Sudah lama aku ingin meluahkan apa yang terbuku di hati, namun aku tidak tahu ke mana harus kucoretkan rasa ini. Semoga apa yang kutulis ini bisa menjadi teladan dan sempadan buat kita semua. InsyaAllah.
Aku hanya seorang guru biasa yang kini bertugas di sebuah daerah di negeri Pahang. Usia perkhidmatanku masih baru, masih banyak yang belum kulalui. Kini baru tahun ketujuh aku dalam bidang pendidikan ini.
Namun sepanjang hampir tujuh tahun ini telah banyak air mata derita juga air mata bahagia mengalir di pipiku. Mengapa aku katakan demikian??
Kisahnya bermula ketika pertama kali aku dipanggil bertugas sebagai guru. Aku ditempatkan di sebuah daerah di selatan tanah air.
Termenung seketika di saat menerima surat tawaran itu, tidak tahu bagaimana harus kukhabarkan kepada suami tercinta memandangkan waktu itu aku sudahpun bergelar isteri. Sudah tentu keizinannya menjadi isu utama bagiku.
Suamiku juga seorang pendidik dan bertugas di pantai timur.
Memandangkan aku bukanlah berasal dari keluarga yang senang, suamiku dengan berat hati merelakan aku pergi agar aku dapat membantu meringankan beban keluargaku. Linangan air mata mengiringi perpisahan sementara antara kami.
Tanggal 23 November 2010 sentiasa terpahat di hatiku yang merupakan hari pertama aku mula berkhidmat. Jauh tanpa suami serta keluarga di sisi memaksaku untuk terus kuat dan tabah.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan genap setahun aku bertugas di Johor. Alhamdulillah permohonanku untuk bertukar ke Pahang akhirnya diluluskan.
Namun ujian untukku belum berakhir, tetapi seakan baru saja bermula. Kerana aku dan suamiku masih lagi berjauhan, dia di Terengganu dan aku pula di Pahang. Kami terpisah dengan jarak 350km yang tidak mungkin untukku berulang-alik setiap hari untuk bersamanya.
Bermula tahun 2012 aku bertukar ke Pahang, hingga kini pelbagai pengalaman pahit manis kulalui.
Pada awalnya semua berjalan lancar, kerjaya dan juga rumahtangga terurus rapi. Semangatku sebagai orang muda masih berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa meskipun wujud kekangan peribadi.
Aku cuma keletihan akibat berulang-alik ke Terengganu, namun keletihan itu sedikitpun tidak melemahkan semangatku. Ramai yang kata aku kuat. Mungkin. Aku sendiri tidak pasti.
Sedangkan batu yang keras juga bisa lekuk jika sering dititiskan air. Serupa juga dengan diriku. Tak mungkin kuat selamanya.
Kemuncak Februari 2015, setelah empat tahun umpama hidup di dua alam kerana setiap minggu berulang alik Pahang-Terengganu akhirnya meruntuhkan benteng semangatku. Aku dilanda kemurungan yang teruk. Sungguh puncanya aku tidak tahu.
Malah di awal kemurungan itu juga aku tidak sedar yang aku sebenarnya sedang ‘sakit’.
Minggu ketiga aku kemurungan barulah aku tersedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diriku. Itupun kerana mataku semakin kabur akibat menangis setiap hari selama berminggu-minggu.
Kini aku mengerti bagaimana ‘Kassim Selamat’ menjadi buta akibat terlalu banyak menangis.
Tidak mahu diri ini terus terkapai-kapai tanpa hala tuju, aku segera bertindak merujuk kes ku kepada kaunselor PPD di daerah aku bertugas dan syukur beliau membantu membimbingku untuk mendapatkan rawatan di hospital. Aku meminta untuk dirujuk kepada pakar psikitri.
Di sini bermula rawatan setiap bulan melalui sesi kaunseling dengan pakar psikitri bagi merungkai punca sebenar kemurungan yang aku alami.
Sewaktu awal kemurungan aku tetap mengerjakan solat seperti biasa, namun aku tidak tahu apa yang kubaca dalam solat. Setiap hari banyak waktu aku bertemankan air mata di pipi. Lebih menyakitkan, aku tidak mengerti apa sebabnya aku menangis.
Sungguh kemurungan itu menyeksa jiwaku secara halus. Patah semangat hingga tidak mampu bangkit. Selain berubat secara klinikal, aku juga merujuk kepada pakar perubatan Islam bagi memulihkan semangatku.
Syukur Tuhan masih sayang, rahmatnya terlalu banyak. Selepas setahun hidup umpama tiada arah tuju, akhirnya aku pulih seperti sediakala. Namun banyak yang telah berubah dalam hidupku.
Selepas ujian itu, aku semakin mendekatkan diri kepada Sang Pencipta dan sungguh aku berasa amat tenang. Rupanya inilah yang paling aku perlukan dalam hidup. Sebuah ketenangan.
Kugagahkan diri bangun bertahajud, sebagai tanda syukurku pada nikmat dan kasih sayang Allah. Sering kali aku mengingatkan diri sendiri akan Ayat Allah dalam Surah Ar-Rahman yang bermaksud “maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan”.
Kisahku belum berakhir di sini, sebaliknya baru saja bermula. Setelah pulih dari kemurungan sekitar Februari 2016, aku berubah menjadi semakin kuat dan Allah memberi izin untukku semakin mendekatkan diri kepadanya.
Alhamdulillah pada Disember 2016 aku dan suami dijemput Allah ke tanah suciNya untuk menunaikan ibadah umrah.
Ketika itu hati ini sungguh berasa rindu untuk melihat Kaabah walaupun belum pernah bertemu. Allah beri kami kesihatan yang baik sepanjang berada di sana agar kami dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna. Semoga ibadah kita semua diterima oleh Allah. Amin.
Ada perkara yang belum aku sebutkan di awal bicara. Aku dan suami tidak punya zuriat. Masih belum ada rezeki untuk kami memegang tangan si kecil.
Usia pernikahan kami sudah menjangkau tujuh tahun, kesunyian dan rindu akan gelak tawa anak kecil terkadang membuatkan kami memberontak dalam diam. Tertanya-tanya bilakah waktunya akan tiba buat kami.
Segala usaha telah kami lakukan termasuk menjalani pemeriksaan kesuburan dan kesihatan, ternyata semuanya baik-baik saja.
Lupa aku nak nyatakan, ketiadaan zuriat ini juga merupakan salah satu faktor aku mengalami kemurungan selain masalah berjauhan dengan suami yang tersayang.
Sungguh aku berdosa terhadap Tuhan, aku terlupa nikmatNya yang cukup banyak hanya kerana satu ujian yang diberikan. Ketiadaan zuriat membuatkan aku sering bersedih. Namun kasih sayang Allah tiada batasnya.
Selepas kembali dari mengerjakan umrah bersama suamiku, Allah telah bukakan hatiku terhadap banyak perkara. Aku masih belum punya zuriat, namun aku masih ada ibu. Suatu nikmat yang cukup besar bagi setiap insan. Lalainya aku dalam mensyukuri nikmatMu.
Kini aku semakin sedar, Allah belum memberiku zuriat mungkin kerana Dia ingin aku berbakti kepada orang tuaku sementara mereka masih ada.
Selain tahajud, berbakti kepada orang tua juga menjadi punca ketenangan hidupku. Malah rumahtanggaku juga semakin hari semakin berseri dengan kasih sayang.
Semakin kita mengejar cinta Allah, semakin manusia akan mencintai kita. Itulah apa yang kurasakan sekarang. Tenang dan bahagia yang cukup indah dan tak pernah kubayangkan. Sungguh Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya.
Sebenarnya masih banyak perkara yang belum kuceritakan tentang kenapa aku dilanda kemurungan sehingga telah banyak mengubah diriku ke arah yang lebih baik.
Pada awalnya, seperti yang telah kunyatakan sebelum ini, aku tidak tahu apa punca kemurungan yang kuhadapi. Namun setelah pulih dan semakin sembuh, akhirnya aku sedar apa puncanya. Punca utama ialah diriku sendiri.
Aku ini jenis yang mementingkan kesempurnaan dalam banyak perkara. Cerewet. Ya aku agak cerewet. Banyak hal yang berlaku selalunya ada saja yang tidak kena pada pandangan mataku. Lalu aku berusaha mengubahnya agar menepati citarasaku.
Terlupa yang diri kita sebagai manusia juga tidak sempurna, aku lemas dalam usaha mengejar kesempurnaan hidup. Aku inginkan rumah besar yang indah, kereta mewah yang hebat serta kelengkapan lain dalam rumahtangga. Hal ini memerlukan kos yang cukup besar.
Terlupa niat asalku bekerja adalah untuk membantu meringankan beban keluarga serta suami. Aku pula menjadi beban kepada suamiku akibat keinginanku yang banyak. Sungguh hingga kini aku selalu menyesal dengan perbuatanku yang lalu.
Selama bekerja beberapa tahun, gajiku dan suami banyak dihabiskan untuk membayar hutang pinjaman perumahan, kereta serta pinjaman lain menyebabkan kami hidup dalam ketidakcukupan. Terpaksa berjimat cermat sementara menunggu gaji seterusnya.
Kisahku belum habis di sini, ada satu lagi perkara yang penting untuk ku kongsikan dengan semua. Aku inginkan pasangan yang sempurna.
Aku sering kali tidak berpuas hati dengan suamiku, yang pada pandanganku ketika itu serba kekurangan. Aku mahu dia solat di awal waktu, sedangkan aku sendiri tidak menjaga waktu solatku. Aku mahu dia selalu mengaji al-quran, padahal aku sendiri jarang membeleknya. Banyak yang aku mahu.
Tidak sedar diri sendiri juga tidaklah sebagus mana dalam hal agama. Syukur Allah bukakan mataku. Suatu hari ketika sedang minum-minum bersama rakan-rakan, seorang rakanku yang masih bujang menyatakan bahawa “pasangan kita adalah cerminan diri kita dan begitulah sebaliknya”.
Dia mengatakan demikian apabila aku ceritakan perihal rumahtanggaku. Terpana aku seketika. Bukan kerana marah dengan kata-katanya, tapi marah pada diri sendiri yang selama ini buta hati tentang perihal rumahtangga walaupun sudah hampir sedekad bergelar isteri.
Benar. Kata-kata rakanku itu memang benar sekali. Aku adalah cermin kepada suamiku. Maka selama ini yang aku lihat pada dirinya adalah juga sikapku sendiri. Astaghfirullah. Aku mula sedar dan insaf. Lalu perlahan-lahan ku ubah sikap sendiri. Hasilnya Subhanallah….
Dalam banyak perkara, soal kepercayaan dalam rumahtangga adalah hal utama yang perlu ada. Apatah lagi kami yang berjauhan ini.
Tiada masalah tentang percaya atau tidak, kerana kami sejak dari awal pernikahan memang saling mempercayai dan berterus-terang dalam setiap perkara. Tapi bagaimana hendak mengekalkan sikap itu?
Ada beberapa perkara yang kami amalkan iaitu solat berjemaah dan makan sepinggan. Sungguh besar kesannya apabila kita menjaga solat berjemaah bersama pasangan ataupun ahli keluarga, walaupun hanya sekali sehari.
Makan sepinggan pula bukanlah kerana hendak romantik sangat, tetapi kerana hendak memelihara hubungan baik bersama pasangan.
Cuba bayangkan sendiri, bolehkah kita makan sepinggan ketika sedang bergaduh? Tentu tidak kan? Jadi apabila boleh makan sepinggan dengannya, bermaksud hubungan kita aman dan harmoni. Sama juga konsepnya dengan solat berjemaah tadi.
Pengajaran yang ku dapat daripada semua ujian yang kuhadapi ialah kena sentiasa syukur, redha, ikhlas, sabar serta tawakal kepada Allah. Lima perkara ini kupegang kukuh sebagai panduan meneruskan kehidupan.
Sabar dalam menempuhi ujian, redha dan ikhlas dengan segala ketentuan, syukur dengan kurniaan Tuhan serta tawakal dengan setiap perancangan. Hasilnya ialah ketenangan dan kebahagiaan. Inilah apa yang sedang kunikmati sekarang.
Di dunia beroleh ketenangan, moga di akhirat beroleh keampunan. Itulah hasilnya “hijrah menuju syurga”.
– Teratai (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Allahumma baarik