Assalamualaikum dan hai semua. I just wanna share something. Sedikit intro, saya perempuan dan merupakan anak bongsu. Lahir daripada sebuah keluarga yang cukup sederhana, ibu dan ayah yang bekerja. Saya punya ibu ayah yang sangat tegas dalam soal didikan anak. Setiap perkara daripada sekecil biji sawi sehinggalah sebesar bumi, ibu ayah sangat cakna. Dari kami bayi hinggalah cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri, ibu ayah tetap ada ketetapan untuk kami.
Tipu, andai kami adik beradik tidak rasa tertekan walau sedikit. Kebebasan bersuara kami seakan disekat asbab keputusan pastinya akan ditetapkan oleh ibu ayah. Sebagai bongsu, saya mengaku agak keras kepala. Banyak perkara yang saya bangkang dan tentang. Bagi saya, saya ada pilihan sendiri dan saya berhak untuk membuat keputusan sendiri. Cuma, semakin menginjak ke alam dewasa, saya semakin kurang menentang. Fikir saya, tiada guna menentang, asbab ibu ayah tidak akan pernah mengalah dengan keputusan yang telah ditetapkan. Saya pasrah. Kalau dulu segala ketetapan ibu ayah saya hadap dengan rasa terpaksa tapi kini segala ketetapan saya hadap dengan rela. Bagaimana?
Saya ambil contoh, aspek pendidikan amat dipandang serius oleh ibu ayah. Ibu ayah telah menetapkan sekolah dan aliran yang kami perlu ambil sewaktu belajar. Aliran sains adalah atas pilihan ibu ayah untuk saya. Saya memberontak sewaktu itu asbab saya tidak meminati aliran sains. Jujur saya sangat tertekan, asbab saya rasa tidak mampu mendapat yang terbaik menerusi aliran sains. Keputusan SPM keluar cukup menjadi saksi, aliran sains bukanlah bidang saya. Teruk saya kena.
Saya kecewa, marah dan sangat stress. Entah, dalam hati macam menyalahkan ibu ayah. Tapi tak pernah terzahir untuk mengungkapkan. Ambil masa lama untuk move on. Selepas SPM saya ingat saya bebas, rupanya tidak. Ibu ayah ada pilihan sendiri. Sekali lagi, saya sangat tertekan. Ambil masa lama untuk buat keputusan. Bezanya, untuk kali ini saya ambil keputusan untuk solat istikharah terlebih dahulu. Mengharapkan Allah menetapkan yang terbaik untuk saya. Yakin dengan keputusan istikharah, saya ikut pilihan ibu ayah dengan hati yang rela. Mengharapkan dengan jalan yang dipilih membawa kecemerlangan dunia akhirat untuk saya.
Ibu ayah sangat memandang serius soal pergaulan kami. Dengan siapa kami bergaul, siapa kawan-kawan kami, ke mana kami keluar semuanya ibu ayah tahu. Tiada diskriminasi antara anak lelaki mahupun perempuan. Sama rata. Seumur saya mengenali abang saya, tak pernah walau sekali saya lihat abang keluar rumah pada waktu malam untuk berjumpa rakan walaupun abang kini sudah bekerja. Ibu ayah tidak akan pernah izinkan. Kami dilarang untuk keluar dengan rakan yang berlainan jantina tanpa asbab yang munasabah walaupun dalam bilangan yang ramai sekalipun. Namun, sejujurnya saya ada keluar dengan rakan2 hanya untuk bersembang. Teruk saya dimarahi. Ibu ayah akan menetapkan pukul berapa kami perlu sampai ke rumah jika keluar dengan rakan2.
Lewat pulang pastinya, telefon akan berdering dan sesampainya di rumah pasti dileter. Sejujurnya, kadang saya tertekan dan apa yang saya alami turut dirasa oleh adik beradik yang lain. Seusia kami sepatutnya, kami bebas untuk pilih dengan siapa kami keluar. Andai ada dalam kalangan rakan2 saya yang ibu ayah tidak berkenan pastinya akan dilarang untuk berkawan. Ibu ayah terlalu khuatir saya akan melakukan perbuatan yang tidak elok jika keluar dengan rakan2. Walhal saya rasa sudah cukup dewasa untuk saya tahu mana baik dan mana buruk. Ye, kalau ikut dari sudut negatif, saya akan rasa ibu ayah terlalu mengongkong dan apabila saya melihat dari sudut positif, ibu ayah membuat keputusan sebegitu pasti bersebab. Pastinya, mereka tidak mahu saya terdedah dengan masalah gejala sosial atau terlibat dengan perkara yang tidak senonoh. Mereka pastinya tahu bahaya yang ada di luar.
Ouh ye, masih terlalu banyak pantang larang yang ditetapkan ibu ayah. Kami tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke pawagam apatah lagi ke pusat karaoke. Kadang rasa malu juga bila terpaksa tolak ajakan rakan untuk ke pawagam. Tapi apakan daya. Sedari kecil, ibu ayah juga turut memantau setiap apa yang kami tonton dan lihat. Hanya cerita tertentu sahaja yang boleh kami tonton dan kebanyakan bahan bacaan turut ditapis oleh ibu ayah. Setiap apa yang ibu ayah lakukan itu pastinya akan dikemukan asbab berbuat demikian. Kalau dulu saya memang akan memberontak dengan apa yang ibu ayah tetapkan. Iyalah, semua benda tak boleh. Semua perkara adalah di atas ibu ayah. Tetapi, menginjak dewasa ini, sedikit sebanyak saya mula nampak kenapa ibu ayah menetapkan sedemikian kepada kami adik beradik. Ya, mereka mahukan yang terbaik untuk kami.
Buat anda yang punya ibu bapa sebegini, saya doakan anda kuat dan tabah. Saya tahu bukan mudah untuk berhadapan dengan perkara sebegini. Nampak macam mudah tapi hanya yang lalui sahaja akan faham. Positifkan diri anda, dan cuba cari hikmahnya. Tak perlu untuk saya ceritakan bagaimana tahap tertekannya saya, tapi bila saya mula cari hikmahnya saya mula tenang. Bak kata kakak saya, ujian untuk kita adalah ibu bapa kita. Hadapi dengan tenang.
– Moon
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit