Untuk part I, (https://iiumc.com/ilmu-hitam-dan-pendamping/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/ilmu-hitam-dan-pendamping-ii/).
Untuk part III, (https://iiumc.com/ilmu-hitam-dan-pendamping-iii/).
Untuk part IV, (https://iiumc.com/ilmu-hitam-dan-pendamping-iv/).
Assalamualaikum jumpa lagi kita di IIUM Confession. Terima kasih admin jika masih sudi kongsikan kisah saya disini.
Kisah ini saya telah kongsikan di wall FB saya sendiri dan saya ingin dikongsi di sini sekali lagi untuk yang menunggu sambungan cerita Ilmu Hitam Dan Pendamping 1 2 3 dan 4.
Masih ingat tak dengan cerita saya yang bertajuk Ilmu Hitam dan Pendamping episod 1 2 3 dan 4? Dalam episod 4 saya ceritakan bagaimana saya terselamat daripada menjadi mangsa pengamal Ilmu Hitam iaitu Hisyam.
Dalam episod tersebut juga saya ada ceritakan bagaimana gigihnya ayah membawa saya berubat untuk menutup hijab saya kembali.
Dalam beberapa orang perawat yang ayah temui, hanya seorang sahaja yang berjaya iaitu seorang ustaz di Negeri Kelantan namun tidak keseluruhanya kerana apabila saya datang bulan (period) hijab saya akan kembali terbuka.
Walaupun tidak ditutup keseluruhannya namun saya berasa sangat tenang kerana tiada lagi penampakan makhluk-makhluk halus dan gangguan-gangguan mata daripada alam sebelah sana pada setiap masa.
Sangkaan saya panas sampai ke petang rupanya hujan ditengah hari. Entah di mana silapnya, hijab itu kembali terbuka kembali seperti biasa. Pada tahun 2001. Saya bersama beberapa orang kawan telah mengikuti program menjelajah Kota Gelanggi.
Perasaan gembira bercampur teruja menyelubungi diri saya memandangkan itulah kali pertama saya ‘hiking’. Seawal pagi saya telah berdiri di stesen bas Kuantan menunggu beberapa orang kawan lagi untuk naik bas ‘ting tong’ menuju ke Bandar Jengka.
Bas yang tidak ada penghawa dingin itu laju menyusur jalan membawa saya dan kawan-kawan ke tempat yang dituju. Sekala sekali bas akan berhenti apabila loceng ditekan untuk menurunkan penumpang yang telah sampai ke destinasinya.
Setibanya di bandar Jengka, saya dan kawan-kawan beralih pula kepada bas yang akan membawa kami ke Bandar Jerantut. Daripada Bandar Jerantut, saya dan kawan-kawan menyewa teksi untuk bawa kami ke Gua Kota Gelanggi.
Suasana pagi itu sangat indah dan sunyi memandang hari masih awal jadi pengunjungnya masih tidak ramai. Setelah membayar RM 3 sebagai pas masuk, kami melangkah masuk ke dalam kawasan ‘hiking’ untuk menuju ke puncak gua.
Saya terpegun dengan keindahan dan kehijauan hutan simpan yang terjaga rapi. Desiran angin dan deburan mata air yang sedang mengalir mengingatkan saya pada zaman kecil saya. Bau bunga hutan yang harum membuatkan susana pagi itu sangat nyaman.
Kejauhan kedengaran suara kawan-kawan ketawa riang. Ada beberapa pengunjung yang turut sama mendaki menyusul kami. Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari namun suasana hutan masih redup.
Kicauan burung ibarat suara latar yang mengiringi lagu bersahut-sahutan menambahkan lagi keriuhan di pagi itu.
Tiba-tiba suasana yang meriah itu menjadi hening. Tiada gelak ketawa kawan-kawan, tiada bunyi desiran angin, kicauan burung juga turut hilang. Hanya ada deruan air yang mengalir dan suasana menjadi sunyi sepi serta mula berkabus.
Kawan-kawan dan beberapa pengunjung yang lain juga turut hilang dari pandangan mata.
“Aku ni dah sesat kah?” Bisik hati saya perlahan.
Saya duduk di tunggul kayu berhadapan dengan batu yang seakan-akan pintu gerbang. Saya pasti itulah lorong yang saya dan kawan-kawan lalu tadi.
Tidak mungkin saya berada di alam sebalik sana kerana sudah lama saya tidak melihat ‘mereka’ selepas ayah bawa saya berubat. Saya menjerit memanggil kawan-kawan yang mungkin sengaja ingin mengusik saya.
“Miaaaa, Lanaaaa, Fizaaaa, Rose…(bukan nama sebenar)… Jangan lah main-main… Hutan ni kot…” Tiada sahutan.
Pokok juga tiada yang bergoyang ditiup angin. Hanya kabus putih yang semakin menebal. Saya memejamkan mata rapat-rapat kerana perasaan takut mula menyelubungi.
“Dik, jika tiba-tiba ada kabus tebal tak kiralah putih ataupun hitam… Cepat pergi, lari sejauhmana adik boleh lari asalkan adik tidak berada di dalamnya kerana itu adalah ‘mereka'”
Teringat saya pesan Indera satu masa dahulu. Tetapi sekarang kemana harus saya lari? Kabus itu mengelilingi saya. Saya betul-betul berada di dalamnya…
“Nek… Adik takut…” Nama nenek mula meniti di bibir saya. Saya menangis…
“Heyyy… Heeey… Kenapa menangis ni? Kamu sesat yer?” Tiba-tiba ada seorang lelaki tua menyapa saya lembut. Memegang tongkat diukir cantik berbentuk kepala harimau. Berpakaian kemas berjubah yang putih dan bersih.
“Saya ditinggalkan kawan-kawan… Saya tak tahu jalan nak turun ke bawah..” Jawab saya berselang tangis.
“Adaaa… Mereka ada, mereka tak tinggalkan kamu. Seka air mata, tak cantik menangis. Kamu menangis kami susah hati…” Jawab lelaki tua itu bertambah lembut ulasnya sambil duduk di sebelah saya.
“Tapi mana mereka? Saya tak nampak pun mereka..” Entahlah kenapa saya rasa terlalu mesra saya dengan lelaki tua berjanggut putih itu.
“Hilang kabus ni nanti ada lah mereka. Aki temankan kamu yer sampai kabus ni lenyap. Udah lah jangan takut.” Pujuknya lagi.
“Jalan saja kalian tuju ke destinasi, jangan ditoleh kepada dia atau kan ku lenyapkan bangsa mu di muka bumi ini!!” Jerit orang tua itu sambil mengacu-acukan tongkatnya ke arah kabus yang semakin menebal itu manakala tangan kirinya diletakkan ke atas kepala saya.
Sesudah dia berkata seolah memberi arahan mulutnya mula berzikir dengan ayat…
1. Bismillahirahmaanirahim.
2. Bismillaahis samii’il bashiir, alladzii laisa kamits lihii sya-un wahuwa bikulli syai-in ‘alim.
3. Bismillahil khallaqil’aliim, alladzii laisa kamits lihii syai-un wahuwal fattaahul ‘aliim.
4. Bismillaahil ladzii laisa kamitslihi syai-un wahuwal ‘aliimul khabiir.
5. Bismillaahil ladzii laisa kamitslihi syai-un wahuwal ‘aliimul qadiir.
6. Bismillaahil ‘aziizil kariim, alladzii laisa kamits lihii syai-un wahuwal ‘aziizul kariim.
7. Bismillaahil ghafuurir rohiim, alladzii laisa kamits lihii sya-un wahuwal ghafuurir rohiim.Fallaahu khairun haafizhan wahuwa arhamar rohimiin.
(7 bismillah… Amalkan… In Sha Allah ada banyak manfaatnya dan salah satu kita dapat menghindari diri daripada gangguan jin, syaitan dan iblis. Jadikan sebagai zikir di lidah.”
Walaupun saya tidak nampak apa di sebalik kabus tersebut tetapi jelas terdengar di telinga saya derapan tapak kaki kuda yang banyak.
Dalam beberapa minit, kabus itu mula reda dan menghilang. Cahaya matahari kembali terang.
“Haaa ‘mereka’ dah pergi. Tumpang lalu jer tu… Lepas ni kamu akan jumpa kawan-kawan kamu. Ya _____ binti _____ Aki bagi kamu ini, kamu simpan. Simpan sahaja jangan takut tidak mudarat.
Bukan tangkal atau pendinding kerana tiada perlindungan yang hebat selain daripada Allah maha esa. Ingat tu…! Aki pergi… Sampai jumpa lagi di ‘kendian’ hari.” Tangan saya digapai lalu meletakkan sebungkus kain kuning di tapak tangan saya.
“Saya nak balik, saya tak nak ini…” Saya menolak pemberian lelaki tua tersebut kerana mula menyedari bahawa dia bukan manusia biasa seperti saya kerana dia tahu siapa nama saya tanpa bertanya.
“Ambil, aki bagi kamu. Kalau kamu nak balik, kamu mesti ambil ini. Hadiah…” Lelaki tua itu kembali meletakkan barang tersebut di tapak tangan saya.
Saya mengangguk perlahan. Dalam terpaksa saya menerima asalkan saya dapat pulang.
“Mari, mari ikut aki tunjuk jalan dimana kawan-kawan kamu…” Lelaki tua itu bangun dan membawa saya ke satu lorong kecil.
Sebaik sahaja saya keluar sahaja daripada lorong seakan pintu gerbang itu lelaki tua itu terus lenyap dan kedengaran suara kawan-kawan memanggil nama saya.
“Ya Allah mana kau pergi dik? Puas kami cari. Kalau tak jumpa juga selepas asar, memang kami turun cari bantuan…” Ujar mereka.
Asar? Allahu Akbar, saya rasa baru beberapa minit sahaja saya ‘hilang’…
“Korang lah laju sangat. Tertidur aku kat tepi batu tu penat tau, dah lah ni first time aku ‘hiking'” Saya bagi alasan yang paling bodoh kedengaran. Tidak mengapa lah asalkan mereka percaya.
Setibanya di bawah, saya mencampakkan pemberian lelaki tua tersebut ke longkang. Malas nak ambil tahu lagi tentang alam sana. Oleh kerana peristiwa itu jugalah tidak kesampaian saya dan kawan-kawan menakluk puncak Kota Gelanggi
Malam itu saya bersendirian di bilik. Mengemas baju-baju yang akan dicuci.
Bila saya memeriksa poket seluar, betapa terkejutnya saya kerana barang pemberian lelaki tua itu masih berada di dalam poket seluar saya. Lantas saya putuskan untuk tetap menyimpan nya sebagai hadiah.
Sebenarnya berkali-kali jugalah saya cuba membuang pemberian tersebut tetapi ia tetap kembali kepada saya. Oleh sebab itu jugalah pemberian itu masih berada dengan saya sehingga ke hari ini.
Semenjak itu saya mula nampak ‘mereka’ kembali cuma berbeza dengan sebelum ini. Kali ini saya lebih faham dan mengerti serta tahu bagaimana caranya untuk mengelak sekiranya tiba-tiba ‘mereka’ ada di depan mata.
Maaf jika penceritaan kali ini agak kurang seram. Hanya ingin berkongsi rasa sahaja. Sekian terima kasih.
In Shaa Allah jika pembaca ingin saya bercerita lagi, ada masa saya akan menulis lagi…
– Adik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit