Gangguan Kerja Selepas Waktu Kerja

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Maaf jika perkongsian ini terlampau panjang dan buatkan anda berasa jelik. Kalau bosan, tuan puan tak perlu la baca ya. Saya cuma ingin berkongsi masalah agar ianya tak menganggu fikiran.

Seperti tajuk yang saya tuliskan, saya ingin luahkan masalah berkenaan kerjaya saya.

Alhamdulillah atas rezeki dariNya, saya telah lama berkhidmat dalam sektor awam. Walaubagaimanapun, dalam beberapa tahun ini, saya telah bertukar ke jabatan baru.

Segalanya berjalan lancar, saya suka dengan pekerjaan saya dan selalu mendoakan agar Allah berikan saya keseronokkan bekerja serta semangat yang tinggi agar segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat saya laksanakan sebaik mungkin.

Tetapi yang menjadikan stress kepada saya adalah, tabiat warga jabatan yang tidak tahu had batas waktu bekerja.

Saya dihubungi tak kira waktu, selepas waktu kerja, waktu maghrib, malam hari, tak kira masa, ketika kita balik ke rumah untuk berehat, masih lagi dihubungi untuk bertanya soal kerja.

Bukan dari peringkat atasan sahaja, tapi dari peringkat yang sama jawatan pun sama. Yang mereka tahu, asalkan soal kerja yang mereka nak kita selesaikan tu dapat jawapan pada saat itu juga.

Tak cukup dengan itu, hari sabtu dan ahad saya juga terganggu dengan panggilan telefon atau mesej whatsapp bertanyakan soal kerja.

Seakan akan saya ini dibayar gaji untuk bekerja 24 jam 7 hari seminggu tanpa menghormati hak saya sebagai manusia untuk berehat.

Untuk pengetahuan tuan puan, saya jarang merasai balik kerja tepat waktu, walaupun dah dilaksanakan waktu bekerja fleksible (cukupkan 9 jam waktu bekerja dari waktu masuk kerja mulai jam 7.30pagi hingga selewatnya 9.00 pagi).

Boleh dikira berapa kali balik tepat waktu kerana disaat nak balik, ada sahaja kerja yang nak ditanya, diarahkan last minit. Seperti dah tak jumpa hari esok.

Seperti anda sedia maklum, dalam tempoh PKP, kebanyakan jabatan diarahkan mengurangkan peratusan pekerja yang datang bekerja secara fizikal di office untuk putuskan rangkaian penyebaran covid19. Begitu juga dengan jabatan saya.

Tuan puan yang menghadapi situasi yang sama seperti saya pasti akan memahaminya.

Istilah bekerja dari rumah atau work from home tidaklah seindah yang digambarkan.

Jadi tuan puan kena faham, tak semua sektor awam bersenang lenang semasa tempoh pkp (walaupun sekadar backliner di jabatan frontliner). Respect to frontliner.

Ok, sepanjang PKP, saya tetap mengambil risiko pergi kerja setiap hari atas faktor yang saya ceritakan diatas. Jika saya bekerja dari rumah pun, sedangkan segala dokumen kerja berada di office, tetap akan terbantut.

Jadi saya terima sahaja, ditambah pula dengan insan-insan yang tidak henti mendesak nak kita selesaikan urusan kerja mereka sedangkan masing-masing tahu jadual kerja masing-masing.

Padahal jika pada hari mereka sendiri bekerja dari rumah, usahkan telefon, mesej pun belum tentu berjawab. Seakan-akan work from home ini adalah cuti dan tidak boleh diganggu.

Perasaan penat dan stress ini lagi menjadi jadi bila saya mengandung. Mungkin hormon tak stabil buatkan saya lagi mudah penat dan stress.

Seperti yang dicerita, tak kira malam, cuti hujung minggu, tetap telefon nak bertanyakan urusan kerja. Tengah appointment jumpa doktor pun, masih ditelefon.

Dah maklumkan saya dalam klinik, tetap nak bercakap, hal penting katanya. Stressnya. Dalam tempoh pkp pun tiada istilah work from home, tetap pergi kerja.

Tak ada istilah orang mengandung nak rasa istimewa ya. Mental kau yang kena kuat sendiri supaya kau tetap boleh berdiri buat kerja.

Kawan dari department sendiri pelik kenapa datang kerja hari-hari sedang mereka tak tahu, tekanan dari department lain yang kejar urusan yang nak kita selesaikan.

Kalau diceritakan pun, mereka tak dapat bantu sebab urusan kerja tu bahagian saya yang perlu uruskan.

Bagi saya tak apalah, setiap penat ini pasti ada ganjaranNya. Cuma sebagai manusia biasa, diri ini terlalu penat untuk menanggungnya.

Bebanan tugas yang terlampau banyak tidak mengapa, masih boleh diusahakan untuk selesai, tetapi tekanan dari teman sejabatan menjadikan kita rapuh.

Saya tak adil pada suami dan anak2. Saya balik kerja lambat kerana beban tugas yang banyak.

Drive kereta pon terfikir-fikir masalah kerja. Balik kerja pun adakalanya tak mahu untuk buat apa-apa, hanya nak berehat sepenuhnya.

Nak berbaring seperti orang tak ada jiwa. Terbawa-bawa dalam mimpi. Sampaikan satu tahap stress dan penatnya otak, saya terpaksa offkan telefon pada waktu malam dan hari minggu.

Melepaskan penat dengan menangis sepuasnya mengadu pada Allah dan suami untuk legakan hati dan bersedia menempuh masalah baru yang diletakkan diatas kepala untuk diselesaikan esoknya.

Kadangkala masalah yang bukan berpunca dari kita dan bukan skop kerja kita tetap ditolak kepada bahagian saya untuk diselesaikan.

Penatnya…

Luaran orang nampak saya okay. Tapi dalaman saya sakit, penat. Motivasi saya down.

Dalam istilah lain, saya boleh bagi full komitmen dan available pada waktu bekerja, tapi tolonglah paham dan hormati waktu privacy saya. Waktu cuti saya, waktu malam saya.

Harap doakan saya untuk terus kuat dan diberi semangat untuk jalankan amanah yang diberikan. Bila baik ditindas, bila kita culas, tak berkat.

Adakah tuan puan diluar sana yang menghadapi masalah yang sama macam saya? Jika ada, mungkin saya akan berasa sedikit lega kerana saya tak keseorangan.

Sekian. Assalamualaikum.

– Azira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *