Assalamualaikum. Saya Nida, anak ke 7 dari 9 orang adik beradik.
Ayah saya baru sahaja meninggal dunia 2 tahun lepas. Urusan selepas ayah pergi semuanya mudah kerana ayah tidak meninggalkan harta atas namanya.
Sebenarnya ayah banyak harta, tapi semuanya sudah dipindahkan atas nama mama ketika ayah masih hidup lagi.
Mama selaku pemegang amanah untuk membahagikan harta-harta yang ditinggalkan arwah ayah yang terdiri dari tanah, lot kedai, kereta dan emas.
Mama ada 9 orang anak yang semuanya sudah dewasa. Tapi hampir semua harta dilebihkan pada abang yang sulung.
Dia dah cakap awal-awal nak bagi emas, kedai dan tanah pada abang sulung. Kerana sikap mama yang tidak adil kami adik beradik saling bermasam muka.
Hari ini sepatutnya kami bergembira berkumpul bersama sempena cuti sekolah, tapi akhirnya masing-masing menyimpan rasa kecewa dengan sikap mama.
Kami takut untuk duduk berbincang sebab perangai abang2 yang panas baran. Takut meletup dan bergaduh depan ipar-ipar dan anak-anak.
Masalah mama dan abang sulung saya ni adalah minda mereka sangat tertutup dan tak mahu berbincang secara baik. Semua dilakukan di belakang kami.
Sampailah adik saya terasa hati dengan mama sebab bahagian tanah untuk adik sangatlah kecil.
Sebenarnya sebelum ayah meninggal, dia dah bahagikan sebagian bidang tanah untuk kami 9 beradik.
Tapi kerana ketamakan abang-abang dan kakak, pembahagian lot tanah tu jadi tidak sama rata dan nampak sangat besar bezanya.
Kebetulan adik dipindahkan ke daerah ni dan sedia untuk buat rumah di atas tanah yang bapa berikan.
Tapi bila tengok abang ambil bahagian sangat besar dan tinggalkan lot kecil untuknya, dia sangat marah. Bila ajukan pada mama, mama pula marah pada dia.
Adik mengadu pada saya, saya hanya tenangkan dia dan suruh dia sabar, elakkan bergaduh dan bersyukur sahaja dengan apa yang dia dapat.
Saya kata, itu harta mama dan dia ada hak nak bagi pada siapa yang dia nak, kita tak boleh paksa. Mungkin abang sulung tu paling dekat di hati dia, kita tak tahu jasa abang pada dia.
Saya hanya tenangkan adik saya. Tapi mama tuduh saya pula yang jadi batu api. Dan pada saat ni mama tak mahu bercakap dengan saya.
Saya sangat sedih dengan sikap mama. Dia langsung tak boleh ditegur, dia akan salahkan orang lain.
Banyak sangat kami diuji dengan sikap mama. Tak tahu sampai bila kami boleh bersabar.
Saya tak tamakkan harta mama, saya tak nak apa2 dari mama. Saya boleh cari sendiri. Cuma sekarang saya risau kalau kami berpecah adik beradik terutamanya setelah mama tiada..
Saya dah suruh dia buat hibah siap-siap supaya tak jadi perbalahan di kemudian hari tapi dia tak peduli.
Mama dan abang sulung juga marah kalau kami sebut-sebut soal harta, kononnya menyumpah mama mati cepat. Mama masih hidup dah sibuk cakap pasal harta.
Padahal masa hiduplah kita kena uruskan betul-betul supaya bila dia dah tiada nanti anak-anak hidup aman tak gaduh dah pasal harta ni semua.
Tolong bagi saya pendapat atau kata-kata semangat untuk menghadapi sikap mama yang terlalu pilih kasih.
– Nida (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Saudari boleh rujuk ke pejabat agama yg paling hampir dan buat laporan, harta pusaka boleh dituntut mengikut faraid, atau rujuk kepada mana2 peguam yang arif