Assalamualaikum semua, ini adalah kali pertama aku menulis confessions kerana sebelum ini aku lebih suka membaca. Terdetik sedikit rasa untuk aku kongsikan sedikit sebanyak keluhan hatiku yang tidak seberapa ini
Namaku Sakinah, berumur 30 tahun dan belum berkahwin. Ibubapa ku tidak menekan sangat mengenai soal jodoh, namun itu bukanlah cerita ku pada kali ini. Cerita ini lebih kepada kakak dan abang iparku
Aku bersekolah hingga tingkatan 5, cuma punya SPM dan berkerja di sektor swasta. Rezekiku dikira murah kerna mendapat pekerjaan pada umur 19 tahun.
Pada umurku 22 tahun aku sudah mampu membeli rumah dan kereta. Aku tinggal bersama-sama kedua orang tuaku. Adik beradikku ramai, tetapi mereka semuanya tinggal bersama keluarga masing-masing
Dilanjutkan cerita, kakakku dan suaminya menyewa rumah bersebelahan dengan rumahku. Pada awalnya semua ku rasakan ok sahaja, iyalah.. bila duduk berjiran dengan keluarga sendiri kan lebih seronok.
Tapi lama kelamaan aku mula rasa rimas. Mana taknya, dapurku dapur mereka juga. Rumah mereka hanya untuk tidur sahaja. Mereka akan makan tengahari, minum petang dan makan malam dirumahku.
Memandangkan mereka bukanlah jenis yang suka bangun pagi. Maka terlepas lah hidangan sarapan dirumahku. Aku lah yang akan masakkan untuk ibubapaku dan suaminya. Mereka akan datang kerumah bila masa makan menjelang.
Selepas makan mereka akan duduk-duduk menonton TV hingga larut malam. Oh ya.. kakakku ini sudah punya anak, dan mereka suami isteri kerja kerajaan dan berpangkat. Almaklum lah.. lepasan ijazah.
Aku sangat sukakan keselesaan dirumah, maka aku cukupkan rumahku dengan TV yang besar lengkap dengan home theater dan rangkaian Internet untuk kegunaan seisi rumah. Kakakku tidak bersetuju kerana baginya bukan kepentingan dan hanya membazir.
Mana tidak, mereka hanya mengunakan semuanya dirumahku saja. Aku pula yang terpaksa mencuri-curi masa untuk “me time” menonton movie di tengah malam selepas mereka pulang. Kadang-kadang sehingga mereka tertidur diruang tamu pun masih tidak mahu pulang ke rumah sendiri
Oleh kerana mereka tinggal berjiran denganku, mereka menjadi anak dan cucu kesayangan kedua orang tua. Apa saja harus disediakan. Apa sahaja mereka diutamakan. Makan minum di hidang, dipelawa, malah orang tua ku pernah mencuci kereta mereka.
Barang-barang dapur semuanya kami beli. Suaminya langsung tidak terfikir untuk membeli beras, ikan sedikit pun. Kalau si anak teringin KFC, yang di beli hanya untuk si anak. Anak-anak buahku yang lain hanya melihat saja jika mereka singgah kerumah
Ketika dunia diuji dengan wabak Covid-19, pekerjaanku sedikit terkesan. Tiada bayaran kerja lebih masa, elaun malah syarikat tempat ku bekerja sudah mula mengurangkan pekerja. Gaji pekerja juga dikurangkan.
Kakak dan suami yang bekerja kerajaan dan tidak terkesan sedikit pun tidak mengeluarkan belanja. Tapi tanpa segan silu dengan setiap harinya akan berbuka puasa dirumahku.
Dari sekecil-kecil buah kurma sehingga sebesar-besar lauk pauk semua dibeli menggunakan duit ku dan kedua orang tua.
Kerja-kerja rumah langsung tidak membantu. Mereka cuma duduk goyang kaki ketika orang lain sibuk memasak dan mengemas. Bila aku merungut mereka buat-buat tak faham. Lama kelamaan aku jadi benci dan sudah pandai menyindir perilaku mereka.
Apa yang ku geram malah orang tuaku memarahiku, “suaminya orang luar, kita harus layan seperti tetamu”… “Ah… bentakku, sudah empat tahun mereka berjiran, sampai bila aku harus berkorban, kita harus tegur agar mereka berdikari” kata-kataku dibiar berlalu begitu saja.
Ibuku tetap memanjakan, memandikan anak, memasak dan membersihkan rumah mereka tatkala mereka bercuti. Benci sungguh aku melihatnya, bagiku tiada kesedaran dan tanggungjawab langsung dalam rumahtangga.
Kalau dilihat kehidupan mereka sekeluarga cukup mewah, dua kereta dan percutian tiap-tiap tahun. Handphone, handbag dan pakaian boleh tahan jenamanya. Mana tidak, segala keperluan semuanya orang lain yang tanggung. Aku hanya membayar bil-bil dan keperluan mereka.
Acap kali keadaan rumah semak dan tidak dikemas, ibuku mesti bising dan marah-marah. Tapi tidak pula pernah dimarahnya kakakku, padahal rumah semak oleh anak-anaknya. Terkadang aku berfikir, mungkin aku tak pernah penting baginya.
Mana tidak, tiap kali aku punya urusan diluar, dan minta ditemani, ibu pasti memberi macam-macam alasan. Bila urusan kakakku, ibu akan atur masa ku agar aku dapat temani kakakku mengurus urusannya.
Ibu lupa kah.. hanya aku anaknya yang sanggup mengambil cuti untuk menemaninya ke hospital tiap-tiap temujanji doktor.
Hanya aku yang masuk ke biliknya untuk mencuci tandas, Hanya aku yang suka membawanya keluar membeli itu ini. Tapi bila tiba hal aku, aku disuruh berdikari buat semua sendiri
Ketika kalian semua membaca confession ini, rutin harian kami masih sama. Aku lebih banyak menghabiskan masa dibilikku dan mereka menghabiskan masa dirumahku sesuka hati. Anak-anak berlari bermain berteriak tanpa larangan. Apa saja miliku adalah milik mereka.
Sekian coretan ku buat kali ini. Terima kasih kerana kalian sudi membacanya. Aku doakan agar kita semua diberikan kesedaran dalam berkeluarga, bersikap matang dan hormat menghorm4ti serta bertolak ansur dalam menjalani kehidupan.
– Sakinah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit