Ibu bapa selayaknya ke syurga
Di kala ini hanya perasaan sedih dan bersalah yang menyelebungi denai hatiku.
Sepanjang berumah tangga, aku sedia arif bahawa isteri perlu taatkan suami, menjadi penyejuk mata dan penenang jiwa kepadanya. Suamiku tidak perlu berkata tidak atau jangan kepadaku kerana aku tahu perkara itu tidak selayaknya dilakukan atau tidak perlu dilakukan. Jauh di hati kecil ini merasakan bahawa sebenarnya terdapat banyak kesalahan yang aku lakukan sepanjang bergelar isteri namun suami aku mengambil sikap membiarkan sahaja kerana mungkin disebabkan usiaku yang lebih muda dan mungkin kerana dia juga mempunyai cerita pada zaman belajarnya dahulu. Aku sedia maklum bahawa dia tidak mahu aku dibebel atau dikongkong olehnya. Dia juga sendiri pernah menyatakan padaku bahawa tiada apa yang perlu dia bebelkan dan tiada apa yang perlu dia sekat kerana aku tahu siapa aku.
Jika bersama ibu bapa, aku sering mengambil sikap endah tak endah walhal segala macam mereka lakukan buat diriku. Ibu selalu menyuruh aku ke dapur tetapi disebabkan aku memang tidak suka ke dapur meski aku boleh memasak maka aku cuma membantu mana yang perlu. Aku tidak pernah menghalang ibu dari memasak. Aku hanya akan menawar diri untuk memasak hanya jika rasa rajin datang menerjahku. Aku biarkan ibu berpenat. Rumah tidak dibiar bersapu dan bermop selama berhari-hari walhal ibu semakin tua. Ibu wanita hebat yang menguruskan rumah tangga sedari dulu hingga kini seolah tidak ada lelahnya. Selalu sahaja ibu ingin memenuhi impian dan permintaan anak-anaknya.
Ayah. Hubungan aku dengan ayah sedikit dingin kerana seperti ada jarak antara kami. Aku tidak salahkan ayah kerana jarak itu kerana sewaktu kecil kami begitu akrab tetapi mulai renggang selepas aku tinggal di asrama. Sepatah ayah bertanya sepatah juga aku membalas, kemudian suasana menjadi sepi. Aku teringin melihat ayah tertawa melihat perangaiku yang mungkin tidak pernah ayah ketahui sebelum ini iaitu sifat ceria yang terkadang dipanggil gila oleh teman-teman. Aku mampu membuatkan ramai tertawa tetapi tidak ayah sendiri. Ayah sedaya upaya berlagak seperti kudratnya masih saja seperti sewaktu muda walhal sakitnya juga bertambah satu jenis lagi.
Ibu dan ayah dari dulu hingga kini senantiasa buat solat hajat dan bacaan yaasin setiap kali aku menghadapi peperiksaan. Sentiasa bertanyakan bagaimana kondisi aku menjawab peperiksaan.
Lain benar aku peribadiku selaku isteri dengan anak. Aku tidak pernah mahu suamiku bersusah tetapi aku sering kali menyusahkan ibu dan ayah. Aku tidak membiarkan suami menunggu lama tetapi tidak buat ibu dan ayah. Aku selalu menjadi yang terbaik buat suamiku tetapi bukan pula untuk ibu dan ayah. Aku terlupa satu perkara, seriby satu perasaan mahmudah yang ada pada diriku buat si suami ini adalah hasil didikan ibu dan ayah. Aku mungkin jadi yang terbaik buatnya tetapi tidak mereka. Aku sesal kerana tidak melihat dan menoleh ke arah mereka yang telah membesarkan aku 20 tahun lamanya.
Bersama linangan air mata aku nukilkan tinta ini berharap agar semua yang ada di dunia ini sedar akan kewujudan ibu bapa dunia dan hargai mereka selagi nyawa dikandung badan. Tak terbalas rasanya apa yang diberi buat mereka.
Semoga 2016 membuka tirai baru buat diriku. Doakan ibu dan ayahku ditempatkan dalam syurga yang terindah dan terbaik antara syurga yang ada. Mereka anugerah dari Allah yang terindah buatku. Perkahwinan boleh terpisah dengan penceraian tetapi ibu bapa terpisah kerana kebodohan dan keegoan si anak. Ibu bapa tidak pernah memisahkan diri mereka dari kita.
Ibu, ayah, Nada cinta dan sayangkan ibu dan ayah. Maafkan segala dosa Nada.
– nada