis potret dan khat. Aku juga pernah mendapat side income menjadi seorang makeup artist untuk majlis pertunangan dan perkahwinan sahabat. Menulis buku adalah salah satu impian yang belum dicapai. Pencapaian aku dalam menulis cuma mendapat 2k shares confession aku (from zero to hero) di iiumc ni dan itu sudah cukup buat aku gembira sebab dapat memberi inspirasi kepada pembaca. Aku harap aku dapat menulis sebuah buku nanti. insyaAllah. Doakan aku ya? Sekarang ni aku cuma menanti hari untuk majlis konvokesyen bulan 11 nanti. Doakan aku dapat menjadi doktor gigi yang berjaya dunia akhirat ya?

Nasihat aku, carilah logam (kelebihan) yang kamu ada dan manfaatkan ia untuk Islam. Setiap sesuatu yang Allah kurniakan pada kita pasti ada hikmahnya. Ikhlaskanlah niat dalam setiap perbuatan kita. Aku akhiri post kali ni dengan satu hadis, “Innamal a’malu binniyat”

-hanaishiteru