Untuk part I, (https://iiumc.com/garis-akhir/).
Assalamualaikum andai penulisan kali ini terlintas di mata pembaca, terima kasih dan maaf aku titip buat admin yang mengizinkan nukilan jiwa dan luahan rasa aku dikongsikan di sini.
Percayalah, jika ada jiwa yang terseksa membaca luahanku, admin lah yang paling terseksa kerana perlu meneliti setiap bait kata dalam naskah yang meleret ini sebelum dikongsikan.
Aku adalah manusia berjiwa sastera yang terpaksa mengikuti aliran sains.
Penggemar cerpen penulisan S Othman Kelantan dan seni lukis yang harus bersengkang mata menghafal hukum fizik dan formula kimia.
Maaf, dari mukadimah ku juga pasti telah dapat dibaca gerak hati kalian, luahan kali ini juga akan sama seperti sebelumnya. Cuma kali ini, isinya ada sinar, ada warna dan senyuman.
Setelah aku kumpulkan screenshot hasil hasutan emak si A, sesi ‘ramah-mesra’ bersama skandal-skandalnya, resit2 perbelanjaan barangan branded si A, resit2 perbelanjaan rumah, keperluan anakku dan bil rumah(yang tidak lagi dibayar si A).
Aku fotostat semuanya dan kumpul di satu fail untuk tatapan peguam lantikan keluargaku untuk memohon fasakh.
Aku memohon ibu dan adik supaya dilakukan semuanya dengan senyap tanpa pengetahuan si A.
Jadi aku bermanis muka setiap hari seperti biasanya.
Tetap peranan aku sebagai isteri aku lakukan selama mana aku masih isterinya yang sah. Cuma satu yang aku tidak lakukan.
Tidur bersama kerana yang paling aku takuti adalah mendapat satu lagi anak ber bin kan manusia binatang ini.
Tidak pernah padam kata-kata yang tersembur dari mulut neraka itu dari ingatanku.
Tidak akan aku lupa sehingga jasad aku ditelan tanah.
Sampai saatnya aku bawa anakku ke rumah saudara.
Adik menunggu si A di rumah ibu. Adik memberikan surat fasakh kepada si A dan beg eco yang bersaiz besar.
Intipati surat itu adalah segala perbuatan si A pada aku selama 3 tahun. Beg eco saiz besar untuk tereban segala barangnya untuk dia pindah keluar hari itu juga.
Permintaannya untuk pindah esok ditolak mentah-mentah.
Keluar saja dia dari rumah kami, pertama yang kami lakukan, menukar semua kunci, mangga dan password yang diketahui si A.
Kumpul barang-barang si A yang masih tersisa di dalam satu kotak. Mudah dilempar tika tuannya datang mencari masalah.
Si A cuba menghubungi aku. Sekali, dua kali, berkali-kali.
Aku biar. Si A cuba menghantar pesanan di whatsapp.
Ada nada marah di bait pesannya. Sedikit jengkel, jadi aku hantar profile picture perempuan-perempuannya dan screenshot chat emaknya.
Si A diam. Tidak lagi menghubungi.
Cuma satu akhir pesannya meminta maaf dan meminta halalkan semua buat dirinya. Teruskan bermimpi.
Satu sen tidak akan halal. Hiduplah dengan rasa itu selama kau bernafas manusia.
Hiduplah dengan rasa itu setiap kali kau menatap anak kecil yang menyerupai kau.
– Gagal (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit