Tepat 6 tahun yang lalu, aku tiba- tiba letih dengan dunia. Dan segala isinya. Letih ini bersifat halimunan, hanya bermain dalam kepala sahaja. Buat apa pun letih. Tidak buat apa-apa pun jua letih. Yang tidak letih pada waktu itu hanya belajar.
Dengan belajar, aku dapat lari daripada perasaan letih. Dengan belajar, aku tinggalkan letih dibelakang dan aku letakkan hidup tanpa tujuan dihadapan. Waktu itu, ya.. aku berjaya lari dan hasilnya 4 rata untuk kedua2 semester asasi. Aku kira letih telah letih menanti aku untuk melayani keletihan itu…namun letih ini sedikit bijak dari aku..
Awal didampingi fenomena letih ini, aku mula mematikan watak aku satu persatu. Aku buang semua akaun SNS supaya letih tidak sampai disitu. Aku buang, aku buat baru. Aku buang lagi dan aku reka baru. Begitulah watak2 dalam SNS yang aku cipta dan aku bunuh setiap kali keletihan melanda jiwa aku.
Sehingga kini, aku ada bermacam akaun SNS untuk memecah belahkan keletihan yang sentiasa membontoti hidupku. Sekurang kurangnya jika aku letih menjadi watak A.. aku boleh beralih pada watak B.. begitulah seterusnya. Mengapa aku cipta dan aku buang?
Kerana aku risau jika letihku itu mampu mengganggu gugat ketenteraman penghuni SNS. Maklumlah, tidak semua penduduk SNS memahami. Masih ditakuk lama.. masih bermain di padang bola bernama stigma. Disepak, bergolek ia, ditendang tidak gol-gol juga.
Adakah orang lain perasan akan ‘kewujudan’ dan ‘kematian’ aku di alam maya? Entah..bukan urusan aku. Jika aku pergi didunia nyata ini pun, belum tentu ada yang mengingati aku. Aku hanya angin semilir yang menyapa lembut, yang tersenyum saat jiwaku penuh luka, yang mampu bergelak tawa pada waktu dunia ini sangat rapuh dibawah tapak kakiku. Aku ingin manusia mengingati aku begitu.
Dia – si manusia yang tersenyum sentiasa.
Masuk ke frasa ijazah sarjana muda, dimana aku masih berlari dan masih dikejar si letih itu, aku semakin rasa dunia ini stagnant. Tidak bergerak dan berputar namun tidaklah sampai pada fasa dunia ini rata.
Ahh.. itu satu kebodohan yang nyata! Apa yang aku rasa kehidupan aku tak ubah seperti ECG line yang terputus nadinya. Bipppppp~. Agak bingit ditelinga, namun tidak berkocak didalam jiwa. Kerana jiwa aku pada waktu itu kosong. Sekosong kosong markah kertas ujian matematik tambahan sewaktu aku ditingkatan 4.
Maka dengan pantas, aku mencari makna hidup dengan kembali pada Tuhan. Jika aku sujud, aku biarkan sujudku itu lama sedikit. Biar pun aku tidak membaca apa2.. atau berdoa apa2… aku jumpa sedikit ketenangan disitu.
Jika aku terjaga awal sebelum tok siak berpisat mata membentang sejadah disurau dinihari, aku dahulukan dulu pagi aku dengan tahajud. Aku sibukkan diri dengan belajar benda baharu, belajar dunia baharu dan apa-apa yang baharu bagi aku, aku lah juara nombor satu.
Adakah letih masih mengejar aku? Jawapanya ya. Malah makin laju. Telapak kasutku sudah haus memecut, namun letih.. dia masih setia mengekor, menanti masa untuk menyampaikan salam bahawa dia juga punya hak atas diri aku.
Ah.. persetankan jiwa yang letih itu. Dunia ini tiada masa untuk berduka. Dunia ini tiada telinga untuk mendengar setiap rintihan umat. Dunia ini tempat beradu. Setiap saat hidupku dalam dunia ini umpama pentas segi enam untuk bertinju. Yang menang akan dijulang, yang kalah menjadi abu. Anda rasa letih ada masa untuk sakit kepala?
Tamat ijazah, aku meneruskan perjalanan berlari- lari anak menuju ke alam pekerjaan. Dimana pentas segi enam tadi sudah bertukar gelanggang. Gelanggang bola tampar namanya. Jika terawang diudara dek penampar pemainnya, selamatlah ia.. jika tersembam di atas lantai, selamat tinggal.
Ya.. duniaku kini sudah berubah. Ada kala penamparnya lembut dan aku selamat. Ada masa penamparnya maut dan aku tersidai dijaringan. Itupun sebelum aku jatuh, masih ada yang mahu menamparku. Ahh.. dunia kini tidak lagi stagnant. Aku secara tiba-tiba mahukan letih kembali menjengukku dan keluarkan aku daripada kecelaruan.
Letih.. dimanakah engkau?
Tidak sayang.. letih tidak meninggalkan aku.
Malah tanpa aku sedar.. akulah jiwa yang letih itu. Letih telah lama mendiam dalam diri aku. Letih telah menguasi aku sejak 6 tahun dulu. Yang mengejarku bukan letih. Yang mengejarku adalah aku. Aku yang dulu hidup tanpa mengerti apa itu letih dan keletihan.
Aku rindu pada jiwa aku yang dulu. Saat aku sedar bahawa letih sudah sebati dalam sanubari aku, aku hadirkan diri ke tempat pedamaian. Ku kira tempat itu laksana taman syurga, yang sentiasa membuka tangan menyambut orang seperti aku, pejuang keletihan yang tersungkur dimuka pintu.
Benar ia taman syurga dunia. Ia punya ubat yang manis- manis untuk penyakit letihku. Namun, aku sedar… syurga dunia barangkali yang mengemudinya bukan tangan- tangan malaikat. Yang mengaturnya jiwa.
Dibaliknya ada bermacam idea, ada bermacam perkara yang memaksa aku keluar dari taman itu. Mungkin taman itu bukan untuk jiwa seperti aku.. tetapi untuk jiwa-jiwa pejuang yang masih ada rasa percaya. Aku dan percaya? I’ll look both direction when i use the roundabout.
Lari dari taman pedamaian, aku akhirnya mendudukan diri pada bumi. Aku peluk keletihan aku, aku peluk seluruh kekurangan dan kelebihan aku. Aku peluk diri sendiri saat tiada siapa memelukku.
Aku belajar, didunia mana pun aku, hanya letih yang ada bersamaku. Aku masih di dunia ini, dibumi yang sama. Jiwa aku mungkin ada kala sederhana ada kala duka. Aku akan terus sujud pada Tuhan untuk meredakan keletihan aku. Itu pasti…
Namun.. ada masanya….
I embrace myself and whisper
“I do not wish to die. I just want to disappear”
– HY (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit