Hati Seorang Ibu

Salam sejahtera untuk semua pembaca. Semoga Allah permudahkan apa jua kesulitan dan ujian hidup kalian, kerana hidup ini pentas perjuangan.

Tak kira usia, miskin atau kaya, kau tetap akan DIUJI. Kadang Allah akan uji dengan hal-hal yang kau cinta dan sayang.

Beginilah aku, Dian (nama samaran). Usia 40an dan punya anak-anak yang semakin menuju usia remaja.

Kisah yang aku nak luahkan bukan kisah rumahtangga. Alhamdulillah punya suami yang baik, sabar dan selalu menyayangi aku apa adanya. Aku bersyukur Allah berikan aku pasangan yang selalu membahagiakan..

Namun, seperti mukadimahku tadi.. -hidup tak sunyi dari ujian-

Ujian aku dari segi anak-anak. Harta yang aku sayang sangat-sangat melebihi segala. Aku sanggup tak bekerja kerana sayangku aku pada anak-anak.

Aku tak mahu anak-anak kurang kasih sayang, aku tak mahu mereka diabaikan pengasuh. Aku sendiri jaga mereka 24 jam sambil buat kerja freelance dari rumah.

Semua anak-anak aku jaga. 24 jam disisi mereka, teman sejati mereka. Anak-anak suka kongsi apa saja cerita denganku sebab aku ibu yang sangat-sangat penyayang dan suka berbual dengan anak-anak.

Anak2 merasa kasih sayang yang terlebih-lebih dariku. Minta apa saja aku berikan. Sebab masa kecil dulu keluarga aku susah.. aku selalu tak dapat apa yang aku inginkan. Jadi mungkin sebab itu aku sedaya upaya penuhi apa saja permintaan mereka.

Kalau masuk kedai mainan anak-anak aku akan termanggu lama.. sebab tak tahu nak beli apa. Kebanyakan mainan mereka dah pun ada. Jadi mereka ni tiada isu tantrum atau jerit² nangis dekat mall nakkan sesuatu.. sebab dah dapat semua yang mereka nak.

Semuanya baik-baik saja masa mereka kecil. Selepas mak ayah aku meninggal, aku jadi ibu yang over protective. Aku takut mereka cedera atau kesakitan. Sakit sikit je aku dah panik. Tapi, Allah akhirnya “didik” aku bab ini.. anak² adalah amanah & ujian.

Salah seorang anakku meninggal dunia, dan itulah Ujian paling teruk untuk aku hadap. Allah uji aku dengan hal yang terpaling aku sayang dan cinta. Disitulah detik permulaan segala ujian-ujian aku hari ini.

Sejak pemergian si anak, aku jadi murung, terlebih sensitive dan selalu mahu mengalah dengan hidup. Aku rasa dunia ni dah tak seronok, tiada lagi keindahan…

Paling teruk- hubunganku bersama anak sulung (usia remaja). Sukar sekali memahami dia, bahasa dia, cara fikir dia.

Kadang aku rasa aku ibu yang gagal. Dalam aku berusaha memberi kesempurnaan kasih sayang, jagaan dan perhatian untuk anak-anak.. namun hal itu juga yang merosakkan anak². Kasih sayang berlebihan buat mereka kurang hargai aku.

Mereka tak pernah rasa ditinggal ibu sejak pagi, malam baru jumpa. Mereka tak pernah terkontang kanting sendirian menanti ibu jemput.. kerana aku sentiasa ada disisi mereka 24 jam. Nak makan apa saja aku sediakan. Mungkin sebab itu mereka gagal menghargai…

Sampai aku rasa aku perlu hilang dan pergi.. supaya mereka sedar dan lebih tahu menghargai.

Anak sulung aku ni bila bercakap kasar bahasanya. Suka memperlekehkan apa saja perbuatanku.. kadang aku terasa.. menangis dalam doa sahaja.

Suami pujuk aku.. remaja yang tengah dewasa ni memang akan memberontak. Berkait hormon apa semua. Tapi aku tetap tak mampu nak pujuk hati.. betapa hancur dan sedihnya bila kata-kata si anak menikam di hati.

Kadang aku terkenang balik hubungan aku bersama arwah emak. Masa aku kecil, emak agak garang. Selalu juga rotan hinggap di kaki kalau aku buat salah atau terlajak waktu bermain. Tapi bila masuk universiti, aku rapat sangat dengan arwah mak.

Jadi aku tak faham dimana silapnya aku didik anak aku ni? Sebab tak pernah rotan, tak garang macam mak aku dulu..mungkin sebab tu ke anak aku jadi tak hormat dan tak takut dengan aku?

Selalu bila hati aku sakit, lepas tahajjud dan meluah padanya.. lapang sikit beban di jiwa.

Tapi itulah…. ada masa lelah tu tak mampu nak dibendung. Rasa nak give up pun ada. Selalu terfikir nak pergi jauh bawa diri. Aku dah penat membahagiakan semua orang di sekeliling aku…

Pada ibu-ibu hebat di luar sana, tolong bantu aku. Berikan aku semangat supaya aku terus bertahan… jiwa aku rapuh dan hancur. Mujur ada anak di syurga yang selalu muncul dalam mimpi² ku. Buat aku yakin harapanku ke Syurga itu jelas.

Macam mana ye nak jadi ibu yang kuat dan sabar? Sabar aku tak cukup selama ini… ujian bab Anak ni buat aku lemah dan buntu.

Aku tak tahu cara nak baiki hubungan aku bersama anak sulung. Aku pun tak nak dia berdosa dan selalu maafkan dia sebelum dia minta maaf. Tapi aku tak dapat tipu hati aku yang hancur dihiris-dihiris oleh sikap dan kata-katanya.

Semoga ada ibu² yang boleh share tips terbaik untuk aku perbaiki hubungan ini.

Terima kasih sudi membaca, luahan seorang ibu yang hampir tewas dalam gelanggang juangnya.

– DIAN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *