HIV Positif dan Penerimaan Orang II

Untuk part I, (https://iiumc.com/hiv-positif-dan-penerimaan-orang/).

Assalamulaikum kepada semua pembaca IIUM confession. Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak IIUMC kerana sudi ‘post’ entri ini.

Aku sangat berharap agar apa yang cuba aku sampaikan ni menjadi Ibrah kepada semua dan yang lebih penting lagi aku sangat berharap agar kita lebih bersikap terbuka kepada golongan PLHIV (People Living in HIV) ini.

Penulisan aku ini juga bukanlah untuk mempromosikan kepada kalian dengan mengatakan “alah tak apalah kena HIV pun, kan ada ubat”.

Tetapi aku cuba untuk memecahkan stigma masyarakat dan yang lebih penting kepada penghidap-penghidap HIV untuk terus buka mata, teruskan hidup seperti biasa (tapi jangan tak makan ubat pula) dan terus MEMBERI kepada yang memerlukan kerana sepanjang hidup kita ini, ALLAH dah terlalu banyak memberi dengan penuh al-rahman & al-rahimNya.

Jika kalian pembaca setia IIUMC, ada yang mungkin mengingati penulisan aku yang sebelum ini yang bertajuk HIV Positif dan Penerimaan Orang, entri pada 03/09/2017. Ya aku adalah orang yang sama dan Ya aku masih tergolong dikalangan orang-orang atau golongan PLHIV (People Living in HIV).

Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH dan jutaan terima kasih diatas doa-doa kalian terhadap entri aku sebelum ini.

Aku membaca semua komen-komen kalian secara ‘silence reader’, syukur banyak komen-komen yang sangat positif aku terima yang mana secara tak langsung memberi semangat untuk aku teruskan kehidupan seperti biasa.

Aku pernah terdengar satu syarahan yang mengatakan jika kita sedekahkan doa kepada orang lain, Tuhan akan kembalikan doa itu kepada kita semula, semoga kita mendapat rahmatNya bersama-sama.

Baru-baru ini aku teringat akan entri aku yang lepas lalu aku cuba mencarinya, penulisanku masih wujud tetapi aku tak dapat meng‘access’ komen-komen pada entri tersebut disebabkan ‘setting privacy page owner’ (mungkin, ataupun aku yang tak reti melihat kembali komen-komen tersebut), tapi tidak mengapalah.

Berbalik semula kepada kehidupan aku sebagai PLHIV ini, setelah hampir 2 tahun aku mengetahui bahawa aku merupakan seorang PLHIV dan selama itulah juga aku telah mengambil rutin ubat HAART.

Alhamdulillah dengan rahmat serta kasih sayang Tuhan dan doa-doa kalian aku diberikan peluang serta rezeki untuk berkahwin dengan pilihan aku sendiri.

Proses perkahwinan untuk PLHIV tidaklah serumit mana yang seperti kami (bersama isteriku yang tersayang) sangkakan. Aku boleh katakan proses perkahwinanku berjalan lancar seperti yang dirancangkan dengan bantuan dan sokongan penuh dari doktor yang merawatku.

Sesi kaunseling berjalan seperti biasa oleh Dr. yang merawatku dan bakal isteriku (sebelum bernikah) turut bersama-sama menjalani proses kaunseling dan pencerahan lanjut tentang PLHIV.

Aku dapat rasakan Dr yang merawatku antara Dr yang terbaik yang pernah aku jumpa, diperingkat awal aku mengetahui aku merupakan seorang PLHIV, Dr ini tidak henti-henti memberi nasihat serta sokongan moral untuk aku ‘move on’ dan teruskan kehidupan seperti biasa.

Tergiang-ngiang pesan Dr, “Kita dalam hidup ni Tuhan dah banyak memberi, tapi kurang dari kita yang dapat memberi semula, jadi, memberilah….”, “awak boleh hidup normal, tapi kena ada ilmu, islam tak buang orang HIV and islam tak larang orang HIV untuk berkahwin”.

Maka, aku pun berkahwin dan menjalani ‘hubungan’ suami-isteri seperti biasa tapi semestinya perlu ada ilmu dan ada ‘rules & regulation’ yang perlu kami ikuti atas nasihat Dr. Setelah setahun aku berkahwin, alhamdulillah aku kini sudah di tahap ‘Undetectable equals Untransmittable’ ataupun ‘U=U’ dimana HIV Viral Load aku adalah dibawah 20 copies.

Apa benda ‘U=U’ ni? Dari sudut perubatan, ianya disebut ‘virological suppression’. Apabila dikelaskan sebagai ‘undetectable viral load’/ ‘U=U” bukanlah bermaksud aku telah sembuh dari HIV dan jika aku tidak mengambil rutin ubat HAART yang betul, ‘viral load’ tersebut akan kembali meningkat iaitu lebih dari 20copies dan kembali kepada ‘detectable’.

‘U=U’ bermaksud virus HIV tersebut tidak mencukupi didalam cecair dalam badan untuk tersebar apabila melakukan ‘hubungan’ suami-isteri (tanpa ‘perlindungan’) atau melalui cara-cara jangkitan yang lain. Dengan kata lain, pesakit HIV yang telah ‘U=U’ tidak menjangkiti orang lain tetapi tidaklah sampai boleh menderma darah.

Syukur rahmat Tuhan diberikan isteri yang sangat ‘supportive’, dialah yang kuncikan jam untuk aku makan ubat tepat pada masa yang mana kadang-kadang aku ‘off’kan ‘alarm handphone’ aku diatas tujuan tertentu. Kalau kami diluar, dialah yang ‘pack’kan ubat dalam paket ‘ziplock’ kecil.

Kalau ‘travel’ keluar pun dia akan pastikan yang utama ubat tidak tertinggal dan setiap bulan jugalah dia akan ingatkan aku tarikh-tarikh penting untuk aku mengambil ubat dan temujanji Dr. Terlalu banyak aku nak nyatakan bertapa ‘supportive’nya isteriku diatas kondisi aku sekarang sedangkan dia boleh pilih untuk tidak melakukan semua itu.

Alhamdulillah isteriku sehingga sekarang masih bebas atau tidak berjangkit dari penyakit HIV yang aku hidapi. Sehingga waktu ini aku membuat pilihan walaupun aku telahpun disahkan sebagai ‘U=U’ dan sebagai langkah pencegahan tambahan, isteriku masih mengambil rutin ubat PREP.

Betullah kata Dr yang aku boleh hidup normal, tapi kena ada ilmu, buang stigma, buanglah, belajarlah jika tidak tahu dan jika ingin ambil tahu. Jika tidak mahu ambil tahu janganlah menghukum, lebih baik diam dan tak payah buat apa-apa teruskan kehidupan seperti biasa, ikutlah cara dan gerak hati sendiri.

Dahulu, sebelum aku tahu tentang HIV, aku sama sahaja seperti orang lain, stigma menebal, HIV itu seperti ‘taboo’ yang aku takut nak dengar dan bayangkan apa akan terjadi kepada pesakit-pesakit HIV tersebut. Orang akan berkata mungkin ini kifarah diatas dosa-dosa yang aku lakukan sebelum ini.

Ya betul mungkin ini satu kifarah tapi sekurang-kurangkan apabila musibah ini terjadi keatas diriku, ia menjadi pengajaran dan diharap ianya dapat memandu kehidupan aku yang akan datang supaya menjadi insan, anak, abang, adik, suami dan bapa yang terbaik disisi Tuhanku dimasa hadapan.

M4ti itu pasti, tidak lewat walau sesaat dan tidak terjangka al-sebabnya. Bukan tugas kita menentukan syurga-neraka seseorang yang esoknya merupakan subuh terakhir baginya, aku membayangkan bertapa lama sujudnya memohon ampun dari Tuhannya, dia waras dan dia tahu sebentar lagi, akan berpisah nyawa dari jasadnya.

Jika Tuhan yang maha penyayang terima taubatnya tidakkah m4tinya diredhai dan diberi ganjaran syurga walhal sejarahnya dia telah melakukan antara dosa-dosa besar.

Pesan aku, jadilah orang yang berilmu untuk terima pesakit-pesakit HIV ini. HIV tidak berjangkit dengan berkongsi makanan, berjabat tangan, berkongsi kolam renang, tidur sebantal/sekatil tetapi kena ada ilmu, tolak stigma dan bual-bual kosong tanpa ada bukti atau pengkajian yang kukuh.

Teknologi perubatan moden zaman sekarang telah melangkawi jangkaan kita dan aku atau mungkin pesakit-pesakit HIV yang lain percaya akan ada hari dimana ubat untuk menyembuhkan penyakit HIV sepenuhnya ditemui kerana tiada penyakit yang tiada penawarnya kecuali m4ti. InsyaALLAH.

Doakan aku serta isteri dilindungi dan terus kuat menghadapi ujian yang mendatang. Doakan juga aku cepat-cepat dapat baby ‘since’ aku sudah pun ‘undetected’ dan mendapat ‘green light’ dari Dr. untuk cuba mendapatkan zuriat, doa kami suami-isteri berterusan kembali untuk kalian jua.

Oh last, aku ada seekor kucing, comel sangat!

– Azlan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *