Assalamualaikum semua. Alhamdulillah ibu baru saja menjalani pembedahan kecil tenchoff pada 7 hb yang lepas. Tenchoff yang dibuat adalah untuk memasang dan memasukkan tiub dialisis air untuk pesakit buah pinggang sebagai persediaan awal untuk dialisis. Rawatan dialisis air (capd) ini perlu dibuat 4 kali sehari yang akan dilakukan oleh pesakit sendiri atau penjaga. 11 hb kami dibenarkan pulang. Doktor kata baik kan luka pembedahan dulu, lagi 2 minggu baru belajar buat rawatan dialisis.
Saya bukan nak bercerita tentang dialisis tapi nak cerita keadaan ‘perasaan’ pesakit yang sama di wad ibu. Alhamdulillah saya hanya berniaga kuih, cuti saja bila perlu, saya bos , saya kuli. Usia memang sangat lanjut, 35, tiada masalah bg saya jodoh belum sampai dan tiada family, alhamdulillah rezeki saya yg panjang untuk menjaga ibu. Setiap keluarga berbeza kelapangan masa dan batas kerja. Terpulang pada anda untuk menguruskannya.
1. Makcik tidur pun duduk:
Makcik asiah dah 2 tahun buat rawatan dialisis darah (dialisis ini perlu pasang tapak khas dialisis ditangan) dan dia tak boleh jalan hanya duduk saja. Tapi baru² ni dia asyik demam dan memang kena tahan wad untuk masuk antibiotik. Anak semua dah kerja dan berfamily. Suami pula sakit jantung. Hanya waktu siang saja suami dia teman, malam tak boleh laa sebab wad perempuan. Hujung minggu memang penuh katil dia semua anak menantu melawat. Saya sapa makcik asiah, waahh ramai sedara acik, seronok acik. Dengan sendirinya dia cerita. Mak cik ada ramai anak tapi semua ada tanggungjawab sendiri, family dan kerja. Seharian makcik mengharap pakcik ko datang. Anak-anak hanya hujung minggu datang lawat. Malam sensorang laaa jadinya. Pukul 2pagi saya lalu di depan katil makcik asiah. Tidurnya duduk di atas katil sambil peluk bantal hospital. Katanya ini paling selesa.
2. Maria (nama manja yang kami bagi) terlalu percaya kawan:
Si tubuh genit, tangannya kasar, gigi depan dah banyak hilang kesan dari suka makan sirih, kadang tutur katanya susah nak faham sebab bahasa tamilnya sangat pekat dan dia adalah cleaner hospital tersebut. Dia masuk wad sebab paru-paru berair dan mengalami masalah tiroid semakin membesar. Dia hidup disisihkan keluarga, jadi kawan-kawan cleaner dialah menjadi keluarga dia. Kalau waktu melawat penuh dengan kawan-kawan dia. Memalam dia datang sembang dikatil ibu. Layan kan sajalah walaupun kadang tak faham. Doktor minta dia tandatangan untuk buat Bioskop dan untuk doktor membuat rawatan mengeluarkan bendalir keluar dari peparu. Tapi dia menolak untuk tandatangan sebab takut kesan sampingan. Kawan-kawan dia kata dia akan lumpuh bila buat rawatan tersebut sebab akan tebuk di belakang. Disebabkan ibu pernah buat rawatan membuang bendalir dari peparu.
Saya terangkan pada dia satu-persatu dalam bahasa mudah dan nasihatkan dia bahawa kawan-kawan dia tiada lulusan kedoktoran, takda x-ray, tidak tahu bacaan darah dan tak tahu masalah dalaman sebenar Maria. Doktor ada semua maklumat tersebut maka dengarlah nasihat doktor. Besoknya selepas dia tandatangan dia datang kepada kami dan menangis teresak esak. Dia kata, saya tara sapa-sapa, amma sama adik tak mau saya, saya mau sihat, mau kereja, mau cari makan. Tapi saya sangat TAKUT. Lepas tu lagi berderau air mata dia. Saya usap belakang dia. Sambil tu ibu dan saya bagi kata positif. Maria akan ok, Maria akan sihat, Maria fikir yang elok-elok sahaja yang baik-baik saja ok?..
3. Auntie MayLee speaking:
Ibu saya ditempatkan di bilik yg mempunyai 2 katil pesakit dan 1 bilik air. Selalunya pesakit yang dekat dengan bilik ibu akan menumpang bilik air tersebut. Auntie MayLee, 70, adalah salah sorang darinya. Kalau dia lalu mesti dia senyum, pastu bermulalah kami bersembang (saya speaking Manglish dia Cinolish). Anak-anak dia semua berjaya, duduk di KL , Johor dan Bangkok. Tapi dia seorang diri datang ke bahagian kecemasan sebab demam denggi. Suami dia sibuk kerja tak dapat hantar. Dia cukup marah sebab anak-anak takda disamping dia masa dia dihospital. Melawat pun tidak. Sempat dia mencarut meluahkan rasa kecewa dia. Saya cam tergamam jap. Uishh marah sangat ni. Nak tanya juga kenapa tak ke hospital swasta ataupun upah org Indonesia untuk jaga. Hmmm terbantut nak tanya takut makin meluap marahnya. Saya ubah topik, tanya macam mana dia jaga pemakanan dan kesihatan. Sebab dia takde penyakit kronik dan tubuh badan masih kuat, rupanya dia tak makan makanan berminyak, kalau teringin makan satey dia buat sendiri..
4. Makcik Maznah mempunyai hati yang kuat:
Memula-mula kami sampai ke wad tersebut, pandangan pertama kami adalah makcik sebelah katil. Wahh makcik ni rock aaarr.. suara serak basah, rambut pendek. Apa yang dia nak hanya perlu arahkan nurse untuk buat. Memula cam takut juga dengan makcik ni sebab baru sampai saya dah kena arah pergi amik air panas dan air minum.. Saya senyum, Ok boleh je, takde hal. Petang pulak lepas dia mandi dipanggil lagi, ko panggil nurse suh pakaikan aku Pampers. Saya pandang kaki dia sambil cakap , Ok kejap ya acik. Jari kaki sebelah kanan makcik telah dipotong kesemuanya, berbalut besar. Sehari sekali dia akan ke tandas untuk mandi dan buang air besar, kaki dibungkus dengan plastik. Tak boleh kerap turun naik katil sebab keadaan kaki yang masih berbalut dan sebab tu dia pakai Pampers. Seharian masanya hanya di katil. Kalau saya turun untuk beli sarapan, saya belikan untuk dia sekali. Makcik Maznah dah bercerai dan tiada anak. Dia tinggal bersama adiknya yang sudah berkeluarga. Yang best tengok masa waktu melawat. Penuh katil dia dikelilingi anak buah dan adik beradik. Hanya lepas pada tu dia senyap sunyi dan menghabiskan masa di atas katil.
Penyakit nya lengkap, jantung, kencing manis, buah pinggang, darah tinggi dan kerap demam maka kerap juga antibiotik dimasukkan. Hari kedua berjiran dengan dia kami sangat serasi, sampaikan siap perli orang yang guna tandas kami.. -Wei ko dah guna tandas jirus ke tidak- saya tukang ketawa. Selalu kaklong datang bawa makanan, separuh dari bekal kami letak dalam dalam pinggan bagi pada dia. Disebabkan dia tak boleh kerap berjalan.. pinggan, sudu, cawan, saya tolong basuhkan, air panas dan air minum saya tolong ambilkan, dan ambil baju baru dan asingkan baju yang dah diguna. Bagi saya sikit sangat pertolongan saya sebab sambil buat keperluan ibu, saya selitkan sekali makcik Maznah punya. Bila ibu dibenarkan pulang, makcik Maznah paling terkesan bila saya salam dan peluk dia, menangis dia dibahu, lama, terdengar sedunya, ucapan terima kasihnya dalam tangis. Saya hanya mampu ucapan kata semangat untuk terus dia tabah dan kuat.
Terdapat 44 pesakit di dalam wad tersebut dan hanya segelintir yang berteman siang dan malam mereka, segelintir dapat berkongsi sakit, perit, pedih bersama yang disayang. Kebanyakan mereka mengharapkan ihsan pesakit sebelah, nurse yang bertugas dan mengharap rawatan yang mereka jalani dapat menyembuhkan mereka dengan cepat. Dan hanya segelintir sahaja saya dapat berkongsi senyuman dan menyapa mesra.
Seandainya berhadapan dengan jiwa-jiwa emas ini, berilah kata-kata positif, sedapkan lah hati-hati mereka, janganlah menambahkan keperitan yang mereka rasa. Katakanlah Insyaallah anak makcik akan datang, Insyaallah nama makcik sering disebut di dalam doa mereka, Insyaallah bila makcik kuat kesihatan yang baik akan datang. Bila kata-kata membawang banyak dilontarkan maka sebesar dosa diletakkan pada anaknya, jiwa-jiwa mereka tidak redha, sukar untuk terima ujian bertambah sukar mereka mengharungi keperitan yang mereka alami. Jika anda ANAK tunjukkanlah sayang anda.
Saya mengharap dan berdoa agar di masa tua saya tidak terbiar sendirian kerana saya dua beradik dan keluarga sangat kecil. Semoga Allah menjaga kehidupan dan kesihatan saya di saat saya tidak mampu lagi.
– Eim_Nana
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit